Category: Jenayah

  • Suami isteri dalang sindiket edar dadah RM4.2 juta

    Suami isteri dalang sindiket edar dadah RM4.2 juta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEPASANG suami isteri yang disyaki menjadi dalang menyeludup dan mengedar dadah antara ditahan polis dalam serbuan di empat buah rumah sekitar Johor Bahru pada 21 hingga 28 Oktober lalu.

    Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.2 juta yang didalangi sebuah sindiket dengan mendapatkan bekalan dari negara jiran.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, dalam serbuan bersama JSJN Johor itu, tujuh suspek termasuk seorang wanita warganegara China berusia 39 hingga 48 tahun ditahan.

    Beliau berkata, sindiket yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar negeri ini disyaki mula aktif sejak pertengahan tahun ini.

    “Hasil serbuan berjaya merampas 115.1 kilogram (kg) dadah jenis syabu, 528 gram (g) dadah jenis ketamin, 52.8g (ekstasi), 91.8g (mushroom), 10.5g (eramin 5) dan 9.17g (pil Yaba) yang dianggarkan bernilai RM4.2 juta.

    “Dalam serbuan itu, kita turut menahan pasangan suami isteri berusia 41 dan 48 tahun yang dipercayai dalang sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

    Polis turut merampas seutas rantai emas, lima buah kereta, wang tunai RM6,870 selain membekukan 11 akaun bank dengan anggaran keseluruhan rampasan yang bernilai RM689,601.

    Bekalan dadah itu mampu menampung keperluan seramai 587,222 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

    “Kita percaya kumpulan ini bukan sahaja mengedar dadah untuk pasaran tempatan tetapi juga untuk kegunaan antarabangsa.

    “Empat buah rumah yang diserbu itu dijadikan tempat untuk membungkus semula dadah kepada seberat satu kilogram bagi setiap bungkusan sebelum ia diedar,” katanya.

    Kata Razarudin, siasatan lanjut mendapati lima suspek termasuk pasangan suami isteri yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

    Malah, ujian air kencing terhadap enam suspek termasuk pasangan itu juga didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

    Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Pejalan kaki, penunggang motosikal maut nahas jalan raya

    Pejalan kaki, penunggang motosikal maut nahas jalan raya

    SEORANG pejalan kaki dan penunggang motosikal terbunuh dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta, motosikal dan pejalan kaki di Solaria Residences, Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas, Pulau Pinang malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, pejalan kaki, Suhaila Zainol Abidin, 45, dan penunggang motosikal, Faizal Abu Bakar, 33, dilaporkan maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 11.26 malam dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

    motosikal maut
    Para petugas Kementerian Kesihatan memberi pertolongan cemas kepada salah seorang mangsa.

    Sebaik sahaja tiba di lokasi jelasnya, pihaknya mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Honda Wave serta dua pejalan kaki.

    Tambahnya, pihaknya turut mendapati dua lagi mangsa iaitu pemandu kereta lelaki berusia 25 tahun dan pejalan kaki wanita yang tiada maklumat umur cedera parah.

    “Pemandu kereta yang tidak tersepit telah dikeluarkan oleh orang awam dan seorang pejalan kaki telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya kepada pemberita hari ini.

    Jurucakap itu menambah, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    Anggota-anggota bomba melakukan operasi menyelamat dan membersihkan lokasi kejadian.

    “Operasi menyelamat dan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian telah selesai sebelum operasi ditamatkan pada pukul 1.38 pagi,” katanya.

  • Buka sebagai restoran, tutup sebagai pusat hiburan

    Buka sebagai restoran, tutup sebagai pusat hiburan

    BERSELINDUNG di sebalik operasi restoran namun menjalankan aktiviti seperti pusat hiburan termasuk menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO).

    Itu modus operandi sebuah premis di Georgetown, Pulau Pinang yang diserbu pihak berkuasa kira-kira pukul 11 malam semalam.

    Akibatnya, seramai 39 pengunjung warga tempatan dikompaun manakala penjaga premis di tangkap atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit sah selain turut dikenakan tindakan kompaun.

    Turut ditahan ialah seramai 15 pelanggan warga asing serta empat GRO warga asing yang mengunjungi pusat hiburan berkenaan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, premis itu dikesan menggunakan lesen restoran untuk menjalankan aktiviti hiburan.

