Category: Kemalangan / Bencana

  • Budak 11 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan

    Budak 11 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan

    SEORANG kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dikatakan hanyut dibawa arus deras ldalam kejadian di Jeti Nelayan Bagan Ajam dekat Pantai Bersih, Butterworth, petang tadi.

    Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah, 11, dikatakan hanyut dibawa arus semasa sedang mandi bersama tiga rakannya.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Mohd. Faizwan Che Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.45 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    “Ketika tiba, kami dimaklumkan tiga lagi rakan mangsa berjaya diselamatkan orang awam manakala seorang pemancing yang kebetulan berada di lokasi cuba menyelamatkan mangsa.

    “Bagaimanapun, pemancing itu turut lemas dalam kejadian berkenaan sebelum diselamatkan orang awam dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya di sini malam ini.

    Menurut beliau, selain bomba, operasi itu turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran serta nelayan dan penduduk setempat.

    Dalam pada itu, Mohd. Faizwan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa bagaimanapun terpaksa dihentikan kira-kira pukul 7.30 malam tadi berikutan cuaca gelap dan tidak mengizinkan.

    “Operasi itu bagaimanapun akan diteruskan semula seawal pukul 7 pagi esok,” katanya.

  • Budak lelaki 5 tahun mati disengat tebuan

    Budak lelaki 5 tahun mati disengat tebuan

    KEGEMBIRAAN tiga beradik bermain di padang permainan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut disengat tebuan, di Kampung Tok Jembal, kira-kira 5.40 petang semalam.

    Mangsa, Eidrish Mohd Khalid, 5, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 11.20 malam tadi selepas terkena 60 sengatan di seluruh bahagian badan.

    Bapa mangsa, Mohd Khalil Omar, 40, berkata ketika kejadian, dia bersama isteri Norliza Shaparuddin, 36, dan tiga anaknya sedang bercuti di kampung dan merancang untuk bertolak pulang ke Ipoh kira-kira 6 petang.

    Bagaimanapun, ketika bersiap-siap untuk pulang, dia didatangi anak sulungnya Nur Adelya Qaisara, 10, memaklumkan adiknya diserang tebuan yang keluar dari sarang di bawah rangka pelantar jeti terapung terbiar di kawasan berkenaan.

    “Sebaik mendengar jeritan Adelya, saya terus berlari ke tempat kejadian dan melihat Eidrish sudah terbaring di tanah dengan tebuan penuh satu badan.

    “Ketika saya mendukungnya naik ke rumah, dia (Eidrish) masih bernyawa, tetapi sangat lemah dan kaku tidak menjerit atau menangis,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus hari ini.

    Selain Eidrish, Mohd Khalid berkata dia serta dua anaknya, Nur Adelya Qaisara serta Nur Aiyris Dania, 7, turut terkena sengatan.

    “Adelya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ kerana terkena dua sengatan manakala Aiyris pula dirawat sebagai pesakit luar.

    “Saya pula sepatutnya dirawat di wad kerana terkena hampir 20 sengatan, tetapi terpaksa pulang untuk menguruskan pengebumian Eidrish kira-kira 10 pagi tadi,” katanya.

    Mohd Khalid berkata dia reda dengan pemergian anak ketiganya itu, tetapi kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak yang membiarkan rangka pelantar jeti tersebut di kawasan padang permainan tanpa penyelenggaraan.

    “Tidak sepatutnya rangka pelantar jeti ditinggalkan di kawasan padang permainan kerana ia boleh menjadi habitat pelbagai haiwan berbisa.

    “Saya harap pihak berkenaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan sebelum nyawa lain terkorban,” katanya. – BERNAMA

  • Wanita jatuh motosikal ditimpa kelapa luruh dirawat di HPP

    Wanita jatuh motosikal ditimpa kelapa luruh dirawat di HPP

    PEMBONCENG wanita yang cedera akibat ditimpa buah kelapa yang gugur di Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Pulau Pinang petang semalam sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, beliau sudah menghubungi anak kepada mangsa yang berusia 50-an itu yang memaklumkan bahawa ibunya cedera akibat insiden itu.

    “Mangsa dikenali sebagai Puan Anita sedang dirawat di HPP dan saya ada menghubungi anaknya bertanya khabar mengenai perkembangan mangsa. Perkara ini memang tidak diduga dan kita amat bersimpati.

    “Jadi untuk mengelakkan kejadian sebegini berulang, kita jalankan kerja menebang 11 pokok kelapa bermula 2 petang tadi di samping meneliti pokok berisiko lain di sepanjang jalan,” katanya, mengikut laporan Berita Harian.

    Azrul yang melakukan tinjauan di lokasi kejadian bersama pegawai landskap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, operasi penebangan pokok akan dilakukan menggunakan jentera angkat atau skylift yang dijangka selesai sebelum pukul 5 petang ini.

