Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki warga Singapura yang dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika mendaki di Gunung Panti Barat, Batu Ampat di Kota Tinggi, semalam, ditemukan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata, mangsa, Neo Thiam Ming, 40, ditemukan kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

“Mangsa dapat keluar sendiri dari hutan dan datang semula ke lokasi di mana Polis membuka pusat kawalan tempat kejadian iaitu lokasi masuk untuk naik ke hutan simpan panti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pukul 7.10 malam tadi.

Seramai 12 anggota bomba dan enam kakitangan Jabatan Perhutanan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa

Katanya, laporan dibuat sendiri oleh mangsa melalui Malaysia Emergency Response Services (MERS 999) dan kemudiannya disalurkan kepada JBPM dengan memaklumkan bahawa dia tersesat.

“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan operasi mencari dan menyelamat digerakkan ke lokasi terbabit yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia dan dibantu agensi berkaitan termasuk JBPM, Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

Dalam pada itu Hussin menasihatkan orang ramai yang berhasrat melakukan aktiviti pendakian supaya melaporkan terlebih dahulu ke balai polis atau pejabat perhutanan berhampiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here