JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan melakukan sitaan terhadao 20 buah kereta mewah pelbagai jenama bernilai RM711,018 selepas kerana diimport tanpa cukai.
Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, semua kereta mewah berkenaan dirampas dalam serbuan di sebuah premis pada 11 September lalu.
“Premis itu turut dijadikan tempat penyimpanan kenderaan import terpakai yang belum dibayar cukai dan tanpa kelulusan kastam di Johor.
“Pemeriksaan mendapati terdapat 20 unit kereta mewah pelbagai jenama melibatkan duti dan cukai bernilai RM1,108,930,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohammad Hafiz berkata, modus operandi suspek ialah memindahkan kenderaan import berduti yang belum dibayar cukai tanpa kelulusan kastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Jelasnya, kenderaan tersebut dipercayai dipindahkan ke Johor dari Selangor yang kononnya bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan tetapi dipercayai untuk dijual di pasaran di Johor.
“Pemilik premis seorang lelaki tempatan telah dipanggil ke Pejabat Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan untuk membantu siasatan.
“Kes sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu memindahkan barang-barang berduti dari kawalan kastam tanpa kelulusan dan melanggar syarat-syarat Gudang Berlesen (PEKEMA) yang telah ditetapkan di bawah Perintah Tetap Kastam.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 138, Akta Kastam 1967 iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
POLIS memburu empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes menyamar sebagai anggota polis, menculik dan membunuh seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut pada 13 November lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek masih bebas manakala dua rakan mereka diberkas polis pada 14 November lalu pada jam 3.30 pagi di sebuah rumah di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur.
“Dua lelaki ini akan didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini selepas direman selama 10 hari.
“Empat lelaki yang dikehendaki ialah Davadas Anpankam (Deva), 41, beralamat di N0 4 Batu 15 ½ Templer Park, Rawang, Selangor; Xavier Peter (Beckam @ Bob), 42, beralamat di 02-12 Blok Selasih, Taman Tun Teja, Batu 6, Rawang, Selangor; Murugan Christnan (Romeo), 40, beralamat di No 717, Tingkat 6, Blok C, Taman Prima Selayang, Batu Cave, Selangor dan Panirselvam Subramaniam (Panir), 31, beralamat di 10-1-23 Jalan 2/1a, Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302/ 364/170 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan, polis menerima aduan daripada isteri mangsa berumur 38 tahun yang mengatakan suaminya diculik semasa berada di rumah.
Polis kemudian menerima panggilan memaklumkan mangsa sudah berada di Hospital Selayang, Selangor.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 pagi oleh Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Selayang.
TINDAKAN seorang pemuda mencuri burung murai membawa padah apabila dia dipukul dua beradik dengan tukul besi dalam kejadian di Kampung Banggol Petaling, Pasir Mas, semalam.
Mangsa, 37, patah jari, luka serta bengkak di kepala selain terdapat kesan lebam dan calar pada belakang badan dipukul dua beradik itu yang juga rakan sekampung.
kejadian itu kemudian dilaporkan kepada polis selepas bapa mangsa membuat laporan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, bapa mangsa didatangi seorang rakan anaknya yang memberitahu mangsa dipukul ketika berada di rumah.
Katanya, bapa mansa bergegas ke lokasi kejadian dan melihat anaknya berlumuran darah akibat dipukul.
“Dia dan beberapa jiran lain kemudian membawa mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas (HPM) untuk mendapatkan rawatan sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.
“Polis mengambil tindakan segera dengan menangkap dua beradik berusia 26 dan 41 tahun di rumah mereka sebaik laporan diterima,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mohd. Nasaruddin berkata, hasil saringan ujian air kencing terhadap dua suspek mendapati mereka negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, siasatan awal suspek mengaku memukul mangsa kerana mendakwa dia mencuri burung murai milik mereka.
PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah mengharapkan sokongan padu rakyat terhadap keputusan kerajaan negeri untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, sokongan itu perlu memandangkan terdapat pihak tertentu yang cuba mengheret isu tersebut ke mahkamah untuk mencabar keputusan tersebut.
“Semua pihak harus membantu usaha murni kerajaan negeri dalam mendidik masyarakat tentang bahaya dan implikasi terhadap tabiat berjudi.
