Category: Kemalangan / Bencana

  • 58 rumah, inap desa di Tanjung Bidara rosak dilanda ribut

    58 rumah, inap desa di Tanjung Bidara rosak dilanda ribut

    KIRA-kira 10 pengusaha inap desa di Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara dan kawasan sekitarnya mengalami kerugian ribuan ringgit dalam kejadian ribut yang melanda di sini, pagi tadi.

    Dalam kejadian pada kira-kira 9.40 pagi itu, sebanyak 58 rumah daripada 56 keluarga termasuk rumah yang dijadikan inap desa di empat kampung iaitu, Kampung Pasir Gembor, Kampung Air Hitam Darat, Kampung Air Hitam Pantai dan Kampung Balik Batu serta sebuah masjid terjejas susulan kejadian ribut itu.

    Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

    Seorang pengusaha inap desa Roslan Misbah, 54, berkata beliau berada di tempat kerja sebelum dimaklumkan oleh anaknya mengenai kejadian ribut melanda kawasan tersebut.

    “Anak saya (Samsul Adli) kebetulan berada di homestay ini beritahu kawasan rumah dilanda ribut, malah sempat rakam kejadian itu. Tak sangka pukulan angin ribut kali ini sangat kuat hingga terbangkan bumbung inap desa kami,” katanya kepada Bernama.

    Susulan dibadai ribut, Roslan yang mengusahakan inap desa bersama rakannya sejak dua tahun lepas berkata semua tempahan terpaksa dibatalkan bagi kerja-kerja pembaikan dan pembersihan. 

    Katanya antara kerosakan yang dialami ialah kerosakan pada bumbung, tilam dan perabot serta kelengkapan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh dan pemanas air yang dianggarkan hampir RM8,000.

    “Apa pun, saya reda sebab terpaksa batalkan tempahan bagi tempoh dua bulan ini. Kalau ikutkan tempahan, semuanya sudah penuh hingga hujung tahun,” katanya.

    Seorang lagi penduduk, Nurul Aini Mazlan, 36, berkata kejadian ribut kali ini benar-benar menakutkannya sejak lapan tahun dia menetap di kampung tersebut.

    “Elok saja suami parkir kereta di garaj tepi rumah, angin ribut melanda. Habis tercabut semua atap genting, bumbung rumah….memang takut sebab beberapa ketika sebelum kejadian, saya pandang laut, memang kelihatan putih,” katanya.

    Mengakui sedih dan luluh melihat kerosakan yang dialami serta terpaksa menganggung kerugian hampir RM15,000 Nurul Aini bagimanapun reda dengan ujian tersebut.

    “Benda tak boleh dijangka dan inilah antara risiko duduk di tepi pantai. Bagaimanapun, saya terima dengan hati terbuka walaupun sedih dan dalam masa yang sama masih takut dengan apa yang menimpa,” katanya. 

    Dalam pada itu, penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Mohd Azizan Daud berkata  pihak Japerun telah menghulurkan bantuan awal manakala pejabat daerah sedang melakukan siasatan bagi menilai kerosakan yang dialami penduduk terjejas. 

    “Setakat ini empat keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Falak Al-Khawarizmi dan mendapati empat rumah langsung tidak dapat didiami.

    “Kita juga akan memberi bayaran sagu hati menerusi Tabung Bencana Negeri dan juga dari Majlis Agama Islam Melaka sebagai bantuan segera,” katanya. – BERNAMA 

  • Semua sekolah diarah periksa tangki air, infrastruktur uzur

    Semua sekolah diarah periksa tangki air, infrastruktur uzur

    SEMUA sekolah di seluruh negara diarah melakukan pemeriksaan terhadap tangki air supaya insiden yang menimpa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor dekat Kelantan tidak berulang.

    Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon selain itu berkata, sekolah-sekolah juga diarahkan untuk melakukan pemeriksaan ke atas semua infrastruktur lain terutama yang sudah uzur.

    Beliau berkata, pihak sekolah juga diminta agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat binaan yang dirasakan tidak selamat atau berkemungkinan akan mengancam keselamatan murid.

    “KPM (Kementerian Pendidikan) memandang serius isu berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengambil tindakan perlu bagi menanganinya daripada berulang.

    “Namun yang utama ketika ini adalah untuk kita mengambil langkah-langlah pencegahan. Selepas itu, sekiranya berlaku insiden yang tidak dijangka, kita akan mengambil langkah seterusnya untuk menyiasat,” katanya dipetik Astro Awani sebagai berkata.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Malim di sini.

    Semalam media melaporkan sebuah tangki air di SMK Melor Kota Bharu, Kelantan telah pecah lalu menimpa laluan pejalan kaki di situ.

    Insiden berkenaan telah mengakibatkan lima pelajar cedera yang mana dua daripadanya masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Dalam pada itu, Hang Soon berkata KPM sentiasa menekankan aspek keselamatan murid dan pelajar terutama dalam kawasan sekolah.

    “Kita memandang serius dan amat menitikberatkan keselamatan anak-anak murid kita ini dan tindakan-tindakan sesuai telah diambil semua pihak.

