Category: Kemalangan / Bencana

  • Desaru Fruit Farm rugi lebih setengah juta ringgit akibat banjir

    Desaru Fruit Farm rugi lebih setengah juta ringgit akibat banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DESTINASI agro pelancongan, Desaru Fruit Farm di Kota Tinggi kerugian hampir setengah juta ringgit akibat banjir selepas 90 peratus kebun buah seluas 35 hektar ditenggelami banjir.

    Pengarah Desaru Fruit Farm, Alice Tong Ah Chin berkata, banjir sejak Selasa sehingga kini menjejaskan lebih 100 jenis tanaman buah-buahan apabila air naik setinggi kira-kira 2.3 meter.

    Dia mendakwa, paras air itu naik sehingga mencecah pucuk pokok jambu air yang sedang menunggu masa untuk dipetik dan dijual.

    “Di sini terdapat lebih 800 pokok jambu air. Selain itu kebun di sini juga dalam musim limau bali. Apa yang lebih menyedihkan ramai pelancong yang sudah membuat tempahan sempena cuti Tahun Baharu Cina ke sini terpaksa dibatalkan.

    “Ini berikutan laluan utama masuk ke Desaru Fruit Farm dinaiki air deras sehingga kenderaan termasuklah bas yang membawa pelancong terpaksa berpatah balik,” kepada selepas membawa media melawat kebun itu hari ini.

    Menurut Ah Chin, pihaknya tidak dapat menjalankan perniagaan ekoran laluan yang terhalang walaupun telah menerima tempahan yang banyak dan terpaksa memulangkan semula wang mereka.

    Pihaknya menganggarkan kerugian antara RM500,000 hingga RM600,000 selain hasil dan pokok yang terjejas serta kemudahan yang ada di kebun tersebut juga mengalami kerosakan.

    “Tambahan pula kebun ini tidak sama seperti kebun lain kerana merupakan tarikan pelancong, jadi kena dibersihkan dengan betul,” katanya.

    Dia mememberitahu, untuk rekod kehadiran pelancong yang diterima dari pelbagai negara termasuk China, Turkiye, India, Japan, Korea dan lain-lain negara berjumlah 500,000 pengunjung setahun.

    Ah Chin menyifatkan banjir kali ini sebagai paling buruk sejak pusat agro pelancongan itu dibuka pada 2003 dan percaya musibah itu berpunca daripada limpahan air dari Sungai Cemaran.

    “Biasanya dalam setahun kami terpaksa berdepan keadaan ini sehingga lima kali. Tahun ini adalah kali kedua namun kali ini adalah paling teruk kerana air banjir lambat surut,” katanya.

    Pihaknya turut mengeluarkan modal sendiri sebelum ini untuk melebarkan sungai tersebut yang bersebelah kebun berkenaan namun masih tidak dapat mengatasi masalah berkenaan.

    “Di kawasan kita telah lebarkan sungai cuma kita harap bahagian belakang sungai, pihak berkenaan dapat melebarkan sedikit supaya air dapat lepas dengan cepat. Jika terpaksa berdepan keadaan ini setiap tahun kami yang akan susah,” katanya.

  • Wanita maut motosikal dirempuh kereta pelancong di Langkawi

    Wanita maut motosikal dirempuh kereta pelancong di Langkawi

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG wanita maut, manakala anak lelakinya cedera parah setelah motosikal dinaiki mereka dipercayai dilanggar sebuah kereta dipandu pelancong di Jalan Bukit Malut, Langkawi pada pukul 7.45 pagi hari ini.

    Mangsa, Fodilah Abdul Kadir, 57, disahkan maut di tempat kejadian sementara anaknya, Mohamad Zaki Ahmad Nizat, 25, cedera parah di kaki kanan.

    Kemalangan berlaku ketika dua beranak itu yang menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang Mohamad Zaki dalam perjalanan ke kedai makan yang diusahakan berhampiran lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua mangsa sedang bergerak dari arah Kuah menuju ke Bukit Malut sebelum kereta jenis Perodua Bezza dipercayai hilang kawalan.

    “Kereta terbabit dari arah Temonyong ke Kuah yang dipandu seorang lelaki warga India berusia 38 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal dinaiki dua beranak berkenaan.

