Category: Jenayah

  • Penemuan puluhan bangkai, rangka kucing: Veterinar digesa siasat

    Penemuan puluhan bangkai, rangka kucing: Veterinar digesa siasat

    PERSATUAN Haiwan Malaysia menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar membuat siasatan menyeluruh dan komprehensif berhubung penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing di sebuah rumah sewa di Kondominium Bayu Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di Kuala Lumpur, 11 Mac lepas.

    Penganalisis Jenayah Haiwan yang juga Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata pihaknya menerima aduan berkenaan daripada pemilik rumah itu yang disewa seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun setelah laporan polis dibuat pengadu pada 13 Mac lepas, tidak mendapat sebarang reaksi positif.

    Beliau berkata pengadu terpanggil untuk membuat pemeriksaan di rumah berkenaan selepas menerima aduan daripada jiran-jiran yang tidak tahan dengan bau busuk dipercayai datang dari rumah tersebut.

    “Ketika pemeriksaan dibuat di rumah berkenaan yang kebetulan tidak berkunci selain suspek yang sedang tidur di dalam bilik, pengadu terkejut kerana menemukan bangkai dan percikan darah di situ.

    Tong berisi organ kucing

    “Dia kemudiannya melihat ke bahagian dapur sebelum menemui bangkai kucing yang telah dilapah.

    “Dia turut menemukan sebuah tong yang berisi organ kucing selain penemuan sama di dalam peti sejuk,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Arie berkata selain itu, pengadu turut mendakwa terdapat sebuah baldi yang berisi daging dipercayai daging kucing yang baru dikisar suspek.

    Setelah mengumpul beberapa bukti berupa gambar di lokasi kejadian, pengadu telah tampil membuat laporan polis.

    ‘Laporan polis tak dilayan’

    Bagaimanapun, katanya laporan dibuat tidak dilayan dengan alasan polis tiada kuasa membuat siasatan dan penguatkuasaan, walaupun terdapat Seksyen 428 Kanun Keseksaan (khianat dan membunuh haiwan) di bawah bidang kuasa polis.

    Menurut Arie pihaknya telah memaklumkan kes berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Putrajaya pada 16 Mac lepas supaya siasatan dijalankan secara komprehensif, segera dan menyeluruh bagi mengetahui motif insiden tersebut berlaku.

    “Kami gesa siasatan dibuat segera terhadap kaedah mematikan yang zalim kerana berdasarkan keadaan kucing yang kulitnya dilapah, organ dikeluarkan serta badan dipotong, ini menunjukkan keraguan terhadap cara mematikan yang tidak berlandaskan peraturan dan undang-undang haiwan di negara ini.

    “Ini adalah kes pertama yang dikesan melibatkan pembunuhan haiwan dalam kuantiti yang banyak di negara ini oleh seorang lelaki tempatan,” katanya sambil menegaskan mahu pendakwaan dibuat di mahkamah terhadap suspek mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 demi keadilan kepada haiwan tersebut.

  • Lelaki bakar rumah selepas berang diikat rakan ketika mabuk

    Lelaki bakar rumah selepas berang diikat rakan ketika mabuk

    SEORANG lelaki warga Indonesia bertindak membakar rumah didiami mereka di sebuah flat di Taman Kinrara 1, Bandar Kinrara, Selangor.

    Tindakan itu dilakukan selepas berang diikat oleh rakan serumah ketika mabuk dan berkhayal dalam kejadian pada pukul 6.51 petang semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan, siasatan awal mendapati, suspek berusia 34 tahun itu telah diikat dan dikurung oleh rakan serumahnya sebelum berjaya melepaskan diri.

    “Suspek kemudian membakar rumah tersebut disebabkan terlalu marah dengan rakan yang mengikatnya.

    “Maklumat awal diterima bahawa dua lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak menginap di rumah berkenaan.

    “Suspek dikatakan telah mengambil dadah jenis syabu yang mengakibatkan khayal tidak sedarkan diri serta meracau, menyebabkan rakan rumahnya mengikat dan mengurungnya di dalam sebuah bilik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Anbalagan berkata, polis menahan suspek dalam keadaan mabuk yang disyaki menjadi punca kejadian tersebut.

    “Polis masih menjalankan siasatan mengesan mangsa yang terlibat secara keseluruhan dalam kes ini dan akan dimaklumkan dari masa ke masa,” ujarnya, lapor Astro Awani.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 435/307 Kanun Keseksaan, tambah beliau lagi.

