Category: Jenayah

  • Peniaga kenderaan terpakai kerugian RM158,800 diperdaya ‘orang tengah’

    Peniaga kenderaan terpakai kerugian RM158,800 diperdaya ‘orang tengah’

    SEORANG peniaga kenderaan terpakai diperdaya ‘orang tengah’ dan kerugian RM158,800 selepas lapan kereta terpakai yang dijanjikan tidak diterimanya sehingga kini.

    Mangsa, 32, membeli tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish, dua kereta jenis Perodua Myvi, sebuah Honda Stream, Toyota Altis dan Vios pada harga keseluruhan RM158,800 pada Mei tahun lalu.

    Bagaimanapun sehingga kini mangsa masih belum menerimanya sebelum menyedari ditipu dan membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading, Kuantan, semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa mengenali suspek berusia 35 tahun melalui seorang kawannya pada Mei tahun lalu untuk urusan pembelian kereta tersebut.

    “Suspek bersetuju menjadi orang tengah mencari kereta untuk mangsa dab berjanji membekalkan lapan kenderaan tersebut.

    “Mangsa setuju dengan harga ditawarkan dan membuat bayaran melalui akaun bank syarikat ke akaun bank suspek dengan 12 transaksi bayaran dalam tempoh Jun hingga awal Ogos tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Wazir berkata, mangsa syak ditipu apabila suspek menghilangkan diri dan gagal dihubungi sejak September tahun lalu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Ambil tindakan pesawat tentera Singapura ceroboh ruang udara Malaysia

    Ambil tindakan pesawat tentera Singapura ceroboh ruang udara Malaysia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa kerajaan Malaysia mengambil tindakan terhadap kejadian pencerobohan ruang udara dilakukan pesawat tentera udara Singapura di Pasir Gudang.

    Beliau mendakwa, kejadian tersebut berlaku beberapa kali dalam bulan ini selepas penduduk setempat membuat aduan berkenaan perkara itu.

    “Saya telah menerima banyak aduan penduduk dalam Parlimen Tebrau dan Parlimen Pasir Gudang.

    Kawasan yang terlibat seperti di Kampung Pasir Putih, Taman Scientex, Taman Air Biru, Taman Cendana dan lain-lain.

    Hassan Abdul Karim

    “Mereka mengadu kepada saya tentang kekerapan kelihatan pesawat-pesawat tentera republik Singapura terbang rendah di ruang udara Pasir Gudang yang berjiran dengan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Justeru beliau mohon kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, terutama Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan menyiasat kejadian pencerobohan ruang udara Malaysia dilakukan pesawat negara asing.

    Hassan berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil kerajaan Malaysia kerana kejadian pencerobohan ruang udara di negeri ini kerap berlaku selepas kerajaan Pusat membangkitkan isu untuk mengkaji semula kes Pulau Batu Puteh/Pedra Blanca.

  • Rentas negeri: Tiga parah kereta terjunam masuk gaung

    Rentas negeri: Tiga parah kereta terjunam masuk gaung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGEMBIRAAN sebuah keluarga sedang merentas negeri berakhir tragedi apabila terbabas dan masuk gaung sedalam 30 meter di Kilometer 28.8 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, Kulai, malam tadi.

    Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Wan Mohd Azrul Wan Mahamad Shaf’ii berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 10.50 malam.

    Susulan itu seramai lapan anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Tiga daripada mangsa ditemukan dalam gaung dan cedera parah sebelum diselamatkan pihak bomba

    “Kemalangan tersebut membabitkan kenderaan pelbagai gua (MPV) jenis Toyota Estima. Kesemua mangsa balik ke kampung dan dipercayai dari Senawang, Negeri Sembilan.

    “Mangsa adalah Syaidi Mohd. Nor, 48, Azlina Nazarudin, 45, dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak yang belum dikenal pasti identitinya.

    “Tiga daripada mereka cedera parah dan berada di bawah gaung. Tindakan operasi menaikkan mangsa dengan menggunakan ‘stretcher,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Keluarga berkenaan dalam perjalanan balik ke kampung dan dipercayai dari Senawang, Negeri Sembilan.

