Category: Jenayah

  • Ancaman gajah semakin serius, jejas pendapatan 200 peneroka Felda

    Ancaman gajah semakin serius, jejas pendapatan 200 peneroka Felda

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu, sejak empangan Seluyut di Kota Tinggi dibuka serta dijadikan empangan dan takungan air mengakibatkan habitat gajah di kawasan itu kehilangan tempat tingal.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari memberitahu, sejak berpuluh tahun kawasan di empangan Seluyut itu menjadi habitat gajah dan kini mamalia tersebut keluar mencari makan di kawasan berdekatan.

    “Disebabkan itu, kawasan ladang kelapa sawit di sekeliling empangan Seluyut iaitu di Bukit Waha, Simpang Waha, Gugusan Lok Heng, Air Tawar 2 dan 3 serta Pasak menjadi sasaran gajah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi perbahasan Persidangan Keempat DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

    Katanya, keadaan tersebut mengakibatkan seramai 200 peneroka Felda di sekitar Kota Tinggi hilang pendapatan berikutan ancaman gajah liar sejak lebih 10 tahun lalu.

    Jelas beliau, ini kerana mamalia tersebut telah masuk dan memusnahkan tanaman kelapa sawit mereka.

    Menurutnya, isu ancaman gajah liar merupakan sesuatu yang serius memandangkan keluasan ladang kelapa sawit yang dirosakkan sudah mencecah ratusan hektar selain telah meragut empat nyawa.

    Pada masa sama katanya, kenaikan harga sawit yang kini berada pada paras tinggi mencecah RM1,500 setiap tan tidak dapat dinikmati golongan peneroka akibat kelapa sawit di kawasan ladang mereka telah dirosakkan gajah liar.

    “Saya membawa keluhan dan rintihan hati penduduk dan peneroka Kota Tinggi yang sudah tidak dapat bertahan dengan ancaman gajah yang memusnahkan sumber pendapatan mereka.

    “Jika peneroka lain mampu dapat pendapatan sehingga RM10,000 sebulan berikutan harga sawit yang tinggi, namun kira-kira 200 peneroka di beberapa kawasan di Kota Tinggi hilang pendapatan berikutan tanaman mereka musnah akibat gajah malah kini terpaksa berhutang,” katanya.

    Justeru beliau berharap isu ancaman gajah liar yang dibangkitkan mendapat perhatian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan mengambil langkah sewajarnya.

  • Selepas anak rentung dalam kereta, bapa pula susuli ‘pemergian’ anak

    Selepas anak rentung dalam kereta, bapa pula susuli ‘pemergian’ anak

    TIDAK sampai 12 jam Mohd. Azizi Jaafar, 37, ditemukan rentung selepas kereta dipandunya terbakar di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, Kuala Terengganu berhampiran Kampung Wakaf Beruas, semalam, bapanya pula mengikut dipanggil menghadap ilahi hari ini.

    Jaafar Abdullah, 76, menyusuli pemergian anaknya itu apabila menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu pada pukul 5.30 pagi tadi akibat asma.

    Sebelum itu, dalam kejadian semalam, Allahyarham Mohd. Azizi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik memandu Perodua Alza mengiringi bapanya yang dibawa menaiki ambulans untuk pulang ke rumah mereka.

    Allahyarham Jaafar sebelum itu dimasukkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu hampir dua minggu lalu kerana penyakit dialaminya.

    Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka, kenderaan dipandu Allahyarham Mohd. Azizi tiba-tiba terbakar.

    Mangsa yang menyedari keretanya terbakar segera memberhentikan kenderaannya di tepi jalan bagi menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap namun gagal.

    Pada masa sama, abangnya, Mohd. Jasmani, 50, yang menaiki ambulans bersama bapa mereka turut menyaksikan kejadian berkenaan.

    Sementara itu, Mohd. Jasmani, 50, berkata, hatinya luluh apabila hanya mampu melihat kereta adik terbakar tetapi gagal menyelamatkannya memandangkan api sangat marak.

    Bukan itu sahaja, Mohd Jasmani sekali lagi diuji apabila bapa mereka turut menghembuskan nafas terakhir hari ini.

