Category: Kemalangan / Bencana

  • Tragedi pergi pusat undi: Trak tentera terbalik, seorang parah

    Tragedi pergi pusat undi: Trak tentera terbalik, seorang parah

    SEORANG anggota tentera cedera parah dalam satu kejadian trak terbalik di Jalan Chengkau-Pilin, dekat sini, tengah hari tadi, ketika dalam perjalanan ke pusat pengundian awal di Port Dickson.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata trak Regimen ke-11 Kor Armor Diraja, Kem Syed Sirajuddin, Gemas itu membawa 24 anggota tentera berumur lingkungan 24 hingga 30 tahun.

    “Mereka dalam perjalanan ke pusat mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, untuk tujuan mengundi awal. Setibanya di tempat kejadian, trak berkenaan didakwa gagal dikawal dan terbalik. 

    “Susulan kejadian berkenaan, seorang anggota mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Rembau, empat berada di Zon Kuning (cedera sederhana) dan 19 lagi Zon hijau (cedera ringan). Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. – BERNAMA

  • Guru Besar terlibat kemalangan motosikal maut dilanggar kereta

    Guru Besar terlibat kemalangan motosikal maut dilanggar kereta

    GURU Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta Perodua Alza di Kilometer 23.5 Jalan Ipoh- Kuala Lumpur berhampiran warung Kampung Gunung Panjang, Kampar, Perak, pagi tadi.

    Mohd. Erilzuddin Affendi Mohd. Amir, 45, menunggang motosikal Jenis Honda Vario dan disahkan maut di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada pukul 7.40 pagi sebelum ke lokasi kejadian.

    Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku selepas kereta Perodua Alza yang datang dari arah Kampar ke Ipoh hilang kawalan sebelum berpusing memasuki arah bertentangan.

    “Siasatan di tempat kejadian mendapati kedudukan kedua-dua kenderaan berada di kawasan berumput di bahu jalan menghala ke Kampar

    “Berdasarkan kedudukan kedua-dua kenderaan itu, kereta Perodua Alza dipercayai datang dari arah Kampar menuju ke Ipoh, sementara motosikal berkenaan dipercayai datang dari arah bertentangan.

    “Kereta berkenaan hilang kawalan dan berpusing masuk ke laluan motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kampar, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Alza pula dibawa ke Hospital Kampar untuk menerima rawatan lanjut.

    Katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa akan dijalankan pada jam 3 petang hari ini di Jabatan Forensik Hospital Kampar, “katanya.

  • Bekas Setiausaha Tetap KPSU, anak dan menantunya maut dalam kebakaran

    Bekas Setiausaha Tetap KPSU, anak dan menantunya maut dalam kebakaran

    BEKAS Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sarawak, Affendi Keli, maut dipercayai terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Gita, di Kuching pukul 7 malam tadi.

    Selain Affendi, 69, turut terkorban anaknya Aneeqa, 35 dan menantunya, Nor Hasyidah Ajis, 22.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di tingkat atas rumah jenis kekal itu.

    “Ketiga-tiga mangsa maut dipercayai lemas selepas terperangkap di dalam asap tebal akibat kebekaran itu.

    “Kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.03 malam dan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu lapan anggota dari BBP Batu Lintang digerakkan ke lokasi.

    “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat setengah berstruktur kekal terbakar 100 peratus dan turut musnah empat kenderaan manakala sebuah lagi musnah separuh,” katanya dalam kenyataan malam ini, lapor BH online.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian.

    Affendi, juga pernah menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan Sarawak serta Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

  • Banjir: 2,491 penduduk terjejas, Kelantan dan Johor paling ramai dipindahkan

    Banjir: 2,491 penduduk terjejas, Kelantan dan Johor paling ramai dipindahkan

    JUMLAH mangsa banjir di Kelantan dan Johor merekodkan peningkatan petang ini berbanding pagi tadi menjadikan jumlah terkini mangsa seramai 2,491 berbanding 1,892 mangsa.

