Category: Jenayah

  • Lelaki maut jatuh bangunan

    Lelaki maut jatuh bangunan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG lelaki maut terjatuh dari bangunan di sebuah pangsapuri di Jalan Dato Abdullah Tahir, Johor Bahru semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 9.30 malam daripada orang awam.

    “Sepasukan anggota Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan Balai Polis Sentral sampai di lokasi dan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun terbaring di koridor tingkat 8.

    “Dia didapati jatuh dari tingkat 15 bangunan tersebut. Pengesahan kematian telah dibuat oleh Pegawai Perubatan Hospital Sultan Aminah (HSA) di sini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat punca kejadian berlaku.

    Mayat katanya, dibawa ke HSA untuk bedah siasat mengetahui punca kematian.

    “Setakat ini tiada apa-apa unsur jenayah dikesan, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Tentera Israel tembak mati kanak-kanak 11 tahun Palestin

    Tentera Israel tembak mati kanak-kanak 11 tahun Palestin

    SEORANG kanak-kanak Palestin berusia 11 tahun yang cedera parah ditembak tentera pengganas Israel di pintu masuk pekan Beit Ummar, dekat bandar Hebron, Tebing Barat meninggal dunia akibat luka dialaminya, semalam.

    Agensi berita Palestin, WAFA yang mememtik kenyataan kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan, kanak-kanak malang itu, Mohammad Mouayyad Allamy, cedera pada bahagian dada setelah askar Israel melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan dipandu bapanya di lokasi kejadian.

    Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Ahli di Hebron dan keadaannya dilaporkan kritikal.

    Mouayyad bagaimanapun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan yang dialaminya.

    Tentera Israel melancarkan serangan terhadap penduduk dan hartanah Palestin di Tebing Barat yang dijajah mereka pada setiap hari.

    Pihak Berkuasa Palestin sementara itu terus menuntut masyarakat antarabangsa untuk melindungi rakyat Palestin, yang menderita selama puluhan tahun di bawah ancaman askar pengganas Israel.

  • ‘Berpesta’ dalam balai: Siasatan jenayah, tatatertib dijalankan

    ‘Berpesta’ dalam balai: Siasatan jenayah, tatatertib dijalankan

    POLIS Selangor sedang menjalankan siasatan jenayah dan tatatertib terhadap ketua balai berpangkat sub inspektor dan tigaanggotanya yang ditangkap ketika berpesta dalam balai polis di daerah Kajang pada 20 Julai lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan kes jenayah akan dijalankan selari dengan tatatertib.

    “Siasatan tatatertib dan kesalahan jenayah sedang dijalankan, jadi kita perlu tunggu hingga kesemua siasatan itu selesai,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar secara maya, hari ini.

    Dalam serbuan pada pukul 6 petang itu, ketua balai berkenaan dan tiga anggota polis berpangkat koperal dan koperal sokongan, serta empat wanita orang awam ditahan dalam sebuah bilik khas di tingkat dua balai polis berkenaan.

    Ketika serbuan, sebahagian daripada mereka dipercayai sedang berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum.

  • Lelaki ditahan rogol kanak-kanak di rumah kebajikan

    Lelaki ditahan rogol kanak-kanak di rumah kebajikan

    Abu Ubaidilah Rahman

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan seorang lelaki untuk membantu siasatan kes rogol seorang kanak-kanak perempuan yang tinggal di sebuah rumah kebajikan di daerah ini.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan tersebut pukul 3.17

    petang pada Sabtu lalu sebelum menahan lelaki berusia 40-an itu.

    “Lelaki itu merupakan penjaga rumah kebajikan tersebut. Suspek direman selama seminggu sehingga 1 Ogos ini untuk membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

  • Kapal tangki asing ditahan pindah minyak secara haram

    Kapal tangki asing ditahan pindah minyak secara haram

    Abu Ubaidilah Rahman

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki berdaftar di Belize, Amerika Tengah kerana disyaki cuba melakukan pemindahan minyak secara haram pada kedudukan 6.7 batu nautika timur laut Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki itu ditahan pukul 3.45 pagi semasa cuba melakukan pemindahan minyak (STS) dengan sebuah kapal di bawah tahanan Maritim Johor yang sedang dalam proses menunggu perbicaraan.

