Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEBUAH bot yang membawa 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) terbalik sebelum karam semasa dikejar bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang melakukan rondaan Op Benteng pada kedudukan 0.8 batu nautika
Teluk Ramunia, Kota Tinggi, hari ini.

Dalam kejadian pada awal pagi itu, bot membawa PATI itu bertindak melarikan diri secara agresif dan berbahaya selepas menyedari kehadiran mereka dikesan bot TLDM.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot PATI berkenaan kemudian hilang imbangan lalu terbalik dan mengakibatkan dua wanita lemas manakala 19 lagi berjaya diselamatkan manakala enam lagi hilang.

“Terdahulu pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mendapat maklumat melalui Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) mengenai kejadian itu pada pukul 4.50 pagi dilaporkan TLDM mengenai sebuah bot yang disyaki membawa 27 PATI karam.

“Sebelum itu pada pukul 3.45 pagi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia telah mengesan satu sasaran curiga sedang bergerak dari perairan Pulau Bintan, Indonesia menuju ke perairan negara.

“Kemudian pihak maritim menyalurkan maklumat kepada aset TLDM KD Sri Indera Sakti yang dalam penugasan Op Benteng,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu katanya, aset TLDM telah mengesan bot PATI berkenaan pada pukul 4.10 pagi sebelum mengejarnya sebelum karam.

Katanya, MRSC Johor Bahru mengaktifkan pukul 6.40 pagi dan operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan sehingga kini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here