    Katanya, ketika serbuan dilakukan premis tersebut sedang memainkan muzik dengan kuat dan tiada sebarang penjarakan sosial semasa sedang beroperasi.

    “Premis berkenaan menyalahgunakan lesen restoran dengan menjalankan perniagaan makanan atau restoran pada awal operasi.

    “Kemudian aktiviti premis itu ditukar seperti pusat hiburan dua jam sebelum premis ditutup pada pukul  12 tengah malam,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

    Menurutnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut dan akan disiasat di bawah Seksyen 269 kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(C)  Akta Imigresen 1959/63.

  • Seorang remaja lemas mandi di air terjun

    Seorang remaja lemas mandi di air terjun

    KESERONOKAN lima remaja lelaki mandi di Air Terjun Ulu Yam, Hulu Selangor, hari ini bertukar tragedi apabila seorang daripadanya lemas.

    Kejadian tersebut dilaporkan pada pukul 3.45 petang sebelum tujuh anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dihantar ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    Operasi berkenaan turut disertai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafiz Khalil, 17, dan mayatnya ditemui pasukan penyelamat pada pukul 4.42 petang.

    “Berdasarkan maklumat, lima remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun mandi di tempat kejadian sebelum seorang daripadanya dikatakan tenggelam sebelum dipercayai lemas.

    “Mangsa ditemui tidak lama selepas itu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Hafisham berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Remaja dikhuatiri lemas semasa memancing udang

    Remaja dikhuatiri lemas semasa memancing udang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HASRAT seorang remaja lelaki memancing udang bersama-sama bapanya tidak kesampaian apabila terjatuh dalam sungai berhampiran Pasar Awam Pekan Benut, Pontian hari ini.

    Mangsa, Mohd. Akmal Jamaludin, 17, dikatakan tiba-tiba mempunyai masalah kesihatan semasa memancing di atas bot sebelum cuba dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jail berkata, semasa dalam perjalanan untuk ke hospital mangsa terlanggar tunggul dan tercampak ke sungai tersebut.

    Tujuh anggota dari BBP Benut dan tiga anggota dari Fire Post Benut dikejarkan ke tempat kejadian, masih dijalankan sehingga kini

    “Apabila bapa mangsa ingin menyelamatkan mangsa, mangsa telah tenggelam dan hilang daripada pandangan.

    “Seramai tujuh anggota dari BBP Benut dan dan tiga anggota dari Fire Post Benut dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Lelaki jatuh parit semasa tangkap ikan ditemukan lemas

    Lelaki jatuh parit semasa tangkap ikan ditemukan lemas

    SEORANG lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam parit berhampiran sungai di Taman Alor Rela, Langgar, Alor Setar, ketika menangkap ikan semalam ditemui lemas hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, Mayat Mohd. Nazri Musa, 51, ditemui terapung pukul 7.07 pagi pada jarak 17 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pukul 7.57 pagi untuk tindakan lanjut.

    “Pusat Kawalan Bomba (PKB) Alor Rela ditutup dan operasi tamat sepenuhnya jam 8 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, sebelum itu anggota bomba melakukan operasi pencarian di permukaan sungai serta pemantauan dijalankan di sekitar lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.28 petang.

    Bagaimanapun katanya, pihaknya terpaksa menangguhkan operasi pencarian atas faktor keselamatan berikutan keadaan arus sungai yang deras dan hujan lebat pada pukul 9 malam tadi dan menyambung operasi pada hari ini.

  • Warga emas maut digilis lori, dilanggar lari

    Warga emas maut digilis lori, dilanggar lari

    SEORANG warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya digilis lori selepas terlibat kemalangan di Kilometer 35.5 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, Kuala Langat, semalam.

    Semasa kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, warga emas lelaki berusia 70 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha Y10SS2 dalam perjalanan dari arah Banting menghala ke rumahnya di Kelanang.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata, semasa tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar pembahagi jalan segi tiga selekoh (arah Sungai Lang) lalu jatuh di lorong sebelah kiri Jalan Banting menghala ke Morib.

    “Mangsa kemudian digilis di bahagian kepala oleh lori. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Menurut saksi yang melihat kemalangan itu, mangsa melanggar pembahagi jalan yang berada di kiri jalan sebelum terjatuh di permukaan jalan di lorong kiri kemudian digilis lori berkenaan.