    Selangor dan Pulau Pinang pula menunjukkan penurunan bilangan mangsa manakala mangsa banjir di Melaka kekal 44 orang.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,520 mangsa membabitkan 494 keluarga setakat 3 petang ini berbanding 1,338 orang daripada 441 keluarga, pagi tadi.

    Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Daerah Pasir Mas.

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan jumlah mangsa banjir menunjukkan sedikit peningkatan kepada 296 orang setakat 4 petang ini berbanding 276 mangsa, pagi tadi.

    Kesemua mangsa terdiri daripada 68 keluarga itu ditempatkan di enam PPS yang masih beroperasi di tiga daerah iaitu Segamat, Kulai dan Kluang. 

    “Di Daerah Kulai, PPS Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang menempatkan 139 mangsa dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya pula mempunyai 73 mangsa manakala di Kluang, PPS Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof menempatkan 27 mangsa. 

    Di Segamat, tiga PPS menempatkan 57 mangsa iaitu masing-masing 39 mangsa di Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya (empat mangsa) manakala Dewan Komuniti Tasek (14 mangsa),” menurut kenyataan itu.

    Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa banjir di negeri ini kekal 44 orang daripada 15 keluarga petang ini, sama seperti yang direkodkan pagi tadi.

    Seramai 11 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Gadek manakala 33 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal. 

    Di SELANGOR, menerusi laman web InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus mencatatkan penurunan daripada 693 mangsa membabitkan 171 keluarga pagi tadi kepada 538 mangsa melibatkan 133 keluarga setakat 2.35 petang.

    Terdapat lapan PPS yang dibuka di negeri itu melibatkan empat buah di Kuala Selangor iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chih Batang Berjuntai dan Dewan Orang Ramai Seri Harmoni.

    Empat lagi PPS di Klang iaitu di SK Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai, Sekolah Rendah Agama Pekan Meru dan Dewan Masjid Kampung Johan Setia.

    Di Pulau Pinang, Penolong Pengarah Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang Mej (PA) Kamal Jakarinah berkata jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 93 mangsa petang ini berbanding 234 pagi tadi selepas satu daripada tiga PPS ditutup berikutan banjir di beberapa kawasan telah surut.

    PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina True Light di Perkampungan Juru yang dibuka sejak Jumaat lepas, ditutup pada 1.30 tengah hari tadi manakala dua lagi PPS di Tasek Gelugor masih dibuka iaitu SK Lahar Yooi yang menempatkan 54 mangsa daripada 12 keluarga manakala Dewan Banjir Desa Puri kekal menempatkan 39 mangsa daripada 11 keluarga. – BERNAMA

  • 4 sekeluarga maut dalam perjalanan sambut hari jadi atuk

    4 sekeluarga maut dalam perjalanan sambut hari jadi atuk

    EMPAT Sekeluarga maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Simpang Tiga, Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah, pukul 7.45 pagi tadi.

    Mereka yang terkorban ialah Ibrahim Daud, 71, isterinya, Latipah Dorahim, 66, menantu, Syazana Tharin, 30, serta cucu, Yusuf Daniel Muhammad Izwan, 5, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

    Difahamkan, kesemua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dalam perjalanan ke Langkawi bagi meraikan Ibrahim Daud yang menyambut tarikh kelahirannya hari ini.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah lagi kereta terlibat jenis Toyota Land Cruiser cuba keluar daripada simpang untuk membelok ke kanan sebelum hampir melanggar Toyota Estima yang sedang meneruskan perjalanan.

    “Pemandu MPV, Muhammad Izwan Ibrahim, 30, yang sedang meneruskan perjalanan cuba mengelak ke arah kanan dan membrek sejauh lima meter tetapi melanggar juga Land Cruiser di bahagian kiri hadapan.

    “Kejadian itu menyebabkan mangsa lelaki warga emas meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan Ismail meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri, menantu dan seorang cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.

