Category: Jenayah

  • Polis tahan dua penyamun menyamar jadi polis

    Polis tahan dua penyamun menyamar jadi polis

    POLIS menahan dua lelaki pada Jumaat lepas dan semalam yang dipercayai terlibat dalam tujuh kes samun dengan menyamar sebagai anggota polis di Tanah Merah.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Zainuddin Md Yusuf berkata, kedua-duanya yang berumur 22 dan 38 tahun ditahan pada 7.15 malam di Taman Kota Harmoni dan 5.30 petang di sebuah bengkel di Jalan Wan Ahmad.

    “Selain penahanan lelaki berumur 22 tahun di Taman Kota Harmoni itu, polis turut menahan seorang lelaki berumur 38 tahun bersama-samanya namun hasil soal siasat, lelaki itu tidak terlibat samun dan mengaku hanya menemani untuk menjual dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zainuddin berkata, penahanan dibuat susulan pihaknya menerima aduan berkaitan samun oleh seorang pengadu yang dipercayai melibatkan kedua-dua suspek di tepi Jalan Lawang, Kampung Batu Jong, Batu Gajah, di sini pada 6.15 petang, Khamis lepas.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Saga BLM mengaku mereka anggota polis dan menahan pengadu yang menunggang motosikal supaya menyerahkan kesemua barang untuk diperiksa kerana disyaki pengedar dadah.

    “Pengadu yang diugut akan ditahan sekiranya tidak menyerahkan barang-barang miliknya terpaksa menyerahkan barang itu yang merangkumi beg silang, dompet duit serta dua telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,350 dan kemudian datang ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.

    Zainuddin berkata, hasil penahanan kedua-dua suspek, polis merampas beberapa barangan termasuk kereta Proton Saga itu, 4,000 biji pil kuda, lima telefon bimbit pelbagai jenama, satu beg silang, dua topeng muka serta wang tunai berjumlah RM1,752.

    Beliau berkata, siasatan terhadap kedua-dua lelaki itu, mereka mengaku terlibat dalam tujuh kes samun membabitkan empat kes terhadap warga asing di rumah kongsi, dua kes ke atas penunggang motosikal dan satu kes membabitkan kedai runcit.

    Katanya, hasil ujian saringan mendapati kedua-duanya positif terhadap dadah dan sedang direman hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Anggota sindiket pelaburan cuba sogok polis RM200,000

    Anggota sindiket pelaburan cuba sogok polis RM200,000

    POLIS menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai, di Nilai awal pagi tadi kerana disyaki cuba menyogok anggota polis sebanyak RM200,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap lima rakannya yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pelaburan tidak wujud.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan pada 1.40 pagi, kira-kira empat jam selepas penahanan rakan-rakannya yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita, berumur dalam lingkungan 21 hingga 24 tahun.

    Menurutnya, kelima-lima individu berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di bandar itu dan disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud menerusi laman Facebook sejak enam bulan lepas.

    “Turut dirampas ialah 15 unit telefon bimbit, dua komputer riba dan wang tunai berjumlah RM2,473, manakala RM200,000 serta dua telefon bimbit pula dirampas daripada lelaki yang cuba menyogok polis itu,” katanya pada sidang media di Nilai, hari ini.

    Dalam pada itu, Mohamad berkata ,modus operandi sindiket itu ialah dengan menyasarkan rakyat tempatan melalui promosi skim pelaburan di Facebook dan seterusnya berhubung dengan mangsa hanya menerusi aplikasi WhatsApp.

    Beliau berkata, mereka juga dipercayai menggunakan pelbagai akaun bank dan nama skim pelaburan ditukar setiap tiga bulan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    Menurut Mohamad, menerusi penahanan itu pihaknya dapat menyelesaikan 11 kes berkaitan sindiket itu, selain akan terus mengesan saki-baki individu yang terlibat.

    Katanya, kesemua suspek direman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Justeru, Mohamad menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila berurusan secara dalam talian dan tidak mendedahkan maklumat peribadi serta perbankan.- BERNAMA

  • Tiga serbuan polis temukan dadah RM1.1 juta

    Tiga serbuan polis temukan dadah RM1.1 juta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA sindiket dadah yang aktif melakukan kegiatan penyeludupan dan pengedaran di Johor tumpas setelah polis melancarkan tiga serbuan berasingan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru pada Selasa dan Rabu minggu lepas.

    Dalam tiga serbuan berasingan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, pasangan suami isteri antara lima dalang sindiket yang ditahan bersama kira-kira 35 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah berjumlah lebih RM1.1 juta.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki Indonesia berusia 39 dan 49 tahun dalam sebuah kenderaan kira-kira 3 petang berhampiran kedai makan di Kota Tinggi, Selasa lalu

    Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan jenis Honda CRV menemukan 14.5kg ganja bernilai RM36,392 yang berada dalam bonet kenderaan tersebut.

