Category: Jenayah

  • Pembantu tadika rugi RM167,525 diperdaya Macau Scam

    Pembantu tadika rugi RM167,525 diperdaya Macau Scam

    SEORANG pembantu tadika menanggung kerugian sebanyak RM167,525 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam dalam kejadian di Kuala Terengganu, pada Januari lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, pada mulanya mangsa berusia 56 tahun menerima panggilan mendakwa dia ada membuat tuntutan insurans sebanyak RM68,000 kerana dimasukkan wad.

    “Selepas panggilan daripada pihak insurans itu, mangsa kemudian dihubungi oleh polis dari Selangor dan dimaklumkan terbabit dalam pengubahan wang haram serta rasuah.

    “Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada ketua polis balai yang bertanyakan maklumat peribadi sebelum menerima panggilan daripada pihak pendakwa raya,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Katanya, mangsa diminta memindahkan semua wang ke dalam salah satu akaun miliknya dengan nombor talian akaun itu sudah ditukar manakala nombor pinnya juga diberikan pihak suspek sambil memaklumkan wang milik mangsa akan dijaga Bank Negara.

    “Suspek juga mengarahkan mangsa memadamkan setiap transaksi panggilan berkenaan dan mangsa memaklumkan memindahkan semua wangnya ke dalam satu akaunnya seperti diarahkan,” katanya.

    Abdul Rahim berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas menceritakan kejadian berkenaan kepada anak saudaranya ketika mahu meminjam wang bagi menyelesaikan masalah dihadapinya.

    Katanya, pemeriksaan mendapati wang mangsa dipindahkan secara berperingkat ke akaun tidak dikenali dalam tempoh bermula 26 Januari hingga 9 Mac lalu membabitkan kerugian sebanyak RM167,525.

    “Mangsa membuat laporan polis pada 19 Mac lalu untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Pukul, sepak, pijak kepala ibu kerana tak dapat RM20

    Pukul, sepak, pijak kepala ibu kerana tak dapat RM20

    SEORANG penagiha dadah memukul, memijak, menampar dan menyepak ibu selepas enggan memberikan wang berjumlah RM20 bagi membeli bahan terlarang itu untuk melampiaskan nafsu ketagihannya di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah semalam.

    Perbuatan berkenaan menyebabkan warga emas berusia 65 tahun mengalami kecederaan bengkak di kepala, dahi dan mata serta sakit pada bahagian badan.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di hadapan pintu rumah mereka.

    Beliau berkata, ibu dan anaknya yang berusia 32 tahun itu dikatakan tinggal berdua di rumah tersebut.

    “Semasa kejadian suspek telah bertindak menarik, menampar, menendang dan memijak kepala mangsa.

    “Kejadian tersebut telah dirakam oleh cucu wanita terbabit yang tinggal bersebelahan dengan rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, kejadian itu berpunca daripada keengganan warga emas berkenaan memberikan wang kepada suspek sehingga dia sanggup bertindak luar kawalan.

    Ujarnya, sebelum ini juga suspek yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sering mengamuk meminta wang dengan mangsa.

    Mohd. Haki memberitahu, lelaki berkenaan yang merupakan bekas anggota tentera dan telah dibuang kerja pada tahun 2013 serta merupakan anak keempat daripada lima beradik.

    “Ekoran daripada kejadian itu mangsa telah alami kecederaan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanah Merah.

    “Suspek telah berjaya ditangkap dan hasil soal siasat awal mendapati dia telah mengaku memukul ibunya kerana tidak memberikan wang yang diminta.

    “Hasil ujian air kencing menunjukkan lelaki berkenaan positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau berkait dengan dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, suspek ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

  • Imam masjid diserang lelaki ketika solat Subuh

    Imam masjid diserang lelaki ketika solat Subuh

    SOLAT Subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan, awal pagi tadi gempar apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman menyerang imam ketika solat Subuh.

    Bagaimanapun suspek berusia lingkungan 40-an itu kemudiannya ditahan polis dalam kejadian pukul 6.18 pagi.

    Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Ilhan Muhammad Irham, adalah pelajar Maahad Tahfiz Thurath yang menjadi imam jemputan untuk solat Subuh sempena Program Khatam Subuh 2.0 Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.

    Katanya, suspek berpakaian baju Melayu ungu dan berkain pelekat serta berseluar hitam itu menyerang mangsa dari belakang secara tiba-tiba ketika solat jemaah.

    “Ketika solat memasuki rakaat kedua dengan anggaran 80 jemaah, kedengaran suara lelaki menjerit dari arah pintu masjid.

    “Kira-kira seminit selepas itu ketika imam masih membaca surah, seorang lelaki dipercayai kurang siuman meluru menolak jemaah dari belakang dan terus menuju ke imam sambil cuba memukul imam dengan selipar.

