Category: Kemalangan / Bencana

  • Pendang dilanda ribut, premis rosak, khemah bazar Ramadan terbang

    Pendang dilanda ribut, premis rosak, khemah bazar Ramadan terbang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HUJAN lebat selama lebih sejam dengan disusuli ribut petir di Pendang menyebabkan beberapa premis mengalami kerosakan, petang ini.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, kejadiann itu bermula kira-kira pukul 4.40 petang tadi.

    “Pihak kami menerima beberapa aduan mengenai kejadian pokok tumbang. Malah khemah-khemah peniaga di bazar Ramadan turut diterbangkan angin.

    “Selain itu terdapat sekurang-kurangnya empat buah rumah yang mengalami kerosakan di Kampung Sukamari, Kampung Alor Parit dan Kampung Belakang Pendang,” katanya.

    Antara yang terjejas termasuklah persiapan dilakukan di Masjid Sultanah Haminah, Tanjung Radin di Pendang yang bakal menjadi lokasi majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, esok.

    Pendang
    Khemah di Masjid Sultanah Haminah, Tanjung Radin yang sepatutnya digunakan pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan oleh Menteri Besar esok, ranap dalam kejadian ribut di Pendang, petang tadi.

    Sementara itu Setiausaha Politik Menteri Besar, Afnan Hanimi Taib Azamudden memaklumkan, majlis melibatkan Menteri Besar itu diputuskan untuk dibatalkan berikutan kejadian itu.

    “Menteri Besar menzahirkan rasa simpati atas musibah yang berlaku dan meminta supaya majlis esok dibatalkan disebabkan musibah yang tidak terduga ini.

    “Walau bagaimanapun penyerahan bantuan yang dijadualkan itu boleh diurus terus oleh pihak Pejabat Daerah, melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Datuk Dr. Hayati Othman dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob,” katanya.

  • Peniaga maut, isteri parah dirempuh MPV dipenuhi ketum

    Peniaga maut, isteri parah dirempuh MPV dipenuhi ketum

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki maut manakala isterinya cedera parah setelah kereta Proton Iswara dinaiki mereka, dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Nissan Grand Livina dipenuhi daun ketum di Kampung Padang Gelanggang, Ayer Hitam dekat Kubang Pasu, Kedah awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu menyebabkan mangsa, Ahmad Sofberi Sharif, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Hananie Hassim, 28, cedera parah di kepala dan kaki.

    Selain itu katanya, individu lelaki berusia 29 tahun yang memandu Nissan Grand Livina itu juga turut parah setelah mengalami kecederaan di kepala, badan dan kaki.

    “Siasatan awal mendapati MPV tersebut yang sarat dengan muatan ketum seberat kira-kira 500 kilogram, dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kangar, Perlis manakala Proton Iswara dinaiki pasangan suami isteri itu pula dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pida 8, Sanglang setelah selesai berniaga.

    “Setibanya di lokasi kejadian, MPV tersebut didakwa cuba memotong lori dan masuk ke laluan bertentangan menyebabkannya bertembung dengan kereta Proton Iswara dinaiki pasangan suami isteri tersebut,” katanya.

    Akibat pelanggaran itu katanya, pasangan suami isteri tersebut tersepit dalam kenderaan berkenaan dengan khidmat bomba diperlukan untuk mengeluarkan mereka.

    Tambahnya, pihaknya setakat ini masih menyiasat mengenai kewujudan ketum dalam MPV tersebut orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu, diminta tampil membantu siasatan.

    Menurutnya, kes tersebut setakat ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dengan mayat mangsa turut dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

  • Mayat lelaki ditemukan terapung di kebun sawit

    Mayat lelaki ditemukan terapung di kebun sawit

    MAYAT seorang lelaki yang sudah reput ditemukan dalam keadaan terapung di sungai berhampiran jambatan kebun kelapa sawit Zon C blok 15, Felda Raja Alias 4, Jempol, pada Jumaat lalu.

    Kejadian itu dilaporkan orang awam kepada pihak polis selepas ternampak satu objek di sungai tersebut dipercayai mayat manusia.

    Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, namun disebabkan arus sungai deras menyebabkan mayat dihanyutkan dan gagal dibawa ke daratan sebelum gerakan mencari dilakukan.

    “Mayat kemudian ditemui pukul 12.15 tengah malam hari berikutnya kira-kira tiga kilometer dari lokasi ditemui sebelum itu dan diangkat ke daratan menggunakan kayak milik bomba. Mayat dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Chang Hook berkata, siasatan awal mendapati mayat sudah mula mereput, tiada pengenalan diri ditemui dan keadaan mayat tidak berbaju serta hanya memakai ‘boxer’ selain tidak dapat dipastikan kewarganegaraan.

    “Bedah siasat terperinci tidak dapat dijalankan berikutan keadaan mayat yang sudah mereput.

    “Sampel tulang bahagian paha kanan mayat diambil dan bagi tujuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Siasatan masih diteruskan,” katanya.

  • Pemandu ditemukan rentung dalam kereta

    Pemandu ditemukan rentung dalam kereta

    SEORANG individu yang identitinya masih belum dikenal pasti ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Kampung Taman Jaya, Bahau, Jempol awal pagi ini.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bahau, Muhamad Rasul Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 5.03 pagi sebelum tujuh anggota termasuk pegawai dari BBP Bahau ke lokasi kejadian.

    “Sebuah kereta jenis Proton Wira Sedan didapati terbakar 100 peratus dan terdapat seorang individu di dalamnya rentung di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

  • Anggota polis maut motosikal berlanggar dengan jip

    Anggota polis maut motosikal berlanggar dengan jip

    SEORANG anggota polis meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis jip di Jalan Kampong Sri Cheeding, Jenjarom, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata ketika kejadian pada 4.45 petang itu,  Koperal Muhamad Nazri Mohd Nor, 31, yang bertugas di Balai Polis Bukit Puchong, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dalam perjalanan pulang selepas siap bertugas pada 4 petang.

    “Akibat perlanggaran itu, Muhamad Nazri dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata Allahyarham yang telah berkhidmat selama sembilan tahun itu meninggalkan seorang isteri dan belum dikurniakan cahaya mata.

    Abd Khalid berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Cawangan Trafik dan ketika ini pemandu jip tersebut masih belum membuat laporan polis.

    Beliau meminta saksi kemalangan tersebut untuk tampil memberikan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Langat Inspektor Keisha Nur Azalea Betty Saran.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mewakili seluruh warga kerja polis kontinjen Selangor mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

    — BERNAMA

  • 11 pelajar madrasah cedera, van terbabas di Seremban

    11 pelajar madrasah cedera, van terbabas di Seremban

    SEBELAS daripada 18 pelajar tahfiz dari sebuah madrasah di Rembau dekat sini, cedera selepas van dinaiki terbabas gara-gara cuba mengelak seekor musang yang melintas di Kilometer 16 Jalan Seremban-Tampin, Seremban awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun patah tangan kanan dan seorang lagi berusia 16 tahun cedera pada mulut, manakala sembilan yang lain cedera ringan.

    Beliau berkata kedua-dua pelajar itu dirawat di zon kuning di Hospital Rembau dan selebihnya dirawat sebagai pesakit luar.

    “Pemandu van Muhammad Tamimi Md Suhot, 26, cedera ringan di jari kiri, manakala baki tujuh lagi pelajar tidak mengalami sebarang kecederaan. 

    “Kemalangan berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Tampin dan setibanya di lokasi kejadian, van dipandu Muhammad Tamimi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Hazri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Kemalangan: Pegawai kanan bomba Perak cedera, isteri parah

    Kemalangan: Pegawai kanan bomba Perak cedera, isteri parah

    SEORANG pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak cedera apabila kereta yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori sampah di Taman Chepor Impian di Ipoh hari ini.

    Jurucakap JBPM Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya menerima panggilan kecemasan pada 1.33 tengah hari tadi.

