Category: Jenayah

  • Mayat tanpa identiti ditemukan terapung

    Mayat tanpa identiti ditemukan terapung

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    MAYAT seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung oleh nelayan pantai di kedudukan 2.03 kilometer dari selatan Pasir Blanda, Teluk Kumbar, Pulau Pinang pukul 4.10 petang semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Maritim Malaysia yang menerima aduan mengenai penemuan mayat itu menggerakkan bot ronda KILAT 26 ke lokasi kejadian.

    Jelasnya, mayat tersebut dipercayai seorang lelaki lengkap berseluar panjang sukan hitam serta berbaju hitam namun tiada sebarang identiti diri ditemui.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban dan diserahkan kepada Balai Polis Batu Maung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mayat lengkap berseluar panjang sukan hitam serta berbaju hitam namun tiada sebarang identiti diri ditemui

    Menurutnya, setakat ini Maritim Malaysia Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut.

    Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau saudara segera tampil membuat aduan di balai polis yang berdekatan.

    “Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan jika keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan,” katanya.

    Tambahnya, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim dan sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999.

  • Dua banduan Penjara Marang didakwa bunuh rakan

    Dua banduan Penjara Marang didakwa bunuh rakan

    DUA banduan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan mereka dengan memukulnya sehingga cedera di kepala, pada Ogos lalu.

    Mengikut pertuduhan kes, Adura Mustapha, 39, dan Azizul Danial Muhammad, 35, didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas Hamiddi Kamaruddin, 48, di Bilik R8 Zon 2, Penjara Marang, pada pukul 2 petang pada 21 Ogos lalu, lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman itu.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a)Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala kedua-dua tertuduh pula tidak diwakil dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 3 November depan bagi sebutan semula kes.

  • Mayat kanak-kanak lapan tahun lemas ditemukan

    Mayat kanak-kanak lapan tahun lemas ditemukan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, yang terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Shah Alam, semalam telah ditemukan mayatnya pagi ini. 

    Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat mangsa ditemukan orang awam di dasar longkang dengan jarak 15 meter dari tempat mangsa dipercayai jatuh, pada pukul  8.42 pagi. 

    “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

    Mangsa sebelum ini dilaporkan dikhuatiri hanyut dibawa arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang pada 6.18 petang semalam.

  • Tiga maut kereta langgar tembok rumah

    Tiga maut kereta langgar tembok rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BUNYI dentuman kuat mengejutkan penduduk yang sedang tidur selepas sebuah kereta melanggar sebuah tembok sebuah rumah di Jalan Rumbia 3, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pada pukul 2 pagi itu, sebuah kereta Proton Waja dipercayai terbabas dan hilang kawalan sebelum merempuh tembok rumah berkenaan yang berada di tepi jalan tersebut.

    R. Vimalan, 21, M. Sharven, 21 dan seroang lagi lelaki dewasa berusia 20-an yang masih belum dikenali identitinya meninggal dunia.

    Tiga maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki terbabas dan merempuh tembok sebelum mangs tersepit

    Sementara S. Meshen Kumar, 21, dan P. Agilan, 22, cedera parah serta kemalangan itu menyebabkan beberapa mangsa tersepit.

    Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Ramli A. Hamid berkata, kereta tersebut dipercayai dari arah Taman Daya menuju ke Setia Indah.

    “Dua mangsa mengalami kecederaan parah manakala tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi.

    Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Waja yang sudah remuk pada bahagian depan

    “Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan Road Traffic Accident (RTA).

    “Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi menerima rawatan selanjutnya manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, operasi tersebut tamat pada pukul 3.42 pagi.

  • Warga emas maut terjatuh dari tingkat 29

    Warga emas maut terjatuh dari tingkat 29

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas meninggal dunia selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh dari tingkat 29, Blok F, bangunan Atarzia Park Forest City, Iskandar Puteri, awal pagi ini.

    Mangsa, Samsiyah Yakob, 66, terjatuh dari tingkat 29 dan tersangkut dibalkoni tingkat 16 sebelum kejadian pada pukul 2.58 pagi itu dimaklumkan kepada pihak pengurusan bangunan.

    Susulan itu seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Mangsa merupakan warga Indonesia yang mendapat status Permaustautin Tetap dan tinggal bersama-sama anak angkatnya

    Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Ishak Noh berkata, pihak bomba bertindak mengangkat mangsa dari balkoni sebelum serahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Mangsa tinggal bersama-sama anak angkat mangsa berumur 13 tahun di rumah tersebut.

