Category: Jenayah

  • 11,000 botol air zam-zam tanpa permit dirampas

    11,000 botol air zam-zam tanpa permit dirampas

    Oleh Rahimi Mohamad

    CUBAAN pihak tidak bertanggungjawab mengimport 11,000 botol air zam-zam tanpa permit berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor yang membuat pemeriksaan di sebuah gudang simpanan di Pelabuhan Pasir Gudang, Padir Gudang pada 5 Ogos lalu.

    Pemeriksaan terhadap dua buah kontena berukuran 40 kaki di lokasi tersebut menemukan air zam-zam tersebut yang bersamaan 55,000 liter dengan nilai RM412,500, manakala cukai terlibat sebanyak RM107,250.

    Pengarah JKDM negeri, Sazali Mohamad berkata, seorang lelaki berusia 56 tahun yang merupakan pekerja gudang tersebut turut ditahan untuk membantu siasatan.

    “Hasil semakan ke atas dokumen sokongan iaitu Bill of Lading dan daftar masuk mendapati dagangan tersebut telah diikrar sebagai ‘Artificial Flower’.

    “Air zam-zam diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 74, Jadual Ketiga, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

    “Modus operandi kes ini adalah membuat pengikraran tidak benar dengan tujuan mengelakkan daripada permit import bagi mengelak daripada dikenakan cukai yang tinggi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Sehubungan itu, Sazali berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang-barang larangan tanpa permit yang sah dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 kerana mengimport barang-barang larangan di mana-mana zon bebas tanpa permit yang sah.

    Dalam pada itu, kastam turut mematahkan kegiatan mengimport alat ganti kenderaan bernilai lebih RM1.3 juta termasuk cukai dengan melakukan ikrar yang tidak benar dan mengelirukan menerusi tiga serbuan berasingan di daerah ini dan Machap pada bulan lalu.

    Menurut Sazali, tiga pemandu lori treler yang merupakan lelaki tempatan berusia 33 hingga 61 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) akta sama.

    “Serbuan pertama dijalankan terhadap sebuah lori treler 40 kaki yang mencurigakan di Kilometer 75.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara.

    Pemeriksaan mendapati 8,194 alat ganti kenderaan yang diimport dari negara jiran dengan nilai anggaran RM569,865 termasuk cukai,” katanya.

    Sementara itu, serbuan kedua dijalankan pihaknya terhadap sebuah lori treler di Taman Ekoperniagaan, Johor Bahru menemukan 2,898 unit alat ganti kenderaan yang diimport.

    “Selain alat ganti kenderaan, pegawai penguatkuasa juga menemukan 4,530 bungkus makanan dan 1,282 unit peralatan komputer peribadi terpakai yang dipercayai tidak mempunyai permit import yang sah dengan nilai keseluruhan RM605,956 termasuk cukai.

    “Dalam serbuan ketiga dijalankan terhadap sebuah lori treler di Danga Bay menemukan pula 650 unit alat ganti kenderaan dengan nilai keseluruhan RM175,469 termasuk cukai,” ujarnya.

  • Nelayan maut disambar petir, SAR giat dijalankan

    Nelayan maut disambar petir, SAR giat dijalankan

    SEORANG lelaki maut manakala bapanya dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai disambar petir ketika keluar menangkap ikan di perairan Pulau Dinawan, Kinarut, Sabah, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, mangsa, Abdullah Mohd Nasir, 20, keluar pada 5.30 pagi dengan menaiki bot pam berasingan dengan bapanya bagi menangkap ikan di perairan pulau itu.

    Sementara bapanya, Mohd. Nasir Abdul Nasir 62, belum ditemui dan usaha mencari sedang dilakukan oleh pasukan penyelamat.

    Menurut Rosli Abdullah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah diaktifkan sejak jam 8 malam tadi.

    Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dilaporkan keluar ke laut bersama dengan menaiki bot pam berasingan.

    “Kedua-dua mangsa disyaki disambar petir ketika melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira jam 4 petang.

    “Bagaimanapun, nelayan tempatan yang berada di lokasi hanya menemui mayat Abdullah dan terus dibawa ke Hospital Papar,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Papar pada jam 7 petang semalam.

    Sementara itu, beliau juga berkata operasi SAR untuk mangsa kedua sedang giat dijalankan dengan dibantu pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Beliau turut menasihatkan orang awam khususnya komuniti maritim agar sentiasa berwaspada semasa melakukan aktiviti di laut termasuk peka dengan keadaan cuaca, memakai jaket keselamatan, membawa alat pengesan lokasi serta memaklumkan kepada keluarga atau sahabat berkaitan destinasi dituju.

