Category: Kemalangan / Bencana

  • Deretan 15 gerai makan MPK terbakar

    Deretan 15 gerai makan MPK terbakar

    DERETAN 15 gerai makan milik Majlis Perbandaran Klang (MPK) di jalan besar Pandamaran, Klang terbakar dalam kejadian awal pada pukul 3.14 pagi tadi.

    Kejadian tersebut yang disedari orang awam dimaklumkan kepada pihak bomba sebelum 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang serta BBP Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, hampir dua jam masa diambil dalam operasi memadamkan kebakaran tersebut.

    “Anggota penyelamat bertindak melakukan kerja pemadaman menggunakan tiga aliran hos sehingga api padam sepenuhnya. Api berjaya dikawal pada pukul 3.40 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 5.18 pagi.

    “Struktur gerai jenis terbuka yang setiap satu berkeluasan 100 kaki persegi itu terbakar 80 peratus,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu.

  • Bangunan dalam pembinaan terbakar selepas dua tong gas meletup

    Bangunan dalam pembinaan terbakar selepas dua tong gas meletup

    DUA tong gas dieprcayai meletup sehingga mengakibatkan sebuah bangunan dalam pembinaan terbakar di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak bomba pada pukul 2.17 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dibantu BBP Jalan Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian.

    Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memberitahu, hampir 30 minit masa diambil bagi memadamkan kebakaran di bangunan terbabit melibatkan kemusnahan sehingga 70 peratus.

    “Kebakaran dapat dikawal pada pukul 2.30 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.59 petang.

    “Kebakaran tersebut turut melibatkan dua buah tong gas jenis acetylene dan keluasan kebakaran adalah 600 kaki persegi,” menurut kenyataan itu, hari ini.

    Jelasnya, kejadian tidak melibatkan mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • Pesara guru maut tersepit dalam kemalangan

    Pesara guru maut tersepit dalam kemalangan

    SEORANG lelaki yang juga pesara guru maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer (KM) 3, Jalan Sedia Raja-Mampong, berdekatan Jalan Perigi Gaung, Rembau, pukul 8.50 pagi tadi.

    Mangsa, Sulaiman Harun, 79, disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik manakala seorang lagi pemandu mengalami patah kaki.

    Kemalangan membabitkan kereta Perodua Kancil dipandu pesara guru itu dengan kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Sedia Raja menghala ke Mampong dan bertembung dengan Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat rempuhan, pemandu Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.

    “Pemandu Perodua Myvi yang patah kaki kanan kini berada di Zon Kuning, Hospital Rembau bagi rawatan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

  • Kanak-kanak perempuan maut tersangkut di buaian

    Kanak-kanak perempuan maut tersangkut di buaian

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, di Seremban, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, Nour Rania Asyifaa Yuseri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan (KK) Sendayan oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawanya ke klinik berkenaan untuk rawatan.

    Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu diberikan susu dan dibawa ke dalam sebuah bilik di pusat penjagaan berkenaan untuk ditidurkan dalam buaian bersama dua kanak-kanak lain pada 12.30 tengah hari sebelum pengasuhnya keluar dari bilik itu untuk tugasan lain pada 2 petang.

    “Sejam kemudian, wanita itu (pengasuh) kembali semula ke bilik dan mendapati mangsa (Nour Rania Asyifaa) tidak sedarkan diri dengan bahagian leher dan kepala telah terkeluar serta tergantung pada kain buaian manakala badan masih berada di dalam buaian.

    “Wanita itu terus mengambil mangsa dan menjalankan bantuan pernafasan (CPR) tetapi mangsa didapati gagal bernafas semula sebelum membawanya ke KK Sendayan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pusat penjagaan di rumah teres satu tingkat itu beroperasi sejak 2019 dan tidak dilengkapi  kamera litar tertutup (CCTV) selain turut dimiliki bersama seorang lagi pengasuh wanita.

    Menurutnya, selain Nour Rania Asyifaa, terdapat 14 bayi dan kanak-kanak berusia lingkungan enam bulan hingga tujuh tahun di pusat penjagaan tersebut bersama kedua-dua pengasuh berusia 37 dan 29 tahun itu.

    Nanda berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat.

