Category: Mahkamah

  • Yasin kemuka representasi kaji pertuduhan kes dadah

    Yasin kemuka representasi kaji pertuduhan kes dadah

    PENYANYI nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman mengemukakan representasi bagi mengkaji  tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya.

    Peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Muhammad Yasin memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat bahawa pihaknya memfailkan representasi tersebut pada 26 Sept lepas.

    “Saya memohon maaf kerana representasi tersebut diserahkan sedikit lambat iaitu pada 26 Sept 2022. Ini memandangkan beberapa dokumen perubatan penting yang kami terpaksa pohon baharu diperoleh dalam dua minggu lepas. 

    “Dokumen-dokumen ini (perubatan) kami masukkan di dalam representasi yang agak komprehensif agar pihak pendakwaan mengkaji pertuduhan tersebut,” kata Ariff Azami pada pengurusan kes hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha berkata pihak pendakwaan telah menerima representasi itu dan masih dalam pertimbangan.

    Mahkamah menetapkan 3 Nov ini untuk pihak pendakwaan memaklumkan keputusan representasi.

    Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan selama 15 hari bermula 6 Mac tahun depan.

    Pelantun lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac lepas.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya  (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

    Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan  menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, 24 Mac lepas.

    Pertuduhan memiliki dadah adalah mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Rasuah ejen TNB: Dua pelombong Bitcoin didenda RM55,000

    Rasuah ejen TNB: Dua pelombong Bitcoin didenda RM55,000

    DUA pelombong mata wang crypto Bitcoin masing-masing didenda RM45,000 dan RM10,000, selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada ejen Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka, atas kesalahan mencuri elektrik.

    Hakim Mahkamah Sesyen Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Tey Boon Sin, 33, dan Leang Ting Sheng, 43.

    Tey didenda RM20,000 atau penjara lima bulan bagi pertuduhan pilihan pertama dan RM25,000 atau penjara enam bulan atas pertuduhan pilihan kedua.

    Leang pula didenda RM3,000 atau penjara dua bulan bagi pertuduhan pilihan pertama dan RM7,000 atau penjara dua bulan atas pertuduhan pilihan kedua.

    Mengikut pertuduhan, Tey didakwa  memberi suapan wang tunai sebanyak RM14,500 dan RM17,500 kepada ejen TNB, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kerana mengambil dan menggunakan elektrik.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Starbucks Coffee, Jalan Kota Laksamana pada 3.45 petang, 6 Okt 2021 dan di tempat letak kereta berhadapan bangunan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka pada 6 petang, 19 Nov 2021.

    Sementara itu, Leang dituduh memberi suapan kepada ejen TNB sebanyak RM500 dan RM2,500, dengan niat yang sama.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Medan Samudera, Jalan Merdeka pada 4 petang, 20 Sept 2021 dan tempat letak kereta Freeport A Famosa Outlet, Alor Gajah pukul 3.50 petang, 4 Okt 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

    Terdahulu peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili  Tey, merayu hukuman ringan kerana perniagaan anak guamnya ditutup akibat COVID-19 dan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap serta bergantung hidup dengan simpati rakan-rakan.

    Peguam Azri Abd Hamid yang mewakili Leang memohon hukuman ringan kerana tertuduh tidak bekerja dan ditanggung oleh isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon mahkamah mengenakan hukuman berat, kerana rasuah kesalahan serius dan mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam. – BERNAMA

  • Notis bankrap difailkan terhadap Norjuma

    Notis bankrap difailkan terhadap Norjuma

    SYARIKAT Fame Up memfailkan Notis Bankrap di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed.

    Lapor Harian Metro, peguam bagi pihak Fame Up Entertainment, Muhammad Hassanuddin Roslan berkata, notis kebangkrapan itu difailkan pada 15 Ogos lalu.

    Menurutnya, ia bagi menuntut Norjuma membayar RM260,400 selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    “Jika beliau gagal membayar, pihak kami akan failkan petisyen untuk bankrap ke atasnya,” katanya.

    Harian Metro sebelum ini melaporkan usaha untuk menahan usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed yang dikenakan waran tangkap oleh mahkamah gagal selepas dia tiada di kediamannya.

    Untuk rekod, Fame Up Entertainment memfailkan dua saman fitnah terhadap Norjuma sejak 2019 dan 2020 berkaitan penyebaran fitnah usahawan itu pada syarikat berkenaan sekitar 2018 hingga 2020.

