Category: Jenayah

  • Dua lelaki ditahan proses, jual air ketum

    Dua lelaki ditahan proses, jual air ketum

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki ditahan kerana memiliki daun ketum selepas polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Sepakat 1, Taman Sepakat, Kulai semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya melakukan serbuan pada jam 4 petang dan menahan kedua-dua lelaki tempatan itu yang berusia 32 dan 46 tahun.

    “Pihak polis menemukan 47 bungkusan plastik hitam dan biru yang mengandungi daun-daun disyaki ketum dianggar seberat 490.4 kilogram.

    “Selain itu kita juga merampas dua buah tong ais setiap satunya 30 botol berisi cecair warna hijau disyaki air ketum dengan anggaran berat isi padu kasar 90 liter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pihaknya turut merampas peralatan dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek didapati memproses air ketum untuk pasaran Kulai dan Johor Bahru.

    Hasil ujian air kecing terhadap kedua-dua suspek katanya, didapati negatif.

    Katanya, lelaki berusia 46 tahun pernah ditangkap atas kesalahan yang sama pada Jun lalu dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    “Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

  • Dadah RM14.4 juta dirampas, tiga termasuk seorang Datuk ditahan

    Dadah RM14.4 juta dirampas, tiga termasuk seorang Datuk ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah bernilai RM14.4 juta dengan anggaran berat 400 kilogram (kg) yang cuba diseludup di Kompleks Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, Selasa lalu.

    Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, sepasukan anggota kastam daripada Cawangan Narkotik, JKDM Ibu Pejabat telah menyita dua kotak kayu di kompleks kargo berkenaan pada pukul 4.10 pagi.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kotak kayu tersebut menjumpai lapan buah kotak yang terdapat 400 bungkusan teh mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 400kg bernilai RM14.4 juta.

    “Tiga lelaki tempatan berumur 25 hingga 56 tahun termasuk seorang berpangkat Datuk telah ditahan di lokasi sama untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Seremban, hari ini.

    Beliau berkata, sindiket itu mengisytiharkan barang yang mengandungi dadah sebagai troli hotel dalam dua kotak kayu yang besar sedangkan di dalamnya terdapat kotak-kotak mengandungi dadah disorokkan bersama-sama pakaian sebagai modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Bekalan dadah ini dipercayai diperoleh dari pasaran tempatan dan luar negara sebelum dieksport ke negara Asia Pasifik.

    “Sindiket ini dipercayai telah 11 kali melakukan perbuatan tersebut menggunakan modus operandi yang sama sejak tahun lepas.

    “Kes ini seterusnya disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga individu berkenaan direman selama 14 hari sehingga 13 September ini,” katanya.

  • SPRM tahan pegawai agensi kerajaan terlibat rasuah RM5,000

    SPRM tahan pegawai agensi kerajaan terlibat rasuah RM5,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pegawai sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada syarikat pengiklanan.

    Sumber SPRM berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan suspek lelaki berusia 44 tahun sejak 2017 hingga tahun lepas sebagai balasan untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek pembekalan pelekat.

    Suspek ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor, katanya.

    Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk permohonan reman.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

  • [VIDEO]Pemandu lori, kelindan maut, kenderaan terbabas masuk gaung

    [VIDEO]Pemandu lori, kelindan maut, kenderaan terbabas masuk gaung

    SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong, petang ini.

    Rakaman kemalangan berdurasi 1 minit 20 saat itu turut tular di media sosial.

    Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu lori berusia 56 tahun bersama kelindannya berusia 25 tahun maut di tempat kejadian.

    Katanya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dari Sabak Bernam, Selangor menghala ke Raub dan dipercayai hilang kawalan semasa melalui kawasan selekoh di tempat kejadian.

    “Lori itu kemudian terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam gaung.

    “Kedua-dua mangsa kemudiannya tersepit di bawah lori itu,” katanya, hari ini.

    Zaiham berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ujar beliau, individu yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong Azha Aris memberitahu bomba menerima panggilan pada 2.40 petang dan sampai ke lokasi kejadian pada 3.00 petang.