  • Perairan laut Johor dijangka terus jadi tumpuan kegiatan jenayah – APMM

    Perairan laut Johor dijangka terus jadi tumpuan kegiatan jenayah – APMM

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjangkakan perairan Johor akan terus menjadi tumpuan kegiatan jenayah di laut terutama aktiviti rentas sempadan membabitkan kegiataan penyeludupan migran.

    Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata ini susulan pembukaan banyak sektor ekonomi ketika ini seperti perdagangan, perkapalan, pertanian dan perladangan yang cukup pesat berbanding negeri lain.

    “Situasi berkenaan membuka jalan kepada pihak tidak bertanggungjawab membawa masuk orang asing melalui jalan yang tidak sah.

    “Faktor geografi Johor yang terlalu dekat dengan negara jiran iaitu hanya satu jam jika melalui jalan laut dan menjadi pintu sempadan ke negara ini, juga antara penyebab negeri ini jadi tumpuan,” katanya.

    Operasi Redback ke-16 kali ini melibatkan seramai 59 pegawai dan anggota penguat kuasa Maritim Malaysia serta tiga pegawai ABF

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Operasi Redback ke-16 iaitu kerjasama antara APMM dan Australian Border Force (ABF)di Sungai Sarang Buaya, Muar, hari ini yang turut dihadiri wakil ABF Supt John Fleming.

    Justeru, Mohd Zubil berkata  pihaknya akan menggerakkan 45 aset laut sekurang-kurangnya beroperasi setiap hari untuk mengawal sempadan tidak termasuk pesawat udara bagi mengekang jenayah rentas sempadan daripada terus meningkat.

    Mengenai Operasi Redback 16, beliau berkata ia merupakan inisiatif kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui kawasan perairan sejak 2013.- Bernama

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang tahan bot bawa 7 penumpang tanpa lesen

    Maritim Malaysia Pulau Pinang tahan bot bawa 7 penumpang tanpa lesen

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot yang membawa penumpang tanpa lesen sah pada kedudukan 1.3 batu nautika timur Batu Maung semalam.

    Bot penumpang tanpa nombor pendaftaran itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia Pulau Pinang yang sedang melakukan Op Pertiwi kira-kira pukul 5.55 petang.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, ketika diperiksa bot dikendalikan tekong yang membawa tujuh penumpang warga tempatan berumur antara 38 hingga 56 tahun itu gagal mengemukakan lesen bot serta kebenaran membawa penumpang.

    Bot penumpang tanpa nombor pendaftaran itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia Pulau Pinang

    “Bot itu dan kesemua mereka kemudiannya diiring ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum tekong dan penumpang dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen bot yang sah.

    Sementara itu, beliau turut mengingatkan pemilik dan tekong bot supaya mematuhi undang-undang di laut manakala penumpang harus peka

    Bot dan kesemua mereka diiring ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum tekong dan penumpang dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang

    dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa.

    Jelasnya, ia bagi memastikan tahap keselamatan mereka lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan, orang ramai diminta segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Warga emas sesat lebih 13 jam dalam hutan ditemukan selamat

    Warga emas sesat lebih 13 jam dalam hutan ditemukan selamat

    MISTERI kehilangan seorang lelaki warga emas yang sesat lebih 13 jam ketika meninjau tanah di sebuah hutan berhampiran Sungai Bil, Tangjung Malim, terjawab apabila dia ditemukan selamat pukul 9.40 pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang berusia 60 tahun itu ditemukan selamat tanpa kecederaan oleh pasukan penyelamat sebelum dibawa keluar.

    “JBPM Perak memaklumkan gerakan mencari dan menyelamat dilakukan sebaik laporan mengenai kejadian itu diterima pukul 8.34 malam tadi.

    “Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim menerima maklumat berkenaan kehilangan mangsa daripada pihak polis.

    “Ketika kejadian, mangsa bersama-sama dua rakan telah masuk ke hutan atas urusan tinjauan tanah sebelum disedari hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, seramai 48 pegawai dan anggota daripada JBPM, Polis, Pasukan Bomba Sukarelas Slim Village, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi tersebut.

    “Dua kumpulan digerakkan untuk melakukan pencarian dengan kaedah ‘hasty search’ dan ‘follow the stream’.

    “Mangsa akhirnya ditemui oleh kumpulan pertama di ‘check point’ pertama iaitu dua kilometer dari Pos Kawalan Bomba,” katanya.