    “Modus operandi sindiket dadah ini adalah dengan menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak awal Julai lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Ayob Khan berkata, hasil saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

    Malah, warga Indonesia terbabit pula tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan disyaki sudah berada di negara ini secara haram sejak lima tahun lalu sebelum kedua-dua suspek direman selama seminggu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Dalam operasi berasingan, kita telah melancarkan dua serbuan dalam operasi khas bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang di sekitar Johor Bahru, Rabu lalu. Pada serbuan pertama, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun telah ditangkap bersama sejumlah dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin.

    “Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Susulan itu, polis telah membuat tangkapan terhadap pasangan suami isteri berusia 53 dan 59 tahun,” katanya

    Menurut Ayob Khan, hasil saringan awal mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin dan semakan rekod mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

    “Modus operandi sindiket dadah yang beroperasi sejak Ogos lalu itu pula adalah dengan menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal yang dijadikan stor pembungkusan dadah untuk aktiviti ‘private party’ dan pusat hiburan di sekitar Johor Bahru.

    “Hasil tangkapan itu, polis merampas 21.18kg serbuk ekstasi, 78.6 gram (g) ketamin, 1.8g syabu, 90 pil ekstasi dan 170 pil eramin 5 selain merampas sebuah kereta mewah jenama BMW dan merampas wang tunai RM3,495,” ujarnya.

    Ketiga-tiga suspek terbabit turut direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini.

    Ujar beliau, Dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi itu boleh digunakan oleh seramai 85,838 orang penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

  • Kastam gagalkan cubaan seludup minuman keras lebih RM20 juta

    Kastam gagalkan cubaan seludup minuman keras lebih RM20 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor merampas 627,510 liter minuman keras bernilai lebih RM20 juta di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang dalam beberapa siri rampasan dalam dua bulan ini.

    Rampasan minuman keras melibatkan arak, wain dan bir itu dirampas menerusi operasi pada 21 dan 27 Septermber serta 8 Novermber lalu.

    Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Malaysia, Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata, jumlah nilai rampasan tersebut termasuk duti dan cukai.

    “Kes pertama yang berlaku pada 21 September lalu membabitkan serbuan yang dibuat oleh pasukan dari Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) ke atas sebuah gudang yang disyaki.

    “Hasil pemeriksaan ke atas semua gudang berkenaan menemukan pelbagai jenis minuman keras dipercayai belum lulus kastam dengan nilai rampasan dianggarkan RM18.5 juta membabitkan kuantiti rampasan dianggarkan sebanyak 494,373 liter termasuk jumlah duti dan cukai.

    “Kes kedua pada 27 September lalu melibatkan serbuan ke sebuah gudang yang disyaki dan hasil semakan rekod pengimportan mendapati pihak syarikat mengikrar enam kontena bermuatan minuman keras membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM2.11 juta termasuk duti serta cukai.

    “Seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah, Pelabuhan Kelang, hari ini.

    Abdul Wabahi berkata, kes ketiga pada 8 November lalu pula melibatkan serbuan menahan tiga kontena apabila pihak pengimport menggunakan Borang Zon Bebas 1 (ZB1) dengan mengemukakan permit import yang tidak sepadan dengan kelulusan semasa pengikraran.

    “Hasil pemeriksaan ke atas semua kontena berkenaan menemukan pelbagai jenis minuman keras dipercayai belum lulus kastam dengan nilai dagangan dianggarkan sebanyak RM1.6 juta termasuk duit dan cukai,” katanya.

    Dalam pada itu, Abdul Wahabi berkata, kesalahan bagi kes bertarikh 21 September dan 8 November sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

    Ujarnya, jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar; atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais di bawah Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976, jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar; atau dipenjarakan tidak kurang dari enam (6) bulan serta tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi kes bertarikh 27 September pula disiasat di bawah Seksyen 5(1) Akta Zon Bebas 1990,” katanya.

  • Rokok seludup RM2.85 juta dirampas di rumah, belakang lori rosak

    Rokok seludup RM2.85 juta dirampas di rumah, belakang lori rosak

    SEORANG lelaki ditahan dan 21,210 karton rokok seludup bernilai RM2.85 juta dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Changkat Jering, Taiping, semalam.

    Unit risikan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kampung Acheh merampas melakukan serbuan pukul 6 petang itu hasil maklumat risikan Op Kontraban.

    Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu disyaki menyimpan rokok putih dan kretek pelbagai jenis tanpa cukai kastam.

