WARGA emas lelaki patah kaki kanan selepas terjatuh dari tingkat 4 sebuah flat di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sungai Plan di Jalan Tanjung Kidurong hari ini.
Dalam kejadian itu, warga emas berusia 94 tahun berkenaan kemudiannya tersangkut pada bahagian bumbung sebuah kediaman di tingkat satu flat berkenaan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima makluman berhubung insiden pada 7 pagi.
Menurutnya, sampai di lokasi kejadian didapati mangsa masih lagi terbaring atas bumbung di tingkat satu dalam keadaan kesakitan.
“Pasukan bomba kemudiannya menggunakan tangga untuk mengangkatnya dengan menggunakan pengusung khas,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pasukan paramedik dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan lanjut.
Setakat ini, katanya, belum dapat dipastikan punca sebenar warga emas terbabit jatuh dari kediamannya di tingkat empat itu.
MENTERI Besar, Datuk Hasni Mohammad mengarahkan pihak berkaitan untuk memastikan sungai-sungai di Johor sentiasa diselenggara dengan baik sebagai langkah mengelakkan berlakunya bencana banjir.
Beliau berkata, tindakan penambahbaikan itu wajar dilaksanakan bagi mengelakkan lebih banyak kerugian dan perbelanjaan ditanggung akibat bencana itu.
Katanya, kerajaan negeri juga akan mengkaji dan meneliti penambahbaikan serta penyelenggaraan sistem saliran di setiap daerah khususnya kawasan titik panas berlaku banjir.
“Saya sudah mengingatkan rakan Exco Johor untuk mencari pelan jangka panjang untuk memastikan sungai di negeri ini perlu diselenggara secara berkala bagi elak bencana lebih besar di masa hadapan.
“Jangan sampai sungai sudah mendap, menjadi cetek atau tersekat barulah nak membuat kerja selenggara. Sungai ini perlu diselenggara secara berterusan dan berkala,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Festival Permainan Tradisional di Ulut Tiram, Johor Bahru, hari ini.
Dalam pada itu, Hasni memberitahu, penambahbaikan infrastruktur serta pengurusan sistem-sistem saliran juga perlu diberikan dalam menangani masalah ini.
“Johor merupakan negeri yang maju dan kerosakan akibat banjir mungkin akan menelan kos yang besar. Justeru, pelan jangka panjang perlu diberikan tumpuan.
“Kita negeri maju, bandar, pekan, kampung dan rumah-rumah dahulu tidak macam 30 tahun lepas. Berlaku banjir mungkin kerosakan sekitar RM100,000 hingga RM200,000 bagi satu kampung,” katanya.
SEORANG wanita warga emas meninggal dunia manakala sembilan lagi termasuk kanak-kanak berusia dua tahun cedera dalam kemalangan di Kilometer 106.1 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Sungai Sam, Kuala Krai, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu melibatkan sebuah kereta yang bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, mangsa yang maut di tempat kejadian itu adalah seorang wanita warga emas dikenali sebagai Eshah Ismail, 70, yang menaiki MPV tersebut.
Menurutnya, sembilan yang lain membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita juga menaiki Naza Ria mengalami kecederaan, manakala pemandu dan dua penumpang Proton Suprima termasuk kanak-kanak mengalami kecederaan di badan.
“Siasatan awal mendapati Proton Suprima yang dipandu anggota tentera berusia 31 tahun dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang.
“Setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba MPV dipandu lelaki berusia 48 tahun yang datang dari arah bertentangan cuba memotong kenderaan lain, namun gagal berbuat demikian dan menyebabkan berlakunya pertembungan antara kenderaan terbabit.
“Ibu pemandu berkenaan yang berada di belakang tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Suzaimi berkata, mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SEBANYAK 31 sekolah di Johor tidak dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga yang bermula esok susulan masih terjejas akibat banjir.
Daripada jumlah itu, sebanyak 23 sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sementara lapan sekolah lagi masih ditenggelami air.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, sekolah yang dijadikan PPS adalah masing-masing lapan sekolah di Segamat dan Tangkak, lima sekolah di Muar dan dua sekolah di Batu Pahat.
“Sebelum ini, sebanyak 46 sekolah di Johor dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas akibat banjir. Namun keadaan banjir semakin pulih, separuh daripadanya sudah ditutup.
“Bagi sekolah yang masih dijadikan PPS, ia tidak akan dibuka esok dan akan kekal menjadi PPS sehinggalah isu banjir ini selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Sebanyak 1,184 sekolah di negeri ini dijadualkan dibuka esok bagi sesi persekolahan penggal 3, 2021/2022, mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan (KPM).
