Category: Jenayah

  • Guru wanita kerugian RM199,111 ditipu ‘ejen insurans

    Guru wanita kerugian RM199,111 ditipu ‘ejen insurans

    SEORANG guru wanita berusia 50 tahun diperdaya RM199,111 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans pada bulan lalu.

    Suspek menghubungi mangsa pada 10 Oktober lalu yang mendakwa kononnya daripada ejen insurans dan mengatakan guru wanita itu telah membuat tuntutan insurans sebanyak empat kali dengan jumlah RM76,800.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Superitendan E. Sundra Rajan berkata, mangsa telah menafikan perkara tersebut, namun panggilan itu disambungkan ke Balai Polis Pudu.

    “Panggilan mangsa disambungkan kepada SM Azman yang mengatakan pengadu terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram berkait dengan seorang suspek lelaki bernilai RM2.8 juta.

    “Panggilan mangsa seterusnya disambungkan kepada Inspektor Mastura yang memberitahu dia boleh membantu mangsa menyelesaikan kes itu, sebelum mangsa menerima satu lagi panggilan daripada Puan Yong dan Tuan Chong yang menyamar pegawai bertugas.

    “Kedua-dua suspek itu memberitahu mangsa akan didakwa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah, selain memintanya membayar wang jaminan sebanyak RM568,000,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sundra berkata, disebabkan mangsa tidak mempunyai wang untuk membayar wang jaminan itu, mangsa telah membuat pinjaman dengan dua bank berlainan bernilai RM380,888.

    Katanya, pada 12 November mangsa menerima panggilan daripada Puan Yong dan mengarahkan mangsa menukar nombor telefon pada kad bank milik mangsa kepada nombor telefon yang diberikan oleh suspek, selain mengarahkan semua wang simpanan mangsa yang ada dalam satu lagi akaun bank dipindahkan ke dalam satu akaun.

    “Tanpa rasa curiga mangsa telah mengikut semua arahan suspek dan selepas itu wanita itu telah dihubungi semula oleh Puan Yong yang memintannya membuat pinjaman dengan pihak pinjaman kredit namun tidak berbuat demikian kerana berasa curiga.

    “Mangsa kemudiannya membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati sejumlah wang RM199,111 telah dikeluarkan. Berasa diri diperdaya, mangsa membuat laporan polis semalam (7 Dis) di Balai Polis Tiang Dua,” katanya.

  • Kejam! Warga emas maut dibelasah batang cangkul

    Kejam! Warga emas maut dibelasah batang cangkul

    SEORANG warga emas maut selepas dipercayai dipukul dengan batang cangkul dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Abi Tok Hashim, di Kangar kira-kira 10 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa Yeen Baai, 72, ditemukan terbaring di hadapan pintu bilik rumah itu oleh adiknya yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.

    Wari berkata, selepas kejadian bunuh itu, adik mangsa didatangi seorang lelaki berusia 34 tahun yang dikenalinya.

    “Adik mangsa memberitahu polis bahawa suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk ketika itu telah meminta untuk melihat keadaan mangsa kerana kepalanya berdarah.

    “Saksi bersama lelaki itu kemudian pergi ke rumah mangsa yang jaraknya lebih kurang 30 meter dan memasuki rumah itu sebelum menemukan mangsa terbaring dengan kesan darah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, saksi turut melihat serpihan sebatang cangkul yang telah patah di sisi mangsa sebelum bertindak menghubungi polis. 

    Wari berkata siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah itu dan kerap didatangi suspek yang ingin meminta rokok daripadanya.

    “Mangsa akan melayan suspek dan membenarkan suspek masuk ke rumah dan menghisap rokok bersama. Punca kejadian dipercayai disebabkan isu meminta rokok dan duit oleh suspek,” katanya.

    Katanya, suspek yang juga seorang penganggur telah ditahan tidak lama selepas itu dan mengakui terlibat dalam kejadian tersebut.

    “Suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau direman enam hari bermula hari ini,” katanya. – BERNAMA

  • Laman Facebook rasmi Exco Kedah, Najmi Ahmad digodam

    Laman Facebook rasmi Exco Kedah, Najmi Ahmad digodam

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Laman Facebook rasmi milik Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad digodam sejak tiga hari lalu disyaki oleh individu yang berpangkalan di luar negara.

