Category: Kemalangan / Bencana

  • Sebuah lagi PPS dinaiki air di Batu Pahat, lebih 300 mangsa dipindahkan

    Sebuah lagi PPS dinaiki air di Batu Pahat, lebih 300 mangsa dipindahkan

    LEBIH 300 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Sri Medan, Yong Peng, di Batu Pahat, dipindahkan, susulan dinaiki air sejak dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kesemua mereka akan dipindahkan ke SJKC Hwa Ming, Taman Maju, di sini, malam ini, dengan menggunakan aset daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia.

    “PPS ini boleh menampung sehingga 300 orang dan apabila berlaku kenaikan paras air kira-kira 0.3 meter, kita buat keputusan untuk pindahkan mangsa malam ini,” katanya kepada Bernama.

    PPS tersebut menempatkan 315 orang daripada 110 keluarga sejak dibuka pada 2 Mac lepas.

    Penduduk yang ditempatkan di PPS itu, Siti Sarah Sulaiman, 35, berkata air mula melimpah ke dalam PPS sejak dua hari lepas.

    Ibu kepada tiga orang anak itu berkata dia mula ditempatkan di PPS itu Khamis lepas apabila rumahnya di Parit Simen Sri Basir dinaiki air hingga paras pinggang.

    “Pada waktu itu, tiada air banjir dalam PPS tetapi dalam tempoh dua hari (bermula Sabtu) air mula melimpah masuk dalam PPS.

    “Saya risau kerana ada anak kecil berusia dua tahun yang nak ‘main’ air,” katanya yang turut menarik nafas lega apabila diarahkan berpindah ke PPS lain.

    Tinjauan Bernama di Sri Medan Jaya, di sini, mendapati kawasan pekan lumpuh dengan laluan yang ada sudah mula dinaiki air dan hanya dibuka kepada kenderaan berat dan kereta pacuan empat roda, serta beberapa rumah di Jalan Besar Sri Medan di sini masih ditenggelami air. – BERNAMA

  • Mangsa banjir lepasi 50,000 orang di lima negeri

    Mangsa banjir lepasi 50,000 orang di lima negeri

    JUMLAH mangsa banjir berada pada angka 50,791 orang setakat jam 2 petang ini melibatkan lima negeri dengan jumlah terus meningkat dan paling ramai adalah di Johor.

    Johor merekodkan 46,742 orang diikuti Pahang (3,042), Melaka (516), Negeri Sembilan (478) dan Selangor (13).

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), memaklumkan, empat lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan keseluruhan 264 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah.

    Menurut JPBN, Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 15,915 mangsa daripada 4,616, keluarga diikuti Segamat (13,319 orang/3,895 keluarga); Kluang (5,270 orang/,525 keluarga); Muar (4,103 orang/1,214 keluarga) dan Kota Tinggi 3,249 orang daripada 865 keluarga.

    Tangkak menempatkan 3,007 mangsa melibatkan 870 keluarga di PPS; Mersing (975/292 keluarga); Johor Bahru (511/174 keluarga); Pontian (330 orang/86 keluarga) serta Kulai dengan 63 orang daripada 15 keluarga.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 3,042 orang di 22 PPS tengah hari tadi, berbanding 2,978 orang di 23 PPS, pagi tadi.

    Sekretariat JPBN melaporkan walaupun banjir di Bera pulih sepenuhnya selepas 29 mangsa terakhir dibenarkan pulang ke kediaman mereka pagi tadi, namun pertambahan mangsa direkodkan di Rompin yang merupakan daerah paling teruk terkesan bencana itu.

    Setakat ini, 2,717 orang masih berada di 20 PPS sekitar Rompin manakala 296 orang pula ditempatkan di sebuah PPS di Temerloh dan 29 orang lagi di sebuah PPS di Maran.

    Di MELAKA, jumlah mangsa meningkat kepada 516 orang daripada 138 keluarga berbanding 493 orang daripada 134 keluarga pada jam 8 pagi tadi.

