HASRAT seorang peniaga mahu mendapatkan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) hampa apabila kerugian RM11,600 selepas ditipu satu sindiket yang menawarkan kad itu menerusi iklan dalam Facebook bulan lalu.

Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 60 tahun mendapat maklumat berkaitan pihak yang boleh menguruskan hal itu melalui iklan tersebut sebelum berurusan dengan seorang wanita pada pukul 1.08 petang, 10 November lalu.

Ketua Polis Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, individu tersebut menghantar mesej melalui aplikasi whatsApp dan memaklumkan cara-cara dan bayaran yang perlu dilakukan untuk mangsa untuk mendapatkan kad MyPR itu,

“Mangsa tertarik dengan tawaran yang diberikan oleh individu tersebut untuk satu keping kad MyPR berharga RM4,800.

“Setuju tawaran yang diberikan, mangsa telah berhubung lanjut dengan individu berkenaan bagi mendapatkan kad MyPR untuk seorang rakannya dan pekerjanya dengan kos dua kad MyPR berjumlah RM9,600 sahaja.

“Bagaimana pun, dia diminta membuat penambahan bayaran sebanyak RM2,000 setiap kad dan mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM11,600 serta meminta individu itu selesaikan proses permohonan untuk satu kad MyPR sebelum membuat bayaran tambahan berbaki RM2,000 lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Chang Hook berkata, mangsa telah membuat pembayaran tersebut (berjumlah RM11,600) ke tiga akaun yang berbeza namun individu berkenaan mendesak mangsa menjelaskan baki bayaran RM2,000 lagi sebelum kedua-dua kad tersebut diproses.

“Curiga dengan tindakan tersebut, mangsa telah membuat semakan dan mendapati urusan yang dijalankan ini adalah tidak sah sebelum membuat laporan polis malah sehingga kini mangsa gagal berhubung dengan individu tersebut. Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan awal mendapati akaun itu mempunyai rekod berkaitan kes penipuan bagi mendapatkan kad MyPR bersangkut repot Taman Ungku Aminah, di Johor Bahru,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here