    “Mangsa terus mengelak, sekali gus menyebabkan solat dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Tambah beliau, pihak keselamatan masjid dan jemaah terus menghalang lelaki itu serta menahannya sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Lelaki 78 tahun maut ditikam dalam pergaduhan di inap desa

    Lelaki 78 tahun maut ditikam dalam pergaduhan di inap desa

    SEORANG lelaki warga emas ditemui maut dipercayai ditikam dalam pergaduhan di sebuah inap desa di Jalan Pinang, Taman Kota, dekat Kulai, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulai Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima laporan pada 3.55 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa yang berusia 78 tahun itu dalam keadaan terbaring dengan beberapa kesan kecederaan.

    “Pemeriksaan awal pada tubuh si mati mendapati terdapat kecederaan akibat ditikam di bahagian perut.

    “Hasil siasatan dipercayai seorang lelaki (suspek) telah mengamuk dan bertindak menikam mangsa menggunakan sebilah pisau. Punca kejadian masih disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tok berkata, suspek yang berusia 35 tahun berjaya ditahan di kaki lima berdekatan kawasan kejadian, kira-kira 20 minit selepas kejadian dilaporkan dan polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

    “Polis turut mengambil rakaman litar tertutup di inap desa berkenaan bagi membantu siasatan. Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah dan dia juga dipercayai di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

    Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 14 Mac dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Tiga beradik termasuk 2 OKU ditemui dengan kaki berantai disyaki didera

    Tiga beradik termasuk 2 OKU ditemui dengan kaki berantai disyaki didera

    TIGA beradik dipercayai mangsa dera ditemui dalam keadaan kaki masih berantai di tepi titi, Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat di Kangar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, mangsa berusia 13 hingga 16 tahun ditemui oleh orang awam yang kemudiannya melaporkan perkara itu kepada polis.

    Menurutnya, semasa ditemui, dua daripada mangsa dirantai bersama di bahagian kaki, manakala seorang lagi tidak dirantai.

    “Mereka dipercayai dikurung dan dirantai dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama mereka sebelum bertindak melarikan diri kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian.

    “Bagaimanapun pihak polis masih meneruskan siasatan untuk mendapatkan maklumat lain memandangkan mangsa enggan bercakap,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Yusharifuddin memaklumkan, semakan polis mendapati dua daripada mangsa memiliki kad orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran dan pembelajaran.

    Tambahnya, ketiga-tiga mangsa kini sedang menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) serta dilaporkan stabil.

    “Saya dimaklumkan seorang mangsa yang berusia 16 tahun didapati mempunyai kesan luka lama pada kedua belah tangannya, namun masih menantikan laporan dua beradik itu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sehubungan itu, beliau memaklumkan, pihaknya telah menahan seorang wanita dipercayai ibu mereka berusia 46 tahun dan seorang lelaki berusia 31 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Menurut Yusharifuddin, kedua-duanya direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.

  • Penyelia kilang rugi lebih RM160k diperdaya Love Scam

    Penyelia kilang rugi lebih RM160k diperdaya Love Scam

    SEORANG lelaki kerugian RM164,601 apabila terpedaya dengan sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi laman sosial Facebook.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki bujang berusia 56 tahun itu mendakwa berkenalan dengan wanita tempatan di laman sosial terbabit pada awal Disember lalu.

    “Mangsa yang merupakan penyelia kilang ditawarkan satu skim pekerjaan sambilan melalui pautan yang dihantar ke aplikasi WhatsApp.

    “Mangsa kemudian mendaftar sebagai dropship dalam aplikasi Amazon Europe yang menjual barangan dalam page Amazon dengan bayaran sebanyak RM100,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, semua urusan perkenalan serta perniagaan antara mangsa dan suspek hanya melalui aplikasi WhatsApp tanpa bersemuka.

    Selepas tiga bulan kata beliau, akaunnya disekat atas alasan dua pelanggan mendakwa tidak menerima barangan yang ditempah.

    “Mangsa dikehendaki membuat bayaran sebanyak RM4,000 tetapi aplikasi terbabit masih menunjukkan tiada pelanggan berminat berurus niaga dengan akaunnya,” katanya, lapor Harian Metro.

    Ramli berkata, berikutan itu, mangsa berhasrat untuk menutup akaun Amazon berkenaan kerana mahu mengeluarkan wang keuntungan yang dicatatkan iaitu berjumlah RM700,000.

    Bagaimanapun, katanya, mangsa diminta membuat bayaran pemprosesan, cukai kerajaan dan pengurusan wang kastam untuk menebus keuntungan itu sehingga mangsa membuat 14 kali pindahan wang kepada tiga akaun bank berbeza berjumlah RM164,601.

    “Mangsa kemudian gagal menghubungi wanita yang memperkenalkannya dengan platform perniagaan itu dan hanya dimaklumkan berada di luar negara atas urusan perubatan ibu,” katanya.

    Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Penghantar barang ditahan curi bungkusan berisi emas pelanggan

    Penghantar barang ditahan curi bungkusan berisi emas pelanggan

    SEORANG penghantar barang p-hailing diberkas selepas disyaki mencuri bungkusan berisi emas milik pelanggan dalam kejadian di Pangsapuri Inai, Pandan Indah, Ampang Jaya, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian pada pukul 1.05 petang itu, mangsa menerima panggilan daripada pihak penghantar barang memaklumkan bungkusan miliknya telah diletakkan di hadapan rumah.

