Category: Jenayah

  • Kastam patahkan cubaan seludup dadah guna polisterin

    Kastam patahkan cubaan seludup dadah guna polisterin

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai lebih RM500,000 menggunakan kotak polisterin berisi ikan segar di kawasan kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Kota Kinabalu.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, rampasan dadah sebanyak 12.4 kilogram (kg) itu dilakukan pada pukul 5 petang, 29 September lalu oleh anggota kastam dari Cawangan Penguatkuasaan LTAKK.

    Pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat bungkusan plastik yang mencurigakan di kargo berkenaan dan mengesyaiki aan mengandungi dadah dalam kotak polisterin dagangan ikan sejuk beku untuk tujuan eksport ke luar negara.

    “Pemeriksaan mendapati 23 polisterin ditemui mengandungi 23 paket hablur putih dipercayai dadah jenis methamphetamine dan ketamine.

    “Hasil pemeriksaan lanjut terdapat sebanyak 9.221 kg methamphetamine dan 3.190 kg ketamine dengan nilai anggaran keseluruhan RM501,026 ditemui didalam polisterin berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sri Khazali, Menara Kastam Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

    Pihaknya percaya itu adalah modus operandi penyeludup untuk menyeludup dadah menggunakan polisterin berisi ikan segar ke luar negara.

    “Dadah ini dimasukkan ke dalam polisterin bersama pelbagai jenis ikan segar dan setiap kotak polisterin akan dimasukkan sebanyak 500 gram dadah. Sebab itu ada 23 kotak polestrin dan ada 23 bungkusan dadah bersama ikan segar.

    “Ini adalah rampasan kedua yang dilakukan kastam Sabah menggunakan taktik yang sama iaitu pada bulan lalu namun pihak kita masih menyiasat kaitan kedua-dua kes ini,” katanya.

  • Lelaki warga India miliki 62 kg ganja

    Lelaki warga India miliki 62 kg ganja

    POLIS menahan seorang lelaki warga India selepas menjadikan sebuah rumah kedai sebagai stor menyimpan 62 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM248,000 dalam serbuan di Bandar Lahat Mines, Ipoh, Perak.

    Serbuan kira-kira 5 petang kelmarin itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak dan menemui 62 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, pemeriksaan mendapati, suspek yang berusia 42 tahun tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

    Katanya, susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan susulan terhadap sebuah rumah di kawasan Lahat dan yang merampas sejumlah lagi dadah, selain menahan dua wanita tempatan, masing-masing berusia 26 tahun serta warga Indonesia berusia 21 tahun.

    • “Di rumah itu, polis merampas 1,400 biji disyaki Pil Yaba (pil kuda) dianggarkan seberat 161 gram serta ganja dianggarkan seberat 2.05 gram membabitkan nilai rampasan bagi serbuan susulan ini adalah RM28,102.50.

    “Siasatan awal terhadap ketiga-tiga suspek itu mendapati mereka negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau.

    “Tiada hubungan kekeluargaan di antara ketiga-tiga suspek itu. Siasatan awal mengesyaki mereka adalah ahli sindiket pengedaran yang aktif sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

    Mior Faridalathrash berkata, penahanan dan rampasan hasil operasi itu dianggap suatu kejayaan dalam melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

    Nilai keseluruhan dadah yang dirampas bagi kedua-dua serbuan terbabit berjumlah lebih RM276,102 yang mampu menampung keperluan lebih 151,000 penagih.

    “Dadah dipercayai diperoleh dari Pulau Pinang itu disyaki untuk edaran pasaran tempatan,” katanya.

    Beliau berkata, polis juga menyita sebuah lori dan kereta, di samping dua motosikal serta barang kemas dalam kedua-dua serbuan itu membabitkan nilai sitaan RM86,663.

    Katanya, polis tidak menolak kemungkinan sindiket ini banyak merekrut ahli daripada kalangan warga asing.

    “Suspek lelaki yang ditahan itu mempunyai pasport tanpa visa dan sudah berada di negara ini sejak tahun 2014,” katanya.