“Kepada kerajaan negeri Kedah, teruskan usaha untuk menjadikan negeri ini sifar perjudian dengan penguatkuasaan lebih tegas kepada premis yang beroperasi secara berlesen, haram mahu pun yang beroperasi dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azrol Mansor
Beberapa pihak sebelum ini difahamkan telah menghantar permohonan kepada mahkamah untuk mencabar keputusan kerajaan negeri tersebut.
Malah Pengerusi Biro Undang-UNdang Kebangsaan, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan sebelum ini menyebut, sebanyak empat penduduk Kedah telah memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan langkah itu dengan alasan ia tidak munasabah serta melangkaui kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Ramkarpal, tindakan undang-undang itu difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 18 November lalu dengan plaintif diwakili firma guaman Messrs Karpal Singh & Co.
SERAMAI 129 pendatang tanpa izin ditahan di sebuah kilang mengeluarkan peralatan besi kerana disyaki tidak memiliki sebarang dokumen sah dan menyalahgunakan dokumen yang dikeluarkan oleh Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan pada 8 malam itu terdiri daripada 110 lelaki dan 19 wanita warga Indonesia, Myanmar, India serta Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun.
“Seramai 134 orang telah diperiksa dan 129 daripadanya ditahan kerana didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan ada juga yang menyalahgunakan dokumen yang dikeluarkan.
“Bagi mereka yang tiada dokumen, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan yang didapati menyalahgunakan dokumen pula disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam sidang media operasi penguatkuasaan di Balakong, malam Isnin.
Beliau juga berkata, program Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin, Tenaga Kerja yang tamat pada 31 Disember ini tidak akan dilanjutkan.
“Bagi majikan yang mendaftarkan pekerja mereka di dalam portal, walaupun PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara) belum dikeluarkan (dan) sedang diproses, tindakan penguatkuasaan tidak akan dikenakan.
“Saya minta semua majikan mengambil peluang program ini kerana ia akan berakhir pada hujung Disember ini,” katanya.
Khairul Dzaimee juga berkata, Jabatan Imigresen telah membuat persiapan rapi bagi memastikan program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL), yang dijadualkan bermula 29 November ini, berjalan lancar.
Beliau berkata, ini termasuk persiapan dari segi tenaga kerja seperti sistem Imigresen yang diaktifkan semula selepas ‘berehat’ kira-kira dua tahun akibat pandemik Covid-19.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad pada 18 Nov lepas berkata VTL melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura dibuka serentak dengan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. – Bernama
KELIBAT seorang lelaki yang dalam keadaan mencurigakan semasa polis melakukan rondaan di sebuah kebun di belakang sebuah rumah di Kampung Bechah Tendong, Pasir Mas, semalam, membongkar kepada penemuan 304 biji pil yaba.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada pukul 5.30 petang dan menemui suspek, 41, di kawasan itu.
“Semasa penemuan berkenaan, suspek menggenggam empat biji pil yaba di tangan kanannya dan pemeriksaan lanjut menemui 300 biji pil yaba di dalam plastik hijau yang diletakkan di celah pelepah kelapa di kawasan yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, keputusan ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai empat rekod lampau melibatkan dadah.
Suspek yagn tidak bekerja katanya, mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan memberitahu bekalan berkenaan diperoleh daripada seorang individu yang tinggal di sebuah kampung di Kota Bharu.
“Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti maklumat lanjut berkenaan individu berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM3,040 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama.
KEGIATAN sindiket penyeludupan dadah rentas negara yang menjadikan rumah inap desa di Melaka sebagai pusat transit tumpas selepas polis mencekup seorang ahli geng ‘Abang 888’, minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, suspek berusia 39 tahun itu dicekup dalam serbuan melibatkan dadah bernilai RM1.44 juta di sebuah rumah inap desa di Jalan Pantai Puteri kira-kira pukul 8 malam, pada 18 November lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri telah menemukan dadah jenis syabu seberat 40 kilogram yang disorokkan di dalam premis sewa tersebut.
