Category: Kemalangan / Bencana

  • Wanita maut, dipercayai dilanggar semasa melintas Lebuhraya Persekutuan

    Wanita maut, dipercayai dilanggar semasa melintas Lebuhraya Persekutuan

    SEORANG wanita maut selepas dipercayai dilanggar sewaktu dia melintas jalan di Kilometer (KM) 7 Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam tengah malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian langgar lari pada pukul 12.11 tengah malam itu dipercayai berlaku ketika wanita berumur 33 tahun yang melintas jalan di laluan dari Kuala Lumpur menghala Klang di lebuh raya berkenaan, dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan jenisnya.

    “Wanita yang berpakaian serba warna hitam itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, dan mayat telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami dengan menelefon 011-31215697 bagi membantu siasatan. –Bernama

  • Tayar van pecah:Seorang wanita maut, sembilan cedera

    Tayar van pecah:Seorang wanita maut, sembilan cedera

    SEORANG wanita maut manakala sembilan yang lain cedera selepas van dinaiki hilang kawalan dan terbalik di Kilometer 178.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Bagan Serai hari ini.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai pada pukul 6.22 petang.

    Difahamkan kejadian berkenaan berlaku disebabkan tayar pecah mengakibatkan van terbabit hilang kawalan dan terbabas.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, terdapat 10 mangsa dalam kenderaan itu terdiri daripada enam perempuan, tiga lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki.

    “Bagaimanapun semua mangsa tidak tersepit. Anggota bertindak membuat rawatan awal kepada mangsa dan membawa mereka ke Hospital Taiping.

    “Mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

  • Lelaki terperangkap empat jam dalam runtuhan tanah

    Lelaki terperangkap empat jam dalam runtuhan tanah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja lelaki terperangkap dalam runtuhan tanah semasa melakukan kerja di Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi di Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.

    Kejadian yang menimpa lelaki berkenaan yang berusia 44 tahun itu dimaklumkan orang awam kepada pihak polis pada pukul 2.20 petang.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai kanan dan anggota polis dari Balai Polis Bandar Penawar digerakkan untuk mengawal situasi di tempat kejadian.

    “Operasi menyelamat dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar dan BBP Sebana Cove, kakitangan Klinik Kesihatan Bayu Damai dan panel kontraktor Indah Water Konsortium iaitu syarikat Prospek Qaraeez,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati secara keseluruhan seramai empat pekerja syarikat Prospek Qaraeez termasuk mangsa menjalankan kerja baik pulih loji kumbahan di sekolah berkenaan.

    Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah di Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi di Bandar Penawar

    Jelasnya, semasa melakukan kerja-kerja itu tanah di tepi tangki loji kumbahan runtuh atau jerlus menyebabkan seorang mangsa terperangkap dan tertimbus hingga ke paras pinggang.

    Menurutnya, tiga lagi pekerja sempat menyelamatkan diri sebelum mangsa berjaya diselamatkan dan kini dalam keadaan stabil.

    Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Penawar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, 16 anggota dari dua BBP berkenaan dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mangsa terperangkap dalam runtuhan tanah ketika kerja- kerja pembaikan tangki septik. Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pegawia perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Beliau menambah, operasi tamat pada pukul 6.50 petang.

  • Ciuman, pelukan erat ibu jadi petanda tragedi maut 5 beranak

    Ciuman, pelukan erat ibu jadi petanda tragedi maut 5 beranak

    SEORANG anak kepada mangsa lima sekeluarga nahas di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa di Gerik, semalam, tidak menyangka dakapan erat dan ciuman ibu tercinta menjadi petanda pemergian lima beranak itu.

    Mohammad Firdaus Mohd Rodhi, 35, anak sulung daripada lima beradik kepada pasangan Mohd. Rodhi Othman, 64, dan Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, yang maut dalam kejadian itu, berkongsi kenangan terakhir itu.

    Kejadian sekitar pukul 3.45 petang itu turut meragut nyawa adik perempuan Mohammad Firdaus, Siti Aishah, 32, suaminya, Ahmad Khomainin Baba, 32, dan anak perempuan mereka, Zara Hana, 6.

    Mohammad Firdaus berkata, sehari sebelum kejadian, lima sekeluarga yang menetap di Sungai Petani, Kedah pergi ke Pasir Tumboh, Kelantan untuk menghantar seorang lagi adik perempuannya mendaftar masuk ke sebuah pusat pengajian.

    “Mereka sepatutnya pulang pada hari ini, namun mempercepatkan perjalanan balik kerana mahu menghadiri pengebumian seorang saudara rapat yang meninggal dunia.

    “Pagi Jumaat itu bila saya datang rumah nak tengok mereka pergi, mak salam dan peluk saya dengan erat. Situasi ketika itu sedikit pelik rasa macam hari raya.

    “Suasana pun macam sedih dan lain dari kebiasaan, tetapi saya tak fikirkan sangat, sampailah kejadian ini berlaku, baru saya sedar mungkin itu petanda mereka pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Gerik, hari ini.