    “Penahanan dibuat susulan maklumat bilik gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar yang mendapat aduan daripada kru kapal berkenaan dipaksa untuk menerima kehadiran sebuah kapal tangki tidak dikenali bagi melakukan aktiviti itu.

    “Zon Maritim Tanjung Sedili mengesahkan status aduan dengan menghubungi kapal yang ditahan sebelum menghantar sebuah kapal serta bot ronda Maritim ke lokasi kejadian bagi mengesan kapal tangki yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, seramai 10 kru warga Indonesia berumur antara 24 hingga 60 tahun ditahan, semuanya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut cuba melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram dengan kapal yang masih dalam tahanan Maritim. 

    Pada masa katanya nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dan kebenaran melakukan aktiviti pemindahan minyak.

    “Nakhoda dan ketua jurutera kedua-dua buah kapal itu seterusnya dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk sisatan lanjut.

    “Kapal tangki serta kru telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 491B (1)(K), menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran. 

    “Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Warga emas ditahan lakukan hubungan seks luar tabii dengan kambing

    Warga emas ditahan lakukan hubungan seks luar tabii dengan kambing

    ENTAH apa yang merasuki seorang lelaki warga emas apabila dia tergamak melakukan hubungan seks luar tabii dengan seekor kambing betina sehingga haiwan itu mati dalam kejadian di Kampung Sungai Buaya, Serendah dekat Hulu Selangor, semalam.

    Insiden itu hanya diketahui pemilik kambing terbabit setelah dia mendengar kambingnya yang berada di belakang rumah mengeluarkan bunyi pelik kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

    Wanita yang juga pemilik kambing itu kemudiannya keluar memeriksa haiwan peliharaannya sebelum mendapati seorang lelaki yang dikenalinya bangun daripada sebelah haiwan berkenaan dalam keadaan separuh bogel.

    Lelaki berusia 60 tahun itu kemudiannya melarikan diri dan hasil pemeriksaan wanita berusia 45 tahun tersebut mendapati haiwan peliharaannya sudah mati.

    Dia kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis Serendah, pada pukul 6.24 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, bertindak atas laporan diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor menahan suspek hari ini.

    Suspek katanya ditahan di sebuah kawasan semak di Jalan Tengah, Kampung Sungai Buaya, Serendah pada pukul 10.50 pagi tadi.

    “Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah,” katanya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Arsad berkata, suspek akan direman di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan dan Seksyen 289 kanun sama.

    Ujarnya, sepasukan anggota daripada Unit Forensik Polis Selangor dan Jabatan Veterinar Kuala Kubu Bharu turut ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

    “Kambing yang mati itu dihantar ke makmal Jabatan Veterinar untuk analisis dan bedah siasat,” katanya.

    Beliau menambah, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan kes itu sekali gus mengurangkan kegusaran masyarakat setempat.

  • Tipu timbangan kampit beras, kilang beras diserbu KPDNHEP

    Tipu timbangan kampit beras, kilang beras diserbu KPDNHEP

    TINDAKAN sebuah kilang beras di Jitra, Kedah dipercayai cuba menipu timbangan kampit beras lima kilogram (kg) mengundang padah apabila diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

    Serbuan di kawasan Sungai Korok kira-kira pukul 11 pagi itu dibuat selepas KPDNHEP Kubang Pasu menerima maklumat berhubung penipuan dilakukan premis berkenaan.

    Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Kubang Pasu K Muniandy, hasil siasatan pihaknya mendapati kilang beras terbabit menjalankan aktiviti pembungkusan dalam pelbagai kuantiti.

    Katanya, serbuan hasil maklumat orang ramai itu mendapati beras yang dibungkus tidak menepati timbangan sepatutnya.

    “Setiap kampit beras seberat lima kilogram yang ditimbang oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP mendapati beratnya hanya 4.94 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Muniandy berkata, tindakan diambil mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana representasi palsu mengenai kuantiti berat yang tidak tepat bagi setiap kampit beras atau lima kilogram.

    Muniandy berkata, semua rampasan dianggarkan bernilai RM1,200 dan disita untuk tindakan lanjut.

    Ujarnya, jika disabit dengan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 (syarikat).

    Katanya lagi, beliau menasihatkan semua peniaga agar mematuhi undang-undang ditetapkan oleh kerajaan dan KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas jika ingkar.