    “Sebanyak 13 anggota bomba terbabit dalam operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit,” tambahnya.

  • Pulau Pinang harap harga kit ujian sendiri Covid-19 dikurangkan

    Pulau Pinang harap harga kit ujian sendiri Covid-19 dikurangkan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang berharap harga bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) seperti diumumkan Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) boleh dikurangkan.

    Ini kerana menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, permintaan bagi kit ujian sendiri itu dalam kalangan pengguna pasti akan meningkat ketika negara memasuki tempoh endemik bermula hujung Oktober ini seperti disebut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam.

    Ketika ini, harga siling borong dan harga runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) itu ditetapkan masing-masing berharga RM16 (harga borong) dan RM19.90 (harga runcit). 

    Serentak itu juga, Kon Yeow mengumumkan sebagai permulaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memperuntukkan sebanyak 500 set kit ujian itu kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen untuk diedarkan kepada rakyat yang memerlukan.

    “Kaedah pengedaran kit itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Georgetown hari ini.

    Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akan menerima sebanyak 1,015,500 dos vaksin bagi sepanjang bulan September ini daripada Kerajaan Pusat yang mana penghantaran pertama akan dilakukan esok.

    Jelasnya, penghantaran itu termasuk bekalan 200,000 dos sebagaimana kelulusan khas oleh KKM minggu lalu.

    “Dengan kelulusan KKM tersebut tidak bermaksud kita menolak tawaran pinjaman vaksin daripada Kerajaan Negeri Selangor.

    “Sebaliknya pada sesi kunjungan hormat Menteri Besar Selangor pada 31 Ogos lalu, kedua-dua pihak bersetuju tawaran tersebut kekal terbuka dan perbincangan akan terus dijalankan berasaskan keperluan semasa di masa hadapan,” katanya.

    Tambah Kon Yeow, sejak penularan Covid-19, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan kira-kira RM180 juta demi memenuhi keperluan kelengkapan perubatan di hospital-hospital di seluruh negeri ini.

    Katanya, ia tidak termasuk beberapa peruntukan besar lain seperti Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang; Program Penang Saring Covid-19 dan PKRC sebagai usaha awal untuk memperkukuhkan sistem kesihatan awam yang lebih optimu

  • Bayi lelaki dalam beg plastik ditinggal depan rumah

    Bayi lelaki dalam beg plastik ditinggal depan rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki terkejut apabila menemukan seorang bayi dalam beg plastik ditinggalkan depan sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Bayi lelaki tersebut ditemui berbalut dengan kain oleh lelaki tersebut sebelum membuat laporan di Balai Polis TTDI pada jam 9.15 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, bayi yang cukup sifat dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan.

    “Semakan ke atas pemilik rumah terbabit sudah dibuat dan kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu hadir ke balai polis yang berdekatan untuk memberi keterangan.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

  • Mayat pemuda lemas ditemukan tersangkut pada enjin tongkang

    Mayat pemuda lemas ditemukan tersangkut pada enjin tongkang

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG pemuda yang hilang dihanyut arus deras ketika sedang mandi manda bersama lima rakannya di Sungai Kampung Tok Kah, Dungun pada Selasa lalu ditemukan mati lemas pagi ini.

    Ketika ditemui, mayat
    mangsa, Mohd. Firdaus Afiq Che Yusof, 21, didapati tersangkut pada enjin sebuah tongkang di kawasan Penyedut Pasir Serdang pada pukul 8.15 pagi, sejauh 3.3 kilometer (KM) dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Shahrizal Shamsudin, mangsa ditemukan oleh salah seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja menyedut pasir di lokasi berkenaan, di mana dia telah mengetahui operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan terhadap mangsa.

    “Justeru, dengan penemuan mayat mangsa hilang itu, SAR di lokasi terbabit ditutup serta merta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Dalam kejadian pada Selasa lalu, mangsa bersama lima lagi rakannya dikatakan telah mandi di sungai tersebut sempena cuti umum Hari Kabangsaan.

    SAR giat dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Dungun sebelum mayat mangsa lemas, Ahmad Firdaus Afiq Che Yusof, 21, ditemukan tersangkut pada enjin sebuah tongkang di Sungai Dungun pagi ini.