    Mohammad Firdaus berkata, pada sebelah pagi sebelum kejadian, dia ada menghubungi ibunya itu dan pada sebelah petang beberapa jam sebelum kejadian, adik perempuannya sempat membuat panggilan video dengan adik-beradik yang lain.

    “Mak beritahu mereka semua dah makan dan sedang bersiap-siap untuk bertolak balik.

    “Dalam jam lebih kurang 2 petang, adik-adik saya sempat buat video call dalam kereta, mereka maklumkan ketika itu sudah sampai di Jeli.

    “Rasa ralat itu ada sebab saya tak sempat nak ikut sama video call, kalau tak, dapatlah saya tatap wajah mereka buat kali terakhir,” katanya menurut Astro Awani yang memetik laporan Sinar Harian.

    Semasa mengetahui kejadian nahas itu, dia menghubungi polis dan dimaklumkan ada 10 mangsa terlibat dengan lima daripadanya meninggal dunia.

    “Saya ingatkan semua mangsa itu mungkin dari dua kenderaan berbeza, tetapi tak sangka kelima-lima itu semuanya melibatkan keluarga saya.

    “Sedih memang sedih, tetapi ini takdir yang perlu kami terima kehilangan lima keluarga serentak,” katanya.

    Dia berkata, bapanya merupakan bekas pensyarah dan ibunya bekas guru sangat aktif walaupun telah bersara dengan terlibat dalam perusahaan kolam ikan.

    Sementara adik perempuan dan suaminya masing-masing bekerja sebagai pereka grafik.

    Semua jenazah akan dikebumikan dalam dua liang lahad di Kampung Permatang Sungai Dua, Butterworth Pulau Pinang petang tadi.

  • Lelaki maut dalam kebakaran rumah teres

    Lelaki maut dalam kebakaran rumah teres

    SEORANG lelaki maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Country Home di Rawang, hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.30 pagi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bersama jentera dikejarkan ke lokasi kebakaran dan tiba pukul 9.41 pagi.

    “Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar pada bahagian dapur dan bilik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut beliau, kejadian itu melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 58 tahun dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • 5 sekeluarga maut kemalangan di Gerik selamat dikebumikan

    5 sekeluarga maut kemalangan di Gerik selamat dikebumikan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    JENAZAH lima sekeluarga yang maut dalam nahas berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli petang semalam selamat dikebumikan di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Butterworth, Pulau Pinang kira-kira pukul 2.50 petang tadi.

    Terdahulu, jenazah Mohd. Rodhi Othman, 58; dan isteri, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; serta anak mereka, Siti Aishah, 32, dan suaminya, Ahmad Khomaini Abu, 30, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 5, tiba di masjid itu kira-kira pukul 1 petang.

    Kesemua jenazah itu dibawa dengan empat buah van jenazah dari Hospital Gerik, Perak pukul 11.20 pagi selepas urusan bedah siasat selesai.

    Dalam kejadian pukul 3.45 petang semalam, kesemua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza maut selepas bertembung dengan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux.

    Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu 4WD yang memandu dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan yang hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki keluarga berkenaan.

    Keluarga itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas selesai menghantar ahli keluarga mereka di sebuah pusat pengajian pondok agama di Kota Bharu, Kelantan.

    Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan, kejadian terbabit melibatkan tujuh mangsa yang mana dua lagi mengalami cedera ringan.

  • 33 pondok tahfiz musnah terbakar

    33 pondok tahfiz musnah terbakar

    SEBANYAK 33 daripada 100 pondok tahfiz Madrasah Al Imaniyah Kampung Darat Sungai Ular di Kuantan musnah dalam kebakaran pukul 9 pagi tadi.

    Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan ketika kejadian pondok berkenaan tanpa penghuni kerana semua pelajar sedang bercuti.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 9.37 pagi.

    Susulan itu katanya, 19 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dan Indera Mahkota dikerah ke lokasi untuk operasi pemadaman.

    “Ketika anggota tiba, api sedang marak dan ketika itu, 21 daripadanya sedang terbakar.

    “Anggota berdepan kesukaran untuk mengawal kebakaran ekoran kedudukan pili bomba terlalu jauh dan terpaksa menggunakan sumber air lain untuk mengawal dan memadam kebakaran,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Wan Muhammad Zaidi berkata, selain itu, struktur pondok daripada kayu dan jarak kedudukan setiap pondok terlalu rapat menyumbang kepada kebakaran merebak dengan cepat.

    Anggota bomba memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

    “Difahamkan kebakaran berpunca dari salah satu pondok di barisan belakang bagaimanapun setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

    Beliau berkata, kebakaran madrasah itu adalah yang pertama melibatkan pusat tahfiz di Pahang tahun ini.

    Sementara itu, seorang saksi kejadian yang juga penduduk kampung itu, Rusdi Abdul Rahman,41 berkata, ketika kejadian dia berada di rumah tidak jauh dari kawasan madrasah tersebut.