    Sekretariat JPBN, dalam satu kenyataan, menyebut satu lagi PPS baharu dibuka di Jasin iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai pada jam 11 pagi tadi, menjadikan keseluruhan lima PPS di daerah itu yang menempatkan 507 orang daripada 135 keluarga, manakala satu PPS di Alor Gajah menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga.

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam, berkata jumlah mangsa banjir di negeri ini terus merekodkan penurunan kepada 478 individu membabitkan 123 keluarga di dua PPS di Tampin setakat tengah hari tadi.

    Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir di negeri itu juga mencatatkan penurunan kepada 13 orang daripada dua keluarga yang ditempatkan di SK Merbau Sempak, Sungai Buloh berbanding 71 orang daripada 17 keluarga, pagi tadi. – BERNAMA

  • Banjir di Johor membimbangkan, jumlah mangsa meningkat 44,860 orang

    Banjir di Johor membimbangkan, jumlah mangsa meningkat 44,860 orang

    KEADAAN banjir di beberapa negeri semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara meningkat kepada 48,989 orang setakat pagi ini.

    Johor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 44,860 orang diikuti Pahang (2,978), Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor (71).

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan seramai 13,029 keluarga telah ditempatkan di 260 PPS di 10 daerah yang terjejas dengan bencana tersebut.

    Menurut kenyataan JPBN itu, Batu Pahat merupakan antara daerah paling ramai penduduk teruk terjejas banjir dengan sejumlah 14,030 orang daripada 4,084 keluarga, diikuti Segamat dengan 13,334 orang (3,897 keluarga) dan Kluang, 5,296 mangsa (1,533 keluarga).

    Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini seramai 2,978 orang berbanding 2,860 orang malam tadi, yang ditempatkan di 23 PPS.

    Daerah Rompin kekal merekodkan mangsa paling ramai iaitu 2,615 orang di 20 PPS diikuti Temerloh (305 orang, sebuah PPS) dan masing-masing 29 mangsa di sebuah PPS di Bera serta Maran.

    Di MELAKA, jumlah mangsa meningkat lagi kepada 493 orang daripada 134 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 448 mangsa daripada 118 keluarga pada 8 malam tadi.

    Sekretariat JPBN dalam satu kenyataan berkata kesemua mangsa terjejas ditempatkan di empat PPS di daerah Jasin iaitu 477 orang daripada 127 keluarga, manakala di Alor Gajah 16 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di sebuah PPS.

    Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir merekodkan peningkatan kepada 71 orang daripada 17 keluarga setakat pagi ini berbanding 58 orang daripada 14 keluarga semalam berikutan hujan lebat yang berlaku pada awal pagi tadi.

    Menurut JPBN, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor melaporkan dua PPS iaitu SK Merbau Sempak dan Dewan MPKS Desa Coalfields, Sungai Buloh masih dibuka sehingga kini bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir berkenaan.

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu terus merekodkan penurunan kepada 587 orang membabitkan 148 keluarga di empat PPS di Tampin, setakat pukul 8 pagi ini.- BERNAMA

  • 40,854 mangsa banjir di enam negeri ditempatkan di PPS

    40,854 mangsa banjir di enam negeri ditempatkan di PPS

    MANGSA banjir di beberapa negeri terus meningkat setakat petang ini dengan lebih 40,854 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

    Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan dan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan jumlah mangsa banjir terus meningkat dengan 2,388 orang ditempatkan di 21 PPS berbanding 2,317 orang pagi tadi.

    Rompin terus merekodkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 1,912 orang manakala Temerloh (302 orang), Pekan (106 orang), Jerantut (10 orang) selain Maran dan Bera masing-masing 29 orang.

    Di MELAKA, jumlah mangsa meningkat kepada 380 orang namun keluarga terlibat kekal 97 keluarga pada 2 petang ini berbanding 379 orang pagi tadi.

    Menurut Sekretariat JPBN Melaka, kesemua mangsa terjejas ditempatkan di enam PPS di negeri itu dengan lima daripadanya di Daerah Jasin dan satu di Alor Gajah.

