Category: Mahkamah

  • Anggota polis mengaku tidak bersalah 24 tuduhan terima wang

    Anggota polis mengaku tidak bersalah 24 tuduhan terima wang

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan Mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuantan hari ini atas 24 tuduhan menerima imbuhan wang tunai tanpa balasan daripada seorang individu dengan jumlah keseluruhan RM4,800 antara 2016 hingga 2019 lalu.

    Tertuduh, Rasip Majid, 53, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin.

    Berdasarkan kertas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain itu, tertuduh didakwa menerima RM200 bagi setiap transaksi (24 transaksi) daripada individu tersebut melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun banknya antara Disember 2016 hingga Oktober 2019.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut yang mana dia mengetahui individu tersebut mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Ekoran pengakuan tidak bersalah tertuduh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin bercagar, lapor Sinar Harian.

    Dalam rayuan terhadap jaminan itu, tertuduh yang kini bertugas di IPD Merlimau, Melaka merayu agar jumlah itu dikurangkan.

    Tertuduh memberi alasan terpaksa menyara keluarga termasuk ibu bapa dan anak yang masih bersekolah dengan pendapatan lebih RM6,000 sebulan.

    Ahmad Zamzani bagaimanapun mengekalkan jumlah jaminan RM5,000 dengan beberapa syarat tambahan.

    Tertuduh diperintahkan supaya melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan bermula November depan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasportnya.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam bagi kes itu.

  • Saman pemula Charles wajar ditolak

    Saman pemula Charles wajar ditolak

    PEGUAM Persekutuan menghujahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, saman pemula oleh penyandang kerusi Parlimen Klang berhubung pembubaran Parlimen, wajar ditolak selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 19 November depan.

    Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata demikian ketika prosiding pendengaran permohonan untuk membatalkan saman pemula oleh Charles Santiago di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid, lapor Sinar Harian.

    SPR telah menetapkan 19 November depan sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya, Sabah.

    Menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPR hari ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala pengundian awal, 15 November ini.

  • Peniaga didakwa bunuh Datin di dapur

    Peniaga didakwa bunuh Datin di dapur

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh seorang Datin di sebuah rumah di Taman Paroi Jaya di Seremban pada September lalu.

    Tertuduh, Mohd. Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan seorang peniaga, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Faizul didakwa telah menyebabkan kematian seorang warga emas, Noraida Nordin, 75.

    Kesalahan itu dilakukan di dapur sebuah rumah di Taman Paroi Jaya, Seremban antara pukul 4.52 petang hingga 8 malam, 23 September 2022.

    Berikutan itu dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau dengan penjara selama 30 tahun, dan jika dikenakan hukuman mati boleh disebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, Sritharai C. N. dan P. Praveen.

    Sebutan semula kes 20 Disember depan.

    Sebelum itu, tertuduh yang memakai baju-T berwarna biru tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi.

    Turut kelihatan pelakon Farhan Asri atau nama sebenarnya Muhamad Farhan Mohd. Asri, 25, yang merupakan cucu kepada mangsa.

    Sebelum ini media melaporkan, seorang wanita warga emas bergelar Datin berusia 75 tahun ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada badan di rumahnya di Taman Paroi Jaya pada 23 September lalu.

    Kejadian pada pukul 8.25 malam itu berlaku ketika Datin Noraida Nordin, 75, tinggal bersama suaminya yang merupakan bekas ahli perniagaan bergelar Datuk.

  • Bapa dituduh bunuh bayi, mengaku cederakan isteri

    Bapa dituduh bunuh bayi, mengaku cederakan isteri

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki didakwa membunuh bayi lelakinya yang baru berusia tiga bulan di kediaman mereka, kira-kira dua minggu lalu selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini.

    Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Nasyran Zamzury, 28, yang juga seorang petani ketika pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh anaknya, Muhammad Annas di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang, Mukim Padang Hang, Alor Setar antara pukul 9 malam pada 4 Oktober hingga 1.30 petang, 10 Oktober lalu.

    Mahkamah turut menjatuhkan hukuman 14 bulan penjara terhadapnya setelah dia mengaku bersalah bagi pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22.

    Kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 5 petang, pada 4 Oktober lalu di lokasi sama.

    Selain itu, Muhammad Nasyaran turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan methamphetamine ke dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, kira-kira pukul 7 petang, 10 Oktober lalu.

    Siti Norhidayah menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 18 Disember depan sementara menunggu laporan patologi.

    Namun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan bekas teman wanitanya yang kini berusia 26 tahun pada 2019.

    Kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off Jalan Putra, Alor Setar kira-kira pukul 7 pagi, 5 Mei 2019.

    Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 November depan sementara menanti serahan dokumen selain tiada jaminan ditawarkan.

    Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nurfatin Mastura Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriyah Mohd. Nordin hanya untuk pertuduhan mencederakan isterinya.

    Sebelum ini, lelaki yang turut memiliki dua lagi anak perempuan berusia setahun dan enam tahun ditahan selepas polis menemukan bayi terbabit dalam keadaan tidak bernyawa ketika serbuan dilakukan di rumahnya.