  • Muat naik video sumbang: Zul Ariffin didenda RM30,000

    Muat naik video sumbang: Zul Ariffin didenda RM30,000

    PELAKON Zul Ariffin didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik klip video bersifat sumbang di akaun Instagram miliknya pada Mac lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap Zul, 36, selepas dia membuat pengakuan itu.

    Zul didakwa memuat teaser klip ‘babak panas’ itu untuk siri yang akan ditayangkan di televisyen bertajuk “Perempuan Itu” pada 18 Mac.

    Siri itu dijadualkan untuk disiarkan semasa bulan puasa umat Islam pada bulan April.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Zul Ariffin tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.10 pagi dengan menaiki Toyota Vellfire berwarna hitam dan memakai sut kelabu gelap serta pelitup muka, selain diiringi peguam dan rakan.

    Kira-kira 10 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 7.30 pagi tadi untuk membuat liputan kes pelakon berusia 36 tahun itu.

    Media sebelum ini melaporkan kontroversi timbul apabila pelakon itu didakwa kongsikan video ‘babak panas’ bersama seorang pelakon wanita sebagai promosi sebuah drama bersiri, dalam Instagram, baru-baru ini.

    Tindakan memuat naik ‘teaser’ drama berkenaan mengundang kecaman warga maya, selain turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

  • Muat naik kandungan sumbang, pelakon terkenal didakwa esok

    Muat naik kandungan sumbang, pelakon terkenal didakwa esok

    SEORANG pelakon terkenal tanah air dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang esok.

    Pertuduhan itu dipercayai berkaitan dengan tindakan artis tersebut memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial.

    Pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, lapor Sinar Harian.

    Pelakon yang juga model berusia 36 tahun itu berdepan dengan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

  • Lelaki dipenjara 8 bulan ugut tikam isteri, paksa lakukan hubungan seks

    Lelaki dipenjara 8 bulan ugut tikam isteri, paksa lakukan hubungan seks

    MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap seorang lelaki selepas didakwa memaksa isterinya melakukan hubungan seks sehingga menyebabkan ketakutan terhadap wanita itu, Mei lalu.

    Mohd. Faidros Mustafa, 41, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh dalam suatu perkahwinan yang sah telah menyebabkan ketakutan kecederaan kepada isterinya yang berusia 32 tahun untuk mengadakan persetubuhan dengannya.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Batu 2 1/2 Balai Panjang di Melaka Tengah, pukul 9 malam 9 Mei lalu, lapor Astro Awani.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun.

    Mengikut fakta kes, tertuduh mengugut untuk menikam perut isterinya itu jika enggan menuruti kehendaknya melakukan hubungan seks bersama selain mangsa juga telah dipaksa mengambil dadah jenis syabu.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan dia telah insaf serta tidak akan mengulangi perbuatannya itu.

    Majistret Mohamad Izwan pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman lapan bulan penjara dari tarikh ditangkap pada 14 Ogos lalu.

  • Najib dijanjikan sumbangan tambahan US$1.17 bilion oleh kerabat diraja Arab Saudi – Saksi

    Najib dijanjikan sumbangan tambahan US$1.17 bilion oleh kerabat diraja Arab Saudi – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak dijanjikan sumbangan tunai tambahan US$1.17 bilion daripada seorang individu yang didakwa sebagai ahli keluarga diraja Arab Saudi bagi menghargai usaha bekas perdana menteri itu memperkenalkan Islam ke seluruh dunia.

    Berdasarkan dua pucuk surat yang dibacakan di mahkamah oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, wang tunai itu dijanjikan untuk dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib oleh putera Arab Saudi, Saud Abdulaziz Majid Al Saud melalui dua transaksi,US$375 juta pada 1 Nov 2011 dan US$800 juta pada 1 Mac 2013.

    Pada minggu lepas, pasukan pembelaan Najib mengemukakan sepucuk surat yang dikatakan daripada putera Arab Saudi yang sama bertarikh 1 Feb 2011, yang didakwa menjanjikan sumbangan wang tunai US$100 juta kepada Najib untuk mengiktiraf sumbangannya kepada dunia Islam.

    Surat menggunakan kepala surat Pejabat Peribadi Saud Abdulaziz Majid Al Saud, bekas Gabenor Wilayah Madinah, turut menyebut hadiah itu adalah sempena persahabatan yang terjalin antara kedua-duanya dan sebagai menghargai idea-idea baharu Najib selaku pemimpin Islam moden.

    Wan Aizuddin merujuk surat itu kepada saksi pendakwaan ke-38 semasa pemeriksaan balas terhadap Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank Yap Wai Keat, 57, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Najib membabitkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    “Surat-surat itu juga menyebut pemberian wang tunai itu hendaklah dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib melalui akaun bank peribadi atau melalui akaun bank syarikat yang diarahkan putera itu, Tanore Finance Corporation dan Blackstone Asia Real Estate Partners Limited.

