Category: Jenayah

  • Polis cekup 42 PATI baru mendarat dalam lori

    Polis cekup 42 PATI baru mendarat dalam lori

    SERAMAI 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru mendarat sebelum dibawa dalam sebuah lori berpenutup penuh ditahan polis di tepi jalan besar Parit 3, Sungai Burong, Kuala Selangor, awal pagi ini.

    Semua PATI berusia lingkungan 40-an ditahan pada pukul 2 pagi ketika baru sahaja mendarat dengan mengikut jalan tidak diwartakan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, PATI tersebut terdiri daripada 34 lelaki dan lapan wanita.

    “Mereka dibawa menaiki sebuah lori yang disyaki berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun katanya, pemandu lori melarikan diri dan polis merampas kenderaan terbabit.

    “Semua Pati dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom),” katanya.

  • Seludup rokok, PATI guna kenderaan mewah

    Seludup rokok, PATI guna kenderaan mewah

    BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa berjaya menumpaskan penyeludupan rokok putih dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan mewah dalam dua operasi berasingan pada 29 November lalu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 1 tengah hari, sepasukan anggota yang melakukan tugas bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan terserempak dengan sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Alphard.

    “Kenderaan mewah itu dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulai Chondong menghala ke Machang dan anggota terlibat terus mengekorinya,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di Rantau Panjang hari ini.

    Menurutnya, kenderaan itu terus memecut laju dan membelok ke jalan simpang kecil ke Kampung Mata Ayer selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

    Mat Shukor memberitahu, kenderaan itu bagaimanapun ditemui dalam keadaan enjin masih hidup dan pemeriksaan menjumpai 1,950 karton rokok putih.

    Mat Shukor berkata, pada masa sama, PGA telah menahan sebuah Toyota Vellfire ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah yang dinaiki empat lelaki dan dua wanita.

    “Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan seorang lelaki dan wanita warga tempatan. Turut ditemui dalam kenderaan itu ialah tiga lelaki dan seorang wanita warga Thailand yang pasportnya telah tamat tempoh.

    “Seorang lagi lelaki warga Thailand tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.

    Menurutnya, selang dua jam selepas itu, PGA sekali menahan sebuah Toyota Alphard yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) Banggol Kong.

    Pemeriksaan mendapati dua lelaki warga tempatan dan dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Thailand yang mengemukakan dokumen perjalanan tamat tempoh.

    Katanya, PGA akan terus membuat pemeriksaan ke atas kenderaan mewah yang menjadi pilihan penyeludup bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa selain selain dapat lolos daripada kawalan.

  • Warga emas hilang ketika jaring ikan, ditemukan mayatnya tersangkut

    Warga emas hilang ketika jaring ikan, ditemukan mayatnya tersangkut

    KEHILANGAN seorang warga emas yang keluar menjaring ikan dan tidak pulang ke rumah dalam kejadian di Kampung Tengah, Gemencheh, Tampin sejak petang semalam terjawab apabila ditemukan lemas malam tadi.

    Mayat Ahmad Sudin, 87, ditemui tersangkut di dahan pokok tidak jauh dari lokasinya memasang jaring pada jam 8.30 malam tadi.

    Mangsa dikatakan telah pergi memancing di sungai berhampiran rumahnya kira-kira jam 5 petang, namun tidak pulang menjelang malam.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemencheh bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat malam tadi.

    “Cucu warga emas berkenaan telah menghubungi bomba memaklumkan datuknya yang keluar rumah kira-kira jam 5 petang masih tidak pulang.

    “Operasi mencari mangsa dilakukan. Dalam masa kurang dua minit, mangsa ditemukan tersangkut di dahan pokok tumbang tidak jauh dari lokasi mangsa memasang jaring,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pasukan bomba cuba memberikan bantuan pernafasan terhadap mangsa, namun lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada cucu mangsa, lelaki terbabit dipercayai menjaring ikan di kawasan sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.

    “Mayat mangsa telah dihantar Hospital Tampin untuk tindakan lanjut,” kata beliau.

  • Bayi dipercayai dibaling bungkusan parcel, polis jalankan siasatan

    Bayi dipercayai dibaling bungkusan parcel, polis jalankan siasatan

    POLIS Pulau Pinang sudah menerima laporan berhubung kejadian seorang wanita dipercayai pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di negeri itu yang didakwa menganiaya seorang bayi dengan membaling objek dipercayai bungkusan barang terhadap bayi berkenaan.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(1) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau mengulas mengenai video kejadian itu yang tular di dalam media sosial Facebook sejak petang semalam yang didakwa berlaku di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bayan Baru, Pulau Pinang.