    “Sebanyak 365 mangsa daripada 90 keluarga ditempatkan di lima PPS di Jasin manakala 15 mangsa daripada tujuh keluarga berlindung di satu PPS di Alor Gajah,” katanya.

    Sementara itu, di JOHOR, mangsa banjir dilihat menurun sedikit kepada 37,258 orang berbanding 37,322 orang pada pagi tadi.

    Bagaimanapun, JPBN Johor memaklumkan terdapat pertambahan dua PPS menjadikan 240 PPS beroperasi di sembilan daerah setakat ini.

    Menurut JPBN, Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 12,900 orang daripada 3,783 keluarga diikuti Batu Pahat 7,830 orang daripada 2,294 keluarga; Kluang dengan 5,285 mangsa (1,533 keluarga); Kota Tinggi seramai 3,283 orang (879 keluarga); Muar dengan 3,278 orang (952 keluarga); dan Tangkak 2,661 orang (754 keluarga).

    “Turut terjejas di Johor Bahru dengan 699 orang daripada 226 keluarga; Mersing 964 orang (280 keluarga) dan Pontian 358 orang (91 keluarga),” katanya.

    Di NEGERI SEMBILAN, Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 711 mangsa daripada 191 keluarga setakat 12 tengah hari berbanding 783 mangsa pagi tadi.

    Ia membabitkan empat PPS di Tampin dengan PPS Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelamah merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 514 mangsa manakala kesemua PPS di Jempol telah ditutup sepenuhnya.

    Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir mencatatkan sedikit penurunan kepada 103 mangsa daripada 25 keluarga setakat ini berbanding 107 mangsa daripada 24 keluarga pagi tadi.

    JPBN, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor melaporkan sebanyak dua PPS masih dibuka iaitu SK Merbau Sempak, Sungai Buloh dan Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Desa Coalfields, Kuala Selangor.

    Sementara itu, di SARAWAK jumlah mangsa banjir masih kekal 14 orang daripada lima keluarga dan ditempatkan di PPS Komplek Sukan Julau.

  • 18 fasiliti KKM di Johor terjejas akibat banjir

    18 fasiliti KKM di Johor terjejas akibat banjir

    SEBANYAK 18 fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) terjejas akibat banjir yang melanda Johor sejak 1 Mac lepas, kata Menterinya, Dr Zaliha Mustafa.

    Beliau berkata, ia melibatkan 13 klinik desa, empat klinik kesihatan dan satu klinik pergigian masing- masing di Segamat dan Tangkak.

    “Chaah (di Segamat) paling terkesan terutama klinik kesihatan. Beberapa peranti turut rosak di sana (akibat banjir),” katanya pada sidang media selepas merasmikan simposium mengenai penyakit jantung semasa kehamilan di Hospital Serdang di Serdang, hari ini.

    Dr Zaliha berkata buat masa ini, pasukan petugas KKM termasuk dari Muar, Tangkak dan Putrajaya yang ditugaskan bagi memberi khidmat kesihatan kepada mangsa banjir adalah mencukupi.

    Keadaan banjir di Johor menyaksikan jumlah mangsa yang terjejas meningkat kepada 37,322 orang setakat pukul 8 pagi ini berbanding 34,849 mangsa pada 8 malam tadi.

    Ditanya mengenai sama ada terdapat jangkitan Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS), Dr Zaliha berkata setakat pagi ini, dua kes dikesan masing-masing di Segamat dan Kluang, Johor.

    Beliau berkata, kedua-dua individu tersebut bagaimanapun dilaporkan stabil dan sedang menjalani isolasi di Hospital Segamat dan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

    “Kami juga akan memantau aktiviti memasak di PPS (sekiranya ada) untuk mengelakkan masalah keracunan makanan manakala aktiviti pencegahan untuk denggi dan leptospirosis, sentiasa dijalankan setiap hari oleh pasukan dari PKD (Pejabat Kesihatan Daerah),” katanya.

    Terdahulu dalam ucapan perasmian, Dr Zaliha berkata Hospital Serdang menjadi tumpuan rujukan kes penyakit jantung semasa mengandung kerana terdapat kombinasi perkhidmatan jantung, obstetrik dan ginekologi serta pediatrik, dengan seramai 669 pesakit telah menerima rawatan di klinik kombinasi tersebut tahun lepas.