“Hasil risikan, sepasukan anggota JSJN telah membuat serbuan dan menangkap seorang lelaki warga Indonesia dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah rentas negara dikenali geng Abang 888.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan 40 kilogram dadah jenis syabu dengan anggaran nilai RM1.44 juta yang dibungkus dalam plastik teh herba Cina disyaki untuk dipasarkan ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Berdasarkan soal siasat yang dijalankan, Abdul Majid berkata, suspek mendakwa telah berada di negara ini sejak tiga tahun lalu dan bekerja sebagai buruh.
“Aktiviti sindiket ini dipercayai telah aktif selama sebulan dan rumah inap desa itu telah disewa selama seminggu untuk dijadikan pusat transit.
“Bekalan ini akan diambil oleh transporter daripada negara jiran dan dipercayai diseludup masuk ke sana menggunakan laluan laut,” katanya.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 25 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, ujar Abdul Majid JSJN Melaka setakat ini berjaya menumpaskan kegiatan dadah berjumlah RM13.1 juta pada tahun ini, berbanding RM487,000 dalam tempoh sama, tahun lalu.
SELEPAS dihantui masalah air berwarna hitam yang berlarutan sejak 10 tahun lalu, penduduk Kampung Pasir Gudang Baru, di Pasir Gudang kini dihantui pula dengan kejadian tompokan berwarna putih yang penuh di permukaan Sungai Masai.
Keadaan itu mengundang tanda tanya penduduk yang pelik dengan kejadian terbabit, malah kira-kira 250 nelayan pesisir pantai di kampung itu turut mengambil tindakan ‘gantung enjin’ sementara dengan tidak turun ke laut.
Mereka khuatir bahan yang berkemungkinan sisa pencemaran itu bukan sahaja merosakkan peralatan bot dan menangkap ikan, bahkan dibimbangi hasil tangkapan juga tidak selamat untuk dimakan.
Ketua Kampung Pasir Gudang Baru, Daud Saad berkata, penduduk mendakwa sudah melihat tompokan putih itu sejak empat hari lalu dan keadaan tersebut semakin membimbangkan hari ini.
“Kita harap keadaan ini tidak begitu serius kerana sebelum ini pun penduduk terpaksa menanggung akibat apabila air berwarna hitam kerana masalah kumbahan. Penduduk baru sahaja lega tetapi masalah lain pula dialami,” katanya ketika ditemui di kampung itu, hari ini.
Nelayan tempatan mendakwa mereka sudah empat hari tidak turun ke laut kerana pencemaran terbabit menyukarkan pergerakan dan meninggalkan kesan pada dasar bot
Nelayan, Hassan Mohamad, 60, berkata, setelah mengetahui kejadian itu, dia sudah empat hari tidak turun ke laut kerana keadaan terbabit menyukarkan pergerakan dan meninggalkan kesan di dasar bot miliknya.
“Kami tidak tahu kesannya jika melekat pada enjin bot, apatah lagi kawasan tompokan putih ini mencapai jarak sehingga dua kilometer. Saya tidak pernah melihat kotoran seperti itu sejak 40 tahun menjadi nelayan malah permukaan air kelihatan seperti diselaputi bahan kimia,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Alimman Jamal, 48, mahu agensi berkaitan mengambil tindakan segera kerana penduduk terutama nelayan sukar mencari rezeki.
“Ini bukan hanya kerana pencemaran tetapi kami akan mengalami kerugian jika peralatan rosak. Sekarang semua barang bukan murah dan ia akan jadi beban sekiranya terjadi apa-apa kejadian. Bot mungkin boleh dicuci tapi kos ganti jaring atau pukat lebih tinggi jika rosak,” katanya.
Penduduk, Jamil Hussein, 50, turut berharap tindakan segera dapat diambil kerana perkara itu turut membabitkan keselamatan penduduk.