    “Mangsa merupakan warga Indonesia tersebut yang mendapat status Pemastautin Tetap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, operasi tamat pada pukul 4.55 pagi.

  • Dua lelaki sesat lima jam di Gunung Pulai

    Dua lelaki sesat lima jam di Gunung Pulai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SETELAH lima jam tidak jumpa jalan keluar, dua lelaki yang sesat ketika menjalankan aktiviti riadah dengan mendaki Gunung Pulai, Kulai ditemukan malam tadi.

    Mangsa, Muhammad Syazwan Kamarulzzaman, 25 dan Muhammad Fadzrel Haziq Mohd. Farid, 16, berjaya ditemui pada pukul 10.15 di kawasan tersebut.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Wan Mohd. Azrul Wan Mahamad Shaf”ii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 5.30 petang.

    Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bagi mengesan kedua-dua mangsa tersebut membabitkan seramai lapan anggota BBP Kulai.

    Pihak bomba melakukan operasi mecari dan menyelamat di sekitar kawasan Gunung Jerai dalam masa kira-kira lima jam

    “Berdasarkan maklumat diterima daripada saudara mangsa, terdapat dua lelaki dewasa telah sesat ketika melakukan aktiviti mendaki gunung.

    “Anggota bertindak menghubungi talian telefon mangsa bagi menjejaki lokasi semasa mereka tetapi rangkaian telefon tidak jelas.

    “Operasi yang dijalankan akhirnya berjaya menemukan mangsa setelah lebih lima jam mencari kira-kira pukul 10.45 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kulai dengan menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan pemeriksaan susulan.

    Katanya, setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pukul 1.15 pagi.

  • Kanak-kanak empat dikhuatiri lemas jatuh longkang, Shah Alam dinaiki air

    Kanak-kanak empat dikhuatiri lemas jatuh longkang, Shah Alam dinaiki air

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, di Shah Alam  hari ini.

    Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima maklumat   berhubung kejadian itu daripada pihak polis sekitar 6.18 petang sebelum tiba ke lokasi kejadian kira-kira 12 minit kemudian.

    “Pencarian sedang giat dijalankan oleh pihak bomba. Kita khuatiri kanak-kanak itu hanyut dibawa arus deras dipercayai menuju ke arah Sri Muda akibat terjatuh ke dalam longkang 4×5 kaki itu (1.2 meter x 1.5 meter) ” katanya.

    Sementara itu, sebuah kenderaan terkandas dalam banjir setinggi 1.22 meter di sekitar kawasan Stadium Shah Alam Seksyen 13.

    Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.07 petang.

    Menurutnya, seramai sembilan anggota berlainan pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di lokasi kejadian pada jam 5.17 petang.

    “Pihak bomba mendapati kawasan sekitar stadium tersebut dinaiki air setinggi 1.22 meter di beberapa kawasan dan menyebabkan sebuah kenderaan terkandas. Bagaimanapun pemandu kereta itu berjaya menyelamatkan diri,’’ katanya.

  • Misteri kehilangan warga emas kontak kes Covid-19 terjawab

    Misteri kehilangan warga emas kontak kes Covid-19 terjawab

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MISTERI kehilangan seorang warga emas yang tidak pulang ke rumah terjawab apabila dia yang merupakan kontak rapat kes positif Covid-19, ditemukan lemas dalam parit di Parit Bentong, Jalan Parit Jalil, Tongkang Pechah, Batu Pahat, hari ini.

    Kehilangan Jamyah Abd. Alim, 73, yang tahun merupakan kontak rapat kes Covid-19 iaitu Pesakit Dalam Pemantauan (PUS) disedari ahli keluarga selepas mangsa tidak balik ke rumah sejak malam tadi.

    Susulan itu keluarga mangsa memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis sebelum meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram.

    Menurut Komander Operasi dari BBP Penggaram, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 11.54 pagi.

    Anggota bomba lengkap berpakaian perlindungan diri mengangkat warga emas tersebut ke darat

    “Seramai 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu utiliti Hilux dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Pihak bomba membantu mengeluarkan warga emas tersebut dari dalam parit selepas orang ramai yang membantu mencarinya menemui mayat mangsa dalam parit sedalam 1.5 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, anggota bomba kemudian dimaklumkan mangsa merupakan PUS sebelum mengangkat mayat warga emas itu dalam tempoh 5 minit dengan memakai pakai perlindungan diri.