    Beliau berkata analisa kematian maternal daripada laporan yang diterbitkan mengenai ‘Confidential Enquiries into Maternal Deaths (CEMD) 2012-2014’ menunjukkan empat punca utama kematian adalah komplikasi daripada masalah kesihatan jantung, pendarahan selepas bersalin, gangguan hipertensi dalam kehamilan dan penyakit pulmonary embolism (darah beku dalam saluran darah ke paru-paru).

  • Balai Polis Panchor ditutup akibat banjir

    Balai Polis Panchor ditutup akibat banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BALAI Polis Panchor di Kilometer 29 Jalan Abd Rahman, Panchor, Muar ditutup sementara susulan dinaiki air setinggi lebih dua meter.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, balai berkenaan mula naiki air pada pukul 9 pagi tadi dan diarahkan ditutup satu jamn kemudian selepas paras air semakin tinggi.

    “Balai ini menempatkan 12 pegawai rendah polis. Sebarang urusan melibatkan laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai berhampiran.

    “Laluan di kawasan sekitar balai juga ditutup kerana paras air semakin tinggi iaitu Jalan Muar-Labis, Kampung Jawa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Muar.

    Beliau berkata, rondaan berkala daripada pihak polis di kawasan terjejas dengan banjir akan dilakukan bagi memastikan keselamatan harta benda dalam keadaan selamat.

    Balai Polis Panchor di Muar terpaksa ditutup sementara bermula pukul 10 pagi dan urusan laporan polis boleh dibuat di balai berdekatan

    Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, amaran hujan berterusan daerah ini akan berlaku sehingga 4 Mac ini.

    Raiz Mukhliz memberitahu, sehingga jam 1 tengah hari Sabtu, 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh daerah ini.

    Katanya, seramai 3,278 mangsa banjir melibatkan 952 keluarga telah berdaftar ke PPS.

    Selain itu menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar, sebanyak tujuh jalan ditutup selepas terjejas dengan banjir.

    “Jalan berkenaan melibatkan Jalan Muar-Labis di Kampung Jawa; Jalan Muar-Labis (Speedmart Lenga); Jalan Muar-Labis (jambatan Sungai Tui); Jalan Tekam Pagoh (kebun kelapa sawit) dan Jalan Durian Chondong (jambatan Sungai Muar),” ujar beliau.

    Ini termasuk katanya, Jalan Renchong-Gombang (Sungai Menchil) dan Jalan Kampung Liang Batu (Masjid Kampung Liang Batu).

    “Polis menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca dan tidak mengambil risiko untuk melalui jalan yang telah dinaiki air. Berhati-hati dalam pemanduan dan mematuhi sebarang tanda amaran yang diletakkan di kawasan banjir,” katanya.

  • Paip pecah dibawa arus banjir, Chaah terputus bekalan air

    Paip pecah dibawa arus banjir, Chaah terputus bekalan air

    SELAIN banjir Chaah di Segamat, juga mengalami isu tiada bekalan air bersih susulan paip utama yang hanyut dan pecah akibat arus deras.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, punca ketiadaan air, disebabkan paip utama di Jambatan Sungai Chaah yang hanyut dan pecah akibat arus deras.

    “Ia sekali gus mengakibatkan gangguan kepada 3,962 akaun dari Chaah hingga ke Kampung Sungai Haji Kamisan,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook semalam.

    Beliau turun sendiri ke lokasi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Bekok, Tan Chong dan Pegawai Daerah Segamat, Masni Wakiman, untuk mendengar taklimat daripada Ranhill SAJ semalam mengenai isu tersebut

    “Ranhill SAJ memaklumkan kerja-kerja pembaikan di tahap 40 peratus dan dijangka siap pagi ini.

    “Sementara itu, lori-lori tangki air Ranhill SAJ akan menyalurkan bekalan air ke kawasan yang terjejas,” kata Onn Hafiz, yang turut menzahirkan terima kasih kepada Ranhill SAJ dan semua pihak yang komited bagi memastikan bekalan air bersih akan kembali disalurkan.