    Terdahulu, anak kepada mangsa yang dikenali sebagai Yaya Ghani menerusi hantaran di Facebook menyatakan keadaan ibunya agak parah selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggang adiknya.

    “Ya, (wanita) yang berlari ke arah mangsa ialah adik perempuan saya. Alhamdulillah mama sedar dan masih berada di HPP.

    “Keadaan mama agak parah dan patah tulang bahu kanan, patah tangan kiri selain cedera tulang rusuk.

    “Keadaan adik perempuan baik saja cuma masih trauma. Saya mohon semua agar semua doakan kesembuhan mama saya,” menurut tulisan yang dikongsinya itu.

    Seorang peniaga durian, yang juga saksi kejadian, Md. Ghazali Shahari, 62, berkata ketika kejadian 3.30 petang, dia sedang melayan pelanggan di gerainya sebelum terdengar jeritan kuat.

    Dia melihat mangsa dan topi keledar yang dipakainya jatuh tergolek di jalan raya.

    “Jalan agak sibuk ketika itu dan saya dibantu beberapa orang lagi segera menahan kenderaan yang lalu-lalang. Selepas itu saya terus menghubungi ambulans dan meminta supaya mangsa tidak dialihkan sebelum petugas kesihatan tiba kerana kita tidak tahu bahagian badan mana yang cedera,” katanya.

    Pesara kerajaan itu berkata, kejadian buah kelapa luruh di jalan sudah banyak kali berlaku namun ini kali pertama membabitkan kemalangan sehingga mengancam nyawa.

    “Selalunya ia jatuh di tempat yang tiada orang dan pernah juga menimpa kenderaan dan bumbung gerai saya. Tetapi tiada kerosakan yang teruk dan sudah ada sebatang pokok kelapa berdekatan gerai ditebang sebelum ini,” katanya.

  • Pemain skuasy nombor satu negara parah kemalangan, tak sertai Sukan Komanwel

    Pemain skuasy nombor satu negara parah kemalangan, tak sertai Sukan Komanwel

    PEMAIN skuasy wanita nombor satu negara, S. Sivasangari tidak dapat menyertai Sukan Komanwel selepas cedera parah dalam kemalangan kereta di Lebuhraya Maju semalam.

    Menurut Free Malaysia Today yang memetik laporan New Straits Times, pemain nombor 19 dunia itu cedera di kepala dalam kemalangan tersebut.

    Sivasangari berada di tempat duduk penumpang ketika kereta yang dinaikinya terbabit dalam pertembungan dengan sebuah lori.

    Wanita itu sempat dikeluarkan dari kereta sebelum ia terbakar dan beliau dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk menjalani pembedahan.

    Sukan Komanwel akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini di Birmingham, England.

    Anak jati Kedah itu merupakan sandaran negara untuk meraih pingat dalam acara individu dan beregu wanita.

    Pemain berusia 23 tahun itu memenangi kejuaraan kebangsaan keduanya bulan ini dan dijangka menjadi pembawa bendera kontinjen negara bersama atlet Paralimpik Bonnie Bunyau Gustin di Birmingham.

  • Ibu maut, anak perempuan parah kereta dinaiki terbabas

    Ibu maut, anak perempuan parah kereta dinaiki terbabas

    SEORANG wanita maut manakala anak perempuannya parah apabila kereta dinaiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Beris Lalang, Bachok, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu telah mengorbankan kerani swasta, Aslina Ismail, 46, manakala anak perempuannya yang berusia 11 tahun cedera di bahagian kepala dan patah tangan.

    Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, mangsa memandu kereta jenis Proton Gen 2 bersama anak perempuannya dalam perjalanan dari Besut menghala pulang ke rumah di Kampung Air Deras, Kota Bharu.

    “Apabila sampai di Jalan Beris Lalang, Bachok, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan kemudian terus merempuh sebatang pokok.

    “Mangsa dikejarkan Klinik Kesihatan Bachok untuk rawatan awal namun disahkan meninggal dunia pada pukul 10.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mohamad Ismail berkata, anak perempuan mangsa kini masih dirawat di hospital.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Mayat remaja lemas di tasik Sarikei ditemukan

    Mayat remaja lemas di tasik Sarikei ditemukan

    SEORANG remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di sebuah tasik tempat mengorek pasir di Jalan Kin San, Sarikei, kira-kira 58 kilometer dari Sibu, ditemukan lemas 12.30 tengah malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mayat Terry Leon Zi Jun, 13, ditemukan oleh anggota keluarganya setelah operasi mencari yang dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei ditangguhkan pukul 10.30 malam ekoran cuaca gelap.