    Mior Faridalathrash berkata, kesemua suspek direman enam hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori.

  • Lelaki pengedar dadah maut dalam serbuan polis

    Lelaki pengedar dadah maut dalam serbuan polis

    SEORANG lelaki dipercayai pengedar dadah, meninggal dunia selepas serbuan polis di rumahnya di sebuah pangsapuri di Taman Dato Senu, Kuala Lumpur.

    Dalam kejadian pukul 5 petang semalam, anggota polis dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, menyerbu satu unit kediaman di Blok 209, selepas menerima maklumat awam tentang pengedaran dadah.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki itu bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dan cuba mencapai sebilah sabit, tetapi anggota polis berjaya menggarinya.

    Bagaimanapun, katanya, tidak lama selepas itu suspek pengsan dan pegawai perubatan yang tiba 10 minit kemudian mengesahkan kematiannya.

    Turut berada dalam rumah semasa serbuan ialah ibu serta tiga lagi anak saudara si mati.

    “Polis turut menemui sejumlah dadah jenis methapitamine dan heroin.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pada peringkat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

  • Lelaki ditangkap dalam keadaan bogel selepas kelar ibu bapanya

    Lelaki ditangkap dalam keadaan bogel selepas kelar ibu bapanya

    PASANGAN warga emas maut dipercayai dikelar anak lelaki mereka di kampung Kemahang Hulu, Benta, Lipis, tengah malam tadi.

    Penduduk kampung menemukan mayat Mohammad Maasai, 68, dan isterinya, Zailan Zainudin, 64, selepas menahan anak pasangan tersebut yang dalam keadaan bogel dan berlumuran darah kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azly Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 31 tahun itu menggunakan senjata golok untuk mengelar leher dan menetak kedua-dua mangsa.

    “Pihak polis menerima laporan pukul 11.55 malam tadi dan hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 10.30 malam ketika suspek dan mangsa berbual di ruang tamu rumah mereka.

    “Suspek dipercayai bertindak mengambil golok dari biliknya dan menetak leher mangsa ekoran berlaku perselisihan mengenai ilmu agama dan hal ketuhanan.

    “Ibu mangsa yang cuba menghalang tindakan suspek turut menjadi mangsa apabila ditikam dan ditetak pada bahagian leher dan badan.

    “Penduduk kampung yang bergegas ke rumah terbabit selepas menahan suspek mendapati mayat bapa suspek ditemui terbaring dan berlumuran darah dalam rumah, manakala mayat ibu suspek pula ditemui berhampiran pagar rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Difahamkan lelaki berkenaan dipercayai mengamalkan ajaran ilmu sesat.

  • Pemaju hartanah ada kaitan projek terowong dasar laut maut terjatuh kondominium

    Pemaju hartanah ada kaitan projek terowong dasar laut maut terjatuh kondominium

    SEORANG pemaju hartanah terkenal di Pulau Pinang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan projek kontroversi terowong dasar laut ditemui maut akibat terjatuh di sebuah kondominium di Jalan Kelawai, hari ini.

    Mangsa yang berusia 53 tahun itu dipercayai mati di tempat kejadian, namun sehingga kini tidak ada maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sofian Santong ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian terbabit.

    “Buat masa ini saya hanya boleh sahkan memang ada kes individu mati jatuh bangunan di Jalan Kelawai dan mangsa mati ditempat kejadian. Kes masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Dalam pada itu, difahamkan mangsa juga merupakan seorang saksi dalam perbincaraan kes rasuah berhubung projek pembinaan terowong dasar laut yang sedang berjalan di mahkamah ketika ini.

  • Bot karam: pembantu tekong masih tidak ditemui

    Bot karam: pembantu tekong masih tidak ditemui

    SELEPAS empat hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pembantu tekong bot yang dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Satang, Kuching, Sarawak, Sabtu lalu, masih menemui jalan buntu.

    Setakat pagi ini, pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan dengan mangsa.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak, Laksamana Pertama, Zin Azman Md. Yunus berkata, operasi hari ketiga semalam mendapat bantuan aset udara daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) polis.