    Katanaya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – Bernama
     

  • Kru warga Rusia kapal tangki disyaki jatuh laut

    Kru warga Rusia kapal tangki disyaki jatuh laut

    SEORANG kru kapal tangki warga Rusia disyaki terjatuh ke laut di kawasan perairan Tanjung Gelang, Kuantan, selepas dilaporkan hilang kelmarin.

    Pekerja warga asing tersebut, Nerkrasov Sergey, 48, kali terakhir dilihat di atas kapal yang ketika itu berada pada kedudukan sekitar 4.2 batu nautika barat daya Pulau Aur, Mersing.

    Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, kehilangan lelaki itu disedari pukul 10.30 malam semasa kapal berada di kedudukan sekitar 1.6 batu nautika Timur Tanjung Gelang.

    Katanya, selepas menerima laporan kejadian, bot ronda Maritim yang sedang beroperasi di sekitar lokasi segera diatur gerak untuk melaksanakan Operasi Carilamat.

    Menurutnya, kapal tangki yang berdaftar di Liberia itu dilaporkan belayar dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Pula, Croatia.

    “Maritim Malaysia Negeri Pahang telah menyalurkan maklumat kepada Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor dan aset udara Maritim Malaysia untuk bantuan mengesan mangsa.

    “Maklumat berkenaan kejadian turut disalurkan kepada komuniti nelayan tempatan dan beberapa rakan agensi untuk bantuan dalam misi pencarian,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Kamal Ariffin memberitahu, pihaknya sentiasa bersiap-sedia memberikan perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim serta agensi kerajaan yang mengalami kecemasan di laut atau bencana.

    Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

  • ‘Hilang kata-kata lihat rumah dibadai ribut’

    ‘Hilang kata-kata lihat rumah dibadai ribut’

    BELUM pun reda resah dan penat berdepan banjir yang melanda pada Januari lepas, hampir 30 buah rumah Kampung Belimbing Dalam, Melaka, sekali lagi diuji apabila dibadai ribut dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam.

    Tinjauan Bernama hari ini mendapati penduduk mula membersihkan rumah mereka sejak awal pagi tadi dan masih trauma dengan kejadian semalam yang pertama kali berlaku di kawasan tersebut dan tidak kurang yang bimbang sekiranya ribut berlaku lagi dalam masa terdekat.

    Bagi Muhamad Nuruddin Salman, 31, beliau yang ketika itu sedang bekerja di Kuala Lumpur, bergegas pulang ke rumahnya apabila mendapat panggilan daripada seorang ahli keluarganya mengenai kejadian ribut tersebut.

    “Bila melihat keadaan rumah, memang saya hilang kata-kata. Hanya tinggal dinding rumah. Bumbung semua habis diterbangkan ribut.

    “Bagaimanapun, saya syukur apabila sampai, dua anak saya, sepupu dan makcik saya yang ada di dalam rumah ketika ribut selamat,” katanya yang menjelaskan sebelum ini rumahnya itu turut dinaiki air namun hanya di kawasan luar rumah. 

    Mengenai nilai kerosakan yang dialami, beliau yang bekerja sendiri itu masih belum dapat membuat anggaran kerana mahu membersihkan dahulu rumahnya itu.

    “Saya rasa nilai kerosakan lebih dari RM10,000. Selain bumbung, kebanyakan yang rosak adalah barangan elektrik serta tilam akibat hujan,” katanya yang akan memulakan kerja-kerja baik pulih dalam masa terdekat.

    Turut terkesan dalam kejadian ribut semalam, Salina Mohd Ali, 42, yang ketika itu baharu saja tiba di tempat kerjanya di sebuah kilang di Batu Berendam.

    “Memang sedih lihat rumah. Bumbung jenis zink dan genting di bahagian hadapan, ruang tamu dan tepi rumah, habis diterbangkan dan jatuh ke perkarangan rumah. Mujur dalam rumah tidak dimasuki air hujan dan barang-barang masih selamat.

    “Atas faktor keselamatan dan kerana elektrik pun masih belum ada, saya dan empat anak yang berumur sembilan hingga 17 tahun kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya yang sebelum ini juga berdepan bencana banjir.

    Dalam kejadian ribut semalam, kira-kira 70 buah rumah membabitkan dua buah daerah di Alor Gajah dan Melaka Tengah terjejas susulan hujan lebat yang berlaku lewat petang semalam.