  • Tuduhan fitnah semata-mata, Ebit Lew maafkan

    Tuduhan fitnah semata-mata, Ebit Lew maafkan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENDAKWAH terkenal, Ustaz Ebit Lew menyifatkan tuduhan yang mengaitkannya dengan kes yang sedang disiasat polis sebagai fitnah melampau semata-mata.

    Ditemui selepas selesai memberi keterangan di Bukit Aman sebentar tadi, beliau bagaimanapun berkata, sudah memaafkan mereka yang melempar tuduhan fitnah berkenaan.

    Ebit Lew berkata, kehadirannya ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sini pagi tadi, adalah sebagai saksi kes yang sedang disiasat polis.

    “Saya dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan terhadap pertuduhan gosip di luar sana.

    “Bagaimanapun saya serahkan segala-galanya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

    Terdahulu Ebit Lew tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 9 pagi ditemani peguamnya, Datuk Hasnal Rezua Merican.

    Ebit Lew berkata, pihak polis mengambil masa lebih satu jam untuk merakam kenyataannya dan dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya.

    Pendakwah terkenal, Ebit Lew ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual di Bukit Aman, hari ini.
    GAMBAR: Warta Rakyat

    Apa yang terjadi ujarnya, akan membuatkan beliau berasa lebih bersemangat untuk membuat kebaikan sampai bila-bila.

    Sementara Hasnal berkata, setakat ini polis ada menyatakan beberapa seksyen untuk siasatan kes berkenaan, namun belum memberikan seksyen sewajarnya untuk siasatan kes ini.

    “Setakat ini polis juga memaklumkan tiada keperluan untuk memanggil semula anak guam saya,” katanya.

    Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dalam kenyataan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes tersebut dapat disiasat dengan telus.

    Katanya, Ebit Lew dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual yang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Siasatan akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut,” ujarnya.

  • 137 nelayan pesisir peroleh lesen sampan khas

    137 nelayan pesisir peroleh lesen sampan khas

    Oleh Mohd Lazim Endut

    ISU kesukaran nelayan pantai untuk memiliki lesen sampan khas yang seringkali diperbualkan sebelum ini akhirnya terlerai apabila permohonan mereka diluluskan.

    Malah, berita gembira tersebut dikongsi oleh 137 nelayan dari daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang masing-masing berjaya menerima lesen sampan khas hari ini.

    Penyerahan lesen berkenaan diuruskan kerajaan negeri Terengganu bersama-sama Jabatan Perikanan negeri secara pandu lalu.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim, penyerahan secara pandu lalu dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Alhamdulillah, akhirnya kita dapat menyelesaikan salah satu isu utama dihadapi nelayan iaitu perlesenan,” ujar beliau.

    Dr. Azman memberitahu, berdasarkan pemutihan dibuat, terdapat seramai 800 orang nelayan sampan kategori Zon A menjalankan aktiviti menangkap ikan di seluruh Terengganu.

    Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 600 permohonan lesen diberikan kelulusan pada tahun ini.

    “Pada hari ini sebanyak 137 lesen diserahkan kepada nelayan Kuala Terengģanu dan Kuala Nerus dalam usaha membantu mereka yang menjadikan aktiviti menangkap ikan sebagai punca pendapatan utama.

    “Bagi nelayan daerah lain, penyerahan akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini,” katanya selepas program tersebut di Pangkalan Batu Rakit, hari ini.

    Menurut Dr. Azman, penyerahan lesen tersebut merupakan satu keistimewaan kepada nelayan tempatan.

    Ini kerana katanya, golongan itu telah berpuluh tahun menangkap ikan, tetapi tidak pernah memiliki lesen.

    Beliau berkata, apabila tiada lesen, mereka dinafikan dalam banyak perkara termasuk elaun sara hidup nelayan dan minyak bersubsidi.

    “Jika berlaku kemalangan di laut pula, mereka tidak layak mendapat bantuan bencana,” jelasnya.

    Sebelum ini, penyerahan pertama lesen sampan khas telah diagihkan kepada 84 nelayan di Besut dan Setiu, pada awal tahun ini.