    Soal siasat awal polis mendapati, suspek mengaku memukul anaknya kerana enggan minum susu dan menangis tanpa henti.

    Ibu bayi berkenaan dipercayai keluar rumah bagi menyelamatkan diri sebelum kejadian menimpa anaknya itu kerana dia turut diugut bunuh oleh suspek selain tidak tahan apabila sering dipukul.

  • Nakhoda didenda RM5,000 halang tugas penjawat awam

    Nakhoda didenda RM5,000 halang tugas penjawat awam

    SEORANG nakhoda warga asing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di Kota Tinggi semalam selepas mengaku salah atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu kenyataan akhbar hari ini memaklumkan, tertuduh, Tsetskhladze Alexander, 47, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

    “Lelaki warga Georgia itu yang bertugas sebagai nakhoda di atas MT SIMBA iaitu kapal tangki yang berdaftar di Kribi, gagal memberikan kerjasama ketika cuba diperiksa kapal ronda maritim yang menjalankan Op Jangkar Haram, pada 15 Oktober lalu.

    “Akibat kedegilan kapal tangki itu, ia memaksa Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia diatur gerak dan menggunakan kaedah ‘force boarding’.

    “Hasil pemeriksaan mendapati MT SIMBA yang bersauh di kedudukan 24.8 batu nautika Tanjung Siang itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen

    491B(1)(L)Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tiada kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Laut Malaysia,” ujar beliau.

    Menurut Maritim Malaysia, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

    Pada masa sama, Maritim Malaysia menasihatkan mana-mana syarikat perkapalan supaya sentiasa memastikan kapal-kapal di bawah seliaan mereka mematuhi undang-undang kerana tidak akan berkompromi serta tindakan yang lebih tegas akan diambil.

  • Remaja perempuan baling pisau pada adik hingga mati direman

    Remaja perempuan baling pisau pada adik hingga mati direman

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG remaja perempuan yang membaling pisau pada adik lelakinya sehingga menyebabkan maut di Ulu Pulai, Ulu Choh, di Iskandar Puteri semalam, direman enam hari bermula hari ini.

    Majistret Nurmadiana Mamat membenarkan tempoh reman bermula hari ini sehingga 25 Oktober ini terhadap remaja berusia 18 tahun itu di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi tadi.

    Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Semalam, polis menahan remaja itu selepas menerima laporan mengenai insiden tersebut pada 2.15 petang.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dilapor berkata, tragedi malang itu dipercayai berpunca apabila mangsa yang berusia 16 tahun bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

    Beliau berkata, mereka berebut tempat duduk dalam kereta dipercayai menjadi punca pergaduhan dua beradik itu.

    “Ibu mereka mengatakan pada awalnya, mangsa bergaduh dengan kakaknya disebabkan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah dan kakak mangsa mengaku telah membaling pisau ke arah mangsa setelah diejek ketika masuk ke dalam rumah,” katanya.

    Rahmat berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang dan bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru hari ini.

  • Bekas pembantu Anwar, Yusoff Rawther menang saman fitnah RM200,000

    Bekas pembantu Anwar, Yusoff Rawther menang saman fitnah RM200,000

    MAHKAMAH Sesyen Shah Alam memerintahkan Setiausaha Akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah membayar ganti rugi RM200,000 kerana memfitnah Yusoff Rawther.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Ishak Bakri Yusof berkata, Yusoff yang merupakan bekas pembantu penyelidik Anwar, membuktikan dakwaannya berhubung imbangan kebarangkalian.

    Peguam Yusoff, Tetuan Haniff Khatri Abdulla dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi berkata, defendan juga diperintahkan membayar kos RM25,000 kepada Yusoff.

    Menurut kenyataan itu, Nashrul akan menerbitkan permohonan maaf dalam tempoh 45 hari dari hari ini dan kandungan itu perlu diterima oleh Yusoff.

    Beliau juga perlu menarik balik kenyataan media fitnahnya yang dikeluarkan pada 10 Jun 2019.

    Yusoff memfailkan saman itu pada 12 Sept 2019 atas dakwaan kenyataan akhbar yang dikeluarkan Nashrul menjatuhkan reputasinya di mata orang ramai.

    Selain saman fitnah terhadap Nashrul, Yusoff memfailkan satu lagi saman terhadap setiausaha politik Anwar ketika itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi menuntut pampasan atas kecederaan yang didakwa dialaminya selepas serangan.

    Yusoff turut memfailkan saman terhadap Anwar atas dakwaan beliau melakukan serangan seksual terhadapnya 10 hari sebelum memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Okt 2018.

    Yusoff mendakwa mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius akibat kejadian itu.

    Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan kes itu belum selesai di mahkamah.