    Katanya, semua mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Kulai menggunakan ambulans manakala tiga mangsa cedera ringan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital sama menggunakan EMRS.

    “Operasi ditamatkan pada pukul 11.57 malam,” katanya lagi.

  • 21 PATI makan mi segera, minum air laut selepas bot rosak

    21 PATI makan mi segera, minum air laut selepas bot rosak

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia pada kedudukan kira-kira 15.5 batu nautika di barat laut Kepulauan Sembilan, Lumut, Sabtu lalu.

    Kehadiran bot dinaiki PATI tersebut dikesan orang awam pukul 12.20 tengah hari sebelum bot Perkasa 1223 segera ke lokasi berkenaan.

    “Hasil siasatan mendapati bot kayu Indonesia yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu menceroboh perairan negara sebelum hanyut sejak dua hari lalu selepas mengalami kerosakan enjin.

    “Pemeriksaan terdapat 21 orang warga Indonesia berada di atas bot terbabit dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Akibat kerosakan bot yang dinaiki, mereka terpaksa makan mi segera dengan air laut bagi meneruskan hidup,” katanya ketika sidang akhbar di Jeti Pusat Tahanan Vessel Kampung Bharu, Sitiawan, Lumut, semalam.

    Shahrizan berkata, hasil maklumat juga mendapati, terdapat enam tekong warga Indonesia yang mengendalikan bot berkenaan, namun mereka telah melarikan diri dengan sebuah lagi bot dari Indonesia dan meninggalkan kesemua pendatang asing berkenaan di atas bot yang rosak.

    Pemeriksaan terdapat 21 orang warga Indonesia berada di atas bot terbabit dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah

    “Kita percaya ia adalah satu sindiket. Modus operandi mereka, setelah berlepas dari Indonesia, mereka akan menunggu bot nelayan tempatan kita (Malaysia) yang dikendalikan warga Indonesia di sempadan perairan negara dan memindahkan kesemua pendatang asing tersebut untuk menceroboh masuk ke Malaysia.

    “Bayaran pergerakan untuk seorang dari Malaysia ke Indonesia dipercayai sebanyak RM1,500, manakala dari Indonesia ke Malaysia RM1,200,” katanya

    Menurutnya, kesemua pendatang asing terdiri terdiri daripada 15 lelaki dan enam wanita berumur lingkungan 17 hingga 61 tahun itu, ditahan reman 14 hari bermula Sabtu lalu mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

    “Hasil siasatan juga mendapati, kesemua mereka pernah ke Malaysia sebelum ini dan bot berkenaan berlepas dari Tanjung Balai, Indonesia pukul 3 pagi pada 14 Oktober lalu menuju ke Sekinchan, Selangor,” katanya.

  • Bomba kenal pasti enam negeri tumpuan hadapi Monsun Timur Laut

    Bomba kenal pasti enam negeri tumpuan hadapi Monsun Timur Laut

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) telah mengenal pasti enam negeri untuk diberikan perhatian khusus dalam menghadapi Monsun Timur Laut atau bencana banjir yang dijangka bermula Oktober hingga Mac 2022.

    Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata negeri terbabit adalah Sarawak, Sabah, Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

    “Tidak menidakkan negeri yang lain, persiapan menghadapi bencana pun kita (Bomba) buat, cuma dari segi logistik akan diletakkan di pangkalan hadapan (zon yang telah dikenal pasti) macam di Sarawak kita telah tetapkan tiga zon iaitu Kuching, Sibu dan Miri.

    “Pangkalan hadapan kita (Bomba) akan sediakan peralatan logistik untuk Marin seperti pengangkutan bagi mengendali mangsa banjir dan juga bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja Kesiapsiagaan Bencana Banjir di Balai Bomba dan Penyelamat di Kuching, hari ini.

    Mohammad Hamdan berkata di Sarawak, pangkalan udara JPBM akan berpangkalan di Miri sebagai persediaan jika berlakunya sebarang bencana di kawasan pedalaman sekiranya jalan utama atau jalan darat telah terputus akibat banjir.