  • Polis tunggu hasil ujian DNA tentukan identiti 3 mayat rentung dalam kereta

    Polis tunggu hasil ujian DNA tentukan identiti 3 mayat rentung dalam kereta

    Oleh Wartawan WartaRakyat

    POLIS Pulau Pinang masih mengenal pasti identiti tiga mangsa rentung dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios yang terbakar selepas melanggar sebatang pokok di Jalan Masjid Negeri, Jelutong, pada awal pagi Isnin lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, tiga keluarga yang mendakwa waris mangsa hadir untuk membuat pengecaman mayat kira-kira pukul 1.30 petang semalam.

    Bagaimanapun katanya, polis masih perlu menunggu pengesahan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada individu yang mendakwa waris berkenaan sebelum tindakan lanjut dapat diambil.

    Jelas beliau, keputusan ujian DNA itu diperlukan selepas pengecaman mayat oleh tiga keluarga berkenaan tidak dapat membuktikan mereka merupakan waris kepada kesemua mangsa.

    “Ini kerana barang peribadi yang diperoleh daripada ketiga-tiga mangsa tidak mencukupi selain tiada ciri-ciri pengenalan khas pada kesemua mangsa yang boleh membantu pengecaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Soffian, pihak forensik telah mengambil sampel DNA daripada setiap waris si mati untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan identiti mayat. 

    Tambahnya, ketiga-tiga mayat kini disimpan di bilik peti sejuk Jabatan Forensik sehingga pengesahan DNA mayat diperolehi sebelum mayat dapat diserahkan kepada ahli keluarga.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi Isnin lalu, tiga ditemui rentung di dalam kereta jenis Toyota Vios yang terbakar selepas dipercayai melanggar sebatang pokok di Jalan Masjid Negeri, Jelutong.

    Pegawai Operasi Balai Bomba Jalan Perak, Sha’ari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.55 pagi.

    Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta telah terbakar dengan ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam kereta terbabit tidak sempat menyelamatkan diri dan disahkan maut di lokasi kejadian.

  • Banjir di lima kampung di Perak

    Banjir di lima kampung di Perak

    KIRA-KIRA 102 penduduk daripada 29 keluarga membabitkan lima kampung di sekitar Taiping, dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan hujan berterusan sehingga menyebabkan kediaman mereka dinaiki air sejak malam tadi.

    Menurut satu kenyataan oleh Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, setakat 7.30 pagi ini, 87 mangsa dari Kampung Sg Rentaka, Matang; Kampung Changkat Baru dan Kampung Jebong Kiri ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim Al Baraqah.

    Menurut kenyataan itu juga, seramai 15 mangsa dari Kampung Sungai Nyior dan Kampung Sungai Tinggi pula ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru.

    Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di Perak membabitkan Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

  • Berkelakuan pelik sebelum dijemput ajal

    Berkelakuan pelik sebelum dijemput ajal

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PEMANDU ambulans Kementerian Kesihatan yang maut dalam kemalangan Lebuh Raya Utara-Selatan, Johor Bahru semalam, berkelakuan aneh sebelum nahas tersebut.

    Menurut anak saudara mangsa, Nur Shafika Ooyob, 33, Shamsul Shamshuri, 49, kerap menatap wajah isterinya, Roslina Abdullah, 43, sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

    Nur Shafika berkata, kelakuan pelik itu diceritakan Roslina kepadanya sejurus Shamsul menemui ajal dalam tragedi tersebut.

    “Apabila isterinya menyedari perkara itu, dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Setelah ditanya arwah hanya tersenyum dan menjawab tiada apa-apa,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam.

    Cerita Nur Shafika, mereka sekeluarga mengetahui kejadian yang menimpa arwah menerusi panggilan telefon sebelum bergegas ke HSA.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kemalangan tersebut berlaku semasa van ambulans berkenaan mengelak sebuah kereta yang membrek secara mengejut.

    “Selepas itu ambulans tersebut merempuh belakang sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.

    “Pemandu dan tiga penumpang dalam ambulans itu iaitu seorang pegawai farmasi dan dua jururawat dalam perjalanan dari Pusat Kesihatan Kluang ke Hospital Permai,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Akibat kemalangan itu katanya, pemandu dan penumpang hadapan tersepit manakala dua penumpang di belakang cedera.

    Beliau berkata, Shamsul meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa yang cedera dirawat di HSA.

    Selain arwah, mangsa lain yang terlibat Rosnilam Satari, 48, Azlina Mohd. Rawi, 41 dan Amelia Pek Ying Hung, 26.

