Category: Kemalangan / Bencana

  • Lori langgar treler: 1 mati tersepit, 4 lagi parah

    Lori langgar treler: 1 mati tersepit, 4 lagi parah

    SEORANG lelaki yang dipercayai pemandu lori mati dalam keadaan tersepit di tempat duduknya setelah kenderaan itu melanggar bahagian belakang sebuah treler.

    Memetik laporan Sinar Harian hari ini, kemalangan yang melibatkan dua kenderaan itu berlaku di Kilometer 408.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di lokasi berhampiran Tanjung Malim-Lembah Beringin, pada awal pagi tadi.

    Selain itu, empat pekerja warga Pakistan dilaporkan dalam keadaan cedera parah akibat tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah tersebut.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 1.12 pagi tadi.

    “Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dengan dibantu BBP Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 1.45 pagi.

    “Mangsa yang maut merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun telah tersepit dibahagian tempat duduk pemandu manakala empat mangsa lagi parah tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah itu,” katanya.

    Menurut beliau, anggota bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari lori.

    “Kesemua mangsa tersepit dikeluarkan dengan menggunakan alatan khas dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Namun, dua mangsa lagi iaitu pemandu serta penumpang treler yang dilanggar tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

  • 3 kru selamat, 1 hilang insiden kapal tangki karam

    3 kru selamat, 1 hilang insiden kapal tangki karam

    PUSAT Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Kuching mengaktifkan Operasi Carilamat pada jam 11.15 pagi Sabtu susulan seorang mangsa dikhuatiri hilang setelah sebuah kapal tangki dilaporkan karam di perairan Samalaju, kira-kira 40.2 batu nautika dari barat laut Bintulu.

    Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Mohd Khairol Anuar Saad berkata, pada jam 10.53 pagi, MRSC Kuching menerima laporan bahawa Banga 2, yang membawa empat kru, dikhuatiri karam di perairan itu.

    Beliau berkata, tiga kru berjaya diselamatkan manakala seorang lagi, yang merupakan warga India dikenali sebagai Himanshu Kumar, dikhuatiri hilang.

    “Menurut mangsa yang terselamat, ketika kapal tersebut sedang bersauh di perairan Samalaju sekitar 2 pagi semalam, kapal mereka telah dilanda ribut sehingga menyebabkan ia dimasuki air dan tenggelam.

    “Tiga mangsa iaitu dua warga tempatan termasuk nakhoda serta seorang warga India telah berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki rakit keselamatan manakala seorang lagi kru tidak sempat menaikinya dan terus hanyut menjauhi rakit keselamatan,” menurutnya dalam kenyataan.

    Mohd Khairol juga berkata, ketiga-tiga mangsa yang menaiki rakit keselamatan telah diselamatkan oleh sebuah bot yang kebetulan berada berhampiran dengan lokasi kejadian.

    “Pakaian terakhir mangsa yang dilaporkan hilang ialah berbaju hitam putih, seluar panjang dan memakai jaket keselamatan.

    “KM SETIA, yang sedang beroperasi di sekitar perairan Bintulu, telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian,” katanya.

    Beliau berkata Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Samalaju dan MRSC Kuching juga telah memaklumkan insiden itu kepada agensi sahabat serta memajukan permohonan aset udara kepada Unit Udara Bomba Miri dan Polis Gerakan Udara Miri. – Bernama

  • Remaja sempat lihat bapanya cuba selamatkan adik

    Remaja sempat lihat bapanya cuba selamatkan adik

    SEORANG mangsa yang terselamat dalam insiden bot dinaiki tiga beranak itu terbalik di Jalan Kolam Takungan, Taman Cahaya, Sungai Chua, di Kajang, hari ini, sempat melihat bapanya berusaha menyelamatkan adiknya yang tidak pandai berenang.

    Mohamad Mustaqim Mohd. Adnan, 17, berkata, sebelum itu dia bersama adiknya, Hakimi Mohd Adnan, 15, membantu bapa mereka, Mohd Adnan Johdi, untuk membersihkan kolam takungan itu sejak pukul 11 pagi.

    Katanya, mereka mengutip sampah dan memotong daun teratai sebelum meletakkannya dalam bot dinaiki, namun ia menjadi semakin berat lalu tenggelam.

