Category: Kemalangan / Bencana

  • Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dilancarkan

    Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dilancarkan

    TABUNG Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi membantu mereka yang terkesan akibat banjir dilancarkan hari ini.

    Ketika melancarkannya hari ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, inisiatif itu dilaksana bagi memberi peluang kepada orang ramai dan syarikat korporat untuk menyumbangkan bantuan melalui saluran yang betul.

    Beliau berkata, sumbangan wang tunai boleh terus disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia di nombor akaun Alliance Islamic Bank Bhd 160140010004801.

    “Saya memohon untuk kita bersama-sama membantu, jadi kepada semua pihak sama ada individu, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau syarikat korporat yang ingin menyalurkan bantuan boleh disalurkan kepada YKN,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan tabung berkenaan di Kuala Lumpur.

    Menurut beliau, setiap sumbangan wang tunai akan dikecualikan daripada cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Rina, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata, Shapadu Group menjadi syarikat korporat pertama menyumbang kepada tabung berkenaan dengan sumbangan RM150,000.

    Syarikat itu turut menyediakan 1,000 pek makanan hari ini untuk diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar Selangor yang tidak ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

    Katanya, penyumbang juga boleh membantu mangsa banjir dalam bentuk barangan yang boleh dikumpulkan dan dihantar ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi.

    Dalam pada itu, Rina berkata, peruntukan berjumlah RM35 juta telah disediakan bagi bantuan bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khusus untuk bencana banjir kali ini.

    Katanya, kementerian itu juga masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk peruntukan tambahan bagi menangani impak bencana itu. – Bernama

  • Peniaga maut kereta rempuh tiang elektrik depan istana

    Peniaga maut kereta rempuh tiang elektrik depan istana

    SEORANG peniaga maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Sultan Mahmud berhadapan Istana Nur Nadhirah, Kuala Terengganu pada pukul 6.50 pagi tadi.

    Soo Chong Liang, 39, tercampak keluar kira-kira lapan meter dari kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas kereta Honda Accord yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar tiang elektrik.

    “Kenderaan berkenaan tercampak kira-kira 50 meter di Taman Awam Batu Buruk dan melanggar dua pokok kelapa.

    “Akibat itu juga, mangsa yang dalam perjalanan dari Pusat Bandar Kuala Terengganu menghala ke lampu isyarat Batu Buruk, Kuala Terengganu tercampak keluar dari kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

    Menurut Ismail, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah ( HSNZ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 122 cerun kritikal, berisiko runtuh di musim tengkujuh

    122 cerun kritikal, berisiko runtuh di musim tengkujuh

    JABATAN Mineral dan Geosains (JMG) mengenal pasti 122 daripada 220 cerun di seluruh negara berada dalam keadaan kritikal dan berisiko tinggi untuk berlaku runtuhan ketika musim tengkujuh.

    Ketua Pengarahnya, Hisamuddin Termidi, berkata semua cerun itu sedang dipantau jabatan berkenaan dan diberi keutamaan untuk pemasangan sistem amaran awal yang dilengkapi siren supaya penduduk dapat mengambil tindakan menyelamatkan diri.

    Antara kawasan yang dikenal pasti paling berisiko adalah Jalan Genting Peres-Kuala Klawang, Jalan Sungai Tekali, Ulu Langat dan Sungai Penchala.

    “Sungai Penchala paling teruk seperti kejadian yang berlaku baru-baru ini menyebabkan tanah runtuh dan kemusnahan,” katanya selepas majlis perasmian dan penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah, Merbok, Kedah, hari ini.

    Hisamuddin berkata, pihaknya bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menempatkan sistem amaran awal itu.

    “Saya difahamkan, UTM mendapat teknologi dan peralatan dari Jepun untuk tujuan itu dan buat masa sekarang kita sedang tunggu masa yang sesuai.

    “Apabila mendapat persetujuan UTM, kita akan buat rundingan untuk tempatkan sistem amaran awal ini di kawasan yang dipersetujui bersama,” katanya.