    “Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal tersebut tercampak ke kawasan semak di bahu jalan sebelah kiri,” katanya.

    Menurut Shariman, ujian nafas bagi mengesan alkohol yang dilakukan terhadap pemandu kereta terbabit didapati negatif, namun dia yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat di Singapura kini direman selama dua hari untuk membantu siasatan.

    Sementara itu, mayat wanita berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk proses bedah siasat dan anaknya turut dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan susulan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Jalan Kota Tinggi-Mersing ditutup untuk kenderaan ringan

    Jalan Kota Tinggi-Mersing ditutup untuk kenderaan ringan

    JALAN Kota Tinggi-Mersing di Kilometer 60 di Kota Tinggi ditutup untuk kenderaan ringan, bermula 12 tengah hari tadi, kerana dinaiki air.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata justeru orang ramai dinasihatkan untuk melalui jalan alternatif menerusi Tenggaroh.

    “Setakat ini, hanya satu sahaja jalan utama iaitu Jalan Kota Tinggi-Mersing yang ditutup untuk kenderaan ringan dan hanya kenderaan berat serta pacuan empat roda dibenarkan.

    “Jalan itu dinaiki air dengan jarak kira-kira 40 meter, jadi orang ramai diminta menggunakan jalan menerusi Tenggaroh sebagai alternatif,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, di sini, hari ini.

    Selain itu, jalan lain yang ditutup untuk kenderaan ringan adalah Mawai Lama (Rumah Burung), Jalan Tanjung Sedili (Kampung Gembut), Jalan Johor Bahru-Endau (Ladang RISDA) dan Jalan Lok Heng-Sungai Mas (Sungai Semalok).

    Hussin berkata pihaknya juga giat mengadakan rondaan termasuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk sekitar seperti pekerja ladang sawit di Ladang Ibzi Punggai, di sini, yang terputus bekalan makanan berikutan jalan dinaiki air.

    Beliau berkata mesyuarat penyelarasan dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia, sentiasa dijalankan bagi memastikan tugas dan peranan dapat diselaraskan tanpa pertindihan tugas. – BERNAMA

  • Lebih 30 jam terapung di laut, nelayan ditemui selamat

    Lebih 30 jam terapung di laut, nelayan ditemui selamat

    SEORANG nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Karambunai, di Kota Kinabalu, terpaksa berpaut pada tong bekas minyak selama lebih 30 jam di lautan sebelum berjaya diselamatkan, hari ini.

    Lelaki itu, Morris Dulin, 69, yang hilang sejak 6 pagi semalam ditemui kira-kira pukul 1.45 tengah hari tadi dalam keadaan terapung dan berpaut pada tong plastik di kawasan perairan Sepanggar.

    Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan penemuan mangsa oleh Kapal KD Sunda, milik tentera laut.

    “Mangsa ditemui selamat dalam keadaan masih berpaut pada tong bekas minyak di tengah laut di perairan Sepanggar oleh tentera laut.

    “Mangsa kemudian dibawa balik ke pangkalan tentera laut untuk tindakan pengesahan dan rawatan,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Dalam kejadian 6 pagi semalam, dua rakannya berusia 41 dan 42 tahun ditemui selamat manakala mangsa hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Karambunai.

    Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Mengkabong, Tuaran dilaporkan ke laut untuk memukat ikan dengan menggunakan sebuah bot.

    Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke jeti, cuaca bertukar buruk sehingga mengakibatkan bot dinaiki ketiga-tiga mangsa karam.

    Dua rakan mangsa yang dikatakan memakai jaket keselamatan berjaya berenang ke pantai untuk mendapatkan bantuan dan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

    Operasi mencari dan menyelamat dijalankan polis, polis marin, Pasukan Gerakan Udara (PGU), bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot nelayan awam.

  • ‘Banjir terburuk sejak 2006’ – Penduduk

    ‘Banjir terburuk sejak 2006’ – Penduduk

    BEBERAPA penduduk di Lahad Datu antaranya Kampung Sepagaya di Lahad Datu menyifatkan banjir yang melanda kawasan itu sejak malam tadi adalah yang terburuk sejak 2006.

