Category: Kemalangan / Bencana

  • Penunggang motosikal putus kaki digilis lori

    Penunggang motosikal putus kaki digilis lori

    SEORANG penunggang motosikal putus kaki selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 111, Jalan Ipoh – Butterworth, dekat Kerian pukul 9 pagi tadi.

    Mangsa, Muhammad Rofique Muhammad Amin, 35, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), putus kaki kiri.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa lori dan motosikal berkenaan sedang dalam perjalanan dari Bagan Serai menghala ke arah Parit Buntar.

    “Apabila motosikal yang berada bersebelahan dengan tayar belakang kiri lori, tiba-tiba motosikal telah hilang kawalan lalu terjatuh ke atas jalan raya.

    “Lori yang tidak sempat mengelak lalu telah mengilis penunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Mazuki berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk tindakan selanjutnya.

    Katanya, pemandu lori yang berumur 53 tahun tidak mengalami kecederaan, kes disiasat di bawah Sekyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Pekerja kilang maut 2 motosikal bertembung

    Pekerja kilang maut 2 motosikal bertembung

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang selepas habis bekerja maut apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah motosikal lain dalam kejadian di Jalan Permatang Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, mangsa berusia 40 tahun itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

    Jelas beliau, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang remaja berusia 18 tahun.

    “Pertembungan itu menyebabkan kedua-duanya terjatuh dan mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian paha dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan.

    “Mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Exco Kelantan patah kaki di Mesir dibawa pulang

    Exco Kelantan patah kaki di Mesir dibawa pulang

    PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud yang patah kaki kanan akibat kemalangan di Mesir, kelmarin, kini dalam proses untuk dibawa pulang ke tanah air.

    Setiausaha Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu sedang menunggu penerbangan.

    “Kita pun tidak mendapat gambaran jelas lagi keadaannya di sana, tunggu sehingga sampai di sini,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai keadaan Mohd Nassuruddin yang kini berada di Mesir.

    Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penganugerahan Pensijilan Kulinari 1.0 di H Elite Hotel di Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Difahamkan, kejadian berlaku ketika Mohd. Nassuruddin bersama bekas ADUN Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dan seorang pelajar menaiki sebuah kereta sebaik tiba di negara berkenaan.

    Media sebelum itu melaporkan, Mohd. Nassuruddin ke Mesir bersama rombongan beberapa pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Rombongan berkenaan dijadualkan menghadiri Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan di Timur Tengah 2022 (Spektrum 2022) bermula 14 hingga 16 Ogos.

  • MB Kelantan imamkan solat jenazah pelajar Malaysia lemas di Mesir

    MB Kelantan imamkan solat jenazah pelajar Malaysia lemas di Mesir

    MUHAMMAD FIRDAUS

    MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam mengimamkan solat jenazah pelajar Universiti Al-Azhar, Muhammad Firdaus Ab Rais yang mati lemas dalam satu kejadian di Mesir kelmarin.

    Allahyarham, 25, meninggal dunia semasa mandi di sebatang sungai di al-Qanathir Al-Khairiyah, Mesir.

    Ahmad berkongsikan perkembangan itu menerusi satu hantaran di akaun rasmi Facebook beliau malam tadi.

    Menurutnya, beliau bersama Duta Besar Malaysia Ke Mesir sempa bersuia dengan ahli keluarga Allahyarham yang baru tiba di negara itu.

    “Sama-sama kita doakan moga Allah SWT cucuri rahmat keatas roh Allahyarham,” katanya.

    Pelajar berusia 25 tahun jurusan Syariah itu dikatakan pergi berkelah bersama 10 rakan lain di sebuah sungai pada Jumaat tetapi ditemui lemas kira-kira pukul 10 pagi Sabtu.

    Kejadian itu turut mengorbankan seorang lagi rakannya yang berasal dari Patani, Thailand.

    Memetik laporan Sinar Harian, ibu Muhammad Firdaus, Siti Azlina Mohamad, 46, tidak menyangka dengan kejadian yang menimpa anaknya.

    Siti Azlina ketika ditemui mengakui masih terkejut dengan kejadian yang berlaku ke atas anak sulungnya itu tetapi reda dan sedang membuat persiapan untuk bertolak ke Mesir petang Ahad.

    Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Muhammad Firdaus ketika majlis perkahwinan anaknya itu tahun lalu.

    “Selepas itu arwah dan isterinya pulang semula ke Mesir untuk menyambung pelajaran.

    “Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada mertua arwah Jumaat lalu kira-kira jam 11 pagi yang memaklumkan mengenai kehilangannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, semalam.

    Menurut Siti Azlina, Muhammad Firdaus seorang anak yang baik dan peramah serta sentiasa memaklumkan kepada orang tua jika hendak melakukan sesuatu.

    “Bagaimanapun, kali ini arwah tidak memberitahu saya untuk pergi berkelah di sungai itu,” katanya.

  • Kanak-kanak rentung, lima melecur dalam kebakaran

    Kanak-kanak rentung, lima melecur dalam kebakaran

    SEORANG kanak-kanak lelaki rentung, lima individu lagi melecur dalam satu kebakaran di Kampung Perpaduan, Kinabatangan, pada pukul 12.35 tengah malam tadi.

    Kanak-kanak berkenaan dikenal pasti sebagai Mohd. Adlinsyah Mohd. Adsni yang berusia enam tahun.

    Sementara lima lagi mangsa iaitu ibu bapa dan adik-beradik kanak-kanak berkenaan berusia tiga hingga 43 tahun.

    Dalam pada itu, dua lagi penghuni rumah berkenaan dilaporkan selamat.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.40 tengah malam.

