WARGA emas lelaki patah kaki kanan selepas terjatuh dari tingkat 4 sebuah flat di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sungai Plan di Jalan Tanjung Kidurong hari ini.

Dalam kejadian itu, warga emas berusia 94 tahun berkenaan kemudiannya tersangkut pada bahagian bumbung sebuah kediaman di tingkat satu flat berkenaan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima makluman berhubung insiden pada 7 pagi.

Menurutnya, sampai di lokasi kejadian didapati mangsa masih lagi terbaring atas bumbung di tingkat satu dalam keadaan kesakitan.

“Pasukan bomba kemudiannya menggunakan tangga untuk mengangkatnya dengan menggunakan pengusung khas,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pasukan paramedik dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan lanjut.

Setakat ini, katanya, belum dapat dipastikan punca sebenar warga emas terbabit jatuh dari kediamannya di tingkat empat itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here