    “Orang ramai yang boleh salurkan aduan jika ada penyelewengan dalam perniagaan melalui portal [email protected] atau Call Centre 1800 886 800,” katanya.

  • Komander Singapura dikenakan tindakan disiplin tidak pakai pelitup muka ditempat awam

    Komander Singapura dikenakan tindakan disiplin tidak pakai pelitup muka ditempat awam

    TINDAKAN seorang komander Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bercakap kepada rekrut kumpulan Latihan Asas Tentera (BMT) dekat stesen MRT Pasir Ris tanpa memakai pelitup muka dengan betul mengundang padah apabila dia bakal dikenakan tindakan disiplin.

    Jurucakap Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) dalam satu kenyataan berkata, satu siasatan oleh SAF mendapati komander berkenaan melanggar langkah-langkah pengurusan selamat yang telah ditetapkan.

    “Langkah-langkah pengurusan selamat adalah penting bagi memastikan latihan dan operasi SAF dapat dijalankan dengan selamat dan para komando kami harus menunjukkan contoh positif serta melaksanakan peraturan itu untuk melindungi diri mereka serta para pelatih,” kata MINDEF dalam satu kenyataan, semalam.

    Dalam satu video yang tular di Facebook, seorang lelaki berpakaian kemeja-t putih dilihat bercakap kepada sekumpulan rekrut SAF dengan pelitupnya di bawah dagunya sambil dia memegang minuman.

    Gambar-gambar lain menunjukkan lelaki itu sedang merokok di kawasan tersebut.

    Singapura semalam melaporkan 136 kes jangkitan baharu tempatan Covid-19.

    “Untuk mengekalkan tahap kesediaan operasi dan keselamatan latihan dalam sekitaran endemik Covid-19, SAF melaksanakan “langkah-langkah selamat, praktikal dan mampan,” kata MINDEF, bulan lalu.

    Ini termasuk “strategi serampang tiga mata” iaitu vaksinasi, ujian dan proses pengawasan lebih baik serta operasi berkumpulan.

  • PGA rampas rokok seludup hampir RM1 juta

    PGA rampas rokok seludup hampir RM1 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGIATAN Kegiatan satu sindiket yang menjadikan sebuah premis sebagai stor sebagai tempat menyimpan rokok seludup di Jalan Murni 6, Paloh, Kluang terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam malam tadi.

    Serbuan kira-kira pada jam 9.30 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 5 PGA selepas risikan dan siasatan dilakukan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, pihaknya merampas 5,580 karton rokok seludup pelbagai jenama dan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun.

    “Antara rokok seludup yang berjaya dirampas melibatkan 1,900 karton Halftime Virgina Merah; 1,600 karton Lee merah; 720 karton Luffman classic; 250 karton L.A Bold; 720 karton Touro International; 150 karton Canyon Blast dan 240 karton Surya Gudang Garam.

    “Hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Kluang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau memberitahu, anggaran semua rokok seludup bernilai RM717,132 manakala keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM987,456.

    Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
    Kluang untuk tindakan lanjut.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

    Tangkapan dan rampasan itu katanya, berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar daerah ini.

    Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai sudah beroperasi di premis berkenaan selama kira-kira tiga bulan.

    Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui jalan yang tidak diwartakan.

  • Daging lembu sejuk beku Australia bernilai hampir RM300,000 dirampas

    Daging lembu sejuk beku Australia bernilai hampir RM300,000 dirampas

    SEBUAH kontena membawa daging lembu sejuk beku dari Australia bernilai RM296,998.91 ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor di Pelabuhan Klang Barat, Isnin lalu.

    MAQIS Selangor dalam satu kenyataan berkata, kontena berisi muatan 24,987.96 kilogram daging lembu itu dirampas dalam pemeriksaan rutin harian dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang.

    Menurutnya, rampasan itu dibuat untuk tindakan lanjut susulan kegagalan mengemukakan permit import MAQIS yang sah semasa pemeriksaan.

    “Perbuatan mengimport daging sejuk beku tanpa permit import akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta sama,” kata kenyataan itu, hari ini.

    MAQIS Selangor dalam pada itu memberitahu, jika disabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tegasnya, MAQIS Selangor sentiasa mengambil serius terhadap isu membabitkan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan dagangan yang boleh mengancam keselamatan makanan serta status halal.