Sementara itu, Mazlan berkata, empat sekolah di Tangkak, tiga di Segamat dan sebuah sekolah di Muar juga tidak akan memulakan sesi persekolahan esok kerana dilanda bah.
Katanya, sesi persekolahan bagi lapan sekolah yang terjejas itu hanya akan bermula sebaik keadaan banjir pulih.
“Selepas keadaan banjir pulih dan kerja pembersihan sudah selesai, barulah sekolah yang terjejas ini akan menyambung sesi persekolahan penggal ketiga.
“Bagi sekolah lain yang tidak terbabit banjir, sesi persekolahan akan berjalan seperti seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KPM.
“Seramai 684 pelajar di negeri ini dipindahkan ke PPS dan sehingga kini 369 daripadanya masih berada di PPS yang masih dibuka,” katanya.
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu mangsa banjir yang diuji dengan bencana alam itu agar terus bersabar.
Titah nasihat Sultan Ibrahim itu sekali gus menaikkan semangat mangsa banjir yang ditemui baginda di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng, hari ini.
Menurut Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md. Ali, Sultan Johor bertitah sedemikian selain mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada dan menjaga kesihatan, lapor Astro Awani.
“Alhamdulillah, Yang Maha Mulia Tuanku berikan semangat, memberikan harapan kepada rakyat supaya sentiasa menjaga kesihatan, berwaspada dan sabar… yang penting sabar yang Tuanku titah, Alhamdulillah mangsa-mangsa dalam keadaan baik,” kata Nasri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Sultan Ibrahim ke PPS itu, hari ini .
Terdahulu, Sultan Ibrahim yang tiba di pekarangan SMK Yong Peng pada pukul 11.20 pagi meluangkan masa kira-kira 20 minit bagi mendengar taklimat berkaitan banjir di Batu Pahat dan melihat sendiri keadaan mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan.
Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan makanan untuk juadah makan tengah hari kepada mangsa yang terlibat selain mengurniakan sumbangan kewangan.
Turut hadir Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Sejak Isnin lalu, dua PPS dibuka di daerah Batu Pahat dengan keseluruhan 74 mangsa terdiri daripada 21 keluarga dipindahkan setakat ini.
PPS SMK Yong Peng yang dibuka pada pukul 9 malam Isnin lalu menempatkan 54 mangsa daripada 18 keluarga penduduk Kampung Batu 1, Jalan Labis, Kampung Temehel, Sungai Sedi dan Kampung Paya.
Sementara PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sejati dibuka pada pukul 4 petang semalam dan menempatkan 20 mangsa daripada tiga keluarga Kampung Parit Lapis Basri.
BENCANA banjir di berapa negeri baru-baru ini telah memberikan kesan buruk kepada mereka yang terkena musibah tersebut. Di Johor, banjir masih lagi berlaku dan masih tidak surut lagi.
Ada mangsa banjir yang mengalami kerugian RM1,000, malah ada yang rugi RM100,000 sehingga lebih RM1 juta ringgit. Mana tidaknya, ada kereta-kereta yang bernilai lebih RM1 juta juga ditenggelami air dan lumpur.
Jika hendak dituding kesalahan dan angkara siapakah musibah bencana kali ini, memang ramailah yang akan dipersalahkan.
Namun, bukan mereka sahaja yang bermasalah, ada juga pihak lain yang mengambil kesempatan untuk menekan masyarakat yang sedang kepeningan menghadapi musibah ini.
Baru-baru ini, gegak gempita dalam media sosial dengan invois-invois daripada beberapa bengkel yang mencecah puluhan ribu ringgit untuk membaiki kereta-kereta yang ditenggelami banjir.
Malah, ada yang tergamak menggelarkan bengkel-bengkel tersebut sebagai ‘bengkel dari neraka’.
Bagi menjawab isu tersebut, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel, pengasas bersama Scrut Auto iaitu bengkel membaiki dan servis kereta di Jalan Ampang, Kuala Lumpur berkata, mungkin benar kejadian seperti itu berlaku kerana sifat tamak dan suka mengambil kesempatan itu sentiasa ada dalam jiwa manusia.
Menurut beliau, lebih-lebih lagi ketika musim banjir kali ini, ekoran terlalu banyak tempat yang dinaiki yang terlibat.
Kebanyakan bengkel di Lembah Klang penuh dan difahamkan masih banyak kereta yang rosak akibat banjir belum ditarik untuk dibaiki.
