AKIBAT perselisihan faham, seorang wanita warga emas berusia 60 tahun cedera di rusuk kiri selepas ditikam oleh anak lelakinya dengan sebilah keris yang dijadikan hiasan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Teja 5, Rancangan Perumahan Awam (RPA) di Arau pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 10.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
“Sebaik tiba di lokasi, suspek masih berada di kawasan rumah dan tiada pergelutan berlaku di antara pihak polis dan suspek manakala keris tersebut dijumpai di luar rumah.
“Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau telah menikam mangsa menggunakan keris sepanjang 30 sentimeter di luar rumah tersebut,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata suspek, 31, yang juga anak keempat daripada lima beradik, telah menikam ibunya dengan sekali tikaman dan mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar bagi mendapatkan rawatan.
Ahmad berkata pihak HTF telah memaklumkan bahawa keadaan mangsa adalah stabil dan tidak