    “Ini bagi memastikan penyelenggaraan tangki air di sekolah tersebut dapat kita lakukan dalam waktu terdekat,” tambahnya.

  • Warga emas rentung, isteri melecur kebakaran sebuah rumah

    Warga emas rentung, isteri melecur kebakaran sebuah rumah

    SEORANG warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Kesang Laut, Kampung Kesang Laut dekat Tangkak semalam.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz  berkata kejadian berlaku kira-kira 7.08 malam ketika mangsa Ab Karim Md Aroff, 93, bersama isteri Jibah Md Hussin, 87, berada di dalam rumah mereka.

    Beliau berkata 19 anggota dan aset dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu.

    “Bagaimanapun setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kebakaran yang berlaku di sebuah rumah jenis separuh kekal itu telah dipadamkan oleh orang awam dan kebakaran memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan rumah,” katanya menerusi kenyataan.

    Beliau berkata isteri mangsa yang  mengalami kecederaan melecur sebanyak 30 peratus dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Rafiah berkata setakat ini punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.- BERNAMA

  • Terbabit kemalangan semasa lintas jalan, budak 3 tahun patah tulang

    Terbabit kemalangan semasa lintas jalan, budak 3 tahun patah tulang

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun patah tulang selangka dan luka di bahagian badan apabila melanggar sisi depan sebuah kereta di Jalan Wakaf Aik, Bachok, Kelantan petang semalam.

    Memetik Astro Awani, Ketua Polis Daerah Bachok Supt Muhamad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu turut menyebabkan kemalangan antara kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Exora.

    Menurutnya, kejadian berlaku apabila kanak-kanak lelaki berkenaan melintas jalan dan pada masa sama, sebuah Proton Exora datang dari Jalan Besut menghala Pengkalan Chepa, manakala Perodua Myvi datang dari arah bertentangan.

    “Ketika kanak-kanak berkenaan melintas, pemandu Proton Exora mengelak dan memasuki laluan bertentangan sehingga melanggar Perodua Myvi di laluan bertentangan.

    “Ia menyebabkan kanak-kanak berkenaan merempuh sisi kanan Proton Exora berkenaan. Bagaimanapun, kedua-dua pemandu, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Muhamad Ismail berkata, kanak-kanak berkenaan ditemani seorang lelaki dewasa yang memimpinnya, namun mangsa dikatakan merentap tangannya dan terlepas dari genggaman sebelum berlari melintas jalan.

    Kedua-dua kenderaan berkenaan mengalami kerosakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987.

  • Lima nelayan hilang bot karam, APMM lancar Carilamat

    Lima nelayan hilang bot karam, APMM lancar Carilamat

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan bot dinaiki enam nelayan tempatan dipercayai karam lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang, Isnin lepas. 

    Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira 10 malam dan setakat ini seorang mangsa ditemukan selamat iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun manakala lima lagi termasuk tekong masih belum dapat dikesan.

    Beliau berkata bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 itu keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan. 

    “Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan juga telah mengaktifkan Carilamat semalam bagi mengesan bot tersebut. Bot Maritim PERKASA 1234 digerakkan ke kawasan bot tersebut dilapor karam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, bagi Carilamat hari kedua, sektor pencarian diperluas sehingga 242 batu nautika dan beberapa aset telah diatur gerak awal pagi tadi seperti Aset Kapal Maritim (KM) REDANG, aset udara Bombardier CL415 bersama bot PERKASA 1234. 

    Katanya, APMM menyeru kepada semua komuniti laut dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357.- BERNAMA

  • Tangki air sekolah pecah: 2 pelajar masih terima rawatan

    Tangki air sekolah pecah: 2 pelajar masih terima rawatan

    DUA daripada lima pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor di Kuala Lumpur, yang terbabit dengan insiden tangki air utama pecah pada 10.05 pagi hari ini, masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum ini empat pelajar dihantar ke HUSM untuk rawatan, manakala seorang lagi ke Klinik Kesihatan Mahligai.

    “Seorang daripada pelajar berkenaan mengalami luka di bahagian kepala dan menerima dua jahitan, manakala seorang lagi mengalami sakit di leher.

    “Tiga lagi pelajar bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan sudah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Muhamad Zaki berkata, laporan mengenai kejadian itu sudah dibuat oleh guru Penolong Kanan SMK Melor.

    “Beliau menyatakan terdengar satu letupan yang kuat di bahagian belakang bangunan pejabat.

    “Pengadu terus pergi ke arah bunyi itu serta mendapati tangki air utama pecah dan kejadian berlaku ketika waktu rehat pelajar tingkatan satu, dua dan tiga,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata, insiden itu menyebabkan kerosakan teruk kepada tangki utama, rumah enjin, laluan pejalan kaki, papan kenyataan, musala dan longkang. – Bernama

  • Wanita OKU melecur dalam kebakaran

    Wanita OKU melecur dalam kebakaran

    SEORANG wanita orang kurang upaya (OKU) melecur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Sekolah, Alor Merah, Alor Setar, tengah malam tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 12.36 tengah malam.

