Category: Jenayah

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 14 set bubu naga

    Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 14 set bubu naga

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 14 set bubu naga di dua lokasi berbeza sekitar 1.8 kilometer dari barat laut Sungai Air Hitam semalam.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bubu itu dikesan ketika rondaan rutin Op Bengeng Laut dan Op Pertiwi antara pukul 4 hingga 5.20 petang.

    Menurut beliau, 14 set bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM1,860 itu dirampas lalu dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

    Tambah beliau, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain terutama nelayan tradisional pesisir pantai.

    “Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

    “Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    maritim malaysia
    Maritim Pulau Pinang merampas sebanyak 14 set bubu naga di dua lokasi berbeza sekitar 1.8 kilometer dari barat laut Sungai Air Hitam.

    Tambah Abd. Razak, nelayan diingatkan mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. 

    Jelasnya, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. 

    “Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

  • Remaja lelaki lemas di Tasik Cermin

    Remaja lelaki lemas di Tasik Cermin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG remaja lelaki ditemukan lemas di Tasik Cermin, Puncak Perdana, Shah Alam, hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 4.08 petang dan pasukan bomba dari Balai Kota Anggerik tiba di lokasi 10 minit kemudian.

    Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat itu dilakukan di permukaan air (water surface) dan selaman.

    “Mangsa, R Puravinraj, 19, berjaya ditemui pada jam 4.33 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri pada kedalaman empat meter.

    “Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan medik dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

  • 2 penjenayah warga asing ditembak mati

    2 penjenayah warga asing ditembak mati

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS menembak mati dua penjenayah warga asing maut dalam insiden berbalas tembakan di kawasan semak di Bukit Mengkuang, Kubang Semang, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Terdahulu, suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Waja itu dikejar sepasukan polis selepas cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan di Jalan Penanti kira-kira pukul 5.30 pagi.

    Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ketika kejadian salah seorang suspek melepaskan dua das tembakan ke arah polis manakala seorang lagi cuba menyerang anggota terbabit menggunakan parang.

    Sehubungan itu tambahnya, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek dalam usaha untuk mempertahankan diri. 

    “Bagaimanapun, tembakan yang dilepaskan suspek ke arah polis tidak mengenai sasaran sebaliknya terkena cermin sisi kereta polis,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang, hari ini.

    Mohd. Shuhaily berkata, polis turut menemui dadah jenis heroin serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memecah masuk rumah di bahagian but belakang kereta Proton Waja yang dinaiki suspek.

    Turut dijumpai tambahnya, sepucuk pistol berisi enam butir peluru serta sebilah parang.

    Katanya, semakan terhadap kereta yang dinaiki suspek mendapati kenderaan itu pernah dilaporkan hilang pada 29 Ogos tahun lalu di Sungai Petani, Kedah.

    Jelas Mohd. Shuhaily, kedua-dua suspek itu juga diburu polis kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan dan melepaskan tembakan di Bukit Mertajam, Ahad lalu.

  • Hasrat ke Genting, kompaun yang dapat

    Hasrat ke Genting, kompaun yang dapat

    HASRAT 12 individu termasuk dua wanita untuk ke Genting Highlands bukan sahaja tidak kesampaian, mereka juga terpaksa membayar kompaun RM5,000 setiap seorang kerana merentas negeri tanpa kebenaran polis. 

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, mereka yang berusia 20 hingga 58 tahun dipercayai bergerak dari Kuala Lumpur itu ditahan di sekatan jalan raya di Kilometer 17 Genting Highlands semalam . 

    “Mereka tidak dapat mengemukakan permit merentas negeri kepada polis yang bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Zaiham juga mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk merentas negeri yang masih belum dibenarkan tanpa kelulusan.

  • Guru kerugian RM36,000 ditipu ‘Pegawai Polis’

    Guru kerugian RM36,000 ditipu ‘Pegawai Polis’

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    AKIBAT terpedaya dengan helah ‘pegawai polis’ palsu, seorang guru mengalami kerugian RM36,000 setelah ditipu oleh sindiket yang cuba mengaitkan mangsa dengan pengubahan wang haram bernilai RM2.18 juta.

    Malah, mangsa berusia 52 tahun dari Jerantut itu dikatakan akur dengan semua perintah pegawai polis yang menggelarkan diri sebagai ‘Tuan Chong’ itu.

    Selain itu, mangsa juga terpedaya untuk membeli satu nombor baharu bagi membolehkan dia mudah dihubungi, selain mengelak daripada ditangkap polis berhubung dakwaan terlibat dengan jenayah berkenaan.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, kejadian dilaporkan bermula pada awal bulan ini sebaik mangsa menerima panggilan daripada wakil sebuah syarikat insurans dikenali dengan nama Natasha Ismail.

    Menurut beliau, ketika menghubungi guru berkenaan, suspek mendakwa mangsa ada membuat empat tuntutan membabitkan kemalangan berjumlah RM76,800.