“Mangsa banjir yang hendak menghantar kereta-kereta mereka yang telah terjejas hendaklah terlebih dahulu menghubungi bengkel-bengkel yang mereka kenali terlebih dahulu, dapatkan slot pemeriksaan dan anggaran harga (sebut harga).
“Jangan terus hantar, kerana kebanyak bengkel sekarang penuh. Pastikan setelah diperiksa, sebut harga diberikan. Jika tidak setuju, rasa mahal, bawa pulang semula kerena anda.”
“Biasa terjadi hal-hal sebegitu adalah disebabkan kecuaian kita sendiri yang bersifat tidak kisah. Seperti kata-kata, ‘buat je apa yang patut, nanti saya bayar.’ Tanpa meminta sebut harga dulu. Untuk pengetahuan, setiap kereta berbeza harga alat ganti dan kos penyelenggaraan,” katanya, baru-baru ini.
Seorang mekanik di Scrut Auto tekun membaiki kenderaan milik pelanggan.
Nik Muhammad Izwan juga menyarankan, kereta yang rosak kerana banjir hendaklah dihantar kepada bengkel secepat mungkin bagi mengelakkan kos pembaikan melambung setelah lumpur yang ada di dalam kereta menjadi keras dan menyukarkan pembaikan.
Sementara itu, seorang lagi pengasas Scrut Auto, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin memberitahu, pihak bengkel juga harus bijak memilih pelanggan.
Beliau menambah, jika pelanggan tidak mampu membayar, kerugian akan berlaku kepada pihak pengusaha bengkel pula.
Sebagai contoh, kata Ahmad Aliff, di Scrut Auto, mereka memberi keutamaan kepada pelanggan yang mereka kenali, kemudian barulah pelanggan baharu jika ada slot kosong.
“Tidak mustahil ada pengusaha bengkel yang hendak mengambil kesempatan ke atas musibah banjir kali ini, maka penggunalah yang harus bertindak bijak. Pilih bengkel yang telah dikenali, dapatkan sebut harga sebelum bersetuju dan pastikan jangan menggunakan khidmat broker!
“Setiap bengkel ada kadar harga mereka sendiri. Kalau di Scrut Auto, kami menekankan kualiti dan servis terbaik. Bukan ala kadar. ‘You pay peanut, you get monkey’ itu slogan kami di sini.
“Tetapi, kami akan memberikan sebut harga setelah kerosakan dianggarkan, diagnosis dibuat. Jika tidak bersetuju. Hanya bayar kos pemeriksaan dan diagnosis sahaja, kemudian boleh dibawa kereta anda ke bengkel lain. Begitulah praktis kami di sini,” jelasnya.
Mereka berdua bersependapat, para pengguna perlu bijak menguruskan musibah ini dan jangan membuat keputusan tergesa-gesa.
Pada masa yang sama pengusaha bengkel juga dinasihatkan tidak bersikap tamak dan cuba mengambil kesempatan. Jika pelanggan tidak mampu bayar, bagaimana?
Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz turut berkongsi dalam ciapan Twitter miliknya tentang insentif kerajaan bagi meringankan beban pemilik kenderaan yang rosak akibat bencana banjir.
Menurut beliau, pemilik kenderaan terbabit boleh memohon Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian.
Selain itu, mereka layak menerima diskaun sehingga 50 peratus bagi kerja pembaikan oleh hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara.
SEORANG lelaki meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Kilometer 229.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Taiping malam tadi.
Kejadian pada pukul 12 tengah malam itu mengorbankan Muhammad Syahmi Ishak, 21, yang maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lori.
Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tembok batu penghadang jalan di sebelah kanan dan terhenti di lorong kanan.
“Keadaan itu menyebabkan sebuah kereta jenis Honda Accord dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun di lorong kanan telah melanggar kereta mangsa sebelum berpusing dan melanggar sebuah ambulans yang bergerak di lorong kiri.
“Empat buah kenderaan lain iaitu Volkswagen, Perodua Axia, Honda City dan Honda Civic yang berada di lorong kanan turut bergesel dengan kenderaan mangsa namun pada waktu berbeza,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Osman berkata, mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tujuh pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.
“Kenderaan terlibat telah dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun cedera dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 4.8, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di Johor Bahru, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Supt Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun, dan sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki berusia 24 tahun bersama isteri, 20, dan dua anaknya.