    Katanya, mangsa yang pulang ke rumahnya berselisih dengan suspek di bawah flatnya dan kemudian bertanyakan tentang bungkusan tersebut.

    “Suspek menyatakan bungkusan itu telah dihantar dan diletakkan di hadapan rumahnya.

    “Mangsa bagaimanapun mendapati bungkusan mengandungi emas tersebut tiada disyaki telah dicuri oleh suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau memberitahu, kerugian dianggarkan bernilai RM1,500.

    Siasatan katanya, dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan suspek berumur 29 tahun itu di Jalan SS 3/60 Petaling Jaya kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

    “Suspek turut didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau menerusi semakan dijalankan,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati suspek telah menjual barang emas tersebut dan telah membeli aksesori dipasang pada motosikalnya.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Cubaan 10 PATI ceroboh perairan negara gagal

    Cubaan 10 PATI ceroboh perairan negara gagal

    CUBAAN 10 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk menyusup masuk melalui perairan negara, gagal apabila ditahan Trup Pengawasan Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD), kelmarin.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam kenyataan, memaklumkan warga asing terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita itu berusia antara 12 sehingga 43 tahun itu ditahan menerusi Op Merpati I pada pukul 11.50 malam.

    “Operasi berkenaan dijalankan di kawasan Tanggungjawab Operasi (KTJ) Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

    “Trup pengawasan 2 KAD yang dipertanggungjawabkan melaksanakan Op Merpati I bermula 19 Mac lalu hingga 19 Mei depan berjaya menghidu kehadiran PATI terbabit melalui Radar Gempita 8X8,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH Online.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan hanya seorang daripada mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan kesemua tahanan kemudian dibawa ke Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi untuk proses dokumentasi.

    Menurut kenyataan itu, menerusi operasi itu wang tunai berjumlah RM16,594.20 dan 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama turut dirampas.

    Kesemua 10 PATI itu ujarnya, diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Johor Bahru pada pukul 11 pagi.

    “Ketumbukan 3 Divisyen akan terus komited memperkasa kawalan keselamatan di sempadan negara melalui pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dikekang demi kedaulatan negara,” katanya.

  • Tegur anak ‘laju baca doa makan’, bapa dihayun kerusi ketika berbuka

    Tegur anak ‘laju baca doa makan’, bapa dihayun kerusi ketika berbuka

    SEORANG anak tergamak menghayunkan kerusi terhadap bapanya selepas tidak berpuas hati ditegur kerana laju membaca doa makan ketika hendak berbuka pada pukul 7.45 malam tadi.

    Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata, pergaduhan anak beranak itu mengakibatkan kerusi meja makan patah dengan mangsa berusia 63 tahun mengalami kecederaan di dahi dan tapak tangan.

    Menurutnya, pergaduhan tercetus antara mangsa dan suspek dapat dileraikan seorang lagi anak mangsa yang kemudian bertindak menghubungi polis.

    “Punca kejadian ialah disebabkan suspek yang berpuasa bertindak membaca doa makan dengan laju untuk berbuka puasa dan telah ditegur oleh mangsa.

    “Suspek yang tidak berpuas hati akibat ditegur telah menghayunkan kerusi meja makan ke kepala mangsa sehingga patah kaki kerusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, polis menangkap suspek berusia 34 tahun, selain merampas barang kes melibatkan kerusi meja makan dipercayai digunakan memukul bapanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

    Beliau berkata, suspek direman selama tiga hari sehingga 27 Mac, lapor FMT.

    Katanya, orang ramai mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat, Suresh Krishnan di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

  • Seludup PATI: JIM serah pada SPRM siasat pegawai

    Seludup PATI: JIM serah pada SPRM siasat pegawai

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung penahan lima pegawainya di Sabah disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), Khamis lalu.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil bagi menyiasat perkara itu.

    Tegasnya, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan.

    Katnya lagi, pihaknya tidak akan melindungi mereka yang terbabit dalam aktiviti tidak berintegriti.

    “Tindakan dan hukuman serius akan dikenakan termasuk buang kerja sekiranya pegawai terbabit terbukti bersalah.

    “JIM serius dan komited dalam memastikan integriti pegawai sentiasa berada di tahap yang maksimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan, lima pegawai Imigresen berusia 30 hingga 41 tahun itu terdiri tiga wanita dan dua lelaki, masing-masing bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT) ditahan antara jam 2 petang hingga 9 malam menerusi Ops Lancar oleh SPRM.

    Empat lagi individu awam disyaki ejen masing-masing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan sekitar daerah Tawau antara jam 3 hingga 5 petang hari yang sama.

    Ruslin berkata, JIM sudah mengadakan pelbagai program bagi menerapkan nilai integriti tinggi dalam kalangan setiap pegawainya.

    “Selain itu jabatan juga sentiasa bekerjasama dengan agensi lain termasuk SPRM dalam usaha memerangi penyeludupan migran,” katanya, lapor Harian Metro.