    “Saya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi kolam,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Difahamkan, Mohd. Adnan adalah kontraktor yang melakukan kerja pembersihan kolam berkenaan.

    Sementara itu, suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian dengan ahli keluarga saling berpelukan sambil menangis sebaik saja mayat kedua-dua mangsa dijumpai.

    Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, dipetik berkata, mayat Mohd. Adnan ditemui pada pukul 5.12 petang, manakala mayat Hakimi dijumpai pada pukul 6.56 petang.

  • Bapa, anak dikhuatiri lemas bot dinaiki terbalik

    Bapa, anak dikhuatiri lemas bot dinaiki terbalik

    DUA beranak dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di sebuah kolam takungan di Taman Cahaya, Sungai Chua, Kuala Lumpur hari ini.

    Susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian pukul 2.15 petang.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, terdapat tiga individu daripada sebuah keluarga dilaporkan menaiki bot terbabit sebelum dua daripadanya hilang selepas bot dinaiki terbalik.

    “Seorang bapa bersama dua anak lelaki menaiki bot itu dengan seorang anak berusia 18 tahun berjaya menyelamatkan diri.

    “Bagaimanapun, ayah mangsa yang berusia 50-an serta seorang lagi anak berusia 15 tahun masih hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Menurut Norazam, pasukan bomba kini masih lagi melakukan ‘surface searching’ (pencarian di permukaan) serta menggunakan ‘grappling iron’ di tasik dengan kedalaman dianggarkan 30 meter itu.

    Katanya, usaha mencari dan menyelamat itu turut disertai anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Selangor.

  • Lapan rumah musnah dalam kebakaran awal pagi

    Lapan rumah musnah dalam kebakaran awal pagi

    LAPAN buah rumah musnah dalam satu kebakaran di Kampung Sebiew, di Bintulu, awal pagi tadi.

    Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul4 pagi.

    “Dua jentera dengan kekuatan 16 anggota diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dan Kidurong.

    “Sekitar pukul 4.33 pagi, pasukan yang tiba membuat laporan awal bahawa kebakaran telah berjaya dikawal.

    “Setelah proses overhaul dilaksanakan, dua jam kemudian, ketua operasi mengesahkan jumlah rumah yang musnah sama sekali ialah lapan buah,” lapor Astro Awani.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang menyebabkan 49 orang hilang tempat berteduh.

    Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba.

  • Pekerja kilang didakwa memandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian guru

    Pekerja kilang didakwa memandu bawah pengaruh dadah, sebabkan kematian guru

    SEORANG pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pekan hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang guru di Kilometer 55 Jalan Kuantan-Segamat di Kuantan, minggu lepas. 

    Tertuduh Yeoh Boon Chin, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majisret Wahidah Zainal Abidin. 

    Yeoh yang beralamat di Gemas, Negeri Sembilan didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 petang, 26 Jun semasa memandu kenderaan bernombor pendaftaran WWR818 yang menyebabkannya tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian Azlina Mohamad, 51, yang merupakan penumpang kereta jenis Myvi. 

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan. 

    Selain itu, Yeoh yang memakai pakaian lokap polis juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kedua iaitu  memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada anak Azlina, Ain Shafiah Ahmad Shahar 21, di tempat dan pada masa yang sama. 

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 44(1A)(a) akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM50,000 jika sabit kesalahan. 

    Pada prosiding itu, peguam Osman Abdullah yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM30,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan RM1,700 sebulan. 

    “Tertuduh merupakan seorang duda anak satu dan berjanji akan hadir setiap kali kes disebut di mahkamah,” katanya. 

    Majistret membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 30 Ogos sebagai sebutan semula bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan kimia. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Natasha Saharrudin. —Bernama

  • Maritim teruskan pencarian 10 pemancing, 3 kru hilang di laut

    Maritim teruskan pencarian 10 pemancing, 3 kru hilang di laut

    OPERASI mencari dan menyelamat (Carilamat) 10 pemancing bersama tiga kru yang dikhuatiri hilang di laut selepas keluar memancing pada 25 Jun lalu diteruskan hari ini.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli, operasi yang memasuki hari kedua diteruskan dengan turut melibatkan pesawat udara dan sebuah kapal.

    Beliau berkata, sektor pencarian membabitkan keluasan 297.5 batu nautika pencarian di udara dan laut.