Menurut beliau, ketika kejadian, kesemua yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Johor Bahru, berhampiran lampu isyarat Jalan Serampang.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal bersama isteri bersama dua anaknya mengalami kecederaan dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Sementara itu, pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Trafik JBS pada pukul 6.53 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jit Huey berkata, percakapan pemandu kereta itu telah dirakam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu kata beliau, pihaknya memohon saksi yang melihat kejadian kemalangan tersebut untuk tampil memberi maklumat di balai polis JBS atau berhubung dengan penolong pegawai penyiasat Sarjan Azim@Azim Ab Samt di 019-7533893.
Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat memaparkan insiden kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna hijau yang secara tiba-tiba mengubah laluan dari laluan tengah ke kanan, lalu merempuh sebuah motosikal yang ketika itu berada di lorong kanan laluan tersebut.
Akibat dari rempuhan itu, penunggang motosikal bersama tiga pembonceng termasuk dua kanak-kanak tercampak di atas jalan raya.
Turut tular di laman sosial dipercayai gambar dua kanak-kanak di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai daripada kejadian tersebut. – BERNAMA
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) Tan Sri Mohd Yusof Hitam meninggal dunia petang semalam akibat kemalangan.
Ahli Majlis dan pengasas bersama ADAB, Mohd Arof Ishak yang mengesahkan perkara itu berkata Mohd Yusof, 86, menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 4 petang semalam di Hospital Pantai Kuala Lumpur.
“Arwah terlibat dengan kemalangan di hadapan rumahnya di Bukit Damansara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail selepas solat jenazah yang akan diadakan selepas solat Jumaat, hari ini.
Mohd Arof yang juga rakan kepada Allahyarham berkata arwah merupakan seorang yang tegas, amanah dan mempunyai tahap intelektual tinggi yang tidak sukar dicari ganti.
Allahyarham pernah menjadi Duta ke Republik Sosialis Vietnam pada 1976 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi ke New Zealand pada 1978 dan juga pernah menjadi Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1986.
Allahyarham yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri pada 1988 meninggalkan isterinya Puan Sri Michiyo Noor Azian Mustakim dan tiga orang anaknya.
Sementara itu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di laman Twitternya, pagi ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.
JUMLAH mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri iaitu Sabah, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan terus mencatat pengurangan petang ini.
Di Sabah, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan ketara kepada 281 orang daripada 62 keluarga petang ini berbanding 3,417 orang daripada 1,224 keluarga tengah hari tadi.
Sejumlah 14 PPS di Kota Marudu ditutup dengan kesemua 3,136 orang daripada 1,161 keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas banjir pulih.
Penutupan PPS di Kota Marudu itu menjadikan 21 PPS ditutup di Sabah setakat petang ini termasuk beberapa PPS di Pitas, Telupid dan Beluran.
Setakat petang tadi, seramai 183 orang daripada 46 keluarga masih berada di enam PPS di Telupid, diikuti Paitan (54 orang daripada 10 keluarga di dua PPS) dan Sandakan (45 orang daripada tujuh keluarga di satu PPS).
Di Johor, mangsa banjir menurun kepada 3,985 orang setakat 4 petang berbanding 4,098 orang tengah hari tadi dengan 61 PPS masih beroperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata lima daerah masih terjejas banjir dengan Segamat kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,460 orang, Tangkak (739), Muar (714), Batu Pahat (53) dan Mersing (19).
Beliau berkata enam stesen sungai mencatat paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Muar di Kampung Olak Sepam dan Sungai Muar di Panchor, Muar; Sungai Gemas di Muara Sungai Gemas, Segamat; Liang Batu di Muar dan Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar.
Katanya setakat ini, keadaan cuaca di seluruh Johor dilaporkan cerah.
Di Melaka, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 418 orang daripada 111 keluarga setakat 4 petang berbanding 451 orang daripada 123 keluarga pada 12 tengah hari tadi membabitkan daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.
Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir terus berkurangan setakat 4 petang dengan 954 orang ditempatkan di 29 PPS berbanding 1,171 orang di 30 PPS tengah hari tadi, membabitkan daerah Temerloh, Pekan, Maran, Bera dan Rompin.
Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Bera dan Sungai Serting di Bera serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan kekal melebihi paras bahaya sejak semalam.
Di Negeri Sembilan, berdasarkan laporan aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan setakat 4 petang dengan 221 orang daripada 59 keluarga berada di tiga PPS berbanding 472 orang tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata enam laluan masih ditutup kepada semua kenderaan susulan tanah runtuh termasuk Jalan 6 Felda Titi dan Jeram Toi, Jelebu.
Di Selangor, Info Bencana JKM memaklumkan tiada PPS beroperasi hari ini. – Bernama