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang itu, pihaknya sudah pun membuat laporan polis berhubung perkara itu kerana bimbang tindakan penggodam yang mungkin akan menggunakan laman Facebook tersebut untuk tujuan salah.

    “Kalau boleh memang kami mahukan semula laman Facebook itu kerana dibimbangi digunakan untuk tujuan tidak elok. Bimbang juga jika perbuatan dilakukannya nanti membuka ‘pintu’ fitnah.

    “Laporan polis telah dibuat semalam dan saya amat berharap agar akaun tersebut tidak disalah gunakan untuk buat benda-benda mengarut,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Laman Facebook dengan jumlah pengikut lebih 15,000 orang itu kini difahamkan dikawal oleh pemilik akaun Facebook yang berasal dari Vietnam.

    Tinjauan di laman Facebooknya itu mendapati setakat ini masih tiada sebarang status terbaru dimuat naik oleh penggodam.

    Selain membuat laporan kepada pihak berkuasa, Najmi turut menawarkan saguhati kepada mana-mana pihak yang boleh membantu mendapatkan akaun Facebook itu semula.

    Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

    “Kes tersebut ketika ini telah pun dirujuk kepada Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

  • Lelaki mati selepas tiba-tiba mengamuk tanpa sebab

    Lelaki mati selepas tiba-tiba mengamuk tanpa sebab

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki ditemukan maut setelah tiba-tiba mengamuk tanpa diketahui puncanya di Taman Dahlia, dekat Sungai Petani, Kedah, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan, lelaki berusia 31 tahun itu disahkan meninggal dunia di dalam longkang di belakang rumahnya oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membuat pemeriksaan terhadapnya.

    Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.35 malam apabila pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki menyatakan jirannya mengamuk.

    “Individu yang mengamuk itu dikatakan meracau seorang diri dan membuat bising di luar rumah. Namun apabila polis tiba di lokasi, mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri dalam longkang di belakang rumahnya.

    “Petugas KKM yang datang membuat pemeriksaan selepas itu mengesahkan bahawa lelaki tersebut telah meninggal dunia,” katanya.

    Tambahnya, siasatan awal mendapati individu berkenaan yang merupakan seorang penganggur telah empat tahun tinggal berseorangan di rumah tersebut selain dipercayai turut menagih dadah.

    “Menurut jirannya, lelaki itu memang kerap mengamuk tanpa diketahui punca hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati dia mempunyai rekod perubatan psikiatri dengan kali terakhir menerima rawatan pada Mac 2016,” katanya.

    Tambahnya setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat lelaki itu dtelah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk dibedah siasat.

  • Remaja maut motosikal rempuh ‘backhoe’

    Remaja maut motosikal rempuh ‘backhoe’


    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG operator kilang maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah ‘backhoe’ di Jalan Baling menuju ke Weng dan Tanjung Pari, dekat Kampung Bandar di Baling, Kedah, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Muhamad Aiman Nor Hakim Rosidan, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15zr maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya, Muhmmad Aiman Shah Shukri pula cedera parah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki kedua-dua remaja itu cuba memotong sebuah kereta ketika melalui jalan tersebut.

    “Mereka cuba memotong kenderaan di hadapan namun tak lepas lalu masuk ke laluan bertentangan. Keadaan itu menyebabkan motosikal tersebut bertembung dengan jentera berat berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

    “Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tersebut maut di lokasi kejadian manakala pemboncengnya pula mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat di sini, hari ini.

    Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Baling bagi mendapatkan rawatan.

    “Setakat ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Penjenayah diberkas lima jam selepas rompak pasar mini

    Penjenayah diberkas lima jam selepas rompak pasar mini

    MENYASARKAN kedai runcit dan pasar mini di kawasan kampung untuk merompak.

    Itu modus operandi dilakukan seorang lelaki yang mempunyai pelbagai rekod jenayah namun berjaya diberkas selepas merompak sebuah pasar mini di Kampung Baru, Sungai Tiang, Pedang, malam tadi.