  • Lapan termasuk kanak-kanak ditahan kerana disyaki guna bom ikan

    Lapan termasuk kanak-kanak ditahan kerana disyaki guna bom ikan

    LAPAN lelaki tanpa dokumen perjalanan sah termasuk seorang kanak-kanak ditahan bersama peralatan bom ikan dalam Op Gelora Khas di perairan Pulau Billean, Jambongan, Sabah, semalam.

    Pasukan Polis Marin Sandakan (PPM) menahan kumpulan penangkap ikan itu pada jam 10.30 pagi itu dan semua suspek berusia antara lapan hingga 50 tahun.

    Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata pasukan PPM sedang menjalankan rondaan sebelum mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan.

    Katanya, sebaik mengesan dua bot nelayan berkenaan, pasukan operasi menghampiri mereka untuk pemeriksaan dan mendapati, semua individu gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

    Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemui beberapa peralatan untuk aktiviti pengeboman ikan bersama pelbagai hasil laut.

    “Semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Pangkalan Marin Sandakan kerana disyaki menjalankan aktiviti mengebom ikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, peralatan dirampas seperti detonator, botol kaca, mancis kayu dan hos dan pelbagai hasil laut.

    “Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

    “Nilai rampasan dianggarkan RM43,920 dan kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

  • Wang ‘terbang’ dari trak berperisai di lebuh raya

    Wang ‘terbang’ dari trak berperisai di lebuh raya

    KEADAAN satu lebuh raya di California, Amerika Syarikat (AS) menjadi huru-hara apabila pengguna jalan tersebut mengerumuni sebuah trak berperisai selepas sejumlah besar wang tunai jatuh dari kenderaan itu.

    Insiden di lebuh raya itu berlaku selepas pintu kenderaan terbabit terbuka menyebabkan wang berterbangan.

    kejadian tersebut berlaku di lebuh raya Interstate-5, berhampiran San Diego.

    Boleh dilihat pemandu kenderaan di kawasan terbabit sanggup berhenti dengan harapan dapat mengambil wang berkenaan, namun cubaan itu digagalkan polis yang bertindak tegas menahan dua individu.

    “Terdapat banyak bukti video orang mencuri wang tunai dari lebuh raya dan mengambilnya.

    “Wang pelbagai denominasi berjumlah ribuan dolar itu adalah milik sebuah bank dan mesti dikembalikan ke balai polis,” kata Peronda Lebuhraya California, Curtis Martin dalam satu sidang media.

    Video berkenaan tular dalam media sosial menunjukkan orang ramai berlari di lokasi, mengambil wang tunai dan juga melemparkan wang itu ke udara sebagai tanda meraikannya.

  • Mekanik maut dihempap kereta sedang dibaiki di bengkel

    Mekanik maut dihempap kereta sedang dibaiki di bengkel

    SEORANG mekanik ditemukan maut dalam keadaan dihempap sebuah kereta yang dipercayai sedang dibaikinya di sebuah bengkel di Kampung Bukit, Bayan Lepas, Pulau Pinang malam tadi.

    Mangsa, Muaz Mat Isa, 31, ditemukan dalam keadaan tersepit di bawah kereta jenis Proton Exora kira-kira pukul 11.45 malam.

    Mangsa ditemui oleh rakannya yang datang mencarinya di bengkel itu dan difahamkan ketika kejadian mangsa sedang bekerja bersendirian.

    Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Helmirizal Che Morad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 11.54 malam dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

    Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kereta menggunakan peralatan khas

    Tambahnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati seorang lelaki berada dalam keadaan terlentang di bawah kereta tersebut.

    “Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas dan mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 1 pagi dalam keadaan cedera pada bahagian muka dan badan.

    “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan difahamkan dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat. – SB

  • 54 individu diberkas leka berhibur di pusat hiburan

    54 individu diberkas leka berhibur di pusat hiburan

    KEGEMBIRAAN sekumpulan 49 pengunjung yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dr. Lim Chwee Leong, Georgetown, Pulau Pinang malam semalam terbantut selepas premis itu diserbu polis.

    Mereka yang terdiri daripada 35 pelanggan tempatan dan 14 wanita warga asing berusia antara 20 hingga 54 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam. 

