SEORANG juruteknik didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini di atas dua pertuduhan melakukan pecah rumah dan melarikan kenderaan di sekitar Port Dickson pada 14 September lalu.

Tertuduh, Chong Kek Wui, 39, mengaku tidak bersalah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md. Razali, lapor Harian Metro.

Mengikut kertas pertuduhan, Chong didakwa melakukan pecah rumah ke atas sebuah rumah kediaman dengan niat untuk mencuri cincin berbatu jade warna hijau dan jam tangan jenama Omega.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Lukut Kecil Batu 3 1/2 Jalan Seremban, Port Dickson lebih kurang pukul 2.20 hingga 5 petang, 14 September lalu.

Tertuduh yang juga bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan dan boleh dikenakan denda atau sebat jika kesalahan kali kedua atau lebih.

Tertuduh sebelum ini pernah disabitkan dan dihukum oleh Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan di bawah seksyen yang sama, maka dia tertakluk kepada pemberatan di bawah Seksyen 75 kanun yang sama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencuri kereta Toyota Vios iaitu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan masa yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara minimum satu tahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah berikutan perlu menanggung dua anak selain penanggung tunggal dalam keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap hari Sabtu minggu pertama.

Kes akan disebut semula pada 25 Oktober depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here