    Menurutnya, dia terdengar seakan bunyi letupan sebelum ternampak asap tebal dari arah pusat pengajian agama itu.

    “Saya segera datang ke sini dan mendapati beberapa pondok sedang terbakar.

    “Saya cuba membantu memadam kebakaran namun gagal kerana api marak begitu cepat lalu menghubungi pihak bomba untuk bantuan,” katanya.

    Rusdi berkata, ketika itu semua pelajar sedang bercuti dan tiada di pondok tersebut.

    “Saya cuba juga membantu menyelamatkan barang murid pelajar yang berada di pondok tersebut namun hanya sebahagian sempat diselamatkan,” katanya.

    Seorang pelajar madrasah itu, Mohd. Fadlulah Ab. Ghani, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya juga di kawasan kampung berkenaan.

    Dia hanya mengetahui tentang kejadian selepas dihubungi seorang rakan.

    “Saya segera ke sini namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sedang marak,” katanya.

  • Hilang kawalan punca kemalangan lima beranak maut, kata polis

    Hilang kawalan punca kemalangan lima beranak maut, kata polis

    POLIS memaklumkan punca nahas dua kenderaan di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli yang mengakibatkan lima sekeluarga terkorban pada Sabtu dipercayai akibat hilang kawalan.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, siasatan awal mendapati, pacuan empat roda Toyota Hilux yang datang dari arah Gerik ke Jeli telah hilang kawalan dan masuk ke arah bertentangan.

    “Keadaan itu mengakibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga itu tidak dapat mengelak lalu bertembung.

    “Semasa kejadian, MPV berkenaan dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu dan empat penumpang telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata, mereka yang meninggal dunia merupakan pasangan suami isteri, Ahmad Khomainin Baba, 32, Siti Aishah Mohd. Rodhi, 32, dan anak perempuan mereka, Zara Hana Ahmad Khomaini, 6.

    Katanya, dua lagi mangsa merupakan ibu bapa kepada Siti Aishah iaitu Mohd. Rodhi Othman, 64, dan Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59.

    “Proses bedah siasat telah selesai dan semua jenazah akan dikafankan di Bilik Mayat Hospital Gerik pada 9 pagi ini.

    “Mereka yang tinggal di Sungai Petani, Kedah akan dikebumikan di Kampung Permatang Sungai Dua, Butterworth Pulau Pinang,” katanya.

    Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, terdapat empat penumpang dalam kenderaan Toyota Hilux terselamat dalam kejadian itu.

    Ujarnya, kesemua mereka yang berasal dari Tumpat, Kelantan hanya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

    “Siasatan kes masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai yang menggunakan jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu.

    “Juga merancang perjalanan serta mendapatkan rehat yang secukupnya ketika ingin melakukan perjalanan yang jauh,” katanya.

    Dalam kejadian sekitar pukul 3.45 petang itu, lima sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak maut selepas MPV dinaiki terbabit dalam nahas dengan sebuah Toyota Hilux.

    Kejadian mengakibatkan kedua-dua kenderaan remuk teruk dengan pacuan empat roda terbabit terbalik

  • Lima maut kemalangan di Gerik

    Lima maut kemalangan di Gerik

    LIMA individu maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur – Barat (JRTB) Gerik – Jeli berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa di Gerik hari ini.

    Mereka yang terkorban Mohd. Rodhi Othman, 58 tahun; Ahmad Khomaini Abu, berusia 30-an; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59 tahun; Siti Aishah Mohd. Rodhi, 32 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan Zara Hana Ahmad Khomaini; 5 tahun.

    Difahamkan kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 5 petang melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Alza dan pacuan empat roda Toyota Hilux.

    Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata:”Siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dikenal pasti.”

    Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan kejadian melibatkan tujuh mangsa yang mana dua mengalami cedera ringan.

    Katanya, mangsa-mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Jeli untuk tindakan selanjutnya.

    Sementara mangsa-mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

  • BMW remuk dihempap lori tangki terbalik

    BMW remuk dihempap lori tangki terbalik

    SEBUAH BMW remuk teruk akibat dihempap lori tangki yang mengundur selepas brek kenderaan itu gagal berfungsi di atas Jambatan Telok Datok dekat Kilometer 32, Klang-Banting-Port Dickson, Kuala Langat, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, ketika kejadian pada pukul 7.25 malam, lori berkenaan dalam perjalanan dari Klang ke Banting.

    Setibanya di lokasi, brek lori tidak berfungsi dan menyebabkan lori mengundur ke belakang secara sendiri sebelum hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

    “Kemudian, lori tangki itu juga turut melanggar sebuah kereta jenis BMW sebelum terbalik secara melintang menutupi kedua-dua lorong laluan dari arah Klang,” katanya memetik laporan Utusan TV hari ini.

    Akibat kemalangan itu laluan dari Klang menghala ke Banting ditutup dan laluan kontra telah dibuat bagi melancarkan aliran trafik.

    Jelasnya, pemandu lori dan pemandu kereta BMW tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.