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi itu polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis berkenaan bersama-sama tiga pekerja iaitu pasangan lelaki dan wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing. 

    Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati penjaga premis berkenaan melakukan  kesalahan menggaji serta melindungi warga asing. 

    “Lelaki tersebut dikenakan kompaun RM30,000 atas tiga kesalahan iaitu gagal menyediakan laluan keluar masuk, menjalankan aktiviti hiburan dan gagal memastikan pelanggan menjaga penjarakan fizikal. 

    “Selain itu, kesemua warga tempatan yang diperiksa juga dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang atas kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Menurut Soffian, saringan air kencing yang dilakukan  terhadap kesemua mereka didapati negatif daripada sebarang pengambilan dadah. 

    Ujar beliau, siasatan ke atas seorang pekerja bersama 14 wanita warga asing akan dilakukan di bawah Akta Imigresen dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP). 

    Selain itu katanya, kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998. 

    “Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya. 

    Tambah beliau, kesemua individu terbabit kini ditahan reman selama tiga hari hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut.

  • Inap desa jadi ‘port’ sindiket proses heroin

    Inap desa jadi ‘port’ sindiket proses heroin

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah inap desa di Kulim, Kedah sebagai makmal memproses dadah jenis heroin.

    Sindiket itu tumpas selepas seorang tokan dadah ‘berpengalaman’ berusia 54 tahun yang memiliki kepakaran memasak dadah jenis heroin ditahan dalam serbuan di Permatang Nibong, Bukit Mertajam pada Rabu lalu.

    Selain suspek warga tempatan itu yang aktif mengedar dadah sejak 1995, polis turut menahan isteri suspek berusia 30 tahun serta satu lagi pasangan suami isteri berusia 50 dan 40 tahun dipercayai terlibat dengan sindiket sama.

    Ketua Jabatan Siasaran Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kesemua mereka ditahan dalam lima serbuan di daerah Seberang Perai Tengah dan Timur Laut, Pulau Pinang dan di Kulim, Kedah pada Selasa dan Rabu lalu.

    Katanya, dalam operasi itu polis merampas dadah jenis heroin, ganja serta peralatan memasak dadah dianggarkan bernilai RM126,840 serta menyita sebuah kereta jenis Honda Civic.

    Jelas beliau, serbuan pertama dibuat Selasa lalu di sebuah rumah di Bukit Mertajam yang mana pasangan suami isteri berusia 50 dan 40 tahun ditahan.

    “Penahanan mereka membawa kepada serbuan kedua iaitu di dalam kereta Honda Civic yang di letakkan di rumah keluarga suspek wanita di Air Itam, Pulau Pinang.

    “Dalam serbuan itu, polis menjumpai lima ketulan dadah ganja seberat 5.02 kilogram (kg) bernilai RM12,550 serta dua paket lutsinar dadah heroin seberat 0.114 kg bernilai RM3,990,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Tambahnya, susulan penangkapan pasangan suami isteri itu, polis membuat serbuan di tepi jalan di Permatang Nibong pukul 8 pagi Rabu lalu yang mana tokan dadah serta isterinya berusia 30 tahun berjaya ditahan.

    Katanya, dalam serbuan itu polis merampas 13 bungkusan dadah jenis heroin seberat 5,245.9 gram yang dianggarkan bernilai RM70,300 di dalam kenderaan suspek selain membawa kepada pembongkaran makmal dadah di sebuah inap desa di Kulim, Kedah.

    “Di makmal dadah itu polis merampas satu ketulan mampat heroin base (375 gram); satu peket heroin seberat 60 gram; 12 kiloggram serbuk kafein, sebotol cecair klorofom dan pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya.

    Tambah beliau, polis percaya tokan dadah itu memperoleh bekalan dadah di Sungai Petani, Kedah sebelum memprosesnya di di makmal haram tersebut.

    “Kita mendapati tokan dadah ini kembali aktif sejak Jun lalu dan dia turut menurunkan ilmu memproses dadah yang dipelajari sejak puluhan tahun lalu kepada beberapa ‘anak muridnya’ dan kita sedang mengesan mereka yang menjadi ‘anak murid’ kepada suspek ini,” katanya.

    Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 November untuk membantu siasatan.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.