SEORANG wanita maut manakala 13 lagi cedera selepas pikap dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam sembilan meter ketika menuruni jalan dari Borneo Highland Resort, Padawan, di Kuching, semalam.
Dalam nahas berkenaan, mangsa yang maut dikenali sebagai Yow Sze Ee, 22, yang juga penumpang pikap terbabit.
Difahamkan, sebelum nahas itu, 14 sekeluarga itu melakukan aktiviti beriadah di kawasan air terjun bertempat di kawasan pergunungan berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu 2.44 petang sebelum menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok ke lokasi.
“Mangsa pertama berjaya dinaikkan serta diselamatkan pada 3.45 petang, manakala mangsa terakhir berjaya dibawa naik pada 7.30 malam,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Kesemua mangsa katanya, diserah pada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tindakan rawatan seterusnya.
Operasi menyelamatkan semua mangsa selesai jam 7.39 malam.
KERAJAAN Johor mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mencari penyelesaian terbaik bagi mengelak kejadian banjir berulang.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha tersebut perlu dilakukan di semua kawasan sering dilanda banjir sebagai langkah persediaan menghadapi bencana alam berkenaan.
Beliau yang melawat beberapa kawasan banjir kilat di Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada Ahad memberitahu, terdapat beberapa usaha yang sedang dan akan dilaksana Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
“Di Johor Bahru MBJB antaranya akan menaik taraf pam air dari empat unit kepada enam unit di Rumah Pam Sungai Chat. Tiga lagi lokasi juga akan ditambah dengan dua unit pam berkapasiti 25kwh setiap satu.
“Kawasan itu adalah di kawasan Surau Tambatan, Restoran Malay Village dan Jalan Kampung Mohd Amin selain kerja-kerja pembersihan sampah sarap di ‘trash screen’ dan mendapan di dasar Sungai Chat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ini termasuk kerja-kerja menambah pembinaan ‘wier’ di kawasan hulu iaitu di lokasi Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggung Ibrahim dan kawasan pembangunan Pemaju Tanjung Nahkoda.
Sementara di Iskandar Puteri pula katanya, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan melebarkan dan mendalamkan Sungai Gelang Patah oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).
Jelasnya, ini termasuk kerja-kerja melebarkan Sungai Senapang oleh JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selain membina tembok penahan banjir di Kampung Muafakat, Gelang Patah.
ENAM buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Johor melibatkan tiga daerah akibat banjir kilat.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), PPS berkenaan dibuka di Johor Bahru, Pontian dan Batu Pahat yang menempatkan 128 mangsa daripada 40 keluarga.
JBPD memberitahu di Batu Pahat, PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang Peserai dan Sekolah Agama (SA) Seri Bengkal yang masing-masing menempatkan 29 mangsa dari 11 keluarga dan 21 mangsa daripada enam keluarga.
“Lokasi yang dinaiki air di Batu Pahat ialah Kampung Seri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai.
“Sementara PPS di Pontian pula di SA Kayu Ara Pasong menempatkan 54 mangsa daripada 15 keluarga manakala Pusat Kokurikulum Sungai Tempayan menempatkan tiga mangsa dari satu keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebuah PPS di SA Kayu Ara, Pasong, Pontian dibuka susulan hujan lebat sejak pagi tadi dan mengakibatkan banjir
Menurut JPBD, di Johor Bahru, dua PPS yang dibuka ialah Dewan Raya Gelang Patah menempatkan 17 mangsa dari lima keluarga, dan SK Nong Chik menempatkan 4 mangsa dari dua keluarga.
Jelas kenyataan itu, di Pontian kawasan yang masih dinaiki air setakat jam 3 petang tadi ialah Kampung Parit Sapran, Kampung Parit Haji Omar, Jalan Mohsin, Kayu Ara Pasong, Kampung Parit Hj Siraj, Parit Lapis, Kayu Ara Pasong dan Kampung Parit Abdul Rahman.
“Di Johor Bahru, lokasi yang dinaiki air ialah Kampung Mohd Amin, Taman Dato Syed Mohd Idrus dan Kampung Baru,” katanya.
SEPASANG suami isteri l maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang, Ampang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan berkenaan berlaku pada 2.50 pagi itu membabitkan Perodua Myvi dengan sebuah lori kontena.
“Mangsa merupakan seorang lelaki warga India dan wanita tempatan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca akibat kecuaian apabila wanita terbabit yang memandu gagal mengawal kenderaan hingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Mohamad Farouk berkata, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi bebas yang menyaksikan kejadian itu diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093,” katanya.
BOMBA menyelamatkan 14 kanak-kanak dan lima guru selepas mereka terperangkap di dalam banjir di bangunan tadika di Kampung Mohd Amin, Larkin, Johor Bahru, hari ini.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.30 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Nazarudin Yusof berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.
Anggota bomba membantu memindahkan kanak-kanak dan guru tadika yang terperangkap akibat banjir di Kampung Mohd Amin, Larkin, Johor Bahru, hari ini
“Seramai 14 kanak-kanak dan lima guru yang berada di tadika itu dilaporkan terperangkap dalam banjir. Anggota bomba bertindak memindahkan kesemua mereka ke tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
SERAMAI 29 mangsa melibatkan 11 keluarga dari Kampung Sri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu hari ini.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, semua mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Agama Seri Bengkal yang dibuka pada pukul 8 pagi dan di Sekolah Kebangsaan (SK) Peserai yang dibuka pukul 12 tengah hari.
“Mereka dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air. Banjir berlaku akibat hujan lebat beberapa jam bermula pukul 6.30 pagi tadi serta pertembungan air pasang,” menurut APM Johor dalam satu kenyataan, hari ini.
APM Johor memaklumkan, selain Batu Pahat, beberapa kawasan di daerah ini turut dilanda banjir antaranya di Batu 10, Skudai; Kampung Dato Sulaiman Menteri dan Tabika Kemas di Skudai Kiri.
Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Sri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat, hari ini
Jelasnya, banjir turut melanda Kampung Mohd Amin; Kampung Ubi; Kapung Tiram Duku; Kampung Peladang, Kampung Baru Muafakat; Kampung Pekajang dan Kampung Paya Mengkuang.
“Tiada mangsa banjir dari Johor Bahru yang dipindahkan kerana kawasan yang dinaiki air telah surut. Namun pemantauan ke tempat kejadian dari masa ke semasa akan dilakukan,” jelas APM Johor.
Dalam pada itu, APM Johor berkata, ribut berlaku di dua daerah melibatkan Kampung Sungai Naga di Api-Api, Air Baloi dan Parit Haji Omar di Kayu Ara Pasong (Pontian) dan Kampung Parit Jamil, Sabah Awor (Muar).
Ribut berlaku di melibatkan Kampung Sungai Naga di Api-Api, Air Baloi dan Parit Haji Omar di Kayu Ara Pasong, Pontian, hari ini
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Johor dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah.
Menurut Komander Operasi dari BBP Iskandar Puteri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Khairi Zainuddin, pihaknya menerima panggilan menyelamat dan memindahkan satu keluarga di kampung itu pada pukul 8.42 pagi.
Beliau berkata, seramai 11 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua unitili dan dua bot terlibat dalam operasi itu.
“Kita memindahkan keluarga itu yang terdiri daripada empat mangsa iaitu masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita dewasa selain seorang kanak-kanak lelaki dan satu bayi.
“Mereka dipindahkan ke PPS di Dewan Raya Gelang Patah. Setakat ini operasi menyelamatkan mangsa banjir masih berjalan,” katanya.
HUJAN lebat selama beberapa jam sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau dilanda banjir kilat.
Antara kawasan yang teruk terjejas adalah di Bayan Lepas; Bayan Baru; Teluk Kumbar dan Bukit Jambul yang mana beberapa rumah penduduk dinaiki air sehingga ke paras lutut.
Bagaimanapun banjir kilat itu dilaporkan sudah kembali surut bermula pukul 11 pagi tadi dan setakat ini tiada laporan terdapat penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara akibat bencana terbabit.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, antara kampung yang dilanda banjir kilat di kawasan terbabit adalah Kampung Masjid; Kampung Manggis; Kampung Perlis; Kampung Binjai dan Kampung Seronok.
Malah katanya, beliau turut menerima laporan terdapat beberapa buah rumah yang terjejas dengan serius akibat bencana banjir kilat tersebut terutama rumah-rumah yang terletak berhampiran Sungai Bayan Lepas.
“Bagaimanapun, setakat pukul 10.15 pagi tadi, banjir di beberapa kawasan yang terlibat dilaporkan telah surut,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi MPKK Kampung Binjai di Bayan Lepas, Baseri Hashim berkata, kira-kira 30 buah rumah di kampung berkenaan terlibat dalam banjir kilat.
”Air mula naik dengan cepat di kawasan rumah penduduk sehingga ke paras buku lali selepas subuh hari ini.
“Bagaimanapun tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir, namun mereka masih tetap berjaga-jaga kerana bimbang hujan lebat berterusan,” katanya.
Tambah beliau, kawasan kampung itu sebelum ini kerap dilanda banjir sekiranya hujan lebat secara berterusan kerana berada di kawasan tanah rendah.
SEORANG wanita maut dipercayai diserang seekor gajah liar yang mengamuk berhampiran kawasan Dumpas, Jalan Merotai-Kalabakan, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Samsiah Arshad, 50, maut selepas dipijak gajah liar tersebut.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama suaminya Tahir Salleh, dalam perjalanan untuk melawat cucu mereka di Kongsi 4, Ladang Kelapa Sawit Cenderamata dengan menaiki sebuah motosikal.
Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, kedua-dua mereka diserang mamalia itu tetapi suaminya berjaya menyelamatkan diri.
Selain itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Primus Lambut mengesahkan pihaknya menerima maklumat berkaitan kes amukan gajah liar di kawasan Dumpas.
Menurutnya, gajah itu bukan gajah betina bunting yang sebelum ini dilaporkan sesat memasuki kawasan pekan Merotai.
“Ini gajah lain, gajah betina sebelum ini sudah dihalau ke habitatnya dan gajah yang menyerang mangsa tidak memakai kolar,” katanya ketika dihubungi lapor Astro Awani.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan ada menerima laporan awal mengenai kejadian tersebut dan kes masih dalam siasatan.
SEORANG remaja maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Simpang Lima-Parit Sulong, Batu Pahat, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 1.35 pagi daripada orang awam.
Katanya, kejadian tersebut berlaku di hadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat di jalan berkenaan melibatkan dua motosikal.
“Mangsa berusia 14 tahun dipercayai sedang menunggang motosikal dari arah Parit Sulong ke Simpang Lima.
“Tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah hadapan yang telah masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan maut di tempat kejadian.
Penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan berusia 17 tahun mengalami cedera ringan, ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyyen 41(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
SEORANG pemandu lori maut manakala tujuh anggota polis cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 225 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, pukul 3.40 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kejadian berkenaan melibatkan van pasukan polis yang dinaiki tujuh anggota Johor Baharu Utara, sebuah lori dan dua kereta.
“Kemalangan mengakibatkan seorang lelaki iaitu pemandu lori maut di lokasi dan tujuh anggota polis mengalami cedera parah.
“Semua mangsa dalam proses dibawa ke hospital berdekatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.