“Kita sebenar risau juga sebab tidak tahu ia bahan apa. Jadi perlu tahu keputusan cepat sama ada memudaratkan atau sebaliknya. Sebahagian besar penduduk di sini adalah nelayan yang menjadi punca rezeki mereka, malah kita juga perlu tahu sama ada hasil tangkapan selamat untuk dimakan atau sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd. Azizi Mohmad berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan laporan juga telah disampaikan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Siasatan awal pihak JAS mendidapati terdapat beberapa kemungkinan termasuk sisa minyak atau bahan lain yang menyebabkan pencemaran tersebut
“Saya sendiri telah melihat keadaan ini dan laporkan kepada pihak berkaitan. Kita tidak mahu perkara ini berlarutan kerana di sini juga bukan semata-mata perkampungan nelayan sahaja tetapi menjadi tarikan pelancongan terutama kaki pancing,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah mengambil sampel sisa buangan di sungai terbabit untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tindakan lanjut kerana sisa buangan berkenaan bukanlah bahan yang biasa ditemukan dalam insiden pencemaran.
Pengarah JAS negeri, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, berdasarkan siasatan awal, didapati terdapat beberapa kemungkinan termasuk sisa minyak atau bahan lain dalam kejadian yang pertama kali berlaku di kawasan itu.
“JAS perlu siasat dan dapatkan maklumat lebih terperinci memandangkan bahan yang kita lihat berbeza daripada kejadian pencemaran yang lalu, ia lebih kepada serbuk dan berdebu,” katanya.
Menurut Mohd. Famey, pihaknya juga akan meminta kerjasama daripada Jabatan Kimia untuk mempercepat siasatan berhubung kandungan sisa buangan itu bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan.
POLIS menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis rokok tanpa cukai bernilai RM3.3 juta di 55.2 kilometer Lebuhraya Karak, Pahang, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil maklumat awam, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman telah membuat pemantauan dan menahan sebuah lori muatan lima tan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun pada 4.20 pagi.
Beliau berkata, sejurus lori itu ditahan telah datang sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu lelaki berusia 30 tahun memperkenalkan diri sebagai rakan pemandu lori itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan 333 kotak besar mengandungi rokok disyaki tanpa cukai kastam antaranya jenis Touro International, Wismilak Diplomat dan Luffman Premium Blend 22.
“Justeru, polis telah menahan kedua-dua lelaki rakyat tempatan dan hasil siasatan awal mendapati pemandu lori tersebut mengambil upah sebanyak RM1,500 untuk menghantar rokok seludup itu ke Kuala Lumpur.
“Suspek mendakwa telah mengambil lori di Kemaman, Terengganu yang ditinggalkan di deretan kedai dengan kunci diletakkan di bahagian tayar sebelum memandu ke Kuala Lumpur…usaha mengesan pemilik lori giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, Bentong, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua suspek kali pertama terlibat dalam kegiatan berkenaan dan hasil ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah serta tiada rekod jenayah lampau.
Katanya, kedua-dua lelaki itu direman empat hari bermula 20 Nov mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967. – Bernama
Polis Melaka membuka 37 kertas siasatan dan mengeluarkan sembilan kompaun berjumlah RM120,000 sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berakhir pada Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Majid Mohamad Ali, daripada jumlah itu 19 kertas siasatan yang dibuka membabitkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) manakala 18 lagi merupakan kesalahan membabitkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Jelasnya, kompaun itu pula telah dikeluarkan kepada pelbagai parti kecuali parti Bebas di sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh bermulanya PRN Melaka sehinggalah pengumuman keputusan, tidak ada insiden yang menggugat ketenteraman awam yang dilaporkan.
“Penguatkuasaan undang undang dan prosedur operasi standard (SOP) akan menjamin kesihatan awam dan pada masa sama ia menyuburkan proses demokrasi.
“Ini merupakan kejayaan agensi penguatkuasaan untuk memastikan kesihatan awam terkawal dan melalui penguatkuasaan undang-undang yang adil kita berjaya membendung penularan Covif-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, sekiranya terdapat mana-mana mana pihak yang mendakwa penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan itu menghalang proses demokrasi, tanggapan itu sebaliknya tidak benar tetapi ia sebenarnya menyuburkan proses demokrasi.
Menurutnya, penghargaan dan pujian harus diberikan kepada rakyat Melaka kerana mereka matang dan hebat serta tidak terbawa-bawa dengan sentimen politik, sebaliknya lebih mementingkan kesihatan awam dan keselamatan.
“Jadi di PRN Melaka, rakyat mendahulukan kesihatan awam dan undang-undang daripada kepentingan politik, rakyat Melaka sememangnya hebat dan matang,” ujarnya.