    “Berikutan penemuan itu yang turut disahkan oleh pihak polis, operasi mencari itu ditamatkan jam 1 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, panggilan berhubung kehilangan remaja berkenaan diterima kira-kira pukul 8.35 malam dan BBP Sarikei mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat melibatkan empat anggotanya. – Bernama

  • Banglo 4 tingkat terbakar, ibu dan anak perempuan rentung

    Banglo 4 tingkat terbakar, ibu dan anak perempuan rentung

    SEORANG ibu dan anak perempuannya ditemukan rentung manakala dua lagi lelaki, cedera dalam kebakaran di sebuah rumah banglo empat tingkat di Taman Gembira, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

    Komander Operasi Bomba Kuala Lumpur, Musa Abdullah berkata, kedua-dua mangsa yang rentung itu masing-masing berusia 60-an dan 20-an, ditemukan di bilik tidur berlainan tingkat atas rumah banglo tersebut.

    Katanya, kedua-dua lelaki rakyat tempatan yang cedera, telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

    Menurut Musa sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.22 pagi, pihaknya terus menghantar jentera beserta 35 anggota dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

    “Bomba tiba di lokasi pada 6.32 pagi dan mendapati api sangat marak. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 7.12 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Musa berkata tingkat satu banglo itu, mengalami kemusnahan 100 peratus manakala tingkat dua 50 peratus.

    banglo empat tingkat terbakar bungalow fire Kuala Lumpur
    Anggota-anggota bomba memadam kebakaran di sebuah banglo empat tingkat di Taman Gembira, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pagi tadi. (Gambar: Facebook Bomba Kuala Lumpur)

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata bahawa kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan punca kebakaran masih di dalam siasatan.

    “Kami meminta orang awam yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Balai Polis Brickfields di talian 03-22979222, Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya. – BERNAMA

  • Kapal bawa pasir karam, dua pekerja hilang

    Kapal bawa pasir karam, dua pekerja hilang

    DUA pekerja sebuah kapal membawa muatan pasir hilang sementara dua orang lagi berjaya diselamatkan selepas kapal berkenaan karam di Sungai Batang Igan berdekatan Kampung Bungan Kecil, kira-kira 45 km dari Sibu dari awal pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, identiti dua mangsa yang hilang itu masih belum dikenal pasti namun mereka dianggarkan berumur dalam lingkungan 20-an, sementara yang selamat berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an.

    Beliau berkata, PGO Sarawak menerima laporan dari Balai Polis Sungai Merah pada pukul 6.05 pagi menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam, dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah telah digerakkan ke lokasi.

    “Semasa kejadian pelapor sempat menyelamatkan dua orang pekerja kapal dan dipercayai ada dua lagi pekerja kapal itu masih berada di dalam kapal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan pasukan siasatan masih berada di lokasi kejadian. – BERNAMA

  • Ibu dan 2 anak maut, kereta terjunam masuk sungai

    Ibu dan 2 anak maut, kereta terjunam masuk sungai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG ibu bersama dua anaknya maut setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai berdekatan Jambatan Syed Omar, dekat Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil, Baling, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat ibu berkenaan, Masyitoh Ibrahim, 37 bersama dua anaknya iaitu Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq Sharudin, 5, ditemukan masih berada dalam kereta Proton Persona dinaiki mereka sebaik kenderaan yang terjunam tersebut dibawa ke darat kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

    Menurutnya, pihaknya terlebih dahulu menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.10 petang semalam.

    “Siasatan awal mendapati kereta mangsa terbabas lalu terjatuh ke dalam Sungai Muda yang terletak di kawasan sempadan Baling dan Sungai Petani.

    “Kesemua mangsa dijumpai masih berada dalam kereta tersebut. Mayat kesemua mereka dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dengan kes tersebut kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    terjunam
    Sebuah kren digunakan bagi mengangkatnya ke darat dan kereta itu berjaya dinaikkan sepenuhnya kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

    Difahamkan mangsa merupakan seorang guru agama di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, bangkai kereta tersebut ditemukan oleh empat penyelam yang melakukan pencarian kira-kira pukul 1.41 pagi.

    “Kereta itu ditemukan di kedalaman tujuh meter kira-kira pukul 1.41 pagi. Sebuah kren digunakan bagi mengangkatnya ke darat dan kereta itu berjaya dinaikkan sepenuhnya kira-kira pukul 3.30 pagi,” katanya.

  • Dua maut, seorang cedera motosikal bertembung

    Dua maut, seorang cedera motosikal bertembung

    DUA penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera ringan selepas motosikal mereka naiki bertembung di Jalan Parit Raja Darat, Batu Pahat, pukul 1.55 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata,

    Kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal ditunggangi Mohamad Fauzi Boyani, 16, dan seorang lagi remaja berusia 17 tahun dalam perjalanan dari arah Parit Raja menghala ke Senggarang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah, semasa tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang Muhammad Afiq Hussin, 20, dari arah hadapan masuk ke lorong bertentangan sebelum mereka bertembung secara berdepan.

    “Akibat kemalangan itu, Mohamad Fauzi dan Muhammad Afiq maut di tempat kejadian.

    “Seorang lagi mangsa berusia 17 tahun hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora, Batu Pahat untuk diberikan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.