    Bekas Ketua Kampung Sepagaya, Nasir Tunggara, 48, berkata, walaupun penduduk telah membuat persiapan awal antaranya dengan mengalihkan barangan ke tempat tinggi, mereka tidak menyangka banjir yang melanda lebih teruk daripada yang dijangka.

    “Rumah saya bertiang tinggi pun hampir dimasuki air, kira-kira 8 inci lagi air banjir boleh masuk ke rumah. Ini kali ketiga kampung kami dilanda banjir.

    “Semalam, kami penduduk kampung terpaksa berjaga-jaga ekoran cuaca hujan kerana khuatir paras air meningkat di luar jangkaan, hari ini syukur cuaca baik dan banjir pun mulai surut,” katanya ketika ditemui Bernama di Lahad Datu hari ini.

    Hujan lebat berterusan sejak 4 petang semalam itu mengakibatkan Kampung Manau Batu 7 Jalan Silam, Kampung Sepagaya Tengah, Kampung Sepagaya Hilir dan Kampung Busul di Lahad Datu dilanda banjir.

    Setakat pagi tadi, seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan di Lahad Datu yang diaktifkan kira-kira 11 malam tadi.

    Sementara itu, Nasir berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan rintihan penduduk kampung yang mahukan kerja-kerja mendalam serta melebarkan Sungai Sepagaya dilaksanakan bagi menangani masalah banjir pada masa hadapan.

    “Penduduk kampung sering kali menyuarakan perkara ini kepada wakil kerajaan tetapi dipandang sepi akibat berlaku pertukaran pucuk pimpinan. Oleh itu, saya dan penduduk kampung berharap agar projek ini mendapat perhatian kerajaan semula, selain naik taraf jalan kampung,” katanya.

    Dalam pada itu, seorang mangsa banjir Dony Diansoy, 46, dari Kampung Manau Batu 7 berkata, kebiasaannya air naik hanya pada paras lutut tetapi semalam banjir melebihi paras pinggang.

    “Sebelum ini tidak berapa risau, semalam khuatir sebab hujan tidak berhenti dengan gelap (waktu malam) air naik, yang dibimbangkan keselamatan keluarga dan kehadiran buaya.

    “Saya ada anak kecil berumur dua dan tiga tahun, keselamatan mereka yang saya bimbangkan, syukur pasukan bomba datang menyelamatkan kami selepas itu bantuan polis bawa kami ke PPS,” katanya yang ditemui di PPS Dewan SMK Terusan.

    Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lahad Datu Lt Asby Mohd Anwar berkata, operasi APM memindahkan mangsa terjejas banjir ke PPS dilaksanakan dengan bantuan termasuk bomba dan polis.

    “Hari ini trend air menunjukkan penurunan ketara ditambah dengan keadaan cuaca baik setakat pukul 5.30 pagi tadi. Kita akan mengesyorkan kepada Pegawai Daerah untuk menutup operasi PPS sekiranya keadaan baik berterusan,” katanya.

  • Banjir: Penduduk dipindahkan ke PPS meningkat, lapan kematian dilaporkan

    Banjir: Penduduk dipindahkan ke PPS meningkat, lapan kematian dilaporkan

    BENCANA banjir di Sabah, Johor, Pahang, Sarawak dan Terengganu bertambah buruk susulan peningkatan jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kepada 12,231 orang setakat tengah hari ini.

    Mengikut Laporan Bencana Nasional, Pusat Kawalan Operasi Pusat, Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lapan kematian turut dicatatkan setakat ini.

    “Di Johor angka mangsa banjir di tujuh daerah iaitu Pontian, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat dan Muar, turut mencatatkan pertambahan dengan 58 PPS dibuka setakat pukul 12 tengah hari ini.

    “Di Pahang pula berlaku pertambahan PPS apabila satu lagi PPS dibuka membabitkan 286 mangsa dipindahkan setakat pukul 12 tengah hari ini,” katanya, lapor Harian Metro.

    Katanya, trend meningkat juga turut berlaku di Sabah membabitkan empat daerah dengan 25 PPS dibuka.

    “Jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat mendadak kepada 6,331 orang yang ditempatkan di 25 PPS di empat daerah setakat ini, berbanding 1,421 orang pada 8 malam tadi.