    Bagaimanapun katanya, mangsa menafikan perkara tersebut dan suspek pula kemudian memaklumkan itu adalah tuntutan palsu dan meminta maklumat peribadi bagi membersihkan nama mangsa.

    “Kemudian, talian itu disambungkan pula kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan dan mangsa telah diberitahu bahawa dirinya terlibat dengan satu kes jenayah membabitkan sindiket pengubahan wang haram bernilai RM2.18 juta,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Menurut Mohd. Wazir, selepas itu panggilan mangsa disambungkan pula kepada pegawai polis dikenali ’Tuan Chong’ dan ’Puan Yong’.

    Beliau berkata, suspek meminta mangsa menyimpan nombor telefon itu menggunakan nama lain iaitu Tuan Chong dengan nama Aishah dan Puan Yong sebagai Ani.

    Kemudiaan katanya, pada Jumaat lalu, Tuan Chong meminta mangsa membeli satu nombor baharu supaya mudah untuk dihubungi dan memadam setiap panggilan dibuat oleh mereka.

    “Selain itu, mangsa juga diarah ‘unlink’ akaun dari Bank Islam ke Tabung Haji untuk membolehkan polis menyiasat kemasukan wang haram.

    “Suspek meminta mangsa menjadikan enam digit awal nombor kad pengenalan sebagai nombor pin kad bank tersebut dan mengugut mangsa agar tidak memberitahu sesiapa,” katanya.

    Mohd. Wazir memberitahu, semalam mangsa telah membuat semakan akaun Tabung Haji miliknya dan mendapati sebanyak RM20,000 telah lesap.

    Menurut beliau, selepas itu, mangsa membuat semakan pula akaun Bank Rakyat dan mendapati telah kehilangan wang berjumlah RM16,000 dalam akaun semasa dan simpanannya.

    Beliau berkata, ekoran itu mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut selepas merasakan dirinya ditipu.

    “Laporan polis dibuat kerana bimbang keselamatan diri, keluarga dan maklumat peribadi disamping takut berlaku kejadian tidak diingini di kemudian hari,” jelas beliau.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas keluar dari kereta bapa

    Kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas keluar dari kereta bapa

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    TINDAKAN seorang bapa parkir kereta di tepi sungai membawa padah, apabila tanpa disedari anaknya yang berusia setahun lapan bulan dikhuatiri lemas selepas dipercayai keluar dari kenderaan tersebut sebelum terjatuh di sungai Felda Jengka 4, Maran, tengah hari semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd. Rahman, kanak-kanak malang itu, Muhammad Abdullah Saiful Bahari disedari tiada di tempat duduk kereta berkenaan pada pukul 1 tengah hari, selepas15 minit bapanya meninggalkan dia berseorangan di situ.

    Menurut Norzamri, bapa mangsa mendakwa meninggalkan anaknya di dalam kereta dengan keadaan pintu terbuka.

    “Apabila menyedari mangsa tiada, dia bertanya kepada kakak dan abang mangsa yang berusia enam dan lapan tahun, sebaliknya mereka juga tidak menyedari bila mangsa keluar dari kereta,” ujarnya ketika dihubungi media hari ini.

    Sehubungan itu kata Norzamri, mereka cuba mencari mangsa di lokasi berhampiran sebelum bapa mangsa mendakwa menjumpai kesan tapak kaki anaknya itu di tepi sungai, lalu dia mengesyaki anaknya terjatuh di situ.

    Norzamri memberitahu, sungai itu terletak di dalam ladang kelapa sawit, iaitu sekitar tiga kilometer dari jalan utama.

    Katanya, bapa mangsa kemudian meminta bantuan orang kampung mencari anaknya di sungai sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada polis pada pukul 4 petang.

    Sebaik menerima laporan ujarnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan membabitkan polis, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia, sebelum dihentikan pada 8 malam ekoran cuaca mulai gelap.

    Beliau berkata, operasi SAR disambung pagi ini dengan turut melibatkan anjing pengesan untuk mencari jejak akhir mangsa sama ada di sungai atau di hutan berhampiran,” jelas beliau.

  • JAS selesai lakukan operasi pembersihan di lokasi pencemaran

    JAS selesai lakukan operasi pembersihan di lokasi pencemaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    OPERASI pembersihan di kawasan pencemaran bahan kimia di tali air di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, Johor Bahru sudah selesai.

    Penolong Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar, JAS Johor, Muhammad Faiz Mohd. Shafie berkata, kerja-kerja pembersihan itu dijalankan bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi ini.

    Kerja-kerja pembersihan tali air daripada sisa kimia diselesaikan pihak JAS pada pagi ini

    Menurut beliau, selain 12 pegawai dan anggota JAS, operasi pembersihan itu turut dibantu seramai 26 sukarelawan dari Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor Zon Selatan.