    “Pemandu Land Cruiser turut ditahan jam 11 pagi tadi semasa memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah dan hasil ujian saringan air kencing didapati negatif dadah,” katanya lapor Astro Awani.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Ibu, bayi cedera dihempap pokok ketika berkelah

    Ibu, bayi cedera dihempap pokok ketika berkelah

    SEORANG wanita bersama bayi lelakinya cedera selepas dihempap sebatang pokok rhu ketika sedang berkelah di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di Melaka Tengah pukul 6.30 petang tadi.

    Dalam kejadian itu pokok berkenaan menghempap belakang kepala mangsa yang sedang mendukung anak lelakinya berusia setahun lima bulan sehingga menyebabkan kedua-dua mereka tersungkur dan tersembam ke pasir.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, ketika kejadian, suami bersama dua lagi anak wanita itu sedang bermandi di pantai.

    Ketika kejadian itu katanya, mangsa sedang mendukung anak lelakinya berusia setahun lima bulan di bawah pohon rhu itu manakala suami dan dua lagi anaknya sedang bermandi-manda.

    “Secara tiba-tiba dahan pokok itu menghempap belakang kepala ibu kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kedua-dua mereka tersungkur dan tersembam ke dalam pasir,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Ujarnya, orang ramai kemudian membantu mengalihkan dahan pokok berkenaan dan mengorek pasir bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa terlibat.

    Tambahnya sebagai langkah awal, pihaknya telah berhubung dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Zainal Abu untuk memotong sebahagian pokok rhu yang berisiko tumbang kerana sudah berusia lebih 23 tahun.

    “Semua pokok rhu di sini sebenarnya sedang dalam tindakan untuk dicantas dan ditebang oleh pihak berkuasa, namun kejadian ini berlaku di luar kawalan.

    “Kawasan ini juga akan ditutup daripada sebarang aktiviti perkhemahan dan perkelahan buat sementara waktu bagi mengelak kejadian berulang,” tambahnya.

  • 1,817 penduduk terjejas banjir ditempatkan di 22 PPS

    1,817 penduduk terjejas banjir ditempatkan di 22 PPS

    SEBANYAK 1,817 mangsa banjir daripada 488 ketua isi rumah (KIR) kini ditempatkan di 22 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri terjejas banjir setakat 4 petang ini, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

    NADMA memaklumkan Kedah, Pulau Pinang dan Melaka adalah negeri terbaharu dilaporkan terkesan bencana banjir selepas Selangor, Kelantan dan Johor dengan sembilan daerah di kesemua negeri itu masih terjejas.

    Di SELANGOR, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menghantar pam ke kawasan Meru, Klang bagi membantu mempercepatkan aliran air keluar ke sungai daripada kawasan banjir.

    “Memandangkan air di kawasan kediaman masih tinggi, usaha ini diharapkan dapat membantu proses pengeringan.

    “Usaha yang dilakukan kerajaan negeri dengan sokongan JPS ini akan diteruskan di kawasan-kawasan lain yang mengalami masalah sama,” menurut kenyataan itu.

    NADMA memaklumkan, dua jajahan di KELANTAN iaitu Pasir Mas dan Tanah Merah terkesan banjir setakat 6 petang tadi.

    Di JOHOR pula, aras air di Stesen Sg. Siam di Kampung. Sungai Siam di Lembangan Sungai Johor diramalkan melepasi aras bahaya sebanyak 0.02 meter pada 6 petang hari ini.

    “Penduduk di kawasan rendah diarahkan untuk siap siaga dan patuh arahan jika diarahkan berpindah.

    “Terdapat tiga PPS telah diaktifkan di daerah Segamat setakat 6 petang tadi,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, NADMA memaklumkan penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa selain boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan Twitter @JPS InfoBanjir.

    Orang ramai juga boleh muat turun aplikasi myCuaca di Google Play dan App Store bagi mendapatkan maklumat cuaca yang terkini serta sahih daripada MetMalaysia, selain diingatkan supaya peka dan patuh kepada arahan dikeluarkan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya diarahkan.

    JPS hari ini telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi enam negeri melibatkan Johor, Terengganu, Kedah, Sabah, Sarawak dan Selangor.