    Mereka melakukan pencarian melalui udara di sekitar perairan Pulau Satang.

    “Keadaan cuaca sedikit berangin dengan kelajuan antara 20 dan 30 kilometer sejam, dengan laut berombak setinggi 1 hingga 1.5 meter,” katanya, menurut laporan Bernama.

    Operasi SAR terbabit turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak.

    Menurut Zin, keluasan pencarian semalam merangkumi 795.31 batu nautika serta beberapa bot pancing komuniti maritim sekitar turut melakukan pencarian dengan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota petugas pasukan penyelamat adalah seramai 80 orang.

    Dalam kejadian Sabtu lalu, sembilan daripada 10 pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Pulau Satang.

    Sembilan daripada mereka sudah ditemui selepas diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar sekitar 1 pagi (Ahad).

  • Op Jangkar Hitam: 2 kapal asing berlabuh tanpa kebenaran

    Op Jangkar Hitam: 2 kapal asing berlabuh tanpa kebenaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan dua kapal tangki asing dalam dua operasi di Tanjung Lompat dan Tanjung Siang, Kota Tinggi, semalam.

    Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal itu ditahan menerusi Op Jangkar Haram selepas kedua-dua nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

    “Kapal tangki pertama yang berdaftar di Hong Kong ditahan pukul 10.45 pagi pada kedudukan 9.3 batu nautika timur Tanjung Lompat. Kapal ini dikendalikan 17 kru warga China dan Myanmar berumur antara 24 hingga 51 tahun.

    “Sementara kapal tangki kedua pula berdaftar di Thailand ditahan pada pukul 11.44 pagi pada kedudukan 20.1 batu nautika timur laut Tanjung Siang yang dikendalikan 16 kru warga Thailand berumur antara 26 hingga 57 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kapal tangki kedua pula berdaftar di Thailand ditahan pada pukul 11.44 pagi pada kedudukan 20.1 batu nautika timur laut Tanjung Siang, Kota Tinggi

    Beliau berkata, kesemua kru dari dua kapal berkenaan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Tambahnya, sebarang kecemasan atau aduan kesalahan di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07-2199404) atau talian MERS 999.

  • Misteri pengawal keselamatan hilang di ladang terjawab

    Misteri pengawal keselamatan hilang di ladang terjawab

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MISTERI kehilangan seorang pengawal keselamatan yang hilang semasa bertugas dalam sebuah ladang di Kampung Ulu Remis, Layang Layang, Simpang Renggam, Kluang, kelmarin terjawab apabila ditemukan malam tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Mohd. Nor berkata, Shahrizuan Pairon, 23, ditemukan dalam keadaan selamat pada pukul 11.24 malam.

    “Mangsa telah dijumpai oleh anggota polis dalam keadaan lemah dengan jarak lokasi dijumpai 10 kilometer iaitu di kawasan berdekatan Stesen Keretapi Renggam.

    “Mangsa kemudian menaiki ambulan Klinik Kesihatan Layang-Layang untuk dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam kejadian pukul 7 petang kelmarin, mangsa hilang semasa bertugas di ladang tersebut dan kehilangannya disedari rakan setugas sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

    Mohd. Fauzi berkata, operasi SAR itu disertai sembilan anggota BBP Renggam selain dibantu 82 orang dari pelbagai agensi seperti polis, polis bantuan serta penduduk setempat.

    “Bomba bertindak membuat ‘size up’ dan mengarahkan anggota membuat pencarian seluas kawasan 150 ekar dengan dibantu oleh agensi lain.

    “Pencarian dibahagikan kepada lima kumpulan. Operasi pengesanan mangsa turut dibantu anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
    Operasi SAR tamat pada pukul 12.10 tengah malam,” katanya.

    Sementara itu, bapa saudara mangsa, Adanan Baharudin, 61, bersyukur kerana anak saudaranya itu selamat dijumpai oleh bapanya sendiri, Pairon Baharudin 56, ketika melalui jalan berkenaan yang terletak kira-kira 12 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang itu.