  • Parlimen sudah bubar, permohonan Najib cabar Jabatan Penjara tak lagi relevan

    Parlimen sudah bubar, permohonan Najib cabar Jabatan Penjara tak lagi relevan

    PERMOHONAN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara yang enggan membenarkan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat kini bersifat akademik kerana Parlimen sudah dibubarkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

    Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), berkata oleh itu, Najib tidak seharusnya dibenar meneruskan permohonan semakan kehakimannya susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas.

    “Ini boleh dilihat daripada pelbagai laporan berita dan paling penting, pengisytiharan mengenai pembubaran Parlimen telah pun diwartakan,” katanya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

    Beliau berkata demikian ketika membantah permohonan Najib untuk memperoleh kebenaran bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara.

    Katanya dakwaan dan aduan yang menjadi asas semakan kehakiman Najib tidak lagi boleh dipertahan manakala relif yang dipohon terhadap responden sudah bersifat akademik dan tidak mempunyai kesan praktikal. 

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berhujah bahawa permohonan anak guamnya masih relevan kerana ia boleh berlaku pada masa akan datang. 

    “Sehingga hari ini, kita tidak tahu sama ada beliau (Najib) masih lagi calon prospektif sebagai Ahli Parlimen Pekan.

    “Tidak mustahil anak guam saya menyaman Jabatan Penjara kerana hak beliau untuk menghadiri Parlimen telah dinafikan,” katanya.

    Ahmad Kamal menetapkan 27 Okt ini untuk memutuskan permohonan Najib.

    Pada 5 Okt lepas, Najib, 69, memfailkan permohonan menamakan kerajaan, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.

    Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (Komisioner Jeneral Penjara) yang tidak membenarkannya mengakses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.

    Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya menghadiri Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.

    Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata keputusan responden pertama dan ketiga yang menolak permohonannya atas alasan keselamatan telah disampaikan kepadanya melalui Pejabat Penjara Kajang pada 28 Sept.

    Najib juga menyatakan bahawa keengganan responden pertama dan ketiga untuk membenarkannya mengakses kepada pegawai dan pembantunya bagi tujuan perkara berkaitan Parlimen serta pengundinya dan tindakan tidak diambil oleh responden kedua adalah tindakan tidak munasabah atau tidak rasional.

    Najib berkata menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan perlembagaan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sebagai Ahli Parlimen dalam mewakili pengundi Pekan. – BERNAMA

  • Siasatan terhadap Mohd Nazlan: Permohonan peguam, aktivis didengar 10 Nov

    Siasatan terhadap Mohd Nazlan: Permohonan peguam, aktivis didengar 10 Nov

    MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 10 Nov untuk mendengar permohonan dua peguam dan seorang aktivis berhubung persoalan undang-undang berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada badan siasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang telah digantung tugas menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan.

    Persoalan lain ialah sama ada Pendakwa Raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    Kedua-dua persoalan itu dinyatakan oleh Nur Ain Mustapa, Sreekant Pillai dan Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dalam saman pemula mereka terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia bagi menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan terhadap Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

    Peguam Wong Ming Yen, yang mewakili ketiga-tiga plaintif, ketika dihubungi berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Firdaus Sidqi Sharil Azli hari ini menetapkan 14 Nov untuk pengurusan kes sementara menunggu permohonan merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan didengar pada 10 Nov.

    Pada 19 Julai lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan mereka untuk merujuk persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan selepas memutuskan mahkamah tersebut adalah forum tepat dan sesuai untuk mendengar serta memutuskan isu yang boleh memberi kesan terhadap badan kehakiman secara keseluruhan.

    Saman pemula yang difailkan pada 6 Mei lepas menyaksikan ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa SPRM tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka digantung menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan atau dipecat menurut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Pendakwa Raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat.

    Melalui afidavit sokongan, ketiga-tiga plaintif berkata media melaporkan bahawa SPRM telah memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan berkaitan dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun bank beliau berikutan laporan yang dibuat kepada badan itu.

    Mereka mendakwa siasatan SPRM terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

    Mohd Nazlan, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan mensabitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya. – BERNAMA  

  • Rasuah: Bekas Hakim Mahkamah Sesyen dipenjara, denda

    Rasuah: Bekas Hakim Mahkamah Sesyen dipenjara, denda

    SEORANG bekas Hakim Mahkamah Sesyen hari ini dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan rasuah berhubung prosiding mahkamah.

    Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Azmil Muntapha Abas, 48, iaitu bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mahkamah juga memerintahkan Azmil Muntapha dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.

    Bagaimanapun, mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM6,000 kepada RM12,000 selain memerintahkan notis rayuan difailkan selewat-lewatnya 21 Okt ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Hakim Mahkamah Sesyen telah memperoleh untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai sebanyak RM5,000, tanpa suatu balasan pada 8.22 malam, yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes-kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

    Enam OKT tersebut adalah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan di mana Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.

    Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, dekat sini pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya  Allan Suman Pillai, Maziah Mohaide dan Mohd Shahrom Idris manakala tertuduh diwakili peguam Asmadi Hussin serta Azrul Zulkifli Stork.

    Seramai 24 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada September 2021 dan berakhir pada Ogos lepas. – BERNAMA