  • Roger Ng mesti lucut hak ASD35.1 juta berkait kes rasuah 1MDB, kata hakim

    Roger Ng mesti lucut hak ASD35.1 juta berkait kes rasuah 1MDB, kata hakim

    SEORANG hakim di Amerika Syarikat semalam memerintahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng melucut hak ASD35.1 juta, selepas menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadapnya kerana membantu menyeleweng berbilion dolar daripada 1MDB.

    Hakim daerah Amerika Syarikat, Margo Brodie menolak hujah Ng bahawa dia tidak lagi memiliki wang selepas kehilangan berpuluh juta dolar hasil daripada jenayahnya terhadap Malaysia.

    Peguam Ng, Marc Agnifilo berkata, anak guamnya, bekas ketua pelaburan perbankan Goldman di Malaysia, telah kehabisan sebahagian besar asetnya.

    Bagaimanapun Brodie berkata, rampasan ASD35.1 juta itu tidak berlebihan mengikut perlembagaan.

    Beliau juga berkata walaupun Ng kurang bersalah berbanding orang lain, “dia memainkan peranan dalam salah satu jenayah kewangan terbesar sepanjang masa”, satu skim yang menyebabkan “kemudaratan tidak ketara kepada keyakinan orang ramai terhadap demokrasi dan kerajaan”.

    Agnifilo tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan untuk ulasan, lapor FMT.

    Brodie menjatuhkan hukuman penjara Ng pada 9 Mac, 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas ketuanya Tim Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, ‘mencuci’ hasil, dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

    Low Taek Jho, atau Jho Low, seorang ahli perniagaan Malaysia dan disyaki dalang skim itu, turut didakwa tetapi masih bebas.

    Leissner berdepan hukuman pada 6 September. Goldman membuat keputusan dengan pihak berkuasa pada Oktober 2020, bersetuju membayar ASD2.9 bilion dan meminta unit di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

    Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan di mahkamah Malaysia kerana menerima RM42 juta daripada bekas unit 1MDB, SRC International. Najib secara konsisten menafikan salah laku.

  • Penyewa kejam, jadikan kondominium ‘rumah sembelihan’ kucing

    Penyewa kejam, jadikan kondominium ‘rumah sembelihan’ kucing

    KEJAM….Itu ungkapan sesuai menggambarkan perbuatan tidak berperi kemanusiaan seorang lelaki yang disyaki membunuh dan mengerat anggota badan kucing di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

    Perbuatan rakyat tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai menyewa rumah itu terbongkar selepas pemilik menemui puluhan rangka, organ dan daging kisar haiwan disyaki kucing.

    Penemuan pada 11 Mac itu didedahkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) di Facebook hari ini yang memaklumkan laporan polis sudah dibuat.

    Menurut kenyataan, kegiatan individu yang membunuh dan mengerat anggota badan haiwan terbabit terbongkar selepas pemilik rumah membuat pemeriksaan.

    “Pemilik premis pada mulanya menerima aduan daripada jiran yang tidak tahan bau busuk dari dalam rumah dihuni lelaki tempatan.

    “Hasil pemantauan mendapati keadaan rumah teruk, tragis dan mengerikan dengan banyak keratan anggota badan haiwan ditemui dalam rumah sewa itu.

    “Terdapat sebuah bilik turut dipenuhi bangkai haiwan disyaki kucing yang sudah reput,” kata kenyataan itu, lapor Berita Harian.

    MAA berkata, pemilik rumah kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan itu pada 13 Mac lalu.

    Bagaimanapun, katanya, laporan dibuat tidak dilayan dengan alasan polis tiada kuasa membuat siasatan dan penguatkuasaan, walaupun terdapat Seksyen 428 Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa polis.

    “Aduan akhirnya sampai kepada MAA sebelum dipanjangkan kepada Ketua Seksyen Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya supaya satu tindakan siasatan dijalankan secara komprehensif, segera dan menyeluruh,” katanya.

    MAA menuntut supaya pelaku diheret ke mahkamah di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 jika benar berlaku aktiviti kezaliman itu.

  • Dakwa tak dibayar gaji, guru tuisyen curi 5 projektor majikan

    Dakwa tak dibayar gaji, guru tuisyen curi 5 projektor majikan

    POLIS menahan seorang guru sambilan di sebuat pusat tuisyen di Jalan Merdeka Ampang, Kampung Baru Ampang, selepas dipercayai mencuri lima mesin projektor bernilai RM13,000 milik majikannya selepas berang gajinya tidak dibayar.

    Tindakan lelaki berusia 35 tahun itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semalam.

    Kecurian projektor itu dilaporkan pekerja pusat tuisyen itu kepada pengetua mereka pada pukul 10 pagi kelmarin dan mengesyaki suspek yang melakukannya.

