Category: Kemalangan / Bencana

  • Banjir: Kepadatan penduduk punca koordinasi perlahan

    Banjir: Kepadatan penduduk punca koordinasi perlahan

    KEPADATAN penduduk terutama di Taman Sri Muda, Shah Alam disifatkan menjadi punca koordinasi bantuan menyelamat yang perlahan pada hari pertama bencana banjir, Sabtu lalu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, keadaan lokasi dan bentuk tempat yang padat menjadi cabaran besar kepada pasukan penyelamat untuk membantu mengeluarkan mangsa yang terjejas.

    Namun begitu, kata beliau, koordinasi semua agensi penyelamat semakin baik menjelang hari kedua proses menyelamat.

    “Kita dapati koordinasi semua agensi pada awalnya agak perlahan tetapi pada hari kedua kita telah pun menggerakkan semua tindakan positif daripada semua agensi.

    “Kebanyakan mangsa banjir di Shah Alam berada di rumah teres dan apartmen, jadi kepadatan penduduk di sini agak berbeza dengan negeri lain seperti di Pahang, Kelantan atau Terengganu di mana urusan pemindahan berlaku dengan mudah.

    “Namun begitu, kita telah berjaya meningkatkan keupayaan semua agensi untuk pastikan hampir semua yang terlibat dapat dibantu,” katanya dalam sidang akhbat di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini.

    Mengulas mengenai talian kecemasan 999 yang gagal dihubungi sewaktu hari pertama kejadian banjir, Acryl Sani menegaskan akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara tersebut.

    “Talian kecemasan 999 itu sepatutnya berfungsi setiap masa.

    “Saya pun baru pertama kali dengar bahawa ia tak dapat dihubungi jadi saya akan dapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut,” jelas beliau.

    Pada masa sama, Acryl Sani turut menzahirkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk yang turut sama menyertai misi menyelamat serta memberikan bantuan.

    “Kami sangat terhutang budi kepada NGO dan persatuan penduduk yang begitu aktif, mereka ini sebenarnya wira tak didendang tanpa mengharapkan apa-apa pengiktirafan pun.

    “Terima kasih kepada mereka, saya harap mereka akan terus membantu bukan sahaja kepada agensi kerajaan tetapi juga kepada penduduk setempat,” kata beliau. 

  • 68,341 mangsa banjir di tujuh negeri-KPN

    68,341 mangsa banjir di tujuh negeri-KPN

    SERAMAI 68,341 mangsa banjir ditempatkan di 396 pusat pemindahan di tujuh buah negeri sejak bencana alam itu melanda sehingga kini.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, seramai 18,080 keluarga membabitkan Perak, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Pahang.

    “Pahang merupakan negeri yang paling terkesan. Semalam sahaja, dilaporkan lima kematian iaitu empat dewasa dan seorang kanak-kanak. Dua mangsa lagi hilang.

    “Bencana banjir mengakibatkan 37 kematian dan 10 dilaporkan masih hilang di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam, hari ini.

    Acryl Sani memaklumkan sebanyak 137 lokasi jalan raya masih ditutup melibatkan empat buah negeri iaitu Pahang dengan 120 lokasi diikuti Selangor (12), Kelantan (3) Negeri Sembilan (2).

  • Pahang umum Bantuan Khas Bencana Banjir RM500

    Pahang umum Bantuan Khas Bencana Banjir RM500

    KERAJAAN Pahang hari ini mengumumkan Bantuan Khas Bencana Banjir sebanyak RM500 kepada setiap ketua keluarga yang terjejas dengan bencana banjir di negeri itu.

    Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, bantuan itu adalah sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap mangsa yang terjejas.

    Katanya, bantuan berkenaan meliputi kategori penerima iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan mangsa yang tidak berpindah ke PPS sebaliknya menumpang di rumah saudara mara serta mangsa yang tinggal di rumah sewa dan mangsa yang tidak berpindah ke mana-mana.

    “Selain tanda prihatin, kerajaan negeri membuat sumbangan ini berdasarkan kemampuan dan keupayaan kewangannya. Sumbangan RM500 ini demi meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung, Insya-Allah,” katanya.

    Banjir di Pahang bermula Jumaat lepas dan situasi semasa banjir pagi ini, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyaksikan seramai 37,356 mangsa masih ditempatkan di 264 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah terjejas banjir.

    Daerah yang terjejas adalah Kuantan, Temerloh, Bentong, Maran, Lipis, Raub, Jerantut, Bera dan Pekan. – BERNAMA

  • Banjir: Mangsa di PPS Pahang, Selangor meningkat, negeri lain menurun

    Banjir: Mangsa di PPS Pahang, Selangor meningkat, negeri lain menurun

    MANGSA banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang dan Selangor meningkat malam tadi, manakala Kuala Lumpur dan empat negeri lain menunjukkan penurunan. 

    Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 38,086 orang di 270 PPS di sembilan daerah setakat 8 malam ini, berbanding 36,841 orang di 267 PPS  petang semalam.

    Setakat ini, daerah Kuantan mencatatkan bilangan mangsa tertinggi diikuti Temerloh, Bentong, Bera, Jerantut, Pekan, Lipis, Maran dan Raub.

    Bagi negeri SELANGOR, Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan setakat 8.13 malam,  sebanyak 22,015 mangsa banjir daripada 5,773 keluarga ditempatkan di 109 PPS, menunjukkan peningkatan, berbanding 21,385 mangsa banjir daripada 5,510 keluarga petang tadi.

    Dalam pada itu, paras Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat kini berada di paras bahaya dengan ketinggian 4.6 meter setelah melebihi aras ditetapkan iaitu 4.2 meter setakat 7.45 malam tadi.

    Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 327 individu daripada 88 keluarga di lima PPS bagi daerah Seremban dan Jelebu setakat 8 malam tadi.

    Di PERAK, jumlah mangsa banjir malam ini sedikit berkurangan iaitu sebanyak 252 orang daripada 70 keluarga berbanding 257 orang daripada 72 keluarga petang semalam yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

    Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata 109 mangsa masih berada di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan dan 143 lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

    Jumlah mangsa banjir di KELANTAN juga menunjukkan penurunan setakat 9 malam tadi, apabila 1,559 orang daripada 532 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Pasir Mas, berbanding 1,782 orang daripada 603 keluarga, petang semalam.

    Portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan hanya dua sungai utama berada pada paras bahaya melibatkan jajahan Pasir Mas iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan 9.18 meter (m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang (9.14 m). 

    Sementara itu di KUALA LUMPUR, sebanyak 312 orang daripada 75 keluarga ditempatkan di dua PPS, manakala mangsa banjir di MELAKA kekal 150 orang daripada 37 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Alor Gajah dan Jasin, setakat 8 malam tadi.- Bernama

  • Dua lagi mayat mangsa banjir ditemukan di Taman Seri Muda

    Dua lagi mayat mangsa banjir ditemukan di Taman Seri Muda

    MAYAT dua lagi mangsa banjir melibatkan dua beranak ditemukan di Jalan Semangat 25/8 Taman Seri Muda, Shah Alam pukul 6 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dua mangsa berkenaan adalah ayah dan anak yang ditemui di dalam sebuah rumah teres setingkat.

    “Mangsa adalah seorang lelaki berusia 76 tahun dan anak perempuannya yang berusia 48 tahun.

    “Pertambahan dua mangsa ini tu menjadikan korban akibat banjir di Shah Alam kini berjumlah 14 orang membabitkan lapan lelaki dan enam wanita.

    “Kita mendapat makluman daripada keluarga terdekat yang tidak dapat menghubungi dua beranak itu sejak banjir melanda kawasan ini.

    “Susulan itu, pasukan membuat pemeriksaan di rumah mangsa berdasarkan alamat yang diberikan dan menemui mayat dua beranak itu sekitar pukul 1.40 tengah hari tadi di dalam rumah mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian 1 (PKTK1) di Taman Sri Muda, Seksyen 25, hari ini.

    Katanya, sehingga kini tiada laporan diterima mengenai orang hilang susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.

    Tambahnya, polis akan terus melaksanakan pemeriksaan dari kawasan ke kawasan berdasarkan maklumat dari orang awam termasuk jiran atau keluarga terdekat mangsa banjir.

    Sementara itu, Baharudin memaklumkan bahawa sejumlah 4,276 mangsa banjir direkodkan di daerah ini dan 4,080 dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala selebihnya memilih lokasi sendiri seperti berpindah ke rumah saudara atau keluarga terdekat.

    Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata pihaknya ada menerima 10 laporan mengenai jenayah pecah kedai di Taman Sri Muda.

    “Antara yang dipecah masuk adalah kedai serbaneka, kedai perkakasan serta sebuah restoran,” katanya.

  • Mayat budak lelaki mangsa banjir lumpur Bentong ditemukan

    Mayat budak lelaki mangsa banjir lumpur Bentong ditemukan

    MAYAT seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan salah seorang daripada tiga sekeluarga mangsa banjir lumpur di Bentong, Pahang ditemukan pada jam 10.30 semalam.

    Menurut laporan Bernama, seorang lagi masih hilang dan usaha mencari masih diteruskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

    Semalam, pihak JBPM telah menjumpai mayat seorang wanita yang hilang dalam kejadian banjir lumpur berkenaan yang dikenal pasti sebagai Yap Koon Lan, 65.

    Menurut laporan media hari ini, operasi mencari mangsa, termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang dihanyutkan arus kepala air dalam sebuah kawasan chalet Bobby Eco Camp di Bentong pada malam Sabtu lalu telah diperluaskan dengan tambahan anggota dan anjing pengesan.

    Dalam insiden kira-kira jam 10.40 malam itu, tiga individu berkenaan dilapor dihanyutkan kepala air yang mengalir ke sungai dalam kawasan pusat peranginan terbabit.

    Sebelum ini, bomba dilapor memaklumkan, tiga mangsa itu ialah sepasang suami isteri yang juga pemilik resort berkenaan dan seorang budak lelaki yang datang ke resort itu bersama keluarganya.

    Terdahulu, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak dilaporkan terkandas dalam kejadian banjir lumpur yang menenggelamkan restoran dan tiga kolam ternakan ikan patin, manakala pagar utama chalet turut roboh.

    Pasukan mencari dan menyelamat dilapor mengenal pasti dua ‘hot spot’ yang dipercayai terdapat mangsa tragedi itu, iaitu di bawah rumah dan di bawah timbunan kayu balak.

    Tinjauan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan untuk ke chalet dipenuhi lumpur susulan kesan arus deras selain terdapat banyak batu besar dipercayai bergolek dari kawasan tinggi, timbunan kayu balak serta beberapa runtuhan tanah sederhana di lereng bukit chalet berkenaan.

    Keadan chalet juga terjejas dan separuh musnah, manakala bahagian bawahnya diseliputi selut tebal.

  • Banjir: KKM buka pusat operasi medan di Taman Sri Muda

    Banjir: KKM buka pusat operasi medan di Taman Sri Muda

    PASUKAN Respons Kecemasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mula melaporkan diri ke One Stop Centre di Taman Sri Muda, Shah Alam bermula Isnin.

    PUSAT Operasi Medan Kementerian Kesihatan (KKM) di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang dibuka sejak Isnin, mampu memberi rawatan kepada 50 pesakit sehari dan turut menempatkan doktor pakar kecemasan serta 10 katil. 

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pusat operasi itu yang pertama dibuka Kementerian Kesihatan (KKM) sebagaimana yang dicadangkan oleh Menterinya, Khairy Jamaluddin susulan lawatan beliau ke kawasan tersebut Ahad lepas. 

    “Pusat operasi ini berfungsi seolah-olah bilik kecemasan mini di lapangan.  Ini penting untuk kita bagi perkhidmatan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Taman Sri Muda, kawasan yang terjejas teruk akibat banjir, hari ini. 

    Beliau berkata, pusat itu akan merawat kes-kes ringan dan membekalkan ubat untuk penduduk yang kehabisan bekalan ubat supaya tidak perlu ke hospital.

    “Hanya kes-kes yang perlu rawatan rapi atau pendarahan serta kes-kes berat akan kita bawa ke hospital, namun kita akan beri rawatan awal terlebih dahulu di sini,” katanya.

    Dr. Noor Hisham berkata pusat itu akan beroperasi 24 jam sehingga pusat penempatan sementara ditutup. 

    Beliau berkata, tiga lagi pusat operasi di lapangan telah dirancang untuk dibuka di kawasan yang terjejas banjir di Selangor.

    Selain itu, katanya, KKM akan bekerjasama dengan hospital swasta yang terlibat dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir bagi memastikan bantuan terbaik dapat diberikan kepada penduduk.  

    “Sekarang kebimbangan kita adalah selepas banjir kerana mungkin penyakit berjangkit akan menular seperti kencing tikus, cirit-birit dan keracunan makanan,” katanya.