    Susulan itu katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi.

    “Sebaik tiba, api sedang marak dari bilik tidur di rumah terbabit. Setelah api berjaya dipadamkan, anggota menyelamatkan mangsa yang melecur di badan,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Mohamadul Ehsan berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

    Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

  • Jurutera hilang ditemui maut dalam kemalangan

    Jurutera hilang ditemui maut dalam kemalangan

    “SAYA lega Ayah segera ditemui, biarpun sudah tidak bernyawa, kami sekeluarga reda.”

    Demikian luahan Zul Husni Zahari, 39, yang merupakan anak sulung kepada Zahari Zakaria, 62, juruukur di Pelabuhan Johor, yang hilang selepas bertolak dari rumahnya di Kemaman, Terengganu untuk kembali bekerja di Pasir Gudang, pada Ahad.

    Jelas Zul Husni, ayahnya bertolak sekitar pukul 10.30 malam pada Ahad selepas menghantar ibunya pulang ke Kemaman, Terengganu.

    Zahari Zakaria
    Zahari Zakaria

    Katanya, ayahnya memaklumkan mahu pulang ke Pasir Gudang kerana ada urusan kerja yang belum diselesaikan lagi.

    “Ahad lebih kurang jam 10.30 malam ayah bergerak dari rumah. Sepatutnya ayah dijangka tiba di tempat kerja pada keesokan paginya.

    “Ibu ada menghubungi ayah pada waktu Subuh tetapi tidak dapat dihubungi. Saya hubungi tempat kerja ayah, memaklumkan ayah tiada. Saya jadi risau dan membuat laporan polis sebelum menularkan kehilangan ayah di media sosial.

    “Kami semua menetap di Kemaman, Terengganu. Hanya ayah sahaja yang berulang dari Pasir Gudang-Kemaman, Terengganu kerana bertugas,” katanya, lapor Astro Awani.

    Tambah Zul Husni, ayahnya sudah lebih 20 tahun melalui jalan sama setiap kali pulang bertugas iaitu menggunakan Jalan Kemaman ke Johor Bahru laluan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi-Pasir Gudang.

    Katanya lagi, selepas membuat laporan polis, pihaknya ada menghubungi beberapa balai polis untuk bertanyakan tentang kemalangan di sepanjang jalan terbabit.

    “Kalau diikutkan ayah sudah bersara tetapi ditawarkan semula kerja secara kontrak sejak tahun lalu.

    “Cukup 24 jam saya buat laporan polis berhubung kehilangan ayah dan ada menghubungi balai polis bertanyakan sama ada terdapat kemalangan di sepanjang laluan perjalanan ayah. Namun, semalam tiada berita dan dapat tahu ini ada kemalangan pagi ini,” katanya.

    Sejak pagi Selasa, tular di media sosial kehilangan Zahari Zakaria yang menaiki kereta Produa Myvi berwarna biru selepas bergerak ke Pasir Gudang dari Kemaman, Terengganu pada Ahad gagal dihubungi.

  • Bot penyeludup karam, seorang  PATI maut, 35 diselamatkan

    Bot penyeludup karam, seorang PATI maut, 35 diselamatkan

    SERAMAI 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya diselamatkan kru sebuah kapal tangki milik syarikat swasta, manakala seorang lelaki maut apabila bot penyeludup yang cuba memasuki Malaysia karam di perairan Selangor awal pagi ini. 

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten V. Siva Kumar berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan perkara itu daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada kira-kira pukul 2.23 pagi.

    “Bot Perkasa 36 APMM Selangor, bot Tentera Laut Diraja Malaysia bersama bot Pasukan Polis Marin diatur gerak ke lokasi untuk operasi menyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    “Semua 35 pendatang asing tanpa izin yang terdiri daripada 28 lelaki dan tujuh wanita berumur dalam lingkungan 22 hingga 51 tahun, berjaya dipindahkan ke aset penguat kuasa dari kapal tangki MV NCC Najem, berserta dengan satu mayat lelaki yang ditemukan oleh kru kapal tangki itu dalam keadaan terapung,” katanya. 

    Menurutnya lokasi tepat bot penyeludup yang karam itu masih sedang disiasat.

    “Kesemua 35 pendatang asing tanpa izin itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum ke Pejabat APMM Selangor untuk tindakan lanjut, manakala mayat diserahkan kepada polis untuk bedah siasat,” katanya. – BERNAMA

  • 5 lelaki nyaris maut kereta terjunam gaung 30 meter

    5 lelaki nyaris maut kereta terjunam gaung 30 meter

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    LIMA lelaki nyaris maut selepas kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung di kawasan berhampiran Titi Kerawang, Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kenderaan yang dinaiki kesemua mangsa berusia antara 20 hingga 21 tahun itu terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter.

    Menurut beliau, pihaknya yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mendapati kesemua mangsa cedera ringan.

    “Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, komander operasi membuat ‘size up’ di dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

    “Kesemua mangsa telah berjaya dinaikkan ke kawasan yang selamat dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, operasi menyelamat itu tamat sepenuhnya pukul 4.44 petang.