Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BALAI Polis Panchor di Kilometer 29 Jalan Abd Rahman, Panchor, Muar ditutup sementara susulan dinaiki air setinggi lebih dua meter.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, balai berkenaan mula naiki air pada pukul 9 pagi tadi dan diarahkan ditutup satu jamn kemudian selepas paras air semakin tinggi.

“Balai ini menempatkan 12 pegawai rendah polis. Sebarang urusan melibatkan laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai berhampiran.

“Laluan di kawasan sekitar balai juga ditutup kerana paras air semakin tinggi iaitu Jalan Muar-Labis, Kampung Jawa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Muar.

Beliau berkata, rondaan berkala daripada pihak polis di kawasan terjejas dengan banjir akan dilakukan bagi memastikan keselamatan harta benda dalam keadaan selamat.

Balai Polis Panchor di Muar terpaksa ditutup sementara bermula pukul 10 pagi dan urusan laporan polis boleh dibuat di balai berdekatan

Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, amaran hujan berterusan daerah ini akan berlaku sehingga 4 Mac ini.

Raiz Mukhliz memberitahu, sehingga jam 1 tengah hari Sabtu, 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh daerah ini.

Katanya, seramai 3,278 mangsa banjir melibatkan 952 keluarga telah berdaftar ke PPS.

Selain itu menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar, sebanyak tujuh jalan ditutup selepas terjejas dengan banjir.

“Jalan berkenaan melibatkan Jalan Muar-Labis di Kampung Jawa; Jalan Muar-Labis (Speedmart Lenga); Jalan Muar-Labis (jambatan Sungai Tui); Jalan Tekam Pagoh (kebun kelapa sawit) dan Jalan Durian Chondong (jambatan Sungai Muar),” ujar beliau.

Ini termasuk katanya, Jalan Renchong-Gombang (Sungai Menchil) dan Jalan Kampung Liang Batu (Masjid Kampung Liang Batu).

“Polis menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca dan tidak mengambil risiko untuk melalui jalan yang telah dinaiki air. Berhati-hati dalam pemanduan dan mematuhi sebarang tanda amaran yang diletakkan di kawasan banjir,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here