    “Setakat ini, mereka yang hilang dikenali sebagai Norazmalizan Abdullah (tekong); Shaarif Abdullah (kru); Mohd. Anuar Md. Jali (kru) bersama enam orang pemancing.

    “Enam pemancing dikenali sebagai Khairul Safuan Naim, Mohd. Faizal Ismail, Mohd. Fuad Mohd. Yusof, Khairul Fareez Ahmad Arshad, Muhamad Marwazi Janid dan Fadzil Mohamed Zakaria.

    Bot yang dipercayai membawa 10 penumpang sebelum dikhuatiri hilang

    “Identiti empat lagi pemancing sedang dikenal pasti dan setakat ini, beberapa ahli keluarga mangsa ada menghubungi kita bagi mengesahkan identiti mereka yang hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

    Media semalam melaporkan, 10 pemancing bersama tiga kru dikhuatiri hilang di laut selepas bot dinaiki mereka tidak pulang sehingga semalam.

    Kesemua pemancing terbabit yang dipercayai pergi memancing di kawasan Pelantar Minyak Tapis di perairan negeri Terengganu sepatutnya pulang semalam selepas keluar pada pukul 10 pagi pada Sabtu lalu.

    Difahamkan, rakan pemancing mendakwa kali terakhir melihat bot dinaiki kumpulan pemancing itu berada di sekitar Pelantar Minyak Tapis, sekitar 128 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

  • Myvi bertembung treler, tiga nyawa melayang

    Myvi bertembung treler, tiga nyawa melayang

    TIGA individu maut apabila kereta Perodua Myvi dinaiki dipercayai bertembung dengan sebuah treler di hadapan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, Hulu Selangor, awal pagi tadi.

    Mangsa yang maut dikenali sebagai B Janani Sri, 25, PS Thamilselvam, 25, dan PS Sasitaran,18.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.30 pagi.

    “Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan treler yang dipercayai telah bertembung.

    “Kereta berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Rawang ke Serendah manakala treler datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kesemua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA

  • Kereta terbabas langgar lopak air, warga Singapura maut di Ajil

    Kereta terbabas langgar lopak air, warga Singapura maut di Ajil

    SEORANG warga Singapura maut selepas kenderaan aktiviti sukan (SAV) BMW X5 yang dinaiki melanggar lopak air sebelum terbabas dalam kejadian di Kilometer 398.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Bukit Besi menghala ke Ajil, semalam

    Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa, Clarrisa Neo Li Shan, 28, yang merupakan penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakan bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Redang, Terengganu kira-kira jam 1 petang.

    Katanya, hasil siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu rakan mangsa, Ng Shea Shin, 31, telah melanggar lopak air sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian keadaan hujan lebat, kenderaan dipandu rakan mangsa tiba-tiba melanggar lopak air lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar penghadang besi.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Mohd Adli berkata, seorang lagi mangsa iaitu Coo Juo Sie, 30, yang merupakan penumpang belakang patah kaki kiri dan cedera tangan kanan manakala pemandu kenderaan dan seorang lagi penumpang bahagian belakang kenderaan iaitu Goh Yong Zhin, 28, tidak mengalami kecederaan.

    Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. –

  • Lelaki nyaris tertimbus ketika buat kerja pembaikan paip

    Lelaki nyaris tertimbus ketika buat kerja pembaikan paip

    SEORANG  lelaki warga Indonesia berdepan detik cemas apabila separuh badannya tertimbus dalam lubang ketika melakukan kerja pembaikan paip di Laman View Cyberjaya petang semalam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata ketika kejadian, mangsa, Samsul Maarif, 43, sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan paip di dalam lubang yang digali sedalam 3.04 meter.

    “Ketika sedang membuat kerja-kerja pembaikan itu, secara tiba-tiba tanah yang digali telah runtuh lalu menimbusi sebahagian badan mangsa dari paras pinggang dan ke bawah,” katanya dalam kenyataan.

    Norazam berkata bomba yang tiba di tempat kejadian pada jam  2.16 petang, tidak membuat sebarang penyelamatan kerana mangsa telah dikeluarkan oleh rakan sekerja sebelum pihak bomba sampai.

    Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan dan pendarahan di mulut telah diberikan rawatan awal oleh anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut.

    — BERNAMA