    “Mangsa, Taufik Asyarun Zainuddin berusia lingkungan 30-an merupakan pegawai kanan bomba daripada bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Perak dan dua anak lelakinya cedera pada bahagian kaki manakala isterinya cedera parah pada bahagian kepala.

    “Kereta yang dipandu mangsa jenis Proton Persona telah berlanggar dengan bahagian belakang sebuah lori sampah yang diparkir di tepi jalan,” katanya.

    Jurucakap itu berkata, anggota bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dan menyerahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.29 petang. – BERNAMA

  • Kanak-kanak maut jatuh tingkat 18 kondominium

    Kanak-kanak maut jatuh tingkat 18 kondominium

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Jalan Saujana 2, Setapak, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan maklumat mangsa yang tinggal di salah sebuah unit di tingkat 18 kondominium terbabit, terjatuh dari balkoni rumahnya.

    “Polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 2 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi. Siasatan awal mendapati mangsa tidur bersendirian dan ketika kejadian, ibunya difahamkan keluar dari rumah.

    “Pada waktu sama, penghuni lain di dalam rumah itu sedang tidur di bilik berasingan dan tidak mengetahui mangsa ditinggalkan bersendirian,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tiba di lokasi dan mayatnya dibawa ke hospital sama untuk tindakan lanjut.

    Ashari berkata, kes disiasat pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

  • Ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar

    Ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar

    SEORANG ibu tunggal tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya hangus dalam kebakaran di Chiku 2, Gua Musang, pukul 8 malam tadi.

    Semasa kejadian, Rahani Abdul Aziz, 58, bersama anak perempuan dan seorang cucu lelaki dalam perjalanan ke surau di Chiku 3, untuk menunaikan solat tarawih.

    Dia kemudian menerima panggilan daripada jiran mengatakan rumahnya terbakar.

    “Saya bergegas pulang dan hanya mampu melihat rumah terbakar tanpa sempat menyelamatkan barang berharga.

    “Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, namun saya reda, mungkin ada hikmahnya. Semua harta benda dan barang dalam rumah hangus terbakar, kami tinggal sehelai sepinggang.

    “Rumah ini sudah 30 tahun saya duduki, banyak kenangan bersama anak-anak dan arwah suami, namun semuanya sudah takdir,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini, lapor Harian Metro.

    Rahani berkata, akibat kebakaran itu, dia dan anak bongsu kini terpaksa menumpang di rumah anaknya yang lain di Chiku 3 dan berharap ada pihak yang tampil membantu.

    “Secara jujurnya saya cukup bersemangat untuk meraikan Aidilfitri tidak lama lagi bersama sembilan anak memandangkan sudah lama tidak dapat berkumpul ketika Aidilfitri.

    “Namun, semua perancangan musnah sebagaimana musnah rumah kami itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya tiba di lokasi pada pukul 8.20 malam dan mendapati sebuah rumah kayu terbakar.

    “Berdasarkan maklumat saksi kejadian, kebakaran berpunca daripada panahan petir bilik hadapan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tidak terdapat unsur jenayah,” katanya.

  • Warga emas, anak lelaki sempat selamatkan diri dalam kebakaran

    Warga emas, anak lelaki sempat selamatkan diri dalam kebakaran

    SEORANG wanita warga emas dan anak lelakinya sempat menyelamatkan diri dalam satu kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Felda Palong 7, Jempol, pada pukul 10.20 pagi tadi.

    Komander operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hazreen Mohd. Zahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 10.31 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian.

    “Tiga pegawai dengan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Jempol serta tiga anggota bomba bantuan diarahkan ke lokasi kejadian.

    “Kebakaran melibatkan sebuah rumah Felda separuh kekal yang terbakar 90 peratus,” katanya memetik Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, ketika kejadian terdapat dua mangsa itu iaitu seorang wanita warga emas, 64, dan anak lelakinya, 26.

    Bagaimanapun katanya, kedua-dua mereka berjaya menyelamatkan diri dengan bertindak keluar dari rumah terbabit.

    “Api dapat dikawal dalam masa 10 minit dan padam sepenuhnya setengah jam kemudian. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.