    Video berdurasi 44 saat itu memaparkan tindakan seorang wanita dipercayai pekerja di pusat jagaan tersebut yang seolah-olah bertindak membaling satu objek seperti bungkusan ‘parcel’ terhadap seorang bayi yang sedang meniarap.

    Klip video itu dikongsikan pemilik laman sosial Facebook Cahaya Naziha Mohd Nhazeri dipercayai ibu kepada bayi tersebut.

    Menerusi catatan di laman sosialnya, wanita itu menulis: “Pos dekat sini la sebagai kenangan…nanti baby tu dah besar, dia boleh  tengok apa yang orang dah buat dekat dia. Semoga Allah pelihara anak-anak syurga yang lain. Aku selalu tengok dekat anak orang ja. Sekali anak aku yang kena. Aku dah cukup baikkkkkkk”.

    Video itu mendapat kecaman warganet yang turut menggesa pihak polis menjalankan siasatan lebih lanjut dan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan wanita terbabit.

  • Dua beranak lemas semasa memukat udang

    Dua beranak lemas semasa memukat udang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HASRAT dua beranak mencari rezeki dengan memukat udang tidak kesampaian apabila kedua-dua mereka ditemukan maut dipercayai akibat lemas di Perairan Kota Kuala Muda berhampiran pesisiran Kampung Tepi Sungai dekat Kuala Muda, Kedah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, jasad Mohamad Ariffie A. Razak, 61, dan anaknya, Zulhusni Mohamad Ariffie, 29, dari Kampung Matang Bagan, Kuala Muda ditemukan terdampar oleh seorang nelayan di pantai Kampung Tepi Sungai kira-kira pukul 10.30 pagi.

    Hasil soal siasat bersama keluarga mangsa katanya, dua beranak itu dipercayai turun ke laut kira-kira pukul 7 pagi tadi bagi memukat udang.

    “Menantu Mohamad Ariffie memaklumkan kepada pihak polis yang dia mengesyaki adik iparnya, Zulhusni mungkin diserang sawan dan terjatuh dari laut.

    Dua beranak itu dipercayai turun ke laut kira-kira pukul 7 pagi tadi bagi memukat udang.

    “Keadaan itu dipercayai menyebabkan bapa mentuanya cuba menyelamatkan Zulhusni hingga mengakibatkan kedua-duanya lemas,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Tambahnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang pada tubuh badan kedua-dua mangsa.

    “Jasad dua beranak itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk tujuan bedah siasat.

    “Setakat kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

  • Dua kenderaan dipercayai ditimbus runtuhan tanah

    Dua kenderaan dipercayai ditimbus runtuhan tanah

    DUA kenderaan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands, Pahang, hari ini.

    Difahamkan kenderaan yang tertimbus ialah sebuah lori kecil dan sebuah kereta.

    Tanah runtuh itu menyebabkan laluan di kedua-dua arah ditutup kepada semua aliran kenderaan.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 1.44 petang.

    Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

    “Setibanya jentera di lokasi, didapati tanah runtuh menghalang laluan utama ke Cameron Highlands.

    “Berdasarkan maklumat awal, sebuah kenderaan terperangkap di mana terdapat mangsa di dalamnya. Operasi kini sedang dijalankan,” katanya.

  • Wanita tahan sakit kaki dihempap forklift

    Wanita tahan sakit kaki dihempap forklift

    SEORANG wanita terpaksa menahan sakit apabila kaki kirinya dihempap jentera angkat susun (forklift) di sebuah kilang di Jalan Kemunting Bukit Beruntung, Hulu Selangor pukul 5.56 petang semalam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai sembilan anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati wanita berusia 28 tahun itu berada di sebelah forklift selepas pekerja kilang berjaya mengeluarkan kaki kiri mangsa yang dihempap jentera tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Norazam berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    “Operasi sepenuhnya tamat pada jam 6.50 petang,” ujarnya.

  • Kes dadah, Ismahalil kena reman di Penjara Sungai Buloh

    Kes dadah, Ismahalil kena reman di Penjara Sungai Buloh

    TEKA-TEKI akhirnya terjawab apabila peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar mengesahkan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh berkaitan kes memiliki dadah.

    Dia mendedahkan perkara tersebut melalui satu hantaran Facebook dan mengakui telah bertemu dengan anak guamnya itu dan meminta agar semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes berkenaan.

    “Pada petang semalam, saya bersama Adi Zulkarnain telah ke Penjara Sungai Buloh bertemu dengan anakguam kami, DJ Ismahalil Hamzah yang kini ditahan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang mana jika disabitkan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

    “Bagi yang bertanya, beliau dituduh dan belum lagi dibicarakan mahupun disabitkan lagi untuk pertuduhan yang dikenakan. Mohon pihak-pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi lagi selepas ini” katanya.