  • Wanita warga emas dirogol sekumpulan remaja

    Wanita warga emas dirogol sekumpulan remaja

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG wanita warga emas yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dinoda lima lelaki dipercayai berhampiran landasan kereta api di Singrauli, Madhya Pradesh, Bhopal, New Delhi, pada Ahad lalu.

    Dalam kejadian pada pukul jam 10 malam waktu tempatan itu, mangsa, 65, dalam perjalanan pulang ke rumah dari kediaman ahli keluarganya.

    Menurut portal Mirrow Now, mangsa dipercayai dirogol lima lelaki secara bergilir-gilir sebelum melarikan diri.

    Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Morwa berhubung kejadian itu sebelum polis bertindak menahan lima suspek pada Isnin lalu.

    Siasatan awal dilakukan mendapati empat daripada lima suspek berkenaan adalah remaja bawah umur, manakala suspek kelima berusia 24 tahun.

    Sementara itu, India Today melaporkan pihak polis percaya semua suspek berkenaan di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

    Jurucakap polis Jayant, Abhimanyu Divedi berkata, kejadian itu dipercayai berlaku berhampiran landasan kereta api yang diperiksa pada Isnin lalu.

    “Individu yang bekerja berhampiran lokasi kejadian ada mengesan pergerakan mencurigakan membabitkan sekumpulan remaja selepas kami menahan dua remaja bawah umur.

    “Dua remaja bawah umur itu berjaya dikenal pasti oleh mangsa dan mereka mendedahkan identiti tiga lagi suspek dalam kejadian itu.

    “Semua suspek berkenaan tinggal berhampiran lokasi kejadian dan dilihat sering merayau di sekitar kawasan landasan kereta api itu,” katanya.

  • Operasi SAR tiga mangsa hilang bencana kepala air diteruskan

    Operasi SAR tiga mangsa hilang bencana kepala air diteruskan

    Oleh Abu Ubadillah Rahman

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang dipercayai masih hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air di kawasan Titi Hayun, Yan petang semalam, diteruskan pada 8.30 pagi ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, tiga mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu merupakan antara 22 penduduk di kawasan berkenaan yang terjejas akibat bencana itu.

    “Kejadian di Titi Hayun ini melibatkan 22 mangsa iaitu 16 mangsa selamat, dua lagi meninggal dunia, seorang cedera parah manakala tiga lagi masih belum dijumpai,” katanya, hari ini.

    Tambah beliau, seramai 30 anggota dan pegawai bomba terlibat dalam operasi itu dan pada masa yang sama turut dibantu pasukan keselamatan lain antaranya polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

    Pihaknya menerima panggilan pada 4.17 petang semalam mengenai kejadian banjir di kawasan Titi Hayun itu dan operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan sebaik tiba di lokasi 11 minit kemudian.

    Beliau turut berkata, pihak bomba juga meneruskan operasi SAR dengan kekuatan 20 anggota bomba selepas seorang lagi mangsa yang dikhuatiri hilang dalam kejadian sama di Salak Denai iaitu kawasan sekitar Batu Hampar, Yan.

    Tambahnya, seramai 19 kakitangan The Jerai Hill Resort yang terperangkap di puncak Gunung Jerai masih tidak dapat dibawa turun berikutan laluan terhalang akibat tanah runtuh.

  • Pendakwah terkenal tiba di Bukit Aman

    Pendakwah terkenal tiba di Bukit Aman

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENDAKWAH selebriti yang dikaitkan dengan video tular ganguan seksual baru-baru ini tiba ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada polis.

    Beliau hadir kira-kira pukul 9 pagi selepas dipanggil pihak polis, pada Rabu.

    Menurut laporan-laporan media semalam, pendakwah terbabit dipanggil untuk membantu siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. 

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi media mengesahkan kehadiran pendakwah itu.

    Menurutnya, satu kenyataan media akan dikeluarkan mengenai kehadiran pendakwah terbabit. 

    Pada Julai lepas, seorang pengguna twitter telah menularkan satu video memaparkan individu mirip pendakwah berkenaan melaku aksi seksual.

    Pengguna twitter yang menyembunyikan identiti dirinya itu turut mengeluarkan persoalan apa yang bakal berlalu sekiranya seorang tokoh negara merupakan seorang pemangsa seksual.

    “Apa yang anda buat sekiranya anda tahu seseorang tokoh negara seorang seksual predator.

    “Tetapi, anda tiada bukti mahkahmah (sebab si mangsa tak nak buat report polis).

    “Tokoh ini tokoh yang disanjung dan disayangi. Sampai susah nak percaya perangai sebenarnya,” kata hantaran itu.