    Terdapat risiko berlakunya banjir kilat di beberapa lokasi di negeri berkenaan sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku dalam tempoh 12 jam daripada waktu notis dikeluarkan, menurut JPS. – BERNAMA

  • Murid Tahun Tiga maut dilanggar pikap ketika lintas jalan

    Murid Tahun Tiga maut dilanggar pikap ketika lintas jalan

    SELEPAS 48 bertarung nyawa dalam rawatan kecemasan, seorang murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Sungai Penipah di Mukah, yang dilanggar pikap ketika melintas Jalan Mukah Balingian di hadapan simpang sekolah itu, meninggal dunia hari ini.

    Dalam kejadian pukul 1 tengah hari kelmarin, Mohammad Firdaus Jimbat Abdullah, 9, yang juga murid Tahun Tiga, dari Kampung Kuala Lama, Mukah, cedera parah di bahagian kepala dan leher.

    Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Sibu pada pukul 10.33 pagi tadi.

    “Kemalangan berlaku apabila pikap dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun bergerak lurus dari arah Balingian menuju ke arah Mukah.

    “Ketika melalui jalan hadapan simpang sekolah itu telah melanggar seorang murid yang melintas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhamad Rizal berkata, akibat kejadian itu murid terbabit mengalami kecederaan parah dan telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

    “Pikap yang terbabit sudah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk pemeriksaan Puspakom.

    “Rakaman percakapan pemandu terbabit serta sepupu mangsa yang juga saksi kejadian turut diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lapor BH.

  • Tiga beradik maut pulang dari pusat tahfiz

    Tiga beradik maut pulang dari pusat tahfiz

    TIGA adik beradik maut selepas Perodua Kancil dinaiki terbabas di Kilometer 165.9 Lebuh Raya Pantai Timur Satu (LPT1) di Maran, hari ini.

    Kemalangan pada pukul 7 pagi itu mengorbankan Ahmad Basyir Yusry, 27, Siti Fatimah Yusry, 20, dan Saiedah, 15, manakala seorang lagi adik mereka, Adawiyah, 11, parah.

    Ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke Johor selepas mengambil Saiedah yang belajar tahfiz di Pahang.

    Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd. Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Siti Fatimah dari arah Kuantan hilang kawalan, sebelum terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan.

    “Akibat pelanggaran, tiga mangsa iaitu pemandu (Siti Fatimah) dan dua penumpang (Ahmad Basyir dan Saiedah) meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa (Adawiyah) parah.

    “Dia mengalami kecederaan di kepala dan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

    “Mayat semua mangsa yang dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba,” katanya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Norzamri berkata, mangsa maut beralamat di Kampung Melayu, Kulai, Johor dihantar ke Hospital Jengka untuk dibedah siasat.

    Katanya, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 3 beradik maut, seorang lagi parah kereta terbabas di LPT

    3 beradik maut, seorang lagi parah kereta terbabas di LPT

    TIGA beradik maut manakala seorang lagi parah apabila kereta jenis Perodua Kancil dinaiki terbabas ke sisi jalan di kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuala Lumpur, pagi ini.

    Mangsa yang terkorban disahkan sebagai Ahmad Basyir Yusry, 26; Siti Fatimah Yusry, 20 dan Saiedah Yusry, 15 manakala mangsa yang parah adalah Adawiah Yusry, 11 tahun.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Maran, Penolong Penguasa Shamsul Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.10 pagi dan seramai lapan anggota termasuk beliau bergegas ke lokasi.

    Katanya, sejurus tiba di lokasi, beliau mengesahkan kejadian terbabit melibatkan empat orang individu yang mana tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan pegawai perubatan.

    “Seorang lagi mangsa pula mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital untuk diberi rawatan. Kesemua mangsa merupakan adik beradik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Shamsul Affendy berkata, Operasi mengeluarkan mangsa dijalankan oleh pasukan seramai lapan orang anggota menggunakan peralatan Rescue Tool.

    Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya.