Category: Kemalangan / Bencana

  • Maritim selamatkan seorang kru kapal terkena renjatan elektrik

    Maritim selamatkan seorang kru kapal terkena renjatan elektrik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menyelamatkan seorang kru kapal dagang selepas tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektrik di atas kapal itu di perairan Tanjung Piai, Pontian, malam tadi.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 9.15 malam.

    Mohd. Ariffin Rosman, berada dalam keadaan sedar namun lemah ketika ditemui dan segera dikejarkan ke Hospital Gleneagles bagi mendapat rawatan lanjut

    Susulan itu katanya, pihak maritim Johor mengkoordinasi bantuan Medical Evacuation (Medevac) dengan menggerakkan Bot Kilat 18 ke lokasi kejadian pada kedudukan 5.1 batu nautika timur laut Tanjung Piai.

    “Mangsa, Mohd. Ariffin Rosman, 28 tahun berada dalam keadaan sedar namun lemah ketika ditemui dan mangsa segera dikejarkan ke Hospital Gleneagles bagi mendapat rawatan lanjut.

    Pihak maritim memberi bantuan dan membawa mangsa ke Jeti Pelabuhan Tanjung Pelepas

    “Pihak maritim memberi bantuan dengan membawa mangsa ke Jeti Pelabuhan Tanjung Pelepas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, mana-mana pihak yang memerlukan bantuan sekiranya berlaku sebarang kecemasan di laut agar segera menghubungi MERS 999.

  • Bomba selamatkan 295 mangsa terperangkap banjir di Negeri Sembilan

    Bomba selamatkan 295 mangsa terperangkap banjir di Negeri Sembilan

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menyelamatkan 295 individu yang terperangkap dalam banjir di beberapa daerah di negeri itu selepas kediaman dinaiki air sejak semalam.

    Menurut kenyataan JBPM Negeri Sembilan, terdapat sembilan kawasan yang terlibat banjir iaitu Felda Jelai 4 di Gemas; Kampung Tengah, Kampung Geduk, Kampung Tenai dan Kampung Baru Geduk di Gemencheh.

    “Ini termasuk di Felda Palong 1, Jempol, Kampung Kuala Johol, Kuala Pilah serta Kampung Tanah Datar Hilir dan Teha Homestay di Seri Menanti.

    “Operasi pemantauan dilakukan di lokasi kejadian dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Syukri Madnor berkata, ketika ini terdapat empat daerah yang terlibat dengan bencana Monsun Timur Laut iaitu Kuala Pilah, Jempol, Jelebu dan Tampin.

    “Seramai 138 individu daripada 41 keluarga yang berada di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini di negeri ini,” katanya.

  • Segamat daerah pertama banjir di Johor, 456 mangsa berpindah

    Segamat daerah pertama banjir di Johor, 456 mangsa berpindah

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 456 mangsa daripada 133 keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat ekoran bencana banjir yang bermula malam tadi.

    Kesemua penduduk yang terjejas ditempatkan di lapan PPS selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga paras 1.5 meter.

    Dalam bencana itu, seramai 223 mangsa di Kampung Tenang, Labis antara mangsa tertinggi yang diminta mengosongkan kediaman masing-masing.

    Lapan PPS di Segamat ini dibuka selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga paras 1.5 meter

    Mereka yang terdiri daripada 73 buah keluarga kini berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang yang dibuka bermula pukul 8.30 malam.

    Sementara itu, PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Ai Chun menempatkan 160 mangsa dari 38 keluarga yang terjejas di Kampung Lembah Bakti, manakala 36 mangsa dari 13 keluarga kini berlindung di PPS Dewan Serbaguna Pekan Air Panas.

    Seramai 15 mangsa dari tiga buah keluarga di Kampung Paya Lebar, Jementah, Segamat pula berpindah ke PPS balai raya kampung berkenaan selepas rumah mereka dimasuki air akibat hujan lebat sejak petang semalam.

    Dalam pada itu, PPS Balai Raya Kampung Sermin dan PPS Dewan Serbaguna Jalan Genuang masing-masing menempatkan enam mangsa dari dua buah keluarga dan 10 lagi mangsa melibatkan empat keluarga berada di PPS Balai Raya Kampung Paya Lenga dan PPS Balai Raya Kampung Gelang Chinchin.

  • Mangsa banjir Terengganu meningkat, 3 negeri lain menurun

    Mangsa banjir Terengganu meningkat, 3 negeri lain menurun

    JUMLAH mangsa banjir terus meningkat di Terengganu petang ini sementara di tiga negeri lain iaitu Pahang, Selangor dan Kelantan mencatatkan penurunan mangsa banjir manakala jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan kekal.

    Di TERENGGANU mangsa banjir meningkat kepada 433 orang daripada 123 keluarga petang ini berbanding 390 orang daripada 115 keluarga tengah hari tadi.

    Kemaman menjadi daerah kedua yang dilanda banjir selepas Dungun dengan pembukaan satu pusat penempatan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan PPS seluruh negeri ialah tiga ketika ini.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan PPS baharu tersebut iaitu Surau Kampung Ban Ho menempatkan 43 mangsa daripada lapan keluarga.

    “Jumlah mangsa di Daerah Dungun kekal sama seperti tengah hari tadi iaitu Dewan Serbaguna Kampung Shukur (225 mangsa, 60 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (165 orang, 55 keluarga,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan stesen bacaan di dua sungai masih merekodkan ketinggian air melebihi paras amaran iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dan Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan sedikit penurunan pada petang ini apabila Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 2,290 mangsa ditempatkan di 32 PPS berbanding 2,366 mangsa tengah hari tadi melibatkan Daerah Pekan, Temerloh, Kuantan, Bentong dan Maran.

    Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan aras air di beberapa stesen telah melebihi tahap amaran antaranya di Jerantut melibatkan Kuala Tahan, Sungai Tembeling di Kampung Merting dan Sungai Tembeling di Kuala Tahan.

    Selain itu, aras air di Sungai Kuantan di Pasir Kemudi (Kuantan), Jambatan Chegar Perah (Lipis), Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub) dan Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) turut melepasi tahap amaran.

    Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa di negeri itu terus menurun kepada 97 mangsa melibatkan 27 keluarga yang ditempatkan di dua PPS setakat petang ini berbanding 408 mangsa daripada 125 keluarga yang ditempatkan di empat PPS pada tengah hari tadi.

    Dua PPS tersebut adalah Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding (20 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil (77 orang) di Hulu Langat.

    Jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan di KELANTAN setakat 5 petang ini, apabila seramai 1,070 orang daripada 346 keluarga masih berada di PPS berbanding 1,172 orang daripada 367 keluarga, tengah hari tadi.

    Aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan 16 PPS dibuka melibatkan tiga jajahan iaitu sembilan di Kuala Krai, enam di Jeli dan satu di Tanah Merah.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan hanya satu sahaja sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai merekodkan bacaan 25.32 meter.

    Portal Rasmi Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi pautan http://bencanaalam.jkr.gov.my/ melaporkan satu Jalan Persekutuan di Kelantan yang menghubungkan Jeli-Dabong di Jalan Kuala Balah, Jeli masih ditutup kepada semua kenderaan sejak semalam.

    Sementara di NEGERI SEMBILAN aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir kekal 29 orang daripada sembilan keluarga yang berada di satu-satunya PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Puom. – BERNAMA

  • Polis tahan 12 ahli sindiket pelaburan palsu

    Polis tahan 12 ahli sindiket pelaburan palsu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket yang menjalankan pelaburan palsu atas talian dengan menahan 12 suspek dalam satu serbuan di Taman Pelangi, Johor Bahru tengah malam tadi.

    Timbalan Ketuanya, Superintenden Lim Jit Huey berkata, operasi yang dijalankan pada pukul 12.30 tengah malam dilaksanakan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil pihaknya.

    Katanya, kesemua 12 suspek yang ditahan merupakan lelaki warganegara tempatan berusia antara 18 hingga 33 tahun.

    “Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak sebulan lalu dan mensasarkan mangsa yang terdiri daripada warganegara asing.

    “Modus operandi yang digunakan adalah dengan berkenalan dengan mangsa melalui media sosial sebelum mereka ditipu untuk membuat pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas 47 telefon bimbit, 12 komputer riba dan tujuh buku skrip penipuan digunakan sindiket berkenaan.

    Tambah Jit Huey, berdasarkan soal siasat yang dijalankan, suspek memaklumkan mereka dibayar gaji sebanyak RM2,500 sebulan.

    “Tiga daripada suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya sambil memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)g Akta Rumah Judi Terbuka.

    Tambah beliau, kesemua suspek kini dikenakan reman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru bermula hari ini.

  • Lima lagi insiden tanah runtuh direkodkan

    Lima lagi insiden tanah runtuh direkodkan

    LIMA lagi insiden tanah runtuh direkodkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) hari ini menjadikan keseluruhan 126 kejadian tanah runtuh berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2021.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pertambahan lima kejadian tanah runtuh itu berlaku membabitkan Pahang (dua kes) Selangor (dua kes) dan Kuala Lumpur (satu kes).

    Jumlah itu menjadikan keseluruhan insiden tanah runtuh yang berlaku di Selangor adalah 51 kes, Pahang (40), Negeri Sembilan (17), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak (enam), Terengganu (tiga) dan Melaka (satu).

    Dalam pada itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) Careline menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bekalan elektrik di 852 kawasan yang terjejas banjir di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan telah dipulihkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

    Ia meliputi 525 kawasan di Pahang, 183 kawasan di Selangor, 119 kawasan di Kuala Lumpur dan 25 kawasan di Negeri Sembilan.

    “Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” menurut hantaran itu.

    TNB Careline turut memberitahu, tiga kawasan di Selangor, dua kawasan di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kawasan di Pahang serta Kuala Lumpur masih belum mendapat bekalan elektrik demi keselamatan pengguna setempat.

    Selain itu menurutnya, usaha sedang giat dijalankan oleh TNB bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

    TNB Careline juga menasihati pelanggan supaya memastikan peralatan elektrik yang ditenggelami banjir telah kering terlebih dahulu sebelum digunakan. – Bernama

  • Jumlah mangsa banjir tiga negeri berkurang, Kelantan meningkat

    Jumlah mangsa banjir tiga negeri berkurang, Kelantan meningkat

    KEADAAN banjir secara keseluruhan bertambah baik dengan jumlah mangsa banjir di tiga negeri iaitu Melaka, Pahang, dan Selangor mencatatkan penurunan tengah hari ini.

    Bagaimanapun, Kelantan yang diramal banjir bermula 8 malam ini menunjukkan pertambahan jumlah mangsa apabila seramai 510 orang daripada 145 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada tengah hari berbanding 31 orang, pagi tadi.

    Menurut aplikasi Info Bencana JKM, lapan PPS dibuka di Kelantan melibatkan tujuh di Jeli dan satu di Pasir Mas.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.mymelaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, hanya satu sungai mencatatkan paras amaran iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah.

    Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa di negeri itu turun kepada 977 orang daripada 244 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS setakat tengah hari berbanding 2,281 orang daripada 563 keluarga di 13 PPS pagi tadi.

    Polis Selangor memaklumkan, tiga jalan masih ditutup setakat 11.30 pagi untuk laluan kenderaan iaitu di Jambatan FT 31 Dengkil – Banting dan Jalan Genting Peras – Kuala Klawang kerana dinaiki air banjir selain jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang rosak akibat banjir.

    Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan di satu dua tempat akan berlaku di Selangor bermula pagi hingga malam ini.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir pada tengah hari tadi berkurangan sedikit berbanding pagi kepada 5,459 orang di 43 PPS, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Mangsa banjir paling ramai direkodkan di Temerloh diikuti Pekan, Bentong, Kuantan dan Maran.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang melaporkan enam lokasi jalan masih ditutup iaitu Jalan Southern Loop di Bentong; Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut); Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran); dan Jalan Ulu Dong (Raub).

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir terus turun kepada lapan orang daripada dua keluarga setakat 12 tengah hari tadi berbanding 16 orang daripada empat keluarga pada 8 pagi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa terlibat masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Benteng di Jasin. – Bernama

  • Selangor nafi ban pecah punca banjir besar

    Selangor nafi ban pecah punca banjir besar

    KERAJAAN Selangor menolak dakwaan bahawa ban pecah serta pembinaan sebuah projek perumahan berdekatan pintu air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam, Selangor menjadi punca kawasan itu dilanda banjir teruk pada 18 Disember lalu.

    Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim menegaskan, banjir itu berlaku akibat limpahan air susulan hujan lebat.

    “Semua maklum bahawa fenomena banjir baru-baru ini adalah luar biasa yang mana taburan hujan adalah 400 milimeter (mm), sedangkan kita hanya mampu menampung sekitar 80 hingga 100mm saja. 

    “Isu ban tidak timbul kerana air memang melimpah di beberapa kawasan susulan hujan lebat. Perancangan kerajaan negeri ialah menaikkan satu lagi ban di bawah jejantas Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA) serta menaik taraf ban sedia ada,” katanya pada sidang media.

    Bagaimanapun, Izham berkata, pihaknya mengesan dua lokasi mengalami ban pecah, iaitu di Kampung Lombong, Seksyen 29, serta Kampung Asahan, Kuala Selangor, dan tindakan segera sudah diambil untuk menanganinya.

    Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Nazilah Idris, mempersoalkan pelaksanaan sebuah projek perumahan baharu berdekatan kunci air di kawasan Taman Sri Muda yang didakwa menjadi punca utama banjir di kawasan itu. 

    Melalui rakaman itu, Nazilah turut mendakwa terdapat ban yang pecah sehingga menyebabkan limpahan air Sungai Klang.

    Mengulas lanjut, Izham menjelaskan, projek perumahan terbabit adalah sah dan mendapat kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2015.

    “Projek berkenaan diluluskan selepas mematuhi spesifikasi ditetapkan, termasuk berkaitan faktor jarak dengan rizab dan mempunyai kolam takungan bawah tanah. Justeru, ia tiada kaitan langsung dengan punca banjir di sini,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan pembinaan pintu air baharu bagi mengurangkan risiko banjir di Taman Sri Muda.

    Pintu air berkenaan akan dilengkapi pam yang mampu mengepam keluar 5,100 liter air per saat, sekali gus mengurangkan risiko air melimpah ke kawasan perumahan penduduk.

  • Ketua balai bomba Kimanis parah dalam kemalangan

    Ketua balai bomba Kimanis parah dalam kemalangan

    KETUA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Paris Satu, Kinabatangan, pukul 3 petang tadi.

    Mohd. Johainin Ruslan, 35, dan seorang lagi individu yang belum dikenal pasti identitinya mengalami kecederaan parah.

    Isteri Johainin, Norlela Mohd Firdaus, 35, serta anak mereka, Nur Damia Maisarah, 7; Muhammad Muhyiddin Irfan, 6, dan adik kepada Norlela, Nurul Yusra, 20, hanya mengalami cedera ringan.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.13 petang.

    Beliau memberitahu, lapan mangsa dilaporkan terbabit dalam kemalangan itu dan tujuh anggota dari BBP Kinabatangan dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 43 kilometer dari balai bomba itu.

    “Kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax, lori dan Perodua Alza.

