BERSELINDUNG di sebalik operasi restoran namun menjalankan aktiviti seperti pusat hiburan termasuk menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO).

Itu modus operandi sebuah premis di Georgetown, Pulau Pinang yang diserbu pihak berkuasa kira-kira pukul 11 malam semalam.

Akibatnya, seramai 39 pengunjung warga tempatan dikompaun manakala penjaga premis di tangkap atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit sah selain turut dikenakan tindakan kompaun.

Turut ditahan ialah seramai 15 pelanggan warga asing serta empat GRO warga asing yang mengunjungi pusat hiburan berkenaan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, premis itu dikesan menggunakan lesen restoran untuk menjalankan aktiviti hiburan.

Katanya, ketika serbuan dilakukan premis tersebut sedang memainkan muzik dengan kuat dan tiada sebarang penjarakan sosial semasa sedang beroperasi.

“Premis berkenaan menyalahgunakan lesen restoran dengan menjalankan perniagaan makanan atau restoran pada awal operasi.

“Kemudian aktiviti premis itu ditukar seperti pusat hiburan dua jam sebelum premis ditutup pada pukul  12 tengah malam,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Menurutnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut dan akan disiasat di bawah Seksyen 269 kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(C)  Akta Imigresen 1959/63.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here