SEORANG mekanik maut selepas kereta jenis BMW yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum masuk parit di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 Tanah Putih, Kuantan jam 11.20 malam tadi.

Mangsa, Mohd. Khairol Aman Mohd. Nasim, 32, dari Kampung Padang 1 di sini mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu apabila kereta dipandu hilang kawalan ke bahu sebelah kiri jalan.

“Difahamkan, kenderaan yang dipandu mangsa masuk ke dalam parit. Akibat kemalangan itu kereta mangsa mengalami kerosakan teruk dan remuk pada keseluruhan bahagian badan kenderaan.

“Ketika kejadian keadaan jalan adalah rata dan lurus dengan sistem jalan satu hala tiga lorong serta mempunyai satu lorong susur.

“Keadaan cuaca juga baik dan permukaan jalan kering manakala tahap pencahayaan gelap waktu malam dengan pancaran lampu jalan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Wan Mohd. Zahari memaklumkan mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Katanya, mayat mangsa akan menjalani bedah siasat selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperoleh.

“Kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here