SEORANG wanita antara sembilan individu yang ditahan polis Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes seorang lelaki warga Myanmar diculik di hadapan sebuah kilang di Batu Kawan, Isnin lalu.

Selain wanita warga tempatan itu, turut ditahan seorang lelaki tempatan serta tujuh lelaki Myanmar berusia antara 21 hingga 48 tahun.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di negeri itu serta Kedah sejak Isnin lalu sehingga semalam.

Ujarnya, serbuan itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan melibatkan pekerjanya iaitu lelaki Myanmar berusia 26 tahun yang dilarikan dua lelaki menggunakan sebuah kereta Perodua Viva di hadapan kilang pukul 10.43 malam, Isnin lalu.

“Susulan laporan itu, kita menjalankan siasatan dan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah rumah di Kampung Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, dalam serbuan itu, polis turut merampas kereta Perodua Viva dan wang tunai sebanyak RM3,000 dipercayai dibayar oleh keluarga mangsa kepada kumpulan berkenaan bagi membebaskan lelaki tersebut.

Ujarnya, tujuh lelaki warga Myanmar yang ditahan didapati mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.

“Kesemua mereka ditahan direman sehingga 31 Oktober ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 3 Akta Culik 1961,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here