Category: Kemalangan / Bencana

  • Gempa bumi lemah berlaku di Beluran, Sabah

    Gempa bumi lemah berlaku di Beluran, Sabah

    SATU gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Richter berlaku di Beluran, Sabah pada 8.39 malam tadi.

    Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa dengan kedalaman tujuh kilometer (km) itu berlaku pada jarak 47km Timur dari Pitas, Sabah.

    Menurut kenyataan itu, gegaran mungkin dirasai di Beluran dan kawasan sekitarnya. – BERNAMA

  • Lori tangki terbalik, asid sulfurik tumpah atas jalan

    Lori tangki terbalik, asid sulfurik tumpah atas jalan

    SEORANG pemandu lori cedera selepas lori tangki membawa muatan asid sulfurik yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Simpang Tiga Pondok Labu, Jalan Sungai Labu, di Bukit Mertajam hari ini.

    Lori yang membawa tujuh buah tong bahan kimia, setiap satu berisi padu 1,500 liter itu, terbalik di bahu jalan dan menyebabkan berlakunya tumpahan asid sulfurik.

    Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, Mohd Shariff Md Rais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4 petang tadi.

    “Sebaik pihak bomba tiba, (kami) mendapati sebuah lori lima tan terbalik dan pemandunya berjaya keluar dari kenderaan itu menyelamatkan diri, namun mengalami kecederaan di kepala.

    “Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Prai turut berada di lokasi kejadian untuk membantu kerana ia melibatkan bahan kimia yang merbahaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mohd Shariff berkata, pemeriksaan awal mendapati dua buah tong mengandungi asid sulfurik telah bocor dan tumpah di tepi jalan dan pihaknya ketika ini sedang memeriksa tong-tong lain sama ada terdapat kebocoran.

    Beliau berkata, sehingga pukul 6.30 petang tadi, operasi membersih dan memindahkan semua tong itu giat dijalankan dengan dibantu syarikat bahan kimia tersebut.

    Katanya, pemandu lori lelaki berusia 50an itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

  • Angin kuat di Ipoh, kenderaan dan khemah peniaga rosak

    Angin kuat di Ipoh, kenderaan dan khemah peniaga rosak

    BEBERAPA kawasan di sekitar bandar raya Ipoh dilanda angin kuat dan hujan lebat petang tadi, sehingga menyebabkan kejadian pokok tumbang yang mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan khemah peniaga.

    Salah satu insiden terbabit, yang turut tular di media sosial, ialah di kawasan parkir restoran makanan segera di Medan Gopeng yang melibatkan beberapa kenderaan pelbagai jenis.

    Tinjauan Bernama di lokasi tersebut mendapati sebahagian kenderaan telah ditunda ke bengkel dengan trak tunda.

    Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul Husna, 30an, berkata bumbung serta cermin kereta Proton Saga miliknya rosak teruk akibat dihempap pokok.

    Beliau yang bekerja di sekitar kawasan berkenaan berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi hanya disedari selepas dimaklumkan oleh majikannya.

    “Saya sangat terkejut apabila melihat kenderaan saya telah rosak, apa boleh buat perkara sudah berlaku, saya reda sahaja,” katanya.

    Kira-kira 10 kilometer dari kawasan itu, beberapa buah khemah peniaga ranap di hadapan sebuah stesen minyak di Desa Aman, Pengkalan di sini, setelah dilanda angin kuat dan hujan lebat.

    Dilaporkan beberapa batang pokok turut tumbang di kawasan itu.

    Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pokok tumbang yang berlaku di Gunung Rapat pada pukul 3.53 petang tadi.

    Katanya, sejurus tiba di lokasi pihaknya mendapati sebatang pokok besar telah menimpa lima buah kenderaan, namun kejadian itu tidak melibatkan mangsa.

    Beliau berkata, anggota bomba telah melakukan kerja-kerja memotong dahan pokok menggunakan gergaji rantai serta mengalihkan potongan pokok itu ke tempat yang lebih selamat.

    Operasi yang turut dibantu pihak Majlis Bandaraya Ipoh itu tamat sepenuhnya 5 petang tadi. – BERNAMA

  • Lelaki putus tangan, jari, rentung dalam kereta terbakar

    Lelaki putus tangan, jari, rentung dalam kereta terbakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menemukan seorang lelaki rentung dalam kereta yang terbakar di tepi jalan di luar Perumahan Iskandar Malaysia (Prisma), Iskandar Puteri, tengah malam tadi.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada polis pada pukul 12.03 tengah malam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mengikut maklumat awal, seorang lelaki didakwa terperangkap dalam kereta terbakar di kawasan perumahan itu.

    “Hasil siasatan terhadap saksi mendapati kereta itu berhenti di lokasi kejadian dalam keadaan enjin hidup, lampu menyala dan terbakar.

    “Siasatan di tempat kejadian mendapati seorang lelaki rentung dalam kereta dan tiada butiran pengenalan diri mangsa diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pihaknya tidak menemukan sebarang butiran mahupun barang berharga di tempat kejadian.

