Category: Jenayah

  • Mayat tentera lemas semasa latihan ditemui di Sungai Pahang

    Mayat tentera lemas semasa latihan ditemui di Sungai Pahang

    MAYAT Lans Koperal Mohamad Azrin Mat Isa yang dikhuatiri lemas semasa menjalani latihan taktikal Eksesais Para predator di Kampung Batu Bor, Bera, dijumpai terapung di tebing Sungai Pahang pagi ini.

    Jasad mangsa berusia 27 tahun itu, ditemui kira-kira pukul 7.55 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian di tebing Kampung Serengkam, daerah Maran, kira-kira 40 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan lemas.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat Mohamad Azrin dijumpai orang awam yang turut terbabit dalam operasi mencari mangsa.

    Katanya, jasad mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh,” katanya hari ini.

    Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masuk hari keempat membabitkan seramai 141 anggota bomba dan penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, nelayan dan unit amal.

    Nor Aqila Syafiqa Safuan (kiri) isteri Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin

    Sebanyak 30 buat bot digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

    Mohamad Azrin hilang selepas terjatuh ke Sungai Pahang ketika cuba menyeberangi sungai itu ketika menjalani latihan, Ahad lalu.

    Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu mangsa yang merupakan anggota 10 Briged Para sedang melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai.

    Petang semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli meninjau dan menyertai operasi pencarian mangsa.

    Sementara itu, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin oleh penduduk kampung

    “TDM menzahirkan ucapan takziah buat isteri mangsa, Nor Aqila Syafiqa Safuan, 23 serta seluruh ahli keluarganya dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya dari segala aspek dalam memastikan kebajikan keluarga itu.

    “Perkembangan berkenaan pengurusan jenazah Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. TDM turut berharap agar masyarakat tidak menyebarkan gambar-gambar penemuan jasad Allahyarham,” menurut kenyataan itu. 

  • Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu tawaran kerja pembantu pemasaran

    Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu tawaran kerja pembantu pemasaran

    SEORANG lelaki kerugian lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan tawaran menjadi pembantu pemasaran di sebuah syarikat jualan produk dalam talian.

    Pemuda berusia 27 tahun dari Senawang itu mula terjebak dengan sindiket tersebut setelah selepas melihat satu iklan di media sosial.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon tertera dan berurusan untuk pekerjaan itu dengan seorang wanita dikenali Ainnie pada 29 Ogos lalu.

    Namun katanya, suspek meminta mangsa membayar wang pendahuluan bagi produk yang akan dijual serta dijanjikan keuntungan 10 peratus daripada hasil jualan tersebut.

    “Mangsa yang berminat kemudian membuat pindahan wang berjumlah RM111,906 menerusi 25 transaksi kepada syarikat itu dengan wang daripada akaun bank miliknya dan bapa,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut Aibee berkata, bagaimanapun selepas membuat pembayaran, mangsa tidak mendapat apa-apa pulangan dan merasakan sudah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.

    Tambah beliau, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Taktik penyeludup membeli petrol dari stesen ke stesen dibongkar

    Taktik penyeludup membeli petrol dari stesen ke stesen dibongkar

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TAKTIK seorang penyeludup warga tempatan yang menjalankan aktiviti membeli minyak petrol dari stesen ke stesen dalam kuantiti sedikit untuk dijual ke negara jiran berjaya dibongkar anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan.

    Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri, pada Ahad lalu pihaknya berjaya mengesan pergerakan sebuah kereta jenis Proton Saga melakukan aktiviti berkenaan di stesen minyak berhampiran sempadan negara.

    Beliau berkata, minyak petrol tersebut dipercayai dibeli dari stesen ke stesen dan kemudian diisi dalam tong jerikin bagi mengaburi mata anggota penguat kuasa.

    “Kita berjaya menahan sebuah kenderaan tempatan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran sebuah kedai di Pengkalan Kubor.

    “Namun, pemandu kenderaan terbabit berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Azanizam memberitahu, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui sebanyak 18 tong jerikin berisi petrol dengan anggaran 540 liter diletakkan dalam but belakang kenderaan itu.

    Ujarnya, barang kawalan dan kenderaan tersebut terpaksa disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Nilai anggaran sitaan minyak petrol ialah RM1,100 manakala kenderaan pula dianggarkan RM5,000.

    “Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelas beliau.

    Sehubungan itu, Azanizam Affendi meminta orang ramai supaya dapat menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan sempadan.

    Katanya, KPDNHEP, bersama-sama Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan agensi sempadan lain sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pebyeludupan barang kawalan ke negara jiran dapat dibanteras.

  • Pesara maut dilanggar motosikal

    Pesara maut dilanggar motosikal

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia selepas dilanggar sebuah motosikal semasa dia melintas jalan di Jalan Kuala Krai, dekat Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, mangsa, Muhammad Jusoh @ Yusoff, 72, yang juga seorang pesara kerajaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, lelaki warga emas tersebut dipercayai telah melintas jalan secara mengejut di kawasan bukan lintasan pejalan kaki untuk ke kedai farmasi.

    Pada masa sama katanya, seorang pemuda berusia 22 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR dari arah Kota Bharu ke Tanjong tidak sempat mengelak, lalu melanggar mangsa.

    “Berikutan itu mangsa yang berasal dari Kampung Lubok Jambu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Abdul Rahim memberitahu, mangsa mengalami patah kaki kanan dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut diminta hadir ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan,” ujar beliau
    .

  • Langgar teman wanita semasa larikan diri daripada polis

    Langgar teman wanita semasa larikan diri daripada polis

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS melepaskan satu das tembakan ke arah sebuah kereta yang dipandu seorang suspek curi kereta selepas lelaki tersebut cuba meloloskan diri di sekitar Cheras, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, dalam kejadian pukul 5 petang itu, anggotanya menghampiri kereta tersebut yang berada dalam keadaan mencurigakan.

    Menuerut Saiful, ketika itu teman wanita lelaki tersebut berada di belakang kenderaan berkenaan mengambil barang di bahagian but.

    “Suspek lelaki yang menyedari kehadiran polis terus mengundurkan kenderaan, melanggar serta menggilis teman wanitanya. Teman wanita suspek yang berada di bahagian belakang kereta tersebut cedera akibat digilis.

    “Pegawai polis yang berada di hadapan kereta memberi amaran kepada suspek supaya berhenti tetapi lelaki berkenaan terus memecut untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Saiful berkata, bertindak atas maklumat, suspek yang berusia 32 tahun itu berjaya ditahan sekitar jam 7.50 malam di Cyberjaya semalam.

    “Hasil soal siasat, suspek telah membawa pihak polis ke beberapa lokasi dan telah berjaya menjumpai sebanyak 11 buah kereta buatan tempatan yang dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antara tahun 2019 hingga 2021.

    “Nilai rampasan dianggarkan sekitar RM130,000 manakala hasil siasatan awal mendapati suspek mencuri kereta bertujuan untuk menjual alat ganti kereta tersebut di media sosial,” katanya.

    Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai 17 rekod jenayah mencuri kereta untuk menjual alat ganti tersebut dalam media sosial.

    “Semakan mendapati suspek mempunyai sebanyak 17 rekod jenayah manakala teman wanitanya pula mempunyai tiga rekod jenayah. Kedua-dua tangkapan mempunyai rekod dikehendaki atas kesalahan jenayah dan dadah,” ujarnya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

  • Padah remaja tunggang motosikal ala Superman

    Padah remaja tunggang motosikal ala Superman

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TINDAKAN seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ membawa padah, apabila dia ditahan polis dalam Operasi Ambang Merdeka di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu malam tadi.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man, operasi tersebut dilakukan anggotanya bermula pukul 9 malam hingga 3 pagi.

    Katanya, remaja tersebut dilihat menunggang motosikal secara berbahaya dalam satu kumpulan dan tindakan pantas anggota bertugas berjaya menahannya pada pukul 11 malam.

    “Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM15,000,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut Ismail, pada masa sama, dua buah motosikal turut disita dalam operasi tersebut kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60 APJ 1987.

    Beliau berkata, operasi dijalankan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya di kawasan pusat bandar.

    “Sebenarnya operasi malam tadi lebih kepada pencegahan bagi memastikan tiada penganjuran aktiviti dilakukan sempena Malam Ambang Merdeka terutama berkumpul beramai-ramai yang sekali gus melanggar SOP,” ujarnya.

    Sehubungan itu beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menganjurkan sebarang aktiviti yang dikategorikan boleh melanggar SOP dan mereka yang ada maklumat mengenai aktiviti berkenaan boleh menghubungi pihak berkuasa.

  • Tiada kesesakan di laluan drawbrige, video tular rakaman lama

    Tiada kesesakan di laluan drawbrige, video tular rakaman lama

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kesesakan berlaku di sepanjang laluan drawbrige (jambatan angkat), Kuala Terengganu sempena sambutan ambang merdeka malam tadi sepertimana ditularkan menerusi dua video di media sosial Facebook (FB).

    Sebaliknya, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md.Isa, video yang tular itu merupakan rakaman lama.

    Menurut Rohaimi, semakan dibuat ke atas video tersebut mendapati ia dirakam sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu.

    Malah katanya, polis yang membuat pemantauan malam tadi mendapati kesemua laluan di Kuala Terengganu terutama di jambatan angkat lengang pada pukul 10.30 malam.

    “Kita tidak mengesan sebarang kesesakan trafik atau orang ramai berkumpul bagi menyambut Hari Kebangsaan seperti ditularkan dalam video tersebut,” ujarnya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Rohaimi, pemantauan di kawasan berkenaan dilakukan pasukan pemantau bersama anggota kereta peronda (MPV) dan anggota trafik.

    “Selepas dibuat semakan, kita mendapati dua video yang tular itu dirakam semasa program ceramah pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad pada Februari 2020 dan video sambutan ambang kemerdekaan yang diraikan beberapa tahun lalu,” jelas beliau.

  • Penuntut IPT hilang RM11,739 ditipu ‘Miss Syahliza’

    Penuntut IPT hilang RM11,739 ditipu ‘Miss Syahliza’

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    LAGI Kes mangsa penipuan scammer, kali ini melibatkan seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) mengalami kerugian sebanyak RM11,739 selepas terpedaya dengan sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan di platform e-dagang.

    Kejadian dikatakan bermula pada Jumaat lalu selepas mangsa berusia 21 tahun melayari laman sosial Facebook (FB) sebelum terpadang satu iklan tawaran kerja.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, mangsa yang tertarik dengan pekerjaan itu kemudian bertindak menghubungi satu nombor dan telah berurusan dengan seorang wanita dikenali sebagai Miss Syahliza.

    Beliau berkata, suspek mendakwa dirinya sebagai pemilik kepada sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan secara dalam talian dan ingin membantu peniaga kecil.

    Justeru katanya, mangsa diberikan taklimat mengenai pekerjaan sebagai ejen pembelian dalam talian dan turut dijanjikan dengan bayaran komisen sebanyak 10 peratus apabila berjaya menyelesaikan setiap tugasan.

    Kemudian katanya, mangsa diminta agar melakukan tugas pembelian sepertimana diarahkan.

    “Tanpa berfikir panjang, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM11,739 ke dalam beberapa akaun diberikan suspek melalui pindahan wang secara dalam talian untuk membolehkan aktiviti penjualan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Namun selepas itu ujar Mohd. Wazir, sebaik sahaja wang dimasukkan, suspek gagal dihubungi mangsa.

    Menurut beliau, berikutan itu mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam.

    “Berdasarkan siasatan, modus operandi digunakan adalah memperdaya mangsa menerusi panggilan sehingga menyebabkan mangsa kerugian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda,” jelas beliau.

  • Ambulan terbabas, warga emas baru tamat tempoh kuarantin maut

    Ambulan terbabas, warga emas baru tamat tempoh kuarantin maut

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG warga emas yang baru tamat tempoh kuarantin Covid-19 maut apabila ambulans dinaikinya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di Kilometer 21 Jalan Pekan-Batu Balik, Pahang, petang semalam.

    Mangsa, Husin Abd. Hamid, 74, dari Felda Chini Timur 1, Pekan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.20 malam hari yang sama ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Pekan.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud, kemalangan dipercayai berlaku pada pukul 4.15 petang ketika ambulans yang dalam perjalanan menghantar mangsa yang baru tamat tempoh kuarantin di hospital tersebut pulang ke rumahnya di Felda Chini.

    Beliau memberitahu, sebaik tiba di lokasi kejadian ambulans berkenaan dikatakan terbabas ketika melalui jalan yang sedang dinaik taraf.

    “Ekoran kemalangan tersebut, menyebabkan pemandu ambulans, Zulkafli Yasin, 50, mengalami sakit dada dan seorang jururawat, Nurul Shaqima Hidayah Abdul Jamal dilaporkan cedera di bahagian belakang.

    Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, ambulans tersebut dalam perjalanan menghantar mangsa pulang ke rumahnya di Felda Chini Timur I.

    “Mangsa yang menjalani kuarantin di Hospital Pekan setelah disahkan kontak rapat dengan pesakit Covid-19 di mana mangsa turut menghidap asma kronik,” ujarnya.

    Menurut beliau, kejadian berlaku mungkin disebabkan keadaan jalan agak berbatu kerana sedang dalam proses dinaik taraf.

    Katanya, bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan selepas laporan ujian Covid-19 diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Jalur Gemilang dipasang terbalik

    Jalur Gemilang dipasang terbalik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat akan tetap menyiasat kejadian Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di pekarangan sebuah rumah ibadat di Kampung Sungai Suloh, Batu Pahat walaupun pihak pengurusan rumah ibadat itu sudah membetulkannya.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzuddin Rungai berkata, pihaknya mengesan gambar terbabit tular dalam media sosial pukul 12.20 tengah hari semalam.

    “Bertindak atas maklumat berkenaan, pada jam 12.40 tengah hari, anggota dari IPD Batu Pahat telah ke lokasi berkenaan dan mendapati bendera tersebut telah diturunkan.

    “Pihak polis akan memanggil penjaga rumah ibadat tersebut dan individu terlibat bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan.

    Menurut Muhammad Izzuddin, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.