    “Selain itu di Terengganu satu PPS dibuka membabitkan 50 mangsa di satu daerah di negeri berkenaan,” katanya.

    Katanya, dua PPS turut dibuka di negeri Sarawak membabitkan 56 mangsa dari 17 keluarga dan menunjukkan trend meningkat.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pagi ini memaklumkan keadaan hujan dijangka terus berlaku di beberapa tempat di Kudat, Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan pedalaman Sabah, selain di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

  • Mangsa banjir jangan risau keselamatan rumah-KP Johor

    Mangsa banjir jangan risau keselamatan rumah-KP Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Johor hari ini memberi jaminan kepada lebih 5,000 mangsa banjir di negeri itu supaya tidak bimbang dengan keselamatan harta benda mereka di rumah selepas diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang memberi jaminan itu berkata, lebih 5,000 anggota polis sudah diarahkan di semua daerah untuk meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan kediaman terjejas bermula hari ini.

    “Polis jamin keselamatan rumah-rumah ditinggalkan penduduk yang terpaksa berpindah ke PPS akibat banjir.

    “Kita sudah mengarahkan semua polis khusus di daerah terjejas banjir untuk meningkatkan tahap keselamatan. Sebagai contoh di Kluang, anggota ditempatkan 24 jam di laluan-laluan utama demi menjaga keselamatan sekitar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

    Katanya, selain usaha menyelamat, pihak polis juga bertanggungjawab memastikan keselamatan rumah atau premis yang ditinggalkan tidak diceroboh mana-mana pihak.

    Kamarul Zaman memberitahu, pihaknya akan meningkatkan jumlah keanggotaan dari masa ke semasa selain memastikan kerjasama erat antara agensi keselamatan yang terlibat dalam operasi ketika banjir ini.

    Setakat pukul 12 tengah hari tad, mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 5,528 orang yang ditempatkan di 58 PPS.

    Mereka yang terjejas terdiri daripada sejumlah 1,536 buah keluarga dan daerah yang terjejas akibat banjir ketika ini adalah Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Muar dan Batu Pahat.

  • Nenek nekad bawa peti sejuk, mesin basuh ke PPS

    Nenek nekad bawa peti sejuk, mesin basuh ke PPS

    SEORANG warga emas nekad membawa perkakas rumah termasuk peti sejuk dan mesin basuh ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Komuniti Kampung Tasek, Gemereh di Segamat setelah rumahnya dilanda banjir.

    Khatijah Othman, 75, ingin menyelamatkan peralatan berkenaan setelah kediamannya di Kampung Seberang Batu Badak sering dilanda banjir iaitu pada Januari, November dan Disember tahun lepas, manakala kejadian kali ini yang pertama berlaku bagi tahun ini.

    Selain peralatan itu, beberapa bungkusan plastik hitam turut dibawa Khatijah yang dimuatkan di belakang lori dipandu anaknya, dan setelah sampai di PPS berkenaan Khatijah berkeras mahu semua barangnya diletakkan di pusat pemindahan itu.

    Bagaimanapun, atas faktor ruang dewan yang terhad dan lebih ramai mangsa dijangka datang berlindung di situ, permintaannya ditolak baik petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertanggungjawab mengawal PPS berkenaan. 

    Bercakap kepada Bernama, cucunya Siti Balqis Abdullah, 16, yang turut ditempatkan di PPS sama berkata apabila air mulai naik setelah beberapa hari hujan dan diberitahu akan ke PPS, nenek berkeras mahu semua barang di rumahnya dibawa sekali.

    “Tahun lepas nenek tidak bawa apa-apa ketika keluar dari rumahnya apabila datang ke PPS. Disebabkan itu, habis barang-barangnya rosak,” katanya. 

    Melihat barang-barangnya tiada di situ, Khatijah kerap bertanya kepada Siti Balqis keberadaan harta bendanya itu dan kadangkala berdiri di pintu dewan sambil merenung jauh ke luar, seolah-olah mencari sesuatu yang ‘hilang’.

    “Barang nenek tak hilang, pak cik (bapa saudara) simpan dekat rumah bos pak cik, tak boleh simpan dekat sini, nanti kita ambil semula,” katanya setiap kali diajukan soalan sama daripada neneknya itu.