    Mayat mangsa ujarnya, dikeluarkan oleh anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan bantuan bomba dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Mayat mangsa yang rentung dengan tangan dan jari terputus itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk bedah siasat,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd. Khairi Zainuddin berkata, tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat.

    Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan mengalami kemusnahan kira-kira 50 peratus.

    Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian kasih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada pagi.

  • Kancil rempuh Toyota Hilux, dua lelaki Orang Asli maut

    Kancil rempuh Toyota Hilux, dua lelaki Orang Asli maut

    DUA rakan maut apabila kereta Perodua Kancil yang mereka naiki terbabas dan merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 12 Jalan Chini-Kuantan di Pekan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, insiden pada 3 petang itu menyaksikan Hasyim Amin, 29, dan Dolah Muhtar, 39, maut di tempat kejadian selepas tersepit dalam kereta.

    “Siasatan awal mempercayai kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Hasyim dari arah Chini menghala ke Kuantan terbabas ke jalan bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Hilux yang tidak dapat mengelak disebabkan jarak terlalu dekat,” menurutnya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, pemandu dan penumpang Toyota Hilux turut cedera dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Chini untuk rawatan.

    Mayat kedua-dua mangsa, yang merupakan Orang Asli, dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Mayat pelatih Akademi Mokhtar Dahari ditemukan

    Mayat pelatih Akademi Mokhtar Dahari ditemukan

    MAYAT pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD)  Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa ditemukan petang tadi selepas lebih 20 jam dilaporkan hilang sejak semalam.

    Ketua Zon 3 Kedah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata mangsa berusia 14 tahun itu ditemukan dalam penyedut pasir di Sungai Limau kira-kira 5.46 petang.

    “Mayat mangsa telah ditemukan dalam paip berkenaan oleh penjaga pam di kawasan sungai itu, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang semalam.

    “Kadar kelajuan air ketika operasi mencari mangsa adalah lebih lima kilometer per jam dan paras kedalaman sungai adalah 2.9 kaki,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.

    Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat hari ini disertai pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, badan bukan kerajaan dan penduduk kampung bermula 8 pagi tadi.

    “Kaedah pencarian mangsa telah dipecahkan kepada beberapa sektor antaranya menggunakan teknik pencarian di permukaan air dari tempat mangsa dilaporkan hilang hingga Pekan Baling dan selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kawasan dikhuatiri mangsa tersangkut.

    “Proses pencarian turut menggunakan bot, kayak dan ski jet, pencarian di persisir tebing sungai, menggunakan khidmat anjing pengesan Unit K9 dan menggunakan jentera berat untuk mengalihkan timbunan buluh yang berada di dalam sungai,” katanya.

    Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

    Semalam, Bernama melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Baling, kira-kira 1 tengah hari.

    Mangsa yang juga pelatih akademi AMD bermain untuk  Bawah 14 tahun itu sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman dari 19  hingga 27 Mac ini.

    — BERNAMA

  • Pelatih akademik bolasepak Mokhtar Dahari dikhuatiri lemas di Baling

    Pelatih akademik bolasepak Mokhtar Dahari dikhuatiri lemas di Baling

    SEORANG remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Baling,petang semalam.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Penguasa Kanan I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata mangsa Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa, 14, dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus sungai tersebut kira-kira 1 tengah hari.

    “Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.11 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling bergegas ke tempat kejadian. Tindakan awal, bomba ialah melakukan pencarian di permukaan air di sekitar lokasi berkenaan.

     “Berdasarkan maklumat saksi di lokasi kejadian, rakan-rakan mangsa cuba untuk mencari terlebih dahulu, apabila usaha mencari gagal, rakan mangsa memaklumkan kejadian kepada keluarga mangsa dan selepas itu barulah keluarga mangsa menghubungi bomba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya ketika kejadian cuaca di kawasan tersebut adalah baik namun ketika pasukan bomba tiba hujan mulai turun dengan lebat dan menyebabkan paras air sungai meningkat.

    Mohamadul Ehsan berkata keadaan itu menyebabkan operasi pencarian menjadi sukar dan ketika ini mangsa masih belum ditemui.

    Dalam pada itu, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dalam catatan di akaun Facebooknya mengesahkan remaja itu adalah pelatih akademi itu untuk pemain Bawah 14 tahun.

    Menurut AMD, ketika ini Muhammad Saiful Ezzudin dan semua pelatih bawah 14 dan 15 tahun akademi itu sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman masing-masing dari 19 hingga 27 Mac ini.

    “Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pihak polis dan bomba. Justeru itu, kami memohon doa dari semua agar dipermudahkan operasi pencarian yang sedang dijalankan serta semoga pelatih tersebut dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

    Sementara itu, Mohamadul Ehsan berkata dalam kejadian berasingan seorang lelaki dipercayai lemas selepas terjun ke dalam laut daripada bot di pelantar ikan Kampung Ulu dekat Kuala Kedah, di sini petang tadi.