    “Kita juga telah mengenal pasti kawasan hotspot yang mempunyai cerun berbahaya. Di Sarawak kita telah kenal pasti ada 77 (cerun berbahaya) dan 97 jalan yang mungkin terputus dan lebih 100 hotspot banjir.

    “Tempat-tempat ini kita akan fokus untuk memberikan bantuan dari aspek pengendalian bencana, pemindahan mangsa dan juga menyelamatkan harta benda,” katanya.

    Tambah Mohamad Hamdan, sebanyak 1,300 orang anggota bomba dari 36 balai bomba di seluruh negeri ini juga telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bencana.

    “JBPM turut bekerjasama serta berkolaborasi dengan agensi-agensi berkaitan sebagai kesiapsiagaan dari aspek tenaga manusia, logistik, maklumat, tugasan lapangan dan sebagainya.

    “Kita (Bomba) akan cuba sebaik mungkin bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat jika berlakunya sebarang bencana,” katanya.

    Beliau juga menasihati orang ramai agar peka dengan segala maklumat terkini mengenai amaran bahaya bencana yang dikeluarkan oleh agensi berkaitan sebagai langkah berjaga-jaga. – Bernama

  • Bangunan belum siap musnah dalam kebakaran

    Bangunan belum siap musnah dalam kebakaran

    SEBUAH bangunan yang masih dalam pembinaan musnah dalam satu kebakaran di tapak pembinaan Vista Wirajaya 2, Persiaran Pertahanan berhampiran residensi PV 9, Setapak hari ini.

    Kejadian kira-kira pada pukul 11 pagi itu berlaku di tingkat dua di kawasan tempat letak kereta bangunan tersebut.

    Pusat Gerakan Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) dalam satu kenyataan memberitahu, kawasan tempat letak kereta di tingkat dua tersebut dijadikan tempat tinggal pekerja dan penyimpanan peralatan pembinaan.

    “Kita menerima panggilan kecemasan pukul 11 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, Hang Tuah, Sentul, Setapak dan Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di lokasi, anggota mendapati api sedang marak di tingkat dua dan memusnahkan bangunan tersebut,” katanya.

    Mengulas lanjut, tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak.

    “Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 11.51 pagi dan menyebabkan bangunan tersebut terbakar seratus peratus.

    “Setakat ini, tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” jelasnya.

  • Polis jejaki Mohammad Hashim Dilbashar

    Polis jejaki Mohammad Hashim Dilbashar

    POLIS sedang menjejaki seorang lelaki Myammar berketurunan Rohingya, Mohammad Hashim Dilbashar atau lebih dikenali sebagai Hashim bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang pengutip sampah di Klang, Shah Alam pada 10 Oktober lalu.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya sedang mengesan lelaki berusia 30-an itu, yang alamat terakhirnya adalah di No 3, Lot 49659-A, Jalan Budaya, Kampung Rantau Panjang, Klang.

    “Polis memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan lelaki itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32913344 atau pegawai penyiasat ASP J Jaya Sangar di talian 013-4013403,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Berhubung insiden pada 10 Oktober itu, Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 10.11 pagi daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengenai seorang lelaki etnik Rohingya dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa oleh rakannya ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.

    “Pemeriksaan pegawai perubatan di HTAR mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia dan terdapat sembilan kesan tikaman di bahagian kepala, tubuh dan kaki. Hasil bedah siasat mendapati kematian disebabkan pendarahan yang banyak berpunca daripada tikaman pada bahagian belakang badan mangsa,” katanya.

    Menurut Vijaya Rao lagi, hasil siasatan pihaknya mendapati dua lelaki yang juga etnik Rohingya terlibat dalam insiden itu dengan seorang daripadanya telah ditahan pasukan khas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Utara di Jalan Pengkalan Kubor, Kelantan, manakala seorang lagi sedang diburu.

    “Mereka dipercayai cuba meloloskan diri ke Thailand melalui sempadan Golok dan suspek yang ditahan dibawa balik ke IPD Klang Utara untuk siasatan lanjut. Dia kini ditahan reman enam hari bermula 16 Oktober hingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – Bernama

  • Lelaki gagal seludup tujuh guni daun ketum

    Lelaki gagal seludup tujuh guni daun ketum

    CUBAAN seorang yang mengambil kesempatan kebenaran rentas negeri dengan membawa 60 kilogram daun ketum dalam keretanya gagal apabila berjaya dikesan di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Behrang arah selatan, Tanjung Malim, kelmarin.