    “Terdapat lapan mangsa dilaporkan terlibat iaitu dua cedera parah, empat cedera ringan manakala dua lagi selamat,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya lagi, semua mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

    “Mangsa sebelum itu turut diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) manakala mangsa yang parah dirujuk ke Hospital Sandakan untuk rawatan lanjut,” katanya.

  • Tersekat di atas pokok selama 3 jam, tak sempat sampai rumah

    Tersekat di atas pokok selama 3 jam, tak sempat sampai rumah

    MEMBAYANGKAN mangsa-mangsa banjir yang terperangkap dan kesejukan di atas bumbung rumah ketika paras air sudah mula menenggelami sebahagian rumah mereka sememangnya satu perkara yang meluluhkan hati.

    Kisah seorang mangsa banjir di Seksyen 25 Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, memang menyayat hati apabila terperangkap tdi atas pokok selama tiga jam pada 19 Disember lalu, ketika paras air pada ketika itu sudah semakin tinggi.

    Bercerita kembali kepada SatuBerita pengalaman yang disifatkan seperti mimpi ngeri itu, Mohd. Rizzainudden Md. Husin, 43, berkata, pada petang itu, dia baru sahaja memindahkan sebuah kereta miliknya di Masjid Besar Taman Sri Muda.

    “Saya letak kereta di situ kerana sangkakan kawasan masjid tak akan tenggelam. Pada ketika itu, air baru sahaja mencecah paras pinggang. Namun, ketika saya dalam perjalanan pulang, air sudah naik pada paras hidung saya.

    “Saya kemudian mula berenang sedikit demi sedikit menuju ke rumah saya. Namun, saya sudah tidak larat dan kaki mula kekejangan ketika sudah menghampiri rumah Terus saya panjat dan tunggu di atas pokok itu,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

    Mohd Rizzainudden Md Husin, 43, ketika ditemui SatuBerita di Taman Sri Muda, hari ini

    Anak kelahiran Negeri Melaka ini menambah, sebelum itu, dia hanya bergantung kepada sebuah kotak polisterina kecil untuk berenang sehingga ke pokok berkenaan.

    Walaupun jarak antara pokok itu dengan rumahnya hanya kira-kira 60 meter, namun dia bimbang dihanyutkan air kerana terdapat parit yang besar di antara pokok itu dan rumahnya, selain faktor keletihan.

    Lokasi pokok Rizzainuddin tersekat pada 19 Disember lalu dan kotak polesterina yang digunakan olehnya ketika berenang.

    “Kalau saya teruskan berenang, mungkin saya sudah tiada hari ini. Tahu-tahu orang jumpa mayat saya sahaja di hujung parit sana,” katanya.

    Rizzainudden berkata, dia juga menjerit meminta tolong kepada bot penyelamat dari jabatan Bomba dan polis, tetapi tidak dipedulikan kerana mereka mengutamakan mangsa yang terperangkap di atas bumbung rumah.

    “Saya panggil mereka namun mereka suruh saya tunggu dahulu. Saya menggigil kesejukan dengan angin yang kuat di atas pokok itu. Saya ni bukan nyawa kah? Saya mahu ke seberang situ sahaja,” luahnya dengan rasa kecewa.

    Detik ngeri tersangkut di atas pokok itu berakhir apabila tiga lelaki yang menaiki bot persendirian menyelamatkannya sekitar jam 3 pagi.

    “Saya nampak mereka dari jauh, saya mula keluarkan telefon bimbit saya yang simpan dalam kotak biskut kecil dan saya nyalakan lampu suluh bagi memberikan isyarat.

    “Alhamdulillah mereka nampak saya. Mereka datang ke arah saya, dan saya berpaut pada bot mereka. Sampai sahaja di rumah, saya panjat masuk menerusi satu lubang kecil yang terletak di tingkat atas rumah. Barulah saya dapat jumpa anak dan isteri saya,” katanya.