    Beliau berkata, saksi mendakwa mangsa yang berusia 43 tahun itu telah terjun ke dalam laut daripada bot yang dilabuhkan berhampiran pelantar sebelum dilihat terkapai-kapai dibawa arus deras.

    “Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.21 petang dan anggota dari BBP Jalan Raja telah ke lokasi kejadian. Pencarian di permukaan air telah dijalankan di sekitar kawasan jeti berkenaan dan setakat ini belum menemui mangsa,” katanya.

    — BERNAMA

  • Tiada rakyat Malaysia dalam pesawat terhempas

    Tiada rakyat Malaysia dalam pesawat terhempas

    WISMA Putra hari ini mengesahkan tidak menerima sebarang laporan penglibatan rakyat Malaysia dalam nahas pesawat China Eastern Airlines MU5735 yang terhempas di wilayah Guangxi.

    Menerusi satu kenyataan Wisma Putra memberitahu, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, Nanning dan Guangzhou, Republik Rakyat China sedang memantau rapi perkembangan kemalangan tersebut.

    Kementerian Luar Negeri bagi pihak kerajaan Malaysia ingin menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan Republik Rakyat China dan keluarga mangsa yang terbunuh dalam kemalangan pesawat tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Pesawat China Eastern Airlines MU5735 yang dalam penerbangan penerbangan dari bandar Kunming ke Guangzhou dengan membawa 123 penumpang dan sembilan anak kapal dilapor terhempas pada Selasa.

    Syarikat penerbangan itu mengesahkan terdapat kematian dalam insiden tersebut namun tidak memberikan butiran mengenai jumlah orang yang terbunuh.

  • Tekong Thailand hilang dijumpai lemas terperangkap di dalam bot karam

    Tekong Thailand hilang dijumpai lemas terperangkap di dalam bot karam

    PENCARIAN seorang tekong warga Thailand yang hilang dalam insiden bot karam di antara perairan Pulau Rimau dan Pulau Kendi, Pulau Pinang awal pagi semalam berakhir dengan penemuan mayat mangsa terperangkap di dalam bot tersebut pagi ini.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, mayat mangsa dijumpai penyelam persendirian yang ditugaskan oleh pemilik bot untuk menaikkan bot karam itu pukul 10.50 pagi tadi di kedudukan kira-kira 5.1 batu nautika barat Pulau Kendi.

    Menurut beliau, mangsa, Sorawit Thapchaiyut, 47, warga Thailand dipercayai terperangkap dan gagal untuk menyelamatkan diri ketika bot dinaiki bersama dua nelayan lain itu karam.

    “Sebelum itu, dua rakannya berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Operasi CARILAMAT yang memasuki hari kedua membabitkan aset Maritim Malaysia KILAT 26, RH 35 dan PSC 46 Pasukan Polis Marin, sebuah bot Agensi Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) termasuk dua buah bot nelayan tempatan digerakkan melibatkan empat sektor dengan keluasan pencarian 30.04 batu nautika persegi.

    Tambah Abd. Razak, mayat mangsa kemudianya dibawa ke Jeti PPM Batu Uban oleh bot PSC 46 diiringi oleh KILAT 26 sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan selanjutnya.

    Mayat mangsa kemudianya dibawa ke Jeti PPM Batu Uban menaiki bot PSC 46 sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan selanjutnya

    “Maritim Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pasukan Polis Marin Batu Uban, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Pertahanan Awam termasuk bot nelayan tempatan yang turut serta membantu dalam operasi CARILAMAT ini,” katanya.

    Dalam pada itu ujar beliau, Maritim Malaysia menasihatkan setiap komuniti nelayan mengutamakan keselamatan di laut termasuk peralatan untuk ke laut dan bot sentiasa berada dalam keadaan yang baik bagi persediaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

    “Pemilik bot juga dinasihatkan agar berhati-hati dan menyemak ramalan kaji cuaca sebelum turun ke laut.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Lelaki positif methamphetamine punca kemalangan maut

    Lelaki positif methamphetamine punca kemalangan maut

    SEORANG warga emas maut manakala dua rakannya cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine di Kilometer 66 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Sungai Durian, di Kuala Krai hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supt Suzaimi Mohamad berkata, lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta Perodua Myvi itu turut patah kaki kanan akibat kemalangan pada pukul 9.30 pagi itu, dan polis turut menemukan pelbagai jenis mercun di dalam kereta Perodua Myvi berkenaan.

    “Siasatan awal polis mendapati pemandu kereta Perodua Myvi dari arah Kota Bharu menuju Gua Musang gagal mengawal kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan kereta Proton Waja dari arah Kuala Krai ke Machang.

    “Kejadian itu menyebabkan pemandu kereta Proton Waja, Mohamad Umar, 70, berasal dari Kampung Padang Nenas Belanga, Kuala Krai maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala dua penumpang lelaki berusia 20 dan 50 tahun mengalami kecederaan ringan.

    “Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1967,” katanya. – BERNAMA