    Media semalam melaporkan, sebanyak empat rumah rosak dan seorang wanita warga emas cedera selepas berlaku tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, pada pukul 1.22 pagi.

    Mengulas mengenai kejadian kepala air di sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang pada Sabtu lalu, beliau berkata, pihaknya masih belum dapat melakukan siasatan kejadian tanah runtuh.

    “Ini kerana belum ada jalan untuk memasuki ke kawasan punca berlakunya kejadian itu,” katanya.

  • Warga emas patah tulang pinggul nekad redah banjir 500 meter ke PPS

    Warga emas patah tulang pinggul nekad redah banjir 500 meter ke PPS

    SEORANG warga emas nekad meredah air banjir sehingga paras dada sejauh hampir 500 meter Sabtu lalu walaupun mengalami masalah patah tulang pinggul, semata-mata mahu menyelamatkan diri dan keluarganya.

    Che Som Isa, 67, sanggup mengetepikan rasa sakit ketika meredah air banjir bersama-sama dua cucu dan menantunya ke pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang.

    Ini berikutan penempatannya di Kampung Alor Pasir, Pasir Mas, telah dinaiki air mencecah hampir 0.8 meter.

    Menceritakan detik itu, Che Som yang hampir 10 tahun mengalami masalah kesihatan itu akibat kemalangan jalan raya tidak menyangka air naik begitu cepat.

    “Apabila air mula naik sehingga mencecah paras dada, saya enggan bertangguh untuk berpindah, disebabkan kami sekeluarga tidak ada kemudahan perahu atau bot, kami nekad mengharungi air banjir untuk ke PPS berdekatan,” katanya ketika ditemui di PPS SK Gual Tinggi, Rantau Panjang, hari ini.

    Mengulas lanjut, ibu kepada enam anak berusia antara 48 hingga 32 tahun itu berkata, kesan daripada kemalangan itu, pahanya terpaksa dimasukkan besi dan ketika meredah banjir, kesakitan itu semakin terasa kerana keadaan yang sejuk serta merasa lenguh apabila berjalan dalam jarak yang terlampau jauh.

    “Selepas mengharungi banjir dalam jarak yang jauh itu, paha saya mula rasa sakit dan lenguh berpanjangan. Mahu tidak mahu saya perlu keluar dari kediaman bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

    “Saya bersyukur sebaik sahaja tiba di PPS ini, petugas kesihatan segera membantu saya dan memberi rawatan selanjutnya untuk mengurangkan rasa sakit ini,” katanya yang terlibat dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

    Che Som berkata, menetap di PPS akibat banjir bukanlah kali pertama dalam diari hidupnya kerana sejak tahun 2014 rumahnya sering dilanda banjir khususnya pada musim tengkujuh dan sudah reda dengan keadaan itu, namun berdoa supaya rumahnya tidak runtuh kerana selalu ditenggelami air banjir.

  • Hanya sebahagian kenderaan NGO dibenar masuk ke Taman Sri Muda – Polis

    Hanya sebahagian kenderaan NGO dibenar masuk ke Taman Sri Muda – Polis

    Hanya sebahagian kenderaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan keluar dan masuk ke kawasan bencana banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam manakala kenderaan orang awam tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib menyatakan sedemikian susulan tular di media sosial berhubung seorang individu yang mendakwa dihalang untuk menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda.

    “Tindakan mengawal kenderaan awam masuk ke lokasi banjir adalah bertujuan mengelak kesesakan dan memberi laluan kepada lori yang keluar masuk membawa mangsa ke pusat pemindahan sementara,” katanya dalam kenyataan dhari ini.

    Baharudin menjelaskan kesesakan di lokasi dikhuatiri akan menambahkan lagi kemudaratan dan menyukarkan proses menyelamatkan nyawa mangsa, selain mengelak kejadian lebih buruk berlaku memandangkan paras air sungai meningkat pada ketika itu.

     Katanya semasa kejadian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang bertungkus lumus menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa banjir daripada kawasan berkenaan yang sedang ditenggelami air.