    “Hasil pemeriksaan di dalam rumah dan stor menemukan 6,550 karton rokok putih serta 2,710 kartok rokok kretek yang dianggarkan bernilai RM1.25 juta.

    “Susulan daripada penggeledahan itu, PPM telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori milik suspek yang dalam keadaan rosak di belakang rumah tersebut.

    “Polis kemudiannya menjumpai 7,800 karton rokok putih dan 4,150 karton rokok kretek bernilai RM1.59 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, kesemua bekalan rokok itu dipercayai diperoleh dari Pulau Pinang untuk dipasarkan di sekitar daerah Taiping.

    “Rokok berkenaan dirampas dan suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk tujuan siasatan lanjut.

    “Suspek direman selama lima hari untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

    Shamsol berkata, PPM akan terus memerangi jenayah penyeludupan terutama pengedaran atau penjualan rokok tanpa cukai Kastam dari masa ke masa.

    “Dengan penangkapan dan rampasan ke atas kes ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyeludupan, pengedaran serta penjualan rokok seludup yang tiada cukai Kastam,” katanya.

  • Dakwaan ADUN Selangor dera bekas isteri disiasat

    Dakwaan ADUN Selangor dera bekas isteri disiasat

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor mendera bekas isterinya.

    “Ya, saya sahkan kita ada terima laporan kes itu yang akan disiasat mengikut seksyen berkenaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” ujar Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh kepada BH, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan bekas isteri ahli politik daripada Parti Amanah Negara (Amanah) itu membuat laporan polis dan mendakwa didera ADUN berkenaan pada 21 Ogos lalu.

    Difahamkan, pasangan itu memfailkan kes perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Langat baru-baru ini.

    Wanita mangsa dera itu dipercayai isteri ketiga ADUN itu yang sebelum itu dikatakan sudah menceraikan isteri pertama dan kedua ketika perkahwinan mereka.

    Dia mendakwa bekas suaminya itu mahu berkahwin semula dengan bekas isteri kedua namun tidak mendapat persetujuannya menyebabkan perkahwinan mereka mula goyah.

  • Maqis Selangor tahan kontena susu kambing dari New Zealand

    Maqis Selangor tahan kontena susu kambing dari New Zealand

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menahan sebuah kontena membawa susu kambing dari New Zealand bernilai RM752,302.64 di Pelabuhan Klang Barat, Klang, Shah Alam, Khamis lepas.

    Kontena yang membawa susu kambing seberat 15,057.4 kilogram ditahan susulan hasil pemeriksaan rutin dijalankan kira-kira jam 10.30 pagi mendapati tidak mempunyai permit import sah dikeluarkan oleh Maqis.

    “Kesemua barang dagangan bernilai RM752,302.64 itu ditahan untuk tindakan lanjut,” menurut Maqis dalam kenyataan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Pintu tutup tapi ada pesta dalam premis hiburan

    Pintu tutup tapi ada pesta dalam premis hiburan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK sebuah pusat hiburan di Taman Molek, Johor Bahru cuba memperdaya pihak berkuasa dengan menutup pintu depan dan belakang premis tidak berjaya selepas dapat dikesan dan diserbu malam tadi.

    Serbuan dilakukan pada pukul 10.30 malam dan selesai pukul 12.30 tengah malam melibatkan dua pegawai dan 10 anggota dari Balai Polis Seri Alam selepas melakukan intipan dan siasatan.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pemerhatian polis mendapati hanya pelanggan sahaja dibenarkan masuk dengan kenderaan mereka diletak di belakang bangunan.

    “Taktik ini untuk menunjukkan bahawa tidak ada aktiviti hiburan di premis tersebut.

    “Kita periksa di bahagian belakang dan ketuk pintu untuk dibuka tetapi diabaikan dan kita dengar bunyi yang sangat kuat daripada dalam dan ada aktiviti hiburan yang sedang berlangsung.

    “Apabila pihak polis berjaya masuk ke dalam kita mendapati seramai 55 individu berada di dalam premis ini yang mana satu penjaga,empat pekerja dan selebihnya pelanggan membabitkan 32 lelaki dan 18 wanita,” katanya ketika ditemui selepas serbuan itu.

    Serbuan dilakukan pada pukul 10.30 malam dan selesai pukul 12.30 tengah malam melibatkan dua pegawai dan 10 anggota polis

    Jelasnya, seorang pelanggan merupakan individu yang dikehendaki dalam kes penipuan di Bukit Martajam pada tahun lalu berumur 30-an.

    Sohaimi berkata, sebanyak RM296,000 kompaun dikeluarkan polis dan seorang pelanggan juga gagal menunjukkan imbasan kod MySejahtera.