    Ismahalil Hamzah

    Tambahnya, kes berkenaan akan disebut di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 15 Disember ini dan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk proses perbicaraan.

    Dalam masa yang sama, Ahmad Zahiril turut memuat naik sekeping pesanan tulisan tangan daripada Ismahalil buat semua.

    “Terima kasih kepada semua sahabat yang saya ada. Dan saya sihat adanya di Sungai Buloh Ini. Demi Allah, saya tidak seperti berita negatif yang terfitnah kepada saya.

    “Maafkan saya sebab tidak ke udara lagi. Sabarlah semua sahabat. Berpisah adalah untuk bertemu lagi. Terima kasih kerana menyokong saya,” tulisnya.

    Sepucuk surat pesanan dari Ismahalil buat semua yang dimuat naik oleh Ahmad Zahiril dalam satu hantaran di Facebook

    Pada September lalu, timbul desas-desus mengenai seorang penyampai radio ditahan pihak polis selepas didapati memiliki dadah jenis ganja.

    Menurut laporan pihak polis, suspek ditahan di kediamannya di ibu kota kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 447.44 gram yang telah diasing-asingkan kepada 22 paket plastik.

  • Air sungai bertukar hijau, pengarah dan pengurus kilang ditahan

    Air sungai bertukar hijau, pengarah dan pengurus kilang ditahan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pengarah dan pengurus sebuah kilang penyaduran logam di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang ditahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor ekoran pencemaran Sungai Selangkah yang bertukar menjadi warna hijau, Isnin lalu.

    Pengarah terbabit yang berusia 50-an dan pengurus berusia 35 tahun itu ditahan di sekitar Johor Bahru, kira-kira pukul 4 petang, semalam.

    Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, dua individu itu ditahan mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap orang yang disyaki untuk siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 25 akta sama.

    “Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini hari ini.

    JAS menahan pengarah dan pengurus kilang terbabit.

    Pada 29 November lalu, pemeriksaan dijalankan JAS Cawangan Pasir Gudang terhadap sungai berkenaan mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna hijau daripada longkang kilang berkenaan.

    Menurut Mohd. Famey, siasatan di dalam kawasan sistem rawatan efluen di kilang terbabit mendapati berlaku situasi banjir dengan air berwarna hijau ketika itu.

    Justeru kata beliau, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) telah dikenakan untuk menghentikan punca air berwarna hijau itu selain pihak kilang turut diarahkan mengambil tindakan pembaikan dan pembersihan sewajarnya.

    “Persampelan efluen juga telah dijalankan dan sampel yang diambil telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” ujarnya.

  • Kartel dalam Imigresen berkomplot dengan sindiket keluarkan pas lawatan kerja – Hamzah

    Kartel dalam Imigresen berkomplot dengan sindiket keluarkan pas lawatan kerja – Hamzah

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mendedahkan kewujudan kartel dalam Jabatan Imigresen membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

    Menterinya, Hamzah Zainudin berkata, kartel berkenaan melibatkan pegawai tertentu yang bekerjasama dengan sindiket luar untuk mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara.

    “Kartel ini bukan hanya nak naikkan pangkat, kartel ini menggunakan pegawai tertentu yang bekerjasama dengan sindiket luar. Di Sabah baru-baru ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri II (Jonathan Yasin) memaklumkan kepada saya ada iklan memaparkan sesiapa sahaja yang nakkan PLKS ini boleh berjumpa dengan orang-orang ini.

    “Ini sesuatu yang tidak bertanggungjawab…ia tidak boleh berlaku sekiranya mendapat pas PLKS yang sah tanpa penggunaan pegawai dalaman kita,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Imigresen 2021, lapor Free Malaysia Today.

    Sehubungan itu, beliau memberi amaran pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pegawai yang bersekongkol dengan kartel itu.

    “Kita akan siasat sehabis-habisnya kerana sindiket ini menggunakan pegawai dalaman imigresen daripada beberapa peringkat. Sebab itu saya sudah maklumkan kepada pegawai imigresen sebentar tadi bahawa sekiranya perkara ini berlaku, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” tegas Hamzah.

    Terdahulu, Hamzah dalam ucapan perasmiannya mendedahkan timbul isu integriti membabitkan individu dalam jabatan itu.

    “Ada dalam kalangan kita yang menjual maruah, menjual imej negara…ada kartel bebas keluar masuk di Jabatan Imigresen…ada kartel-kartel yang duduk di lapangan terbang dan pintu masuk dan begitu bebas.

    “Saudara, kita tak mahu perkara ini timbul lagi, sebab itu saya memikirkan tanggungjawab kita agar kita dapat tangani cabaran ini dengan menundukkan kartel dan orang luar yang dapat merosakkan imej Jabatan Imigresen.”