    “Keprihatinan semua NGO dan orang awam amatlah dihargai dalam usaha membantu mangsa banjir, bagaimanapun suka diingatkan agar semua pihak tetap mematuhi arahan pihak berkuasa supaya dapat memudahkan proses menyelamatkan mangsa dilaksanakan,” katanya.

    Menurutnya Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mengambil tindakan segera bagi menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas banjir.

  • Operasi diperluas, anjing pengesan bantu cari mangsa ‘kepala air’ di Bentong

    Operasi diperluas, anjing pengesan bantu cari mangsa ‘kepala air’ di Bentong

    Gerakan mengesan mangsa lemas termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang dihanyutkan arus kepala air di sebuah kawasan chalet di Bentong , Pahang pada malam Sabtu lalu, diperluaskan hari ini dengan tambahan anggota dan anjing pengesan.

    Usaha mengesan mangsa yang dikhuatiri masih hilang dari pusat peranginan Bobby Eco Camp dan seorang lagi dalam kejadian berasingan di Telemong, disambung semula pada pukul 7 pagi tadi.

    Dalam satu lagi operasi di Kuantan, anggota penyelamat sedang giat berusaha mencari seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari jambatan di Sungai Belat pada 18 Disember lalu.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, tiga orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dihanyutkan kepala air yang mengalir ke sungai dalam kawasan pusat peranginan Bobby Eco Camp, pukul 10.40 malam Sabtu lalu.

    “Tiga mangsa ialah sepasang suami isteri yang juga pemilik resort berkenaan dan seorang budak lelaki yang datang ke resort itu bersama keluarganya. 

    “Kawasan pencarian telah diperluaskan sehingga melebihi 1 kometer dengan tambahan tenaga kerja dan bantuan empat anjing pengesan,” katanya.

    Ketika ini, operasi di Telemong memasuki hari ketiga bagi mengesan seorang warga emas yang juga antara 16 individu dihanyutkan arus deras sungai ketika berada di atas jambatan di Sungai Telemong, kira-kira pukul 2 pagi Ahad lalu.

    “Dalam kejadian itu, 10 orang berjaya diselamatkan, manakala lima lagi dilaporkan maut. Mayat pertama ditemui pada Ahad lalu, diikuti empat lagi semalam. Ada antara mayat ditemui tersepit di celah-celah dahan pokok,” katanya menambah, banjir sudah surut di kebanyakan kawasan dan pencarian diperluaskan untuk mengesan mangsa terakhir.

    Di Kuantan, anggota penyelamat masih mencari Mohd. Firdaus Supiardi, 26, yang dilaporkan hilang selepas terjun dari jambatan dan dihanyutkan arus deras di Sungai Belat dekat Kampung Sri Damai, Kuantan pada 18 Disember. 

  • Banjir: Operasi menyedut air giat dijalankan di Sri Muda

    Banjir: Operasi menyedut air giat dijalankan di Sri Muda

    OPERASI menyedut air banjir keluar di kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor, sedang giat dijalankan yang bermula sejak awal pagi ini.

    Beberapa mesin menyedut air telah ditempatkan di kawasan sekitar dipercayai untuk disedut keluar menuju ke Sungai Klang.

    Bagaimanapun, sebahagian besar kawasan di Taman Sri Muda masih lagi ditenggelami air dan agensi pihak berkuasa telah ditempatkan di kawasan terjejas khususnya bagi menyelamatkan mangsa terkandas.

    Ini termasuk bekalan agihan makanan yang telah digerakkan ke kawasan terjejas.

    Dalam pada itu, difahamkan, masih terdapat mangsa yang masih belum memperoleh bantuan sepenuhnya.

    Terdahulu media melaporkan, jumlah mangsa disahkan lemas akibat banjir di Shah Alam, Selangor meningkat kepada sembilan orang sehingga awal pagi hari ini.

    Ketika memaklumkan perkembangan terkini itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, seramai dua mangsa dijumpai kelmarin manakala tujuh lagi mangsa dijumpai semalam.