    “Tindakan yang diambil adalah kompaun sebanyak RM25,000 ke atas penjaga premis,manakala pelanggan dan pekerja RM5,000 seorang dan individu yang gagal mengimbas MySejahtera pula tambah lagi RM1,500,” katanya.

    Kesemua yang ditahan merupakan lelaki dan perempuan warga tempatan dibawa ke Balai Polis Johor Jaya untuk tindakan selanjutnya.

    “Pihak polis tiada sebarang kompromi kepada mana-mana individu atau pengusaha pusat hiburan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP). Jika kita lihat sekarang ini pusat hiburan memang tidak dibenarkan beroperasi.

    Tambahnya, kebanyakkan premis pusat hiburan yang ingkar mengambil kesempatan menutup kesemua pintu masuk dan merahsiakan daripada orang lain dan hanya mereka tertentu dibenarkan masuk.

  • Pakar undang-undang, forensik anggotai jawatankuasa khas siasat kematian Adib

    Pakar undang-undang, forensik anggotai jawatankuasa khas siasat kematian Adib

    JAWATANKUASA Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat secara teliti kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim kini dianggotai oleh pakar undang-undang, patologi forensik dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut mengumumkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Kamardin Hashim dan Perunding Kanan Patologi Forensik Penang Medical College Datuk Dr Bhupinder Singh sebagai anggota Jawatankuasa Khas itu.

    Ia juga dianggotai Profesor Ulung Fakulti Perubatan Universiti Malaya Datuk Prof Dr Looi Lai Meng; pakar kriminologi Datuk Dr P. Sundramoorthy; Ketua Penolong Pengarah (D10) Forensik PDRM SAC Azari Abd Rahman serta Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan PDRM SAC Mohammad Abd Hamid.

    “Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Okt lepas bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas tersebut bagi memastikan pembelaan sewajarnya dibuat terhadap kes kematian Muhammad Adib,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Pada 9 Okt, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebuah Jawatankuasa Khas akan diwujudkan bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya berhubung kes kematian Muhammad Adib.

    Ismail Sabri berkata Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Wan Junaidi itu dianggotai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

    Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urus setia bersama Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi Jawatankuasa Khas itu.

    “Memorandum Jemaah Menteri berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas ini termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

    “Jawatankuasa ini akan mengemukakan dapatan dan syor-syor kepada mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Okt lepas,” katanya.

    Muhammad Adib, cedera parah semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia pada 17 Dis 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari. 

    Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul sehingga cedera parah, malah jentera bomba turut dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.

    Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019. Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan.

    Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih daripada dua individu tidak dikenali. – Bernama

  • Simpan bekalan dadah dalam bilik hotel sebelum seludup guna jalan laut

    Simpan bekalan dadah dalam bilik hotel sebelum seludup guna jalan laut

    TINDAKAN berani satu sindiket dadah antarabangsa yang menyimpan bekalan dadah di dalam sebuah bilik hotel di Teluk Bahang, Pulau Pinang untuk diseludup menggunakan jalan laut tidak berhasil apabila berjaya dibongkar polis Pulau Pinang.

    Dalam serbuan di hotel yang terletak di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang kira-kira pukul 9.15 malam Khamis lalu, tiga lelaki tempatan berusia 34 hingga 41 tahun yang dipercayai ahli sindiket dadah antarabangsa berjaya ditahan.

    Turut dirampas bersama suspek adalah 19.2 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM690,635 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran menggunakan laluan laut.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, dadah jenis syabu dalam bentuk hablur kristal itu ditemukan di dalam sebanyak 18 bungkusan plastik berwarna hijau keemasan.

    Tambahnya, polis turut merampas dua pucuk pistol bersama satu kelopak mengandungi 16 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm) dan satu kelopak dengan tiga butir peluru bersaiz 9mm serta lima buah telefon bimbit pelbagai jenis daripada suspek.

    “Siasatan awal mendapati suspek menjadikan bilik hotel tersebut sebagai transit sementara sebelum menggunakan jalan laut untuk menghantar dadah ke negara jiran.

    “Mereka dipercayai akan menggunakan bot ke perairan antarabangsa untuk menghantar bekalan syabu kepada ahli sindiket yang menunggu di situ.

    “Sehubungan itu, kita kini sedang mengesan beberapa lagi ahli termasuk dalang utama sindiket tersebut yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah berkenaan sejak beberapa bulan lepas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Rahimi, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada dua pucuk pistol dan peluru yang dirampas bersama suspek digunakan untuk kegiatan jenayah atau bagi mempertahankan diri ketika mengedarkan dadah.

    Tambahnya, ujian air kencing pula mendapati ketiga-tiga suspek yang bekerja sendiri itu positif dadah dan mempunyai empat hingga 10 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

    “Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.