    Lelaki berusia 30-an itu diberkas tidak sampai lima jam melarikan wang tunai RM300 selepas melakukan rompakan tersebut.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam kejadian pukul 7.15 malam, suspek datang bersendirian masuk ke dalam pasar mini berkenaan.

    “Suspek memakai topi, pelitup muka dan cermin mata hitam itu kemudian meminta seorang lelaki yang menjaga kaunter menyerahkan lesen dan MyKad miliknya.

    “Mangsa enggan menyerahkannya menyebabkan suspek bertindak membuka laci kaunter dan mengambil wang tunai RM300.

    “Suspek terus melarikan diri sejurus selepas itu dengan menaiki sebuah kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Arriz Sham berkata, mangsa berusia 20-an kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kubur Panjang.

    Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di pasar mini berkenaan, pihaknya berjaya mengesan suspek.

    “Berikutan itu, pegawai dan anggota menyerbu sebuah rumah di Kampung Baru dan menangkap suspek dalam rumah berkenaan pada pukul 11.30 malam tadi. Turut ditemui semula, wang tunai RM300 hasil rompakan,” katanya.

    Arriz Sham berkata, hasil semakan suspek berusia 30-an yang masih bujang didapati mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah termasuk dadah.

    “Suspek direman selama enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

    “Hasil siasatan mendapati suspek menyasarkan kedai runcit dan pasar mini di kawasan kampung untuk melakukan kegiatan itu,” katanya.

  • SPRM belum dapat maklumat kartel dalam Jabatan Imigresen

    SPRM belum dapat maklumat kartel dalam Jabatan Imigresen

    KETUA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya belum menerima maklumat lanjut berkenaan dakwaan wujud kegiatan kartel dalam kalangan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

    Beliau berkata, dakwaan itu kemungkinan timbul hasil siasatan di peringkat dalaman yang dilakukan jabatan terbabit.

    “Kenyataan yang disebutkan oleh pihak menteri itu, saya belum ada maklumat lengkap lagi. Kenyataan ini mungkin timbul hasil siasatan dalaman atau perkara dalaman Jabatan Imigresen.

    “Sehingga kini saya belum dapat lagi maklumat kartel sebenar yang dimaksudkan oleh pihak menteri itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir majlis Kolokium Antirasuah Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegiriti di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

    Namun katanya, jika ada maklumat berkenaan kes terbabit, SPRM akan meneliti sama ada di bawah bidang kuasa agensi itu atau sebaliknya.

    “Saya belum pasti lagi maklumat yang mengatakan sama ada broker atau orang tengah. Yang disebutkan itu adakah berkaitan dengan rasuah atau tidak, dan adakah ia menjangkau masuk ke pegawai kerajaan dalam Jabatan Imigresen,” jelas beliau.

    Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan ada menerima laporan berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam Jabatan Imigresen membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, pembabitan kartel itu bukan saja berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan berkenaan, malah kartel itu juga dikatakan menggunakan pegawai imigresen untuk kepentingan mereka.

    Malah, katanya, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin ada memaklumkan di Sabah terdapat iklan yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

    Hamzah berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk sebarang urusan imigresen.

  • Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’, ejen insurans berlagak marshal serah diri

    Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’, ejen insurans berlagak marshal serah diri

    DUA lelaki menjadi pengiring atau marshal konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson, bulan lalu, ditahan semalam.

    Kedua-dua lelaki berusia 45 dan 49 tahun itu hadir ke Balai Trafik Port Dickson pada pada 12.45 tengah hari dan 2.30 petang semalam untuk memberi keterangan berkaitan video mereka tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua lelaki termasuk seorang daripadanya bergelar Datuk hadir ke balai trafik itu sejurus mengetahui aksi mereka dirakam dan tular.

    “Polis menahan kedua-dua lelaki yang juga ahli perniagaan dan ejen insurans itu. Polis turut menahan dua motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan yang digunakan kedua-dua marshal berkenaan seperti yang dirakam.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh termasuk jika wujud kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Kelmarin, dilaporkan polis mencari kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang berlagak marsyal di jalan awam selepas rakaman video berdurasi tiga minit tular di media sosial.