  • ‘’Seikhlas hati, saya menghalalkan mereka’’ – Pengarah Urusan Mydin

    ‘’Seikhlas hati, saya menghalalkan mereka’’ – Pengarah Urusan Mydin

    SUSULAN insiden pecah masuk ke premis gedung pasaraya besar, Mydin, Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin menghalalkan mereka yang melakukan perkara tersebut demi kelangsungan hidup.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Ameer menjelaskan beliau tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat, mungkin mangsa banjir tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut.

    “Saya ingin memberi maklum balas mengenai insiden pecah mauk ke premis Mydin Mart yang hangat dibincangkan di media sosial, media tempatatan dan sebagainya.

     “Sejujurnya saya tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.

    “Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ameer menjelaskan beliau tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat, mungkin mangsa banjir tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Ameer menjelaskan beliau tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat, mungkin mangsa banjir tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut.

     Beliau turut menyatakan tersebut dan simpati dengan insiden bencana banjir teruk yang melanda terutama ketika negara masih berdelut dengan pandemik Covid-19.

    Cawangan Mydin Mart, Sri Muda, Shah Alam turut musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021 dan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

    Beliau turut memohon rakyat Malaysia untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT agar mangsa terselamat dan bencana banjir dan pandemik pulih seperti biasa.

  • Banjir: Hampir 1,000 pegawai, anggota ATM sudah diatur gerak

    Banjir: Hampir 1,000 pegawai, anggota ATM sudah diatur gerak

    ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu pihak berkuasa awam dalam menyelamatkan orang ramai yang terkesan akibat bencana banjir.

    Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ini terutama usaha memindahkan mangsa-mangsa banjir ke kawasan selamat.

    Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. GAMBAR: Abd Razak Aid

    “Pada masa kini, kesiagaan anggota dan aset ATM melalui pelaksanaan Operasi Murni (OP MURNI) yang digerakkan oleh Tentera Darat Malaysia memberi tumpuan kepada beberapa kawasan terjejas di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.

    “Berdasarkan situasi semasa, seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat termasuk kumpulan sokongan telah diatur gerak. Ini bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, penyediaan dan pengagihan makanan, liason officer di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Affendi, aset-aset seperti trak 3, 5 dan 7 tan, land rover, bot tempur serta aset udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga sedia diatur gerak apabila diperlukan.

     “ATM juga sentiasa bersedia dengan kekuatan 1 Kompeni iaitu 5 pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan,” jelasnya.

    Menurut beliau, ATM sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada kesiagaan utama untuk di atur gerakkan ke lokasi-lokasi terjejas di samping membantu Pihak Berkuasa Awam dan agensi-agensi keselamatan lain yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

    “Ini termasuklah dalam menyegerakan pelaksanaan proses pemindahan serta bantuan-bantuan lain,” kata Affendi.

  • Kedah sumbang RM200,000 kepada Selangor

    Kedah sumbang RM200,000 kepada Selangor

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK RM200,000 disumbangkan kerajaan negeri Kedah kepada Selangor bagi membantu negeri itu serta rakyatnya yang terkesan dengan kejadian banjir, semalam.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, sumbangan tersebut diberikan sebagai tanda kebersamaan rakyat Kedah dengan seluruh mangsa banjir di Selangor.

    “Sumbangan ini akan diuruskan oleh Pejabat Pegawai Kewangan Negeri Kedah dengan kadar segera.

    “Semoga bantuan kecil ini dapat membantu rakyat dan kerajaan negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah amat bersimpati dan berdukacita dengan musibah banjir besar yang melanda Selangor dan beberapa negeri lain.

    Katanya, kesukaran dilalui penduduk serta kemusnahan harta benda tentulah lebih besar daripada apa yang dapat dibayangkan.

    Justeru katanya, selain sumbangan kerajaan negeri, pihak Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Cawangan Kedah juga sedang menggerakkan kutipan sumbangan untuk Selangor.

    “Kutipan sumbangan itu akan dibawa ke Selangor bersama-sama aset dan petugas bagi membantu penduduk di sana.

    “Semoga seluruh bantuan yang sedang diusahakan dapat membantu mereka yang berdepan kesukaran pasca banjir,” katanya.