    Sementara itu, Ketua Kampung Gemereh 3 Wan Hussein Wan Abas berkata Khatijah adalah antara 38 mangsa daripada 11 keluarga yang dipindahkan ke PPS itu yang mula dibuka Selasa lepas.

    “Penduduk Kampung Seberang Batu Badak sebenarnya sudah biasa dengan banjir. Setelah tiga kali menghadapi banjir tahun lepas, kali ini apabila air mulai naik, mereka datang sendiri ke PPS ini sekali gus memudahkan urusan kami untuk membantu menguruskan mereka dan salurkan bantuan sebaik mungkin,” katanya.

    Segamat menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di Johor kali ini. Berdasarkan data oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah setakat tengah malam tadi, sebanyak 21 PPS telah dibuka dan dihuni oleh 1,801 mangsa daripada 504 keluarga.

  • 5,528 mangsa banjir Johor di 58 PPS

    5,528 mangsa banjir Johor di 58 PPS

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    BILANGAN mangsa banjir di Johor semakin bertambah dengan jumlah terkini seramai 5,528 orang yang ditempatkan di 58 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 12 tengah hari ini.

    Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani, jumlah berkenaan meningkat sedikit dengan 5,455 mangsa yang ditempatkan di 55 PPS di seluruh Johor pada pukul 8 pagi tadi.

    “Mereka yang terjejas terdiri daripada sejumlah 1,536 buah keluarga. Ketika ini masih tujuh daerah terjejas akibat banjir iaitu Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Muar dan Batu Pahat.

    “Segamat menjadi daerah terjejas teruk akibat banjir dengan seramai 1,811 penduduk daripada 508 keluarga terjejas akibat banjir yang ditempatkan di 21 buah PPS dibuka di daerah berkenaan.

    “Ini diikuti daerah Kluang iaitu seramai 1,266 mangsa daripada 356 keluarga; Mersing (1,173 mangsa 359 keluarga); Kota Tinggi (744 mangsa 183 keluarga); Batu Pahat (299 mangsa 79 keluarga); Muar (217 mangsa 47 keluarga) dan Pontian (18 mangsa empat keluarga),” katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, antara PPS yang dibuka di seluruh negeri ini termasuklah PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas; Dewan Pusat Banjir Jakoa; Dewan Serbaguna Pekan Air Panas; Dewan Komuniti Tasek dan Kompleks Taman Negara Endau Rompin.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan dua daerah di negeri ini di bawah amaran hujan berterusan tahap bahaya iaitu Mersing dan Kota Tinggi, manakala daerah Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dalam tahap buruk.

    “Tiga sungai di negeri ini masih diletakkan dikategori bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Sungai Kahang di Kampung Contoh dan Sungai Endau.

    “Dalam pada itu, empat jalan telah ditutup sementara akibat dinaiki air iaitu Jalan Jemaluang-Batu Pahat; Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu; Jalan Tanah Abang dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai akibat tanah runtuh,” jelasnya.

  • Jumlah mangsa banjir di Sabah mencecah 6,000 orang

    Jumlah mangsa banjir di Sabah mencecah 6,000 orang

    JUMLAH mangsa banjir yang melanda beberapa daerah di negeri Sabah meningkat kepada 6,313 orang setakat pukul 8 pagi ini.

    Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah berkenaan membabitkan 2,817 keluarga daripada lima daerah iaitu di Paitan, Pitas, Kota Marudu, Kudat dan Lahad Datu.

    “Semua mangsa yang terjejas dipindahkan ke 26 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dibuka di daerah berkenaan.

    “Sebanyak 11 PPS diaktifkan di Kota Marudu, tujuh PPS di Paitan, empat PPS di Pitas, tiga PPS di Kudat dan satu PPS di Lahad Datu,” katanya hari ini, lapor FMT.

    Dalam pada itu, tiga PPS dengan jumlah mangsa tertinggi ialah SK Ranau (Kota Marudu) dengan 1,280 mangsa.

    “Ini diikuti dengan SM Advent Goshen (Kota Marudu) dengan 711 mangsa dan Dewan SK Sikuati (Kudat) dengan 628 mangsa.

    “Trend semasa situasi banjir di negeri ini masih menunjukkan peningkatan dengan penambahan jumlah mangsa di PPS,” katanya.