    “Saksi bagaimanapun tidak sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan terbabit kerana selepas kejadian ia tidak berhenti dan hanya meneruskan perjalanan. Ini merupakan kemalangan langgar lari,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Ahmad Ridhwan berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Banting untuk tujuan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini selepas mendapat keputusan Ujian PCR Covid-19.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian (017-3012621 atau 03-31872222).

  • Tidak serik, ‘Minah Saleh’ degil, buat hal lagi

    Tidak serik, ‘Minah Saleh’ degil, buat hal lagi

    TINDAKAN seorang ‘minah saleh’ yang baru-baru ini tular menimbulkan kekecohan cuba memasuki sebuah butik di Suria KLCC tanpa memakai pelitup muka sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila mengulangi insiden sama.

    Insiden itu kali ini berjaya dirakam seorang pengguna Twitter dan video yang berdurasi 20 saat itu menunjukkan pertengkaran antara wanita warga asing berkenaan dengan pihak pengawal apabila cuba memasuki pusat beli-belah Bangsar Shopping Centre (BSC) tanpa memakai pelitup muka.

    Tindakan wanita berkenaan yang dilihat mengulangi perkara sama mengundang kecaman netizen malah ada yang meminta agar dia kembali pulang ke negara asalnya.

    Sebelum ini, tindakan wanita warga asing itu turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut tidak bersetuju dengan tindakan wanita terbabit.

    Mengambil pepatah Inggeris, ‘Bila di Rome, lakukan seperti orang Roman’, Khairy meminta setiap individu untuk sentiasa mengenakan pelitup muka tanpa mengira perbezaan peraturan di tempat atau negara lain.

    Dalam pada itu, sebahagian besar warganet memuji tindakan tegas pasukan pengawal berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

    Sebelum ini, wanita warga asing itu mendakwa individu yang memakai pelitup muka sebagai komunis selain meminta keistimewaan sebagai individu yang berkulit putih.

  • Bayi gagal diselamatkan, rentung dalam kebakaran

    Bayi gagal diselamatkan, rentung dalam kebakaran

    SEORANG bayi lelaki rentung dalam kebakaran di rumah mereka Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan, Sandakan, malam tadi.

    Bayi berkenaan yang dikenali seabgai Adam berusia kira-kira satu tahun tidak dapat diselamatkan dalam kejadian pada pukul 11.05 malam.

    Difahamkan, rumah yang disewa itu dihuni kira-kira 20 penghuni termasuk keluarga bayi berkenaan.

    Ketika kejadian, ibu bapa bayi berkenaan tidak berada rumah dan mangsa dikatakan dijaga oleh adik-beradiknya yang lain.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 11.09 malam.

    Menurutnya, sejurus itu 18 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian menggunakan dua jentera penyelamat.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak di tingkat tiga bangunan enam tingkat berkenaan.

    “Pada pukul 12.24 tengah malam, api berjaya dikawal dan pemeriksaan lanjut menemui bayi rentung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jimmy berkata, mayat bayi itu kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut.

    Tambahnya, punca kejadian serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

  • Wanita antara 9 ditahan berhubung kejadian culik lelaki Myanmar

    Wanita antara 9 ditahan berhubung kejadian culik lelaki Myanmar

    SEORANG wanita antara sembilan individu yang ditahan polis Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes seorang lelaki warga Myanmar diculik di hadapan sebuah kilang di Batu Kawan, Isnin lalu.

    Selain wanita warga tempatan itu, turut ditahan seorang lelaki tempatan serta tujuh lelaki Myanmar berusia antara 21 hingga 48 tahun.

    Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di negeri itu serta Kedah sejak Isnin lalu sehingga semalam.

    Ujarnya, serbuan itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan melibatkan pekerjanya iaitu lelaki Myanmar berusia 26 tahun yang dilarikan dua lelaki menggunakan sebuah kereta Perodua Viva di hadapan kilang pukul 10.43 malam, Isnin lalu.

    “Susulan laporan itu, kita menjalankan siasatan dan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah rumah di Kampung Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, dalam serbuan itu, polis turut merampas kereta Perodua Viva dan wang tunai sebanyak RM3,000 dipercayai dibayar oleh keluarga mangsa kepada kumpulan berkenaan bagi membebaskan lelaki tersebut.

    Ujarnya, tujuh lelaki warga Myanmar yang ditahan didapati mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.

    “Kesemua mereka ditahan direman sehingga 31 Oktober ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 3 Akta Culik 1961,” katanya.