    “Turut dinyatakan dalam surat itu bahawa Datuk Seri Najib mempunyai budi bicara mutlak untuk menentukan bagaimana wang itu akan digunakan dan ia (wang) tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai perbuatan rasuah kerana ini bertentangan dengan amalan Islam dan putera itu secara peribadi tidak menggalakkan amalan sedemikian (rasuah) dalam apa cara sekalipun,” kata peguam itu.

    Sebelum ini dilaporkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah mengenal pasti Tanore Finance Corporation dan Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dikuasai oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) menggunakan identiti rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

    Wan Aizuddin kemudian menyoal saksi sama ada beliau mempunyai pengetahuan mengenai dua pucuk surat itu sebelum perbicaraan 1MDB ini, yang dijawab oleh saksi itu secara positif.

    “Saya rasa mungkin (mempunyai pengetahuan tentang surat-surat itu) kerana untuk meneruskan pengiriman wang, kita perlu tahu apakah kod tujuan wang ini, di mana pengurus perhubungan akaun AmBank Datuk Seri (Joanna Yu) telah memberitahu saya bahawa ia adalah hadiah dan ada surat yang disertakan bersamanya.

    “Bagaimanapun saya tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat kemungkinan Joanna Yu telah memberikan surat itu kepada saya pada masa transaksi tersebut. Beliau mungkin tunjuk kepada saya, tetapi saya tidak ingat kerana banyak dokumen yang telah saya teliti sejak beberapa tahun lepas,” kata saksi itu yang mengendalikan deposit pertukaran asing AmBank sejak 2010 hingga 2014.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

  • Buruh dipenjara 15 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri hingga hamil

    Buruh dipenjara 15 tahun, 10 sebatan rogol anak tiri hingga hamil

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini, selepas mengaku bersalah merogol anak tirinya pada 2021.

    Hukuman tersebut dijatuhkan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud terhadap tertuduh berusia 41 tahun yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Mengikut pertuduhan, warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh ladang itu didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun di sebuah rumah kongsi kira-kira 8 pagi antara 1 hingga 30 Ogos 2021.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang sepuluh tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Suhaimi Suriana memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesan trauma dialami mangsa.

    Menurutnya, sebagai bapa, tertuduh sewajarnya memberi perlindungan kepada mangsa tanpa mengira sama ada anak kandung atau anak tiri namun tertuduh merogol mangsa sehingga hamil tujuh bulan.

    “Pendakwaan juga mengambil kira faktor trauma dialami mangsa, yang mana dalam kes ini, mangsa yang masih muda terpaksa menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal tanpa suami dan anak tanpa ayah.

    “Rayuan yang dikemukakan tertuduh sedikit pun tidak menunjukkan perasaan insaf atau menyesal atas perbuatan yang telah dilakukannya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun dan sepuluh sebatan berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan iaitu pada 22 September 2022 serta dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

    Berdasarkan fakta kes, pada 21 September 2022, kira-kira pukul 11.30 pagi, mangsa dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Tawau oleh guru sekolah selepas mengesyaki keadaan perut kanak-kanak itu seperti wanita mengandung.

    Hasil pemeriksaan doktor bertugas mengesahkan mangsa hamil tujuh bulan sebelum laporan polis dibuat.

  • Mangsa langgar lari dapat pampasan RM2.4 juta

    Mangsa langgar lari dapat pampasan RM2.4 juta

    SEORANG pekerja ladang Felda Global Ventures (FGV) Sdn Bhd diberikan pampasan RM2.4 juta berikutan kemalangan jalan raya mengerikan yang dialaminya tujuh tahun lepas.

    Lapor Free Malaysia Today, Mahkamah Sesyen Temerloh memutuskan bahawa pemandu lori yang terbabit bertanggungjawab sepenuhnya dan menyebabkan Husaini Abu Hassan mengalami kecederaan kekal, termasuk lumpuh tangan kiri manakala kaki kirinya terpaksa dipotong.

    Bagaimanapun, identiti pemandu lori warga asing itu tidak dapat dipastikan kerana dia melarikan diri dari tempat kejadian susulan kemalangan pada awal pagi 12 Mac 2015 di ladang Felda Lepar Utara 11. Sehingga kini, dia masih belum dijumpai.

    Sehubungan itu, hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memutuskan bahawa syarikat pengangkutan yang menyediakan perkhidmatan lori, Tan Yee Seong Enterprise, menanggung liabiliti vikarius atas kemalangan itu.

