Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG remaja perempuan yang membaling pisau pada adik lelakinya sehingga menyebabkan maut di Ulu Pulai, Ulu Choh, di Iskandar Puteri semalam, direman enam hari bermula hari ini.

Majistret Nurmadiana Mamat membenarkan tempoh reman bermula hari ini sehingga 25 Oktober ini terhadap remaja berusia 18 tahun itu di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi tadi.

Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, polis menahan remaja itu selepas menerima laporan mengenai insiden tersebut pada 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dilapor berkata, tragedi malang itu dipercayai berpunca apabila mangsa yang berusia 16 tahun bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.

Beliau berkata, mereka berebut tempat duduk dalam kereta dipercayai menjadi punca pergaduhan dua beradik itu.

“Ibu mereka mengatakan pada awalnya, mangsa bergaduh dengan kakaknya disebabkan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah dan kakak mangsa mengaku telah membaling pisau ke arah mangsa setelah diejek ketika masuk ke dalam rumah,” katanya.

Rahmat berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.30 petang dan bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here