    Suspek ditahan pada pukul 11 malam oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan tugas Pemantauan Pematuhan Ops COVID-19 setelah pergerakan rentas negeri dibenarkan.

    Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lelaki berusia 53 tahun itu dalam perjalanan dari Kedah ke Selangor.

    Menurutnya, dalam pemeriksaan itu, pihak polis telah menjumpai tujuh guni berisi daun, disyaki daun ketum dengan berat lebih kurang 60 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2,400.

    “Hasil semakan lanjut mendapati tangkapan ini masih tidak lengkap dos vaksin tetapi telah membuat pergerakan merentas negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu katanya, satu kompaun bernilai RM2,000 telah dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 P:U (A) kerana merentas negeri tanpa vaksinasi lengkap.

    Sulizmie Affendy berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

    Menurutnya, suspek telah direman empat hari bermula 17 hingga 20 Oktober dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    “Meskipun rentas negeri telah dibenarkan oleh kerajaan, Ibu Pejabat Polsi Daerah (IPD) Muallim ingin mengingatkan dan menasihati orang ramai supaya tidak leka atau mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Pastikan telah lengkap dua dos vaksin sebelum membuat pergerakan dan bersama-samalah kita menjaga diri serta ahli keluarga daripada dijangkiti virus COVID-19,” ujarnya.

  • Warga emas ditahan, 134,700 batang rokok seludup dirampas

    Warga emas ditahan, 134,700 batang rokok seludup dirampas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENAHANAN seorang warga emas terlibat kegiatan mengedar rokok seludup membawa kepada penemuan barangan tidak bercukai itu yang disembunyikan dalam sebuah premis dan kereta di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, Muar semalam.

    Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA Bakri, Deputi Supritendan Salehin Suleiman berkata, pihaknya melakukan operasi itu pada pukul 9.40 pagi dan pada awalnya menahan lelaki warga emas terbabit yang dipercayai terlibat kegiatan tersebut.

    Katanya, suspek warga tempatan berusia 64 tahun itu dipercayai menjadi pengedar rokok seludup di kawasan setempat.

    “Penahanan suspek itu turut membawa kepada pemeriksaan ke atas sebuah premis dan kereta jenis Proton Waja yang mana kami telah menemui sebanyak 771 karton rokok seludup bersamaan 134,700 batang rokok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pihaknya percaya tangkapan dan rampasan barangan yang dilakukan itu berjaya memutuskan salah satu rangkaian sindiket penjualan rokok seludup di sekitar daerah Muar serta Tangkak.

    “Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan ini adalah sebanyak RM160,958. Suspek dan barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya.

  • Thailand masih belum benarkan, peluang bawa pulang Sajat tipis

    Thailand masih belum benarkan, peluang bawa pulang Sajat tipis

    PELUANG Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawa pulang usahawan kosmetik, Nur Sajat sukar susulan desakan beberapa pihak yang mempertahankan kebebasan transgender.

    Thailand sehingga kini masih belum membenarkan usahawan berkenaan atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman diekstradisi ke negara ini.

    “Peluang untuk membawa pulang dilihat tipis susulan desakan beberapa pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) atas dasar kebebasan transgender.

    “Kemungkinan dia akan mendapat suaka di negara ketiga,” kata sumber kepada Harian Metro, hari ini.

    Terdahulu, Polis Diraja Malaysia dilaporkan dalam proses memohon ekstradisi bagi membawa pulang Nur Sajat.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata, proses itu akan mengambil masa kerana membabitkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara dan pihak berkuasa Thailand.

    Sebelum ini, media melaporkan misteri ‘kehilangan’ Nur Sajat terjawab apabila dia dilaporkan ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

    Pada 9 September lalu atas kesalahan memasuki Thailand secara tidak sah, Nur Sajat didakwa di mahkamah namun usahawan kosmetik itu dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

    Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari.

    Dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.