    “Adik saya dan keluarga termasuk isteri dan anaknya menaiki kereta dan motosikal menuju ke lokasi anak mereka hilang dan setibanya di jalan berkenaan yang bersebelahan rel kereta api, dia seakan terperasan kelibat seseorang di tepi jalan.

    “Hatinya terdetik untuk berpatah balik dan memang betul anaknya sedang terbaring dan apabila ditanya apa yang berlaku, Shahrizuan terpinga-pinga dan mengatakan sepanjang dia hilang, pandangannya gelap seperti waktu malam.

    “Dia turut mengingati pada waktu kejadian kelmarin ada sebuah lori cuba melarikan diri di pintu pagar dan dia mengejarnya tetapi sampai di satu simpang, lori berkenaan hilang dan dia cuba berpatah balik ke tempat kerjanya semula, tetapi tidak nampak jalan keluar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dia mendakwa, anak saudaranya itu sebelum hilang terserempak pencuri dalam kejadian kecurian kelapa sawit di ladang Ulu Remis Sime Darby Layang-Layang itu pada petang kelmarin.

    Difahamkan sebelum hilang, mangsa sempat melaporkan kes kecurian baki buah tandan segar yang berada dalam tong pada pukul 7.22 petang kelmarin kepada kumpulan kerjanya menerusi WhatsApp.

    Adanan berkata, dua rakan sekerjanya iaitu Sarjan Fairul Md. Saud dan Lans Koperal Mohd. Khairi Adha Yahya bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat itu.

  • Maqis Pulau Pinang tahan lebih RM20 juta gandum Australia

    Maqis Pulau Pinang tahan lebih RM20 juta gandum Australia

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk lebih 14,118 tan gandum Australian Standard White dan Australian Premium White dari Australia di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth kelmarin.

    Dagangan pertanian bernilai lebih RM20 juta itu disita hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Maqis Pulau Pinang di Pelabuhan Kargo Pukal DAD.

    Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati sebuah kapal kargo pukal yang memuatkan sebanyak 14,118,340 kilogram (kg) gandum itu ditahan kerana telah mengemukakan maklumat yang berbeza serta mengelirukan pada permit import Maqis yang sah.

    “Nilai keseluruhan dagangan yang dianggarkan RM20,484,211.00 tersebut telah ditahan oleh pihak Maqis untuk tindakan selanjutnya,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambah kenyataan itu, pengimportan dengan mengemukakan maklumat palsu, tidak tepat dan mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    Lebih RM20 juta gandum disita hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa Maqis Pulau Pinang di Pelabuhan Kargo Pukal DAD

    Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Maqis mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

    “Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

  • Ivermectin tidak berdaftar dirampas di Melaka

    Ivermectin tidak berdaftar dirampas di Melaka

    JABATAN Kesihatan Negeri Melaka melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) merampas produk Ivermectin yang tidak berdaftar yang dianggarkan bernilai RM8,240 dalam tujuh serbuan sehingga 10 Sept lepas.

    Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, serbuan itu melibatkan premis klinik, farmasi, penjualan secara  dalam talian dan pemantauan akan dijalankan berterusan terhadap pengiklanan serta penjualan produk tidak berdaftar seperti Ivermectin.

    “Sehingga kini tiada produk Ivermectin yang diluluskan pendaftarannya untuk kegunaan manusia atau untuk rawatan dan pencegahan COVID-19.

    “Penjualan produk tidak berdaftar dengan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) adalah satu pelanggaran di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Justeru, beliau menasihatkan orang awam agar tidak terpedaya dengan penjualan Ivermectin sebagai rawatan atau pencegahan COVID-19 kerana penggunaannya tanpa pemantauan anggota profesional kesihatan boleh mendatangkan risiko kesihatan diri.

    Beliau berkata pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat keselamatan hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut manakala status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my atau menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722.

    Orang awam juga disarankan melaporkan sebarang penjualan Ivermectin di laman e-dagang atau media sosial kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, supaya tindakan sewajarnya dapat dikenakan bagi membanteras penjualan produk Ivermectin tidak berdaftar di pasaran, katanya.