    Tambah beliau, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 12.39 tengah hari.

  • Dua anggota Maritim Malaysia meninggal dunia akibat Covid-19

    Dua anggota Maritim Malaysia meninggal dunia akibat Covid-19

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor meninggal dunia akibat positif Covid-19 pada tahun ini.

    Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Pegawai Waran II Maritim (M) Muhamat Nazri Othman meninggal dunia pada 16 Ogos lalu manakala Bintara Muda Maritim (M) Mohamad Poudzi Aziz meninggal dunia pada 17 September lalu.

    Beliau berkata, kedua-dua anggota tersebut yang masing-masing berusia 55 tahun dijangkiti Covid-19 semasa melakukan operasi.

    “Sejak pandemik melanda negara Mac tahun lalu, seramai 120 anggota Maritim Johor positif Covid-19 tidak termasuk ahli keluarga mereka. Jumlah mereka yang dikuarantin semuanya seramai 360 orang.

    “Kita percaya ada kes positif Covid-19 membabitkan anggota kita berpunca daripada tangkapan individu berkenaan ketika operasi pemantauan dijalankan.

    “Daripada jumlah itu, dua terkorban akibat wabak tersebut. Mohamad Poudzi telah berkhidmat selama 16 tahun manakala Muhamat Nazri pula sudah berkhidmat selama 15 tahun,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Nurul Hizam berkata, anggota atau pegawai yang terlibat dalam operasi mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk melibatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan.

    Tambahnya, sepanjang operasi dilakukan juga, hanya lima suspek warga asing didapati positif Covid-19 iaitu pada bulan lalu.

  • Maritim Malaysia tahan 101 kapal bersauh haram sejak Januari

    Maritim Malaysia tahan 101 kapal bersauh haram sejak Januari

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 101 buah kapal dagang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak awal tahun ini ekoran melakukan kesalahan berlabuh secara haram di perairan Johor.

    Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 83 buah kapal ditahan menerusi operasi Jangkar Haram melibatkan kawasan di Tompok Utara, perairan Johor timur.

    Beliau berkata, menerusi operasi itu, 36 kes masih dalam siasatan dan proses pertuduhan, manakala 47 kes lagi telah dituduh dengan denda dan kompaun dikenakan kira-kira RM1.3 juta serta sebanyak RM1.7 juta bon jaminan dibayar.

    Maritim Johor melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kapal yang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di kawasan Tompok Utara, Kota Tinggi

    “Kawasan Tompok Utara menjadi tumpuan kegiatan kapal terbabit kerana kedudukannya yang strategik di pintu masuk Timur-Barat perairan negeri selain kedudukan geografinya yang mempunyai kedalaman 60 meter sesuai untuk kapal berlabuh.

    “Antara alasan mereka berikan tidak tahu sudah berada di perairan negara dan tidak sedar dengan undang-undang di laut di negeri ini.

    “Ada juga kapal yang enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan hendak dijalankan, maka kita terpaksa membuat ‘force boarding’,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Jelasnya, daripada jumlah kapal yang ditahan, kapal berdaftar dari Singapura paling banyak ditahan iaitu sebanyak 30 buah, diikuti Indonesia (12), Malaysia (9), Greece (8) dan Hong Kong.

    Nurul Hizam (dua kiri) menunjukkan perairan Johor timur yang sering diceroboh kapal dagang asing terutama berlabuh tanpa kebenara Jabatan Laut Malaysia, selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini

    Katanya, kes terbaharu yang dilaporkan membabitkan penahanan dua buah kapal tangki yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di kawasan perairan Johor Timur.

    Malah Nurul Hizam berkata, salah sebuah kapal tangki terbabit baru sahaja selesai kes perbicaraan bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.

    “Kapal tangki berdaftar di Mongolia itu dikendalikan lapan kru warga Indonesia berusia 23 hingga 66 tahun yang ditahan 31 Ogos lalu kerana bersauh tanpa kebenaran dan didenda sebanyak RM50,000.

    “Pemindahan itu turut melibatkan sebuah kapal tangki dari Panama yang dikendalikan 25 kru daripada Indonesia, Ukraine, Georgia dan Rusia berusia antara 23 hingga 53 tahun,” katanya.

    Sementara itu, kata beliau, keberkesan penguatkuasaan mencatatkan penurunan jumlah kapal berlabuh secara haram dan operasi Jangkar Haram akan diteruskan hingga pematuhan mencapai 100 peratus.