TINDAKAN sebuah kilang beras di Jitra, Kedah dipercayai cuba menipu timbangan kampit beras lima kilogram (kg) mengundang padah apabila diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Serbuan di kawasan Sungai Korok kira-kira pukul 11 pagi itu dibuat selepas KPDNHEP Kubang Pasu menerima maklumat berhubung penipuan dilakukan premis berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Kubang Pasu K Muniandy, hasil siasatan pihaknya mendapati kilang beras terbabit menjalankan aktiviti pembungkusan dalam pelbagai kuantiti.

Katanya, serbuan hasil maklumat orang ramai itu mendapati beras yang dibungkus tidak menepati timbangan sepatutnya.

“Setiap kampit beras seberat lima kilogram yang ditimbang oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP mendapati beratnya hanya 4.94 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Muniandy berkata, tindakan diambil mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana representasi palsu mengenai kuantiti berat yang tidak tepat bagi setiap kampit beras atau lima kilogram.

Muniandy berkata, semua rampasan dianggarkan bernilai RM1,200 dan disita untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, jika disabit dengan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 (syarikat).

Katanya lagi, beliau menasihatkan semua peniaga agar mematuhi undang-undang ditetapkan oleh kerajaan dan KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas jika ingkar.

“Orang ramai yang boleh salurkan aduan jika ada penyelewengan dalam perniagaan melalui portal [email protected] atau Call Centre 1800 886 800,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here