    Bencana itu juga menyaksikan satu PPS di buka di Balai Raya Kampung Belimbing Dalam yang menempatkan 13 mangsa daripada empat keluarga selepas kediaman mereka rosak teruk selain terputus bekalan elektrik. 

    Antara yang turut terjejas akibat ribut semalam adalah sekolah, kedai dan warung makan dan berlaku insiden pokok tumbang namun tiada kecederaan dilaporkan. – Bernama

  • Wanita rentung dalam rumah terbakar di Tambunan

    Wanita rentung dalam rumah terbakar di Tambunan

    SEORANG wanita ditemukan dalam keadaan rentung selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Tikolod di Tambunan, tengah malam tadi.

    Mayat mangsa, Norhabibah Awang, 30, ditemukan anggota bomba di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.

    Memetik laporan FMT, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Micky@ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.25 tengah malam tadi.

    Menurut beliau, seramai sembilan anggota dihantar ke lokasi kejadian yang terletak 20 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan.

    “Kebakaran membabitkan sebuah rumah yang terbakar 90 peratus dan operasi memadamkan segera dilakukan dengan menggunakan tangki jentera dan pili bomba terdekat.

    “Terdapat 10 penghuni di dalam rumah berkenaan dan seorang wanita dipercayai terperangkap sebelum mayatnya ditemukan rentung di bahagian ruang tamu rumah berkenaan,” katanya.

    Desmond menambah, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    Beliau memberitahu, operasi ditamatkan pada pukul 1.45 pagi selepas api dipadamkan sepenuhnya.

    “Punca sebenar kejadian kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” jelasnya.

  • Mekanik maut dihempap gerabak lori 10 tan

    Mekanik maut dihempap gerabak lori 10 tan

    SEORANG mekanik maut dihempap gerabak lori ketika membaiki kenderaan itu di kawasan lapang Jalan Bundusan, Penampang, pukul 10 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, mangsa, Suhilin Amat@Ahmad, 58, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Pihak polis laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.21 petang.

    “Hasil siasatan mendapati, mangsa tersepit di bawah gerabak lori yang disyaki rosak,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, mayat mangsa kemudian di bawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), Kota Kinabalu untuk tujuan calitan Covid-19 dan bedah siasat.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.23 pagi.

    “Difahamkan mangsa ketika kejadian sedang membaiki enjin lori jenis ‘hydraulic’ 10 tan namun dihempap kenderaan itu dan operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.20 pagi,” katanya.

  • Mekanik maut kereta BMW masuk parit

    Mekanik maut kereta BMW masuk parit

    SEORANG mekanik maut selepas kereta jenis BMW yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum masuk parit di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 Tanah Putih, Kuantan jam 11.20 malam tadi.

    Mangsa, Mohd. Khairol Aman Mohd. Nasim, 32, dari Kampung Padang 1 di sini mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu apabila kereta dipandu hilang kawalan ke bahu sebelah kiri jalan.

    “Difahamkan, kenderaan yang dipandu mangsa masuk ke dalam parit. Akibat kemalangan itu kereta mangsa mengalami kerosakan teruk dan remuk pada keseluruhan bahagian badan kenderaan.

    “Ketika kejadian keadaan jalan adalah rata dan lurus dengan sistem jalan satu hala tiga lorong serta mempunyai satu lorong susur.

    “Keadaan cuaca juga baik dan permukaan jalan kering manakala tahap pencahayaan gelap waktu malam dengan pancaran lampu jalan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Wan Mohd. Zahari memaklumkan mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

    Katanya, mayat mangsa akan menjalani bedah siasat selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperoleh.

    “Kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Lelaki rentung selepas kereta terbabas dan terbakar

    Lelaki rentung selepas kereta terbabas dan terbakar

    SEORANG lelaki ditemukan rentung di dalam kereta dipandunya yang terbabas sebelum terbakar di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Balai Undang Sungai Ujong, dekat Seremban, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai memandu sendirian dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah ketika nahas berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi,

    “Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa disyaki hilang kawalan sebelum terbabas ke pembahagi tengah jalan dan melanggar tiang lampu jalan raya itu.

    “Akibat pelanggaran yang kuat itu, kereta mangsa mengalami kerosakan yang teruk di bahagian hadapan sehingga menyebabkan dia tersepit dan gagal keluar daripada kereta sebelum kenderaan tersebut terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Nanda berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk bedah siasat.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – BERNAMA