    Rakaman itu menunjukkan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu memberi arahan kepada sebuah kenderaan supaya memperlahankan kenderaannya dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi memberi laluan kepada kumpulan konvoi terbabit.

    Berdasarkan rakaman itu, dipercayai konvoi itu bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson.

  • Warga emas rugi RM11,600, terpedaya iklan jual MyPR

    Warga emas rugi RM11,600, terpedaya iklan jual MyPR

    HASRAT seorang peniaga mahu mendapatkan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) hampa apabila kerugian RM11,600 selepas ditipu satu sindiket yang menawarkan kad itu menerusi iklan dalam Facebook bulan lalu.

    Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 60 tahun mendapat maklumat berkaitan pihak yang boleh menguruskan hal itu melalui iklan tersebut sebelum berurusan dengan seorang wanita pada pukul 1.08 petang, 10 November lalu.

    Ketua Polis Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, individu tersebut menghantar mesej melalui aplikasi whatsApp dan memaklumkan cara-cara dan bayaran yang perlu dilakukan untuk mangsa untuk mendapatkan kad MyPR itu,

    “Mangsa tertarik dengan tawaran yang diberikan oleh individu tersebut untuk satu keping kad MyPR berharga RM4,800.

    “Setuju tawaran yang diberikan, mangsa telah berhubung lanjut dengan individu berkenaan bagi mendapatkan kad MyPR untuk seorang rakannya dan pekerjanya dengan kos dua kad MyPR berjumlah RM9,600 sahaja.

    “Bagaimana pun, dia diminta membuat penambahan bayaran sebanyak RM2,000 setiap kad dan mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM11,600 serta meminta individu itu selesaikan proses permohonan untuk satu kad MyPR sebelum membuat bayaran tambahan berbaki RM2,000 lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Chang Hook berkata, mangsa telah membuat pembayaran tersebut (berjumlah RM11,600) ke tiga akaun yang berbeza namun individu berkenaan mendesak mangsa menjelaskan baki bayaran RM2,000 lagi sebelum kedua-dua kad tersebut diproses.

    “Curiga dengan tindakan tersebut, mangsa telah membuat semakan dan mendapati urusan yang dijalankan ini adalah tidak sah sebelum membuat laporan polis malah sehingga kini mangsa gagal berhubung dengan individu tersebut. Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Hasil siasatan awal mendapati akaun itu mempunyai rekod berkaitan kes penipuan bagi mendapatkan kad MyPR bersangkut repot Taman Ungku Aminah, di Johor Bahru,” katanya.

  • Lelaki maut selepas kereta terbabas, berpusing, langgar van KKM

    Lelaki maut selepas kereta terbabas, berpusing, langgar van KKM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki meninggal dunia selepas kereta Proton Wira dipandunya hilang kawalan dan melanggar sebuah van Toyota Innova milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kilometer 58.0 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, hari ini.

    Bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menerima panggilan orang awam memaklumkan kemalangan tersebut pukul 8 pagi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, lelaki tersebut yang merupakan pekerja kilang memandu seorang diri manakala van KKM itu dinaiki enam petugas kesihatan.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun memandu dari kediamannya di perumahan tersusun Mawai Baru untuk ke tempat kerjanya di Claybrick iaitu kilang proses batu di Jalan Mawai.

    “Semasa sampai di tempat kejadian kenderaannya hilang kawalan dan berpusing disebabkan terdapat batu-batu di atas jalan lalu memasuki laluan bertentangan.

    “Akibat daripada itu, pada masa yang sama van itu datang dari arah Johor Bahru menghala ke Mersing gagal mengelak lalu bertembung dengan kereta mangsa. Mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, semua petugas kesihatan tersebut termasuk pemandunya yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun mengalami cedera ringan serta dirawat di Hospital Kota Tinggi.

    mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir

    Hussin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat banyak batu bertaburan atas jalan menyebabkan permukaannya tidak rata selain lokasi kemalangan itu merupakan jalan selekoh serta mempunyai dua lorong.

    “Kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca kejadian sebenar,” katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rafi Mohd. Nor berkata, sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Semasa tiba kita dapati mangsa, Azhar Wakeo, 50, tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.

    Mohd. Rafi berkata, mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir sebelum operasi tamat pada pukul 9.49 pagi.