    Malah perbuatan suspek mencuri barangan terbabit turut disedari beberapa pelajar yang ketika itu berada di dalam kelas.

    Memetik laporan Harian Metro, suspek yang baru sebulan mengajar di pusat tuisyen itu mendakwa tidak menerima bayaran gaji hampir RM3,000 menyebabkan dia bertindak melakukan perbuatan itu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat kes curi projektor di Jalan Merdeka Ampang, Kampung Baru Ampang, di sini sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek semalam.

    Menurutnya, turut dirampas barang-barang kes yang dicuri suspek.

    “Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • 5 pegawai Imigresen, 4 ejen direman bantu seludup warga asing

    5 pegawai Imigresen, 4 ejen direman bantu seludup warga asing

    SEMBILAN individu, termasuk lima pegawai Jabatan Imigresen (JIM) direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui lapangan terbang.

    Majistret Leona Dominic Mojiliu, mengeluarkan perintah reman itu bermula 24 sehingga 29 Mac ini selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tawau, hari ini.

    Lima pegawai Imigresen berusia 30 hingga 41 tahun itu terdiri tiga wanita dan dua lelaki, masing-masing bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT) ditahan antara pukul 2 petang hingga 9 malam tadi menerusi Ops Lancar oleh SPRM.

    Empat lagi individu awam disyaki ejen masing-masing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sekitar daerah Tawau antara pukul 3 hingga 5 petang hari yang sama, lapor Berita Harian.

    Semua mereka disyaki menerima wang suapan berjumlah RM100 hingga RM3,000 bagi setiap PATI daripada ejen sebagai dorongan untuk melepaskan PATI yang menggunakan kad pengenalan individu lain daripada pemeriksaan di LTT.

    Pegawai Penyiasat SPRM, Wan Muhammad Iqmal Wan Ishak, dalam permohonannya memohon tempoh reman selama tujuh hari bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

    Katanya, berdasarkan siasatan dan risikan yang dijalankan, kegiatan sindiket terbabit bermula sejak tahun 2021 membabitkan penyeludupan keluar PATI dari Sabah ke Semenanjung melalui lapangan terbang.

  • Sindiket pecah rumah sasar kondominium, pangsapuri di tiga negeri tumpas

    Sindiket pecah rumah sasar kondominium, pangsapuri di tiga negeri tumpas

    SINDIKET pecah rumah yang menyasarkan kondominium dan pangsapuri di Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur berjaya ditumpaskan dengan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita secara berasingan di luar Melaka pada 14 dan 22 Mac lepas.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dua lelaki daripada kesemua suspek berusia 34 hingga 51 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur pada 14 Mac manakala masing-masing seorang suspek wanita dan lelaki ditahan di Selangor pada 22 Mac.

    Beliau berkata penahanan kesemua suspek berkenaan susulan jenayah pecah rumah yang dilakukan sindiket itu di sebuah kondominium Klebang, Melaka pada 2 Mac lepas, membabitkan kerugian wang tunai dan barang kemas yang dianggarkan berjumlah RM50,000. 

    “Susulan kejadian pecah kondominium itu, anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka telah menjalankan siasatan dan risikan sehingga berjaya menjejaki penjenayah terlibat.

    “Hasil tangkapan, polis berjaya merampas pelbagai barangan berjenama mewah antaranya jam tangan, beg tangan, beg duit, telefon bimbit, dua kenderaan, peralatan pecah rumah serta pakaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam lapan kes jenayah pecah rumah di Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor.

    Katanya kesemua suspek berkenaan ditahan reman sehingga 27 dan 29 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

  • Dah ada ‘Datuk’ nak ‘Datuk Seri’, lelaki rugi hampir RM400,000 ditipu

    Dah ada ‘Datuk’ nak ‘Datuk Seri’, lelaki rugi hampir RM400,000 ditipu

    SEORANG lelaki bergelar Datuk kerugian hampir RM400,000 susulan diperdaya membayar secara ansuran sejak 2019 bagi mendapatkan darjah kebesaran Datuk Seri.

    Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata susulan itu enam lelaki diberkas dalam empat serbuan berasingan di Pulau Pinang, Terengganu, Selangor, dan Johor, pada Selasa, oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Melaka.

    “Semua suspek berusia lingkungan 33 dan 44 tahun. Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 2019 selepas mangsa yang juga ahli perniagaan dihubungi seorang daripada suspek yang menyamar sebagai ‘Datuk Fadhil’ dari Istana Negara.