    Pada hantaran Facebook berasingan pula, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas khabar gembira daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang telah meluluskan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir serta keperluan lain yang mendesak.

    Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, kerana menggerakkan bantuan segera kepada Johor.

    “Semoga usaha yang diambil kerajaan negeri dan persekutuan, dibantu agensi-agensi, syarikat-syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor, akan diberkati Allah SWT.

    “Saya mendoakan agar kita semua cekal dalam menghadapi ujian ini. insya-Allah kita akan dapat melalui tempoh yang serba mencabar ini,” kata beliau.

    Johor kini mencatatkan jumlah mangsa seramai 37,322 orang setakat pukul 8 pagi ini melibatkan sembilan daerah dengan pembukaan 238 pusat pemindahan sementara (PPS).

  • Banjir: Hampir 41,000 mangsa di enam negeri

    Banjir: Hampir 41,000 mangsa di enam negeri

    JUMLAH mangsa banjir di enam negeri terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 40,710 mangsa dilaporkan berada di 288 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 8 pagi tadi.

    Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan
    berbanding seramai 36,191 petang semalam.

    Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Johor, seramai 37,098 mangsa membabitkan 10,625 keluarga ditempatkan di 253 PPS.

    Di Pahang, seramai 2,361 mangsa membabitkan 719 keluarga ditempatkan di 22 PPS.

    Sementara di Melaka, sebanyak enam PPS dibuka dan menempatkan seramai 375 mangsa daripada 95 keluarga.

    Di Negeri Sembilan pula, sebanyak lima PPS dibuka dan menempatkan seramai 780 mangsa membabitkan 213 keluarga.

    Di Sarawak, terdapat satu PPS dibuka yang menempatkan 14 mangsa membabitkan lima keluarga.

    Di Selangor juga, terdapat satu PPS dibuka yang menempatkan seramai 82 mangsa membabitkan 17 keluarga, lapor Harian Metro.

  • Warga emas ditemukan maut dalam kereta selepas banjir surut

    Warga emas ditemukan maut dalam kereta selepas banjir surut

    SEORANG warga emas maut akibat lemas di dalam keretanya yang ditemukan di ladang kepala sawit di jalan utama Felda Selancar 2, Rompin, selepas banjir surut.

    Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan Abdullah Satar, 73, yang merupakan peneroka di Felda itu pada 6.40 petang semalam.

    “Berdasarkan siasatan awal, keluarganya mendakwa mangsa hilang selepas keluar rumah sejak Rabu lepas dan gagal dihubungi menyebabkan mereka mencarinya, namun gagal.

    “Anak mangsa mendakwa dihubungi rakannya yang memaklumkan kereta Proton Iswara mangsa dijumpai dalam ladang itu dengan mangsa di dalamnya,” katanya semasa dihubungi di Rompin hari ini.

    Mohd Azahari berkata polis bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah serta dibantu penduduk berjaya mengeluarkan mayat mangsa.

    Katanya bedah siasat di Hospital Muadzam Shah, Rompin malam tadi mengesahkan kematian Abdullah adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

  • Wanita dikhuatiri lemas ketika menyeberang jambatan gantung

    Wanita dikhuatiri lemas ketika menyeberang jambatan gantung

    SEORANG wanita dikhuatiri lemas sewaktu menyeberangi jambatan gantung Kampung Aur, Bukit Ibam dekat Rompin pagi tadi.

    Mangsa yang hilang dikenali sebagai Nur Hafizah Zailan, 23, yang beralamat di Lorong Gangsa 2, Bukit Ibam, Rompin.

    Pihak bomba menerima panggilan daripada Balai Polis Bukit Ibam berhubung kejadian itu pukul 10.38 pagi.

    Menurut Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke tempat kejadian.

    “Pasukan bomba menaiki dua jentera serta turut membawa sebuah bot fiber ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah bergerak ke lokasi kejadian.

    “Perjalanan melalui laluan darat dan air kerana kawasan sekitar dilanda banjir,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.