    Syarikat itu menafikan liabiliti dan mendakwa pemandu lori warga Indonesia itu hanya kontraktor bebas.

    Dalam penghakiman, mahkamah memutuskan bahawa ketiadaan dokumen tidak menyokong hujah bahawa pemandu itu bukan pekerja syarikat.

    “Defendan kedua (syarikat) gagal membuktikan bahawa defendan pertama ialah kontraktor yang menjalankan perniagaan secara bebas,” kata Che Wan Zaidi dalam penghakiman bertulisnya yang dikeluarkan baru-baru ini.

    “Mahkamah memutuskan bahawa hubungan antara defendan pertama dan kedua lebih mirip kepada majikan dan pekerja,” tambahnya.

    Pengendali pengangkutan itu juga mendakwa lori tersebut tidak berada dalam simpanannya.

    Penolong pengurus FGV Mukhlis Hidayat Ali Hanaphiah memberi keterangan bahawa sebelum kejadian, lori itu dipandu oleh pemandu tersebut bagi pihak Tan Yee Seong Enterprise untuk mengangkut tandan buah kelapa sawit segar.

    “Keterangan saksi bahawa lori itu keluar di simpang berhampiran asrama pekerja yang disewa oleh defendan kedua, turut menyokong dapatan bahawa defendan pertama ialah pekerja atau ejen untuk defendan kedua,” kata Che Wan Zaidi.

    Dalam kejadian pada 6 pagi itu, Husaini yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja bertembung dengan lori berkenaan yang keluar secara mengejut dari simpang di KM65 Jalan Jerantut-Lepar Utara.

    Lori itu juga dikatakan tidak mempunyai nombor pendaftaran kenderaan.

    Pekerja FGV berusia 43 tahun itu hanya dapat kembali bekerja selepas cuti sakit selama 21 bulan.

    Husaini akan menerima pampasan berjumlah RM2,417,383.32 bagi ganti rugi khas termasuk kos kaki palsu dan pemulihan, serta kehilangan pendapatan.

    N M Tiong & Co mewakili plaintif manakala Jacob Goldie SS Chew tampil bagi pihak defendan kedua.

  • Edar dadah: Penjual sarang burung terlepas hukuman gantung

    Edar dadah: Penjual sarang burung terlepas hukuman gantung

    SEORANG bekas penjual sarang burung terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengetepikan sabitan dan hukuman mati atas dua tuduhan mengedar dadah.

    Panel tiga hakim yang dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Datuk Seri Kamaludin Md Said dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin serta Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan rayuan Tan Chen Xing selepas mendapati terdapat merit dalam rayuannya.

    Dalam keputusan mahkamah itu, Hakim Kamaludin yang mengetuai panel berkata, sabitan Chen Xing untuk mengedar dadah tidak selamat untuk dikekalkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi mendapati tiada penemuan komprehensif ke atas bukti.

    Mahkamah juga mengetepikan sabitan Chen Xing dan hukuman penjara ke atas dua tuduhan memiliki 0.06 gram nimetazepam dan 299.2 gram racun phenazepam tanpa lesen yang sah.

    Bagi pertuduhan mengedar dadah, Chen Xing didakwa mengedar 361.8 gram ketamin dan 156.52 gram methamphetamine.

    Chen Xing didakwa melakukan kesalahan itu di kondominium di Lebuh Minden 1, Gelugor, Pulau Pinang pada 4 petang 10 Nov, 2016.

    Pada 2020, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati Chen Xing bersalah atas pertuduhan tersebut dan beliau dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah.

    Bagi kesalahan memiliki nimetazepam pula, Chen Xing dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu tahun kerana memiliki phenazepam.

    Peguam, Hussaini Abdul Rashid yang mewakili Chen Xing dalam hujahnya berkata, Hakim Mahkamah Tinggi gagal untuk mempertimbangkan bahawa terdapat lima individu yang mendiami kondominium itu dan bukan anak guamnya sahaja yang mempunyai akses kepada premis tersebut.

    Beliau berkata, Chen Xing tinggal di bilik ketiga rumah itu dan bukan di bilik pertama di mana dadah dadah itu ditemukan.

    Hussaini berkata, anak guamnya dikehendaki ke penjara semula untuk menjalani 10 sebatan sebelum dia dibebaskan.

    Beliau berkata, Chen Xing dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas dia mengaku bersalah memiliki dadah di dalam poketnya.

    Hussaini berkata, Chen Xing telah lengkap menjalani hukuman penjaranya tetapi belum menjalani hukuman sebatan itu.