    “Mangsa berusia 63 tahun dihubungi lelaki bergelar ‘Datuk Fadhil’ yang kononnya dari Istana Negara dan memaklumkan dia akan diberikan gelaran Datuk Seri, namun perlu melalui proses pembayaran sebanyak RM300,000 sebelum diberikan pingat.

    “Tanpa rasa curiga mangsa kemudian bersetuju dan mula membuat 13 transaksi pemindahan wang ke dalam beberapa akaun berbeza diberikan oleh suspek bernilai keseluruhan RM396,400 sejak 21 Jun 2019,” katanya menurut Kosmo.

    Katanya, suspek pada 30 Mac 2021 ada menghubungi mangsa memaklumkan akan menghantar wakil berjumpa dengannya di luar pintu 2 Istana Negara bagi urusan pembayaran baki RM70,000 serta serahan surat tawaran watikah ‘Datuk Seri’.

    Mangsa ujar beliau, mengikut arahan dan menandatangani serta meletakkan cap ibu jarinya ke atas surat tawaran itu.

    Katanya, selepas membuat semakan, mangsa mendapati tawaran watikah diberikan itu adalah palsu.

    Christopher berkata, semua suspek direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Dadah RM3.22 juta dalam kawasan perumahan berpagar dirampas

    Dadah RM3.22 juta dalam kawasan perumahan berpagar dirampas

    SEBANYAK 44.3 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM3.22 juta dirampas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, Selasa lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua dadah berkenaan dirampas dalam serbuan di sebuah kawasan perumahan berpagar di bandar raya tersebut.

    “Kita dapati modus operandi yang digunakan oleh sindiket dadah berkenaan kali ini adalah kawasan perumahan gated dan guarded (berpagar dan berpengawal).

    “Ini bagi tujuan tidak ada yang mengekori mereka selain itu, menjadikan kereta yang diparkir di hadapan rumah sebagai stor, bagi menyelamatkan kegiatan haram ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, pihak polis telah rampas 119,750 pil eramin5 seberat 36.9 kilogram (kg) bernilai RM2.7 juta, serbuk ekstasi (5.36kg bernilai RM270,000, ketamin (903 gram bernilai RM140,000 selain pil ekstasi dan ‘magic mushroom’ bernilai RM3.2 juta.

    Dadah-dadah tersebut katanya, jika terlepas ke pasaran, boleh digunakan oleh 150,000 orang.

    Selain itu, beliau berkata, polis turut merampas empat kenderaan yang dianggarkan bernilai RM200,000 serta pelbagai barang kemas dan wang tunai pada serbuan berkenaan.

    “Secara keseluruhannya, harta yang disita berjumlah RM210,000 manakala jumlah keseluruhan dadah dan harta yang dirampas adalah RM3.5 juta,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan yang dijalankan mulai 3.30 petang hingga 5 petang itu, polis turut berjaya menahan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 34 dan 36 tahun dipercayai pengedar dan juga penjaga stor untuk siasatan lanjut.

    Katanya, hasil siasatan mendapati seorang daripada lelaki berkenaan memiliki rekod jenayah dan seorang lagi positif dadah.

    “Siasatan kita teruskan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya dan perintah reman terhadap kedua-dua lelaki ini telah diperoleh selama tujuh hari mulai 22 hingga 28 Mac untuk siasatan lanjut.

    “Secara keseluruhannya, seramai 4,000 individu dipercayai penagih dan pengedar yang terlibat dengan dadah di sekitar negeri Johor dengan hampir 850kg dadah bernilai hampir RM10 juga telah dirampas,” katanya.

  • Lelaki bergelut di IPD Besut buat provokasi terhadap polis – KPD

    Lelaki bergelut di IPD Besut buat provokasi terhadap polis – KPD

    POLIS menahan seorang penghantar makanan yang bergelut dengan anggota polis berpakaian seragam selepas lelaki itu membuat provokasi serta melibas cota dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di Jertih, pagi semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Azrol Anuar Nor berkata insiden pergelutan itu dipercayai telah dirakam oleh orang awam, sebelum video rakaman itu didapati tular di laman TikTok, hingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

    Beliau berkata kejadian berlaku selepas lelaki dengan pakaian seragam penghantar makanan itu mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan dan membuat provokasi, di samping melibas cota terhadap anggota polis yang sedang bertugas di pos pengawal IPD Besut.

    “Kami ingin menegaskan bahawa sepanjang melaksanakan tangkapan, kekerasan paling minimum yang mungkin terpaksa digunakan, dan dalam kejadian itu seorang anggota polis mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya saringan air kencing mendapati suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental itu negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata berbahaya 1958.