SEBANYAK 33 daripada 100 pondok tahfiz Madrasah Al Imaniyah Kampung Darat Sungai Ular di Kuantan musnah dalam kebakaran pukul 9 pagi tadi.

Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan ketika kejadian pondok berkenaan tanpa penghuni kerana semua pelajar sedang bercuti.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 9.37 pagi.

Susulan itu katanya, 19 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dan Indera Mahkota dikerah ke lokasi untuk operasi pemadaman.

“Ketika anggota tiba, api sedang marak dan ketika itu, 21 daripadanya sedang terbakar.

“Anggota berdepan kesukaran untuk mengawal kebakaran ekoran kedudukan pili bomba terlalu jauh dan terpaksa menggunakan sumber air lain untuk mengawal dan memadam kebakaran,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Wan Muhammad Zaidi berkata, selain itu, struktur pondok daripada kayu dan jarak kedudukan setiap pondok terlalu rapat menyumbang kepada kebakaran merebak dengan cepat.

Anggota bomba memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Difahamkan kebakaran berpunca dari salah satu pondok di barisan belakang bagaimanapun setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran madrasah itu adalah yang pertama melibatkan pusat tahfiz di Pahang tahun ini.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang juga penduduk kampung itu, Rusdi Abdul Rahman,41 berkata, ketika kejadian dia berada di rumah tidak jauh dari kawasan madrasah tersebut.

Menurutnya, dia terdengar seakan bunyi letupan sebelum ternampak asap tebal dari arah pusat pengajian agama itu.

“Saya segera datang ke sini dan mendapati beberapa pondok sedang terbakar.

“Saya cuba membantu memadam kebakaran namun gagal kerana api marak begitu cepat lalu menghubungi pihak bomba untuk bantuan,” katanya.

Rusdi berkata, ketika itu semua pelajar sedang bercuti dan tiada di pondok tersebut.

“Saya cuba juga membantu menyelamatkan barang murid pelajar yang berada di pondok tersebut namun hanya sebahagian sempat diselamatkan,” katanya.

Seorang pelajar madrasah itu, Mohd. Fadlulah Ab. Ghani, 35, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya juga di kawasan kampung berkenaan.

Dia hanya mengetahui tentang kejadian selepas dihubungi seorang rakan.

“Saya segera ke sini namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sedang marak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here