    “Tumpuan kerja-kerja pembersihan hari ini adalah melihat saki baki pencemaran yg masih melekat di tebing-tebing alur anak sungai berdekatan dengan rumah penduduk yang terlibat.

    “Kaedah digunakan adalah dengan menggunakan ‘oil boom’ dan ‘absortion pad’ serta kaedah manual seperti cangkul dan ‘scoop’ bagi membuang sisa pencemaran yg melekat di tebing, rumput dan kayu yg berada di anak sungai,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Katanya, JAS juga selesai melakukan kerja-kerja pembersihan awalan manakala pemantauan akan diteruskan dari masa ke semasa.

    Semalam, insiden pencemaran di kampung itu mengakibatkan 102 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara manakala empat lagi dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan akibat sesak nafas.

    (JBPM) Johor kemudian mengesan Methyl Alcohol dan Metanol dalam buangan sisa industri yang mengalir di tali air berhampiran kampung itu.

    Susulan itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada Rabu memberitahu, pihaknya telah menahan empat suspek termasuk seorang pemilik premis yang disyaki terlibat melakukan pembuangan sisa industri berjadual itu.

  • Lebih satu tan serpihan kayu dari China dirampas

    Lebih satu tan serpihan kayu dari China dirampas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas lebih satu tan serpihan kayu untuk alas haiwan peliharaan dari China semasa pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Kuantan, Kuantan semalam.

    Maqis Pahang dalam kenyataannya memberitahu, serpihan kayu yang dianggarkan bernilai RM2,161 yang dimuatkan dalam kontena itu dirampas kerana gagal mematuhi syarat import.

    “Barang dagangan itu ditahan ketika pemeriksaan rutin setelah pihak terlibat gagal mengemukakan sijil fitosanitasi kepada pegawai pemeriksa sebagaimana disyaratkan dalam permit import yang diluluskan.

    “Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    “Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda mengikut Seksyen 15(2) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas kenyataan itu, hari ini.

    Pihaknya akan terus memperketatkan kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.

  • Pencemaran Kg Baru Sri Aman:9 ditahan, tiada gangguan bekalan air

    Pencemaran Kg Baru Sri Aman:9 ditahan, tiada gangguan bekalan air

    PENCEMARAN buangan terjadual di Kampung Baru Sri Aman, Kempas malam tadi yang melibatkan kawasan Sungai Tebrau sepanjang 1 kilometer tidak akan menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan berhampiran.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, melalui pemantauan dron, Unit Water Safety Plan (WSP) Ranhill SAJ mendapati sungai yang tercemar terus mengalir ke anak Sungai Tebrau dan tiada intake LRA RSAJ yang terlibat.

    Tuan Ibrahim Tuan Man

    “Oleh itu, pencemaran ini tidak akan menyebabkan gangguan
    bekalan air di kawasan berhampiran.

    “Selain itu, seramai sembilan orang suspek telah ditahan oleh pihak polis berhubung kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah mengenalpasti punca yang menyebabkan pencemaran tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut di premis yang disyaki iaitu dari premis penyimpanan lori.

    Ujar beliau, pemeriksaan dan siasatan juga dilakukan terhadap kilang-kilang pyrolisis di kawasan yang terlibat.

    “Sebanyak sembilan sampel daripada kawasan kejadian dan sungai yang berhampiran telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa komposisi kimia.

    “Kes disiasat di bawah seksyen 34B yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum 5 tahun dan denda sehingga RM500,000, atau kedua-duanya sekali selaras peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

    Sementara itu, Tuab Ibrahim berkata, JAS Negeri Johor sentiasa memantau dan meneruskan pemantauan terhadap tahap kualiti udara di kawasan sekitar tempat kejadian.

    Menurut beliau, pihaknya tidak berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan menegaskan pesalah akan dikenakan hukuman yang setimpal.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana hasil maklumat yang diberikan membolehkan tindakan pantas diambil dalam membanteras insiden pencemaran buangan terjadual ini.

    “Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke
    [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di eaduan.doe.gov.my,” tambahnya.

  • Tukang bot mati lemas di sungai Pulau Ketam

    Tukang bot mati lemas di sungai Pulau Ketam

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SELEPAS kerja-kerja menurunkan bot yang siap dibaik pulih ke dalam sungai Pulau Ketam berakhir, kelibatnya tidak kelihatan dan dia dipercayai hilang di dalam sungai berkenaan, pada awal pagi tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Izman Mohamed, 44, dikatakan sedang menurunkan bot yang selesai dibaik pulih untuk ditempatkan di jeti berhampiran bersama empat individu lain termasuk anak lelakinya.

    Malah, kehilangan mangsa hanya disedari anaknya sejurus selesai kerja-kerja menurunkan bot tersebut lalu mereka terus melakukan pencarian sebelum mayat mangsa ditemukan di dasar sungai, pada pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din yang mengesahkan kejadian itu memberitahu, sebaik ditemui mayat mangsa terus dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.