    “Sejurus itu enam anggota dihantar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba operasi memadamkan api segera dijalankan.

    “Selepas api berjaya dikawal pada 2.04 pagi, pemeriksaan menemui seorang kanak-kanak rentung di bilik.

    “Lima lagi mangsa yang berjaya menyelamatkan diri dilaporkan melecur lima hingga 70 peratus di badan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, semua mangsa cedera dihantar Hospital Kinabatangan dan mayat mangsa rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Menurutnya, sebuah motosikal turut musnah dan rumah berkenaan hangus sepenuhnya.

    “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.56 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

  • Serpihan konkrit LRT 3 jatuh, tiada kemalangan jiwa

    Serpihan konkrit LRT 3 jatuh, tiada kemalangan jiwa

    MAJLIS  Perbandaran Klang (MPK) memaklumkan berlaku kejadian serpihan batu konkrit jejambat landasan pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) terjatuh ke khemah peniaga berdekatan Pasar Besar Meru, Klang, hari ini.

    MPK menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

    “Gerai peniaga yang terlibat telah diarahkan tutup serta-merta bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Pihak pengurusan LRT3 turut memberhentikan kerja secara serta-merta.

    “Pemeriksaan mendapati serpihan konkrit itu terjatuh atas khemah di pasar tersebut. Pembinaan telah dihentikan dan pembersihan turut dilakukan di lokasi berkenaan. Peniaga juga telah diarahkan berpindah,” menurut hantaran itu.

    — BERNAMA

  • Batu simen jatuh menimpa khemah pasar

    Batu simen jatuh menimpa khemah pasar

    BEBERAPA kepingan batu simen dari projek pembinaan landasan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) jatuh menimpa khemah peniaga pasar borong di Kompleks Pasar Meru, Klang pagi tadi.

    Kejadian dilapor berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi membabitkan empat khemah peniaga di premis terbabit, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

    Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz, mengesahkan kejadian itu.

    Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak LRT mengenai kejadian itu yang kemudian mengarahkan kerja pembinaan dihentikan serta-merta.

    “MPK juga mengarahkan peniaga terkesan menutup gerai masing-masing serta-merta dan berpindah ke petak kosong berhampiran yang lebih selamat.

    “Tiada sebarang kecederaan berlaku kepada orang awam dan peniaga sewaktu kejadian,” katanya, lapor BH Online.

    Mengulas lanjut, Norfiza berkata, pihaknya difahamkan kejadian itu berlaku sewaktu kerja ‘hacking’ atau pemecahan dilakukan oleh Emrail Sdn Bhd (EMSB) dan didapati sebahagian kepingan simen itu jatuh di atas khemah berkenaan.

  • Lelaki Singapura ditemukan selepas sesat di Gunung Panti Barat

    Lelaki Singapura ditemukan selepas sesat di Gunung Panti Barat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga Singapura yang dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika mendaki di Gunung Panti Barat, Batu Ampat di Kota Tinggi, semalam, ditemukan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata, mangsa, Neo Thiam Ming, 40, ditemukan kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

    “Mangsa dapat keluar sendiri dari hutan dan datang semula ke lokasi di mana Polis membuka pusat kawalan tempat kejadian iaitu lokasi masuk untuk naik ke hutan simpan panti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pukul 7.10 malam tadi.

    Seramai 12 anggota bomba dan enam kakitangan Jabatan Perhutanan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa

    Katanya, laporan dibuat sendiri oleh mangsa melalui Malaysia Emergency Response Services (MERS 999) dan kemudiannya disalurkan kepada JBPM dengan memaklumkan bahawa dia tersesat.

    “Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan operasi mencari dan menyelamat digerakkan ke lokasi terbabit yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia dan dibantu agensi berkaitan termasuk JBPM, Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

    Dalam pada itu Hussin menasihatkan orang ramai yang berhasrat melakukan aktiviti pendakian supaya melaporkan terlebih dahulu ke balai polis atau pejabat perhutanan berhampiran.

  • Koperal maut langgar BMW

    Koperal maut langgar BMW

    SEORANG anggota polis maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 2 Jalan Batang Kali-Genting Highland, hari ini.

    Semasa kejadian mangsa yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal itu menunggang motosikal jenis Benelli dari Petaling Jaya menuju ke Genting Highland.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarudin berkata, mangsa yang berumur 31 tahun itu dipercayai menunggang seorang diri ketika kejadian.

    “Kemalangan berlaku di apabila mangsa telah masuk ke laluan bertentangan ketika tiba di selekoh tajam lalu melanggar kereta jenis BMW dari arah hadapan.

    “Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu pihak polis,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Mayat tanpa identiti terapung di laut

    Mayat tanpa identiti terapung di laut

    SATU mayat dipercayai lelaki ditemui terapung pada kedudukan 0.7 batu nautika di timur laut Padang Kota Lama di Georgetown, semalam.

    Mayat ditemukan sekumpulan individu yang menaiki bot pancing sebelum menghubungi MERS999 pada 2.05 petang.

    Mayat berkenaan ditemukan berseluar pendek dan berbaju singlet berwarna putih serta tiada sebarang pengenalan diri.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan MaritimMalaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed, pasukannya diatur gerak ke lokasi sebaik menerima maklumat daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi.

    “Mangsa kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) dan diserah kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, lapor Harian Metro.

    Setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut dan orang ramai yang mempunyai ahli keluarga hilang diminta tampil membuat aduan.

    Sebarang aduan, maklumat mahupun kecemasan di laut boleh menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999.