    Oleh itu, beliau menasihati mangsa banjir agar menjaga kebersihan serta terus mematuhi prosedur operasi standard untuk mengelakkan jangkitan COVID-19.  – Bernama

  • 50 terperangkap dan terputus bekalan makanan diselamatkan di Kenaboi

    50 terperangkap dan terputus bekalan makanan diselamatkan di Kenaboi

    SERAMAI 50 orang awam yang terperangkap dan terputus bekalan makanan serta ubatan susulan banjir yang melanda Taman Negeri Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan dua hari lepas diselamatkan Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD).

    Menurut kenyataan Tentera Darat Malaysia (TDM)  dua pegawai dan 23 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) 15 RAMD diatur gerak membantu mangsa banjir di lokasi tersebut.

    “Terdahulu, beberapa anggota tentera telah menemukan tiga orang awam yang sedang mencari bekalan makanan pada 11.15 pagi.

    “Susulan itu, satu kumpulan tinjau diatur gerak untuk mencari laluan masuk dan mengenal pasti jumlah orang awam yang memerlukan bantuan,” katanya.

    Jelasnya daripada jumlah itu seramai 31 orang bersetuju untuk dibawa keluar dan ditempatkan di Kem Rekreasi Bukit Perjuangan, manakala baki 19 orang yang enggan keluar telah dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jelebu untuk tindakan selanjutnya.

    Katanya, gerakan mencari dan menyelamat seperti ini sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam.- Bernama

  • Banjir di Taman Sri Muda semakin pulih, air mulai surut

    Banjir di Taman Sri Muda semakin pulih, air mulai surut

    SITUASI banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam iaitu antara kawasan yang terjejas teruk, dilihat beransur pulih apabila paras air semakin surut pada pagi ini.

    Paras air yang mencecah sehingga bumbung rumah sebelum ini surut ke paras pinggang sejak tengah malam tadi dan direkodkan perkembangan terkini pada parasa antara lutut dan pinggang orang dewasa.

    Tinjauan kru Astro AWANI yang tiba kira-kira pukul 6.30 pagi mendapati lokasi banjir masih lagi gelap dengan bekalan elektrik terputus.

    Walaupun begitu, liputan internet dan talian telekomunikasi lebih baik berbanding hari-hari sebelum ini.

    Setakat pukul 8 pagi, kelihatan beberapa ahli keluarga magsa yang terperangkap berkumpul di sekitar kawasan banjir.

    Turut kelihatan beberapa penduduk luar yang melalui kawasan terbabit untuk ‘singgah’ melihat situasi banjir.

    Semalam sahaja 370 orang dibawa keluar dari Taman Sri Muda, menjadikan jumlah penduduk yang diselamatkan di kawasan itu mencecah 3,552 mangsa.

    Setakat pukul 6.30 pagi ini, 12 lagi mangsa melibatkan tiga keluarga dibawa keluar selepas pasukan penyelamat menerima panggilan kecemasan daripada ahli keluarga mangsa.

    Sebanyak 431 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak Jumaat lalu.

  • Bukit Jelutong kembali banjir

    Bukit Jelutong kembali banjir

    HUJAN lebat kembali turun sejak awal pagi tadi di sekitar Selangor menjadi kebimbangan sebahagian besar penduduk khususnya di kawasan yang terjejas akibat banjir sejak Jumaat lalu.

    Hujan dilaporkan turun di sekitar Shah Alam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang.

    Malah, terdapat kawasan yang sebelum ini surut selepas dilanda banjir seperti di Bukit Jelutong kembali dinaiki air terutama di susur ke Plaza Tol Shah Alam dari Lebuhraya Guthrie.

    Kawasan berkenaan sebelum ini ditutup kira-kira 24 jam sebelum kembali dibuka semalam akibat hujan lebat lebih dua hari bermula 17 Disember lalu.

    Hal berkenaan menyebabkan berlaku kesesakan di Lebuhraya Guthrie sebelum susur Bukit Jelutong arah Pusat Bandar Shah Alam.

    Menurut laporan daripada ciapan @Plustrafik, beberapa lorong keluar dan satu lorong masuk di Plaza Shah Alam ditutup dan pengguna dinasihatkan menggunakan laluan lain.

    Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis  berkata, banjir melanda di Batu Arang, Rawang dengan peningkatan air dilaporkan pada paras betis.

    “Benar berlaku banjir di kawasan penduduk sehingga paras betis. Penduduk setempat dinasihatkan berpindah, namun masih belum mahu berpindah ke kawasan selamat.

    “Pihak bomba membuat pemantauan dan bersedia dengan logistik sekiranya pemindahan dibuat,” katanya.