    Sewaktu kejadian, seorang rakan mangsa, Mohd. Zulfadhli Mohd. Hasmadi, 21, juga nyaris lemas setelah mengalami kekejangan kaki namun sempat diselamatkan orang awam.

    Bagaimanapun, mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan tenggelam timbul kerana dibawa arus deras gagal diselamatkan.

  • Kepala air berlaku lagi di Gunung Jerai

    Kepala air berlaku lagi di Gunung Jerai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    FENOMENA kepala air sekali lagi dilaporkan berlaku di Gunung Jerai pagi ini berikutan hujan lebat, bagaimanapun dilaporkan tidak membawa kesan buruk seperti 18 Ogos lalu.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di lokasi terbabit.

    “Keadaan setakat ini terkawal dengan saya sudah mengarahkan supaya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Yan dan Sungai Petani melakukan pemantauan di lokasi berisiko setiap empat jam,” katanya.

    Sejak pagi tadi tular klip video memaparkan aliran deras yang berlaku di beberapa kawasan termasuk Titi Hayun hingga menyebabkan air sungai melimpah ke jalan raya.

    Sementara itu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditemui pemberita memaklumkan, aliran sungai yang semakin cetek berikutan tragedi pada 18 Ogos lalu dipercayai menjadi antara punca mengapa aliran sungai tersebut melimpah.

    “Laporan kaji cuaca memang meramalkan hujan lebat akan berlaku sebelum ini dan apabila ia terjadi, keadaan itu menyebabkan air terkumpul di atas Gunung Jerai. Apabila air itu turun dan menyebabkan arus deras, ia melimpah ke darat disebabkan sungai sudah menjadi cetek.

    ”Oleh itu saya mengharapkan penduduk di situ sentiasa berjaga-jaga serta mengikuti setiap arahan diberikan pihak berkuasa,” kata beliau dalam sidang akhbar di Majlis Pelancaran Pengaturan Pasaran Buah-Buahan Tempatan Bermusim di Padang Pulut, Sik hari ini.

    Tambahnya, anggota pasukan keselamatan juga sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap-siaga bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.

  • Seks tak dapat, lelaki rugi pula RM13,300 ditipu sindiket ‘online’

    Seks tak dapat, lelaki rugi pula RM13,300 ditipu sindiket ‘online’

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG lelaki di Butterworth, Pulau Pinang bukan sahaja kempunan untuk mendapatkan perkhidmatan seks, malah hilang RM13,300 ditipu sindiket yang menawarkan perkhidmatan itu menerusi ‘online’ semalam.

    Pekerja swasta berumur 30-an itu menjadi mangsa selepas selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi sosial, Line.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berhasrat mendapatkan perkhidmatan seks yang ditawarkan wanita itu kemudiannya telah dihubungi oleh individu lain yang mengaku sebagai ejen menerusi aplikasi WeChat.

    “Mangsa telah diminta membuat pembayaran melalui tambah nilai kredit virtual, Razer Gold di kedai serbaneka dan dijanjikan untuk mendapat khidmat seks di sebuah kondominium di Raja Uda, Butterworth.

    “Mangsa turut membuat pembelian Razer Gold secara berperingkat sehingga mencecah RM13,300 dan menyerahkan nombor pin tambah nilai kepada suspek melalui WeChat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun menurut Noorzainy, mangsa menyedari dia ditipu selepas suspek gagal dihubungi selepas dia membuat pembayaran tersebut.

    Katanya, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Wanita maut digilis bas dalam perjalanan ke tempat kerja

    Wanita maut digilis bas dalam perjalanan ke tempat kerja

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja pembersihan maut digilis bas kilang selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan di Jalan Mangga Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa, Rosayu Ramli yang berusia 38 tahun maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha dipercayai dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.

    “Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal berhenti di simpang jalan lalu sebelum dilanggar sebuah bas kilang yang hendak membelok masuk simpang ke kiri jalan. 

    “Dalam kejadian itu penunggang motosikal telah digilis oleh bas tersebut dan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini.

    Hussin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.