Category: Kemalangan / Bencana

  • Timbalan Ketua MIC Bahagian Tapah maut kereta masuk parit

    Timbalan Ketua MIC Bahagian Tapah maut kereta masuk parit

    TIMBALAN Ketua MIC Bahagian Tapah, D Sivabalan maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Km 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Tapah, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku pada kira-kira 12.45 tengah malam dan menyebabkan Sivabalan, 50, meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa (Sivabalan) yang memandu kereta jenis Proton Iswara memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta jenis Proton Exora dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun.

    “Kereta mangsa kemudian terbabas ke dalam parit di sebelah kanan jalan menuju ke arah Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala pemandu Proton Exora tidak mengalami kecederaan. – BERNAMA

  • Pemandu van maut terbabas rempuh pokok

    Pemandu van maut terbabas rempuh pokok

    SEORANG lelaki meninggal dunia selepas van dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di Batu 11 Jalan Pantai Tanjung Piandang, Parit Buntar, pukul 6.15 pagi tadi.

    Mangsa, Mohamad Tarmizi Mohd. Tajudin, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Kurau ke Tanjung Piandang.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

    “Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Mazuki, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

    “Punca nahas adalah hilang kawalan dan terbabas sendiri,” ujarnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Lelaki rentung dalam kebakaran kedai perabot

    Lelaki rentung dalam kebakaran kedai perabot

    SEORANG lelaki ditemukan rentung, manakala dua rakan sekerjanya selamat dalam kejadian kebakaran di sebuah kedai perabot di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini menyatakan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.42 pagi, dan pasukan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian mendapati premis berkenaan sedang terbakar.

    “Terdapat tiga mangsa berusia lingkungan 50-an dan 60-an, dua mangsa dikeluarkan dengan selamat, manakala seorang pekerja ditemui Unit Anjing Pengesan (K9) dan disahkan rentung oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

    Kenyataan itu memaklumkan pihak Bomba turut menghadapi kesukaran ketika memadam api kerana risiko arus elektrik, namun kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan sebelah pada 3.30 pagi.

    Punca kebakaran di kedai perabot berkenaan masih disiasat. – Bernama

  • Pasukan penyelamat berdepan kekangan selamatkan mangsa banjir

    Pasukan penyelamat berdepan kekangan selamatkan mangsa banjir

    WALAUPUN pasukan penyelamat yang terlibat operasi pengurusan banjir telah menggerakkan aset dalam kejadian di Selangor 18 Dis lalu, namun beberapa kekangan telah menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk meneruskan operasi.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk kesukaran bot-bot penyelamat untuk bergerak di dalam kawasan banjir, kerana tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan terjejas.

    “…bermula pada petang Sabtu, 18 Dis 2021, PDRM (Polis Di Raja Malaysia) JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan APM (Angkatan Pertahanan Awam) sebenarnya telahpun menggerakkan pasukan masing-masing bagi memindahkan mangsa.

    “Namun demikian, kerja-kerja menyelamat menjadi lebih sukar berikutan kenderaan yang terperangkap di jalan utama sehingga menghalang kenderaan penyelamat memasuki kawasan perumahan, sehingga ada keadaan aset-aset menyelamat terpaksa dipikul ke kawasan terlibat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menerangkan situasi bencana banjir pertengahan Dis 2021 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Ismail Sabri berkata, suasana yang semakin gelap, dan terdapat ramai mangsa yang masih enggan meninggalkan kediaman mereka ketika itu juga menyumbang kepada kelewatan operasi pemindahan.

    “Mahu menyelamatkan harta benda, jarak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang agak jauh dari rumah, bimbang rumah dimasuki pencuri serta bimbang risiko jangkitan COVID-19 di PPS, menjadi antara alasan penduduk enggan untuk berpindah,” katanya.

    Beliau berkata, kelewatan kerja-kerja menyelamat juga adalah disebabkan alamat rumah yang diberikan oleh pemanggil tidak dapat dikenal pasti, kerana sudah ditenggelami air.

    “Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sokongan aset dan kekuatan anggota penyelamat serta petugas dari lain-lain negeri pula berhadapan dengan kesukaran, kerana tidak arif dengan selok belok kawasan ditenggelami banjir dan memerlukan jurupandu,” katanya.

    Selain daripada itu, beliau berkata. sekolah dan fasiliti yang telah diwartakan sebagai PPS pula turut ditenggelami air, justeru PPS ad hoc diwujudkan seperti penggunaan surau, masjid malahan khemah sementara juga telah didirikan dengan kadar segera bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang diselamatkan.

    “Ketiadaan bekalan elektrik dan infrastruktur komunikasi yang terputus akibat banjir, menyebabkan penduduk tidak dapat menghubungi agensi penyelamat untuk bantuan. Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat dan petugas di lapangan dalam operasi bencana yang luar biasa ini,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, kerajaan mengenal pasti tiga cabaran utama perlu diberi perhatian untuk diperbaiki dan ditambah baik segera dalam pengurusan banjir termasuk pemahaman terhadap Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, masih terdapat kelemahan pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri dan daerah serta badan berkanun, selain pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan tanggungjawab masing-masing di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana seperti digariskan di bawah arahan itu.

    “Kerjasama rapat pelbagai pihak seperti kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana negara pada tahap optimum,” katanya ketika sesi penerangan berkenaan situasi bencana banjir penghujung tahun 2021 pada Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

    Ismail Sabri berkata, pihaknya juga mengenal pasti kelemahan perintah dan kawalan dengan ketiadaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di negeri dan daerah, menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.

    Arahan MKN No. 20 adalah berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara yang menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat.

    Perdana Menteri berkata, struktur organisasi sedia ada juga membataskan keupayaan NADMA untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana yang melibatkan penduduk setempat, NGO dan pihak berkuasa Tempatan (PBT).

    Beliau berkata, kekangan ini menyebabkan NADMA tidak dapat menguruskan bencana secara terus di peringkat negeri dan daerah.

    Selain itu, katanya, kelemahan pengurusan maklumat dalam pengurusan bencana juga perlu diperbaiki kerana didapati ada yang masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional yang tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

    Menurutnya, situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisaan, proses membuat keputusan dan pengurusan data berkaitan menunjukkan kelemahan yang ketara.

    “Penyaluran maklumat oleh agensi-agensi terlibat sepatutnya lebih pantas dan tepat kepada mangsa-mangsa banjir dan ini semua perlu diperbaiki,” katanya.

    Bagi menambah baik pengurusan bencana, Ismail Sabri berkata, beliau telah mengarahkan agensi bertanggungjawab supaya mempercepatkan pembangunan Fasa Kedua Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang diurus Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meliputi 38 lembangan sungai utama seluruh negara bagi membolehkan ramalan awal banjir yang lebih tepat dikeluarkan.

    Dari segi hebahan kepada orang awam, Ismail Sabri berkata, kaedah terbaik dan terpantas untuk mengeluarkan amaran awal dan arahan bersedia khususnya kepada penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir, juga perlu ditambah baik.

    “Misalnya menggunakan aplikasi WhatsApp, push notification (paparan notifikasi) melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi. Penghasilan visual simulasi banjir, infografik dan sebagainya juga perlu diberi perhatian yang boleh disebarluaskan melalui media massa dan media sosial,” katanya.

    Dalam urusan penyediaan makanan kepada mangsa banjir, perdana menteri berkata, penggunaan teknologi retort bagi makanan sedia dimakan akan diedar kepada mangsa banjir kerana kaedah pembungkusan tersebut lebih tahan lama dan kalis air.

    Selain itu, katanya, penglibatan organisasi masyarakat sivil (CSO) secara terselaras akan dapat melancarkan lagi proses penyampaian bantuan kepada mangsa yang terjejas selain, meningkatkan pemerkasaan komuniti bagi mewujudkan masyarakat berdaya tahan terhadap bencana.

    Sebagai langkah jangka panjang, Ismail Sabri berkata, aspek dasar pengurangan risiko bencana (DRR) juga perlu ditambah baik secara pendekatan keseluruhan masyarakat dan diterapkan di dalam segenap aspek meliputi pembangunan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

    Beliau berkata, ini kerana pengurusan bencana adalah urusan semua pihak dengan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam merupakan kunci yang perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk budaya perkongsian tanggungjawab termasuk dalam DRR.

    Selain itu, katanya, PBT perlu sentiasa memainkan peranan seperti memastikan saluran longkang monsun khususnya di bandar dan pinggir bandar sentiasa berada dalam keadaan baik serta tidak tersumbat dengan sampah sarap bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir kilat.

    Perdana Menteri berkata, beliau juga telah mengarahkan NADMA mempercepatkan penggubalan Akta Pengurusan Bencana.

    “Selain daripada itu, saya selaku Pengerusi Jawatankusa Pengurusan Bencana Pusat akan memanggil mesyuarat yang melibatkan Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri serta wakil-wakil kerajaan negeri untuk kita membuat perancangan jangka panjang yang menyeluruh bagi mengatasi masalah banjir,” katanya. – BERNAMA

  • Bot PATI karam:Dua maut, enam hilang, 19 selamat

    Bot PATI karam:Dua maut, enam hilang, 19 selamat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH bot yang membawa 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) terbalik sebelum karam semasa dikejar bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang melakukan rondaan Op Benteng pada kedudukan 0.8 batu nautika
    Teluk Ramunia, Kota Tinggi, hari ini.

    Dalam kejadian pada awal pagi itu, bot membawa PATI itu bertindak melarikan diri secara agresif dan berbahaya selepas menyedari kehadiran mereka dikesan bot TLDM.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot PATI berkenaan kemudian hilang imbangan lalu terbalik dan mengakibatkan dua wanita lemas manakala 19 lagi berjaya diselamatkan manakala enam lagi hilang.

    “Terdahulu pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mendapat maklumat melalui Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) mengenai kejadian itu pada pukul 4.50 pagi dilaporkan TLDM mengenai sebuah bot yang disyaki membawa 27 PATI karam.

    “Sebelum itu pada pukul 3.45 pagi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia telah mengesan satu sasaran curiga sedang bergerak dari perairan Pulau Bintan, Indonesia menuju ke perairan negara.

    “Kemudian pihak maritim menyalurkan maklumat kepada aset TLDM KD Sri Indera Sakti yang dalam penugasan Op Benteng,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Berikutan itu katanya, aset TLDM telah mengesan bot PATI berkenaan pada pukul 4.10 pagi sebelum mengejarnya sebelum karam.

    Katanya, MRSC Johor Bahru mengaktifkan pukul 6.40 pagi dan operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan sehingga kini.

  • Tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar diisytihar kawasan bencana tahap satu

    Tapak pelupusan sampah Pulau Burung terbakar diisytihar kawasan bencana tahap satu

    TAPAK pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang terbakar sejak lebih seminggu lalu kini diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, semua aktiviti keluar masuk ke kawasan itu kini dipantau bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

    Bagaimanapun jelas beliau, polis selaku komandan operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana setakat ini belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu sama ada daripada mana-mana pihak.

    “Meskipun api pada atas permukaan kawasan yang terbakar telah dipadamkan, namun masih terdapat kebakaran pada lapisan bawah dan mengeluarkan asap.

    “Sebab itu kerja-kerja pemadaman api mengambil masa untuk dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Yang turut hadir, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang; Hafiz Hafizal Timaradin dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab.

    Sementara itu Hafiz Hafizal berkata, ketika ini kira-kira 35 peratus kawasan yang terbakar telah dipadamkan sejak kerja-kerja pemadaman dimulakan minggu lepas.

    Menurut beliau, selain kaedah pengeboman air atau ‘water bombing’ yang bermula hari ini, pihaknya juga menggunakan tanah untuk ‘melemahkan’ api sekali gus cuba mengawal kebakaran tersebut.

  • Pengantin baharu maut motosikal dirempuh kereta

    Pengantin baharu maut motosikal dirempuh kereta

    MALANG tidak berbau bagi seorang pengantin baharu yang hanya sempat menikmati alam rumah tangga dalam masa beberapa minggu sahaja sebelum dia meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya malam tadi.

    Memetik laporan Sinar Harian, Anwarie Azim Rozi, 23, maut dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 196.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, kira-kira pukul 8.15 malam.

    Pengantin baharu itu yang menunggang motosikal Yamaha Y15Z dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Melaka dari tempat kerja di Seremban.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitenden Arshad Abu berkata, setiba di lokasi kejadian sebuah kereta Proton Persona dipandu lelaki berusia 47 tahun dari arah sama dipercayai telah hilang kawalan lalu merempuh motosikal mangsa.

    “Akibat rempuhan itu mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

    “Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga,” katanya.

    Beliau menambah, pemandu kereta terbabit diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Tragedi bot karam:Enam mayat ditemui, seorang selamat

    Tragedi bot karam:Enam mayat ditemui, seorang selamat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAEMAI enam pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemukan mayatnya dipercayai penumpang bot yang terbalik dan karam dipukul ombak besar di perairan Pulau Pisang, Pontian, hari ini.

    Enam mayat PATI tersebut ditemui dan dibawa ke Jeti Nelayan Pontian Besar.

    Mayat pertama dan kedua dinaikkan di jeti berkenaan pukul 2.35 petang manakala baki empat mayat terakhir pula dibawa naik pukul 3.04 petang.

    Sementara itu, seorang wanita yang sebelum ini dilaporkan merupakan antara tujuh PATI yang dikhuatiri lemas, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat.

    Wanita yang dipercayai selamat dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang, Pontian, hari ini.

    Wanita berkenaan tiba di jeti itu pukul 2.30 petang menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

    Wanita itu dilihat menangis setibanya di jeti berkenaan sebelum dibawa ke ambulans yang menanti di jeti untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    Dalam kejadian itu, tujuh PATI dikhuatiri lemas, manakala enam lagi ditemui selamat nelayan tempatan selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik dan karam di perairan Pulau Pisang pukul 10 pagi tadi.

    Seorang daripada enam PATI yang diselamatkan nelayan tempatan itu berada dalam keadaan kritikal dan kini menerima rawatan di Hospital Pontian.

  • Sembilan penumpang nyaris lemas bot karam

    Sembilan penumpang nyaris lemas bot karam

    SEMBILAN penumpang detik cemas apabila bot pam yang dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan Jeti Pelancongan Semporna, Semporna, pada pukul 9.50 pagi tadi.

    Penumpang berkenaan terdiri daripada dua lelaki, dua wanita bersama dua kanak-kanak perempuan dan tiga kanak-kanak lelaki sempat diselamatkan pasukan bomba dan orang awam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 9.59 pagi.

    Katanya, seramai lima anggota dari pasukan BBP Atas Air Semporna dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 50 meter dari balai.

    “Menurut maklumat, sebuah bot pam milik penduduk kampung karam di hadapan jeti pelancongan ketika dalam perjalanan ke Kampung Bangau-Bangau.

    “Pasukan bomba segera ke lokasi dengan menggunakan bot Kevler untuk operasi menyelamat dan terdapat sembilan mangsa yang terlibat berjaya diselamatkan pasukan bomba bersama orang awam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

    Katanya lagi, maklumat berkaitan mangsa tidak dapat diperoleh namun pemeriksaan mendapati tiada mangsa yang cedera atau kematian dilaporkan.

    “Selepas keadaan selamat, operasi kemudian ditamatkan pada pukul 10.39 pagi,” katanya.

  • Menjadi pendiam petanda ajal sebelum tragedi lemas

    Menjadi pendiam petanda ajal sebelum tragedi lemas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG daripada dua remaja yang lemas dalam Sungai Masai berdekatan Taman Masai Utama, Pasir Gudang menjadi pendiam dan tidak banyak bercakap sebelum tragedi itu berlaku.

    Bapa mangsa, Sabri kadir, 48, berkata, anaknya, Sharif Mohd. Sharizan biasanya akan melihat wajahnya ketika mereka berbual tetapi tiba-tiba berubah menjadi pendiam kira-kira empat hari lalu.

    “Biasanya apabila saya bercakap dia akan memandang wajah saya tapi sejak tiga empat hari lalu, dia hanya tunduk apabila saya bercakap dengan dia dan memandang ke depan,” katanya.

    Sabri Kadir

    Dia berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian arwah Sharif dan seorang lagi mangsa lemas di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang, hari ini.

    Kira-kira 100 ahli keluarga, saudara-mara dan rakan selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kebajikan Xindai hadir.

    Che Zakaria (kiri), Sabri (tengah) dan ahli keluarga serta rakan arwah hadir pada pengebumian dua mangsa lemas di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang, Kampung Cahaya Baru, Padir Gudang, hari ini.

    Jenazah Sharif tiba dahulu dan dikebumikan pada pukul 10.45 pagi manakala jenazah mangsa lemas kedua, Mohd. Ahlan Kiram pula dikebumikan bersebelahan Sharif kira-kira satu jam selepas itu.

    Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang kelmarin, Sharif, 11, dan enam rakannya bermain di tepi Sungai Masai berdekatan Taman Masai Utama sebelum seliparnya dikatakan terjatuh dalam air lalu cuba mengambilnya.

    Arwah Sharif terkapai-kapai dan Mohd. Ahlan, 14, yang melihat kejadian itu cuba membantu tetapi tidak berjaya lalu kedua-duanya lemas sebelum rakan mangsa kemudian meminta bantuan penduduk kampung.

    Sabri berkata, anaknya itu jarang pergi ke kawasan sungai tersebut sebelum ini dan semasa kejadian mangsa bermain bersama-sama rakannya yang duduk satu taman denganya.

    “Saya mendengar cerita sahaja dia cuba mengambil selipar yang terjatuh tetapi saya tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya,” katanya.

    Sabri berkata, keluarganya reda dengan pemergian anak ketiga daripada lima beradik itu dan menyifatkan mangsa sebagai anak paling manja dalam keluarganya.

    Sementara itu, abang kepada Mohd. Ahlan iaitu Mohd Syahlan, 19, berkata, berdasarkan cerita rakan mangsa yang terlibat, adiknya cuba membantu menyelamatkan Sharif tetapi tidak menyangka dasar sungai itu dalam.

    Mohd Syahlan

    “Menurut cerita, adik saya sangka kawasan itu cetek tetapi apabila pergi membantu Sharif, kawasan itu dalam sebenarnya dan dia yang tidak tahu berenang turut lemas,” katanya yang bekerja di kilang di Pasir Gudang.

    Dalam pada itu, wakil Persatuan Kebajikan Xindai, Ungku Ibrahim Ismail Ungku Muhamad Yunos berkata, pihaknya menghulurkan bantuan RM500 kepada setiap keluarga bagi membantu meringankan beban mereka.

    “Kita akan beri bantuan susulan terutama kepada keluarga Sabri kerana dia hanya berniaga nasi lemak dan menyewa sebuah bilik dan bukan sebuah rumah di taman itu disebabkan tidak mampu selain sudah berhenti kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.