SEORANG pekerja ladang Felda Global Ventures (FGV) Sdn Bhd diberikan pampasan RM2.4 juta berikutan kemalangan jalan raya mengerikan yang dialaminya tujuh tahun lepas.

Lapor Free Malaysia Today, Mahkamah Sesyen Temerloh memutuskan bahawa pemandu lori yang terbabit bertanggungjawab sepenuhnya dan menyebabkan Husaini Abu Hassan mengalami kecederaan kekal, termasuk lumpuh tangan kiri manakala kaki kirinya terpaksa dipotong.

Bagaimanapun, identiti pemandu lori warga asing itu tidak dapat dipastikan kerana dia melarikan diri dari tempat kejadian susulan kemalangan pada awal pagi 12 Mac 2015 di ladang Felda Lepar Utara 11. Sehingga kini, dia masih belum dijumpai.

Sehubungan itu, hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memutuskan bahawa syarikat pengangkutan yang menyediakan perkhidmatan lori, Tan Yee Seong Enterprise, menanggung liabiliti vikarius atas kemalangan itu.

Syarikat itu menafikan liabiliti dan mendakwa pemandu lori warga Indonesia itu hanya kontraktor bebas.

Dalam penghakiman, mahkamah memutuskan bahawa ketiadaan dokumen tidak menyokong hujah bahawa pemandu itu bukan pekerja syarikat.

“Defendan kedua (syarikat) gagal membuktikan bahawa defendan pertama ialah kontraktor yang menjalankan perniagaan secara bebas,” kata Che Wan Zaidi dalam penghakiman bertulisnya yang dikeluarkan baru-baru ini.

“Mahkamah memutuskan bahawa hubungan antara defendan pertama dan kedua lebih mirip kepada majikan dan pekerja,” tambahnya.

Pengendali pengangkutan itu juga mendakwa lori tersebut tidak berada dalam simpanannya.

Penolong pengurus FGV Mukhlis Hidayat Ali Hanaphiah memberi keterangan bahawa sebelum kejadian, lori itu dipandu oleh pemandu tersebut bagi pihak Tan Yee Seong Enterprise untuk mengangkut tandan buah kelapa sawit segar.

“Keterangan saksi bahawa lori itu keluar di simpang berhampiran asrama pekerja yang disewa oleh defendan kedua, turut menyokong dapatan bahawa defendan pertama ialah pekerja atau ejen untuk defendan kedua,” kata Che Wan Zaidi.

Dalam kejadian pada 6 pagi itu, Husaini yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja bertembung dengan lori berkenaan yang keluar secara mengejut dari simpang di KM65 Jalan Jerantut-Lepar Utara.

Lori itu juga dikatakan tidak mempunyai nombor pendaftaran kenderaan.

Pekerja FGV berusia 43 tahun itu hanya dapat kembali bekerja selepas cuti sakit selama 21 bulan.

Husaini akan menerima pampasan berjumlah RM2,417,383.32 bagi ganti rugi khas termasuk kos kaki palsu dan pemulihan, serta kehilangan pendapatan.

N M Tiong & Co mewakili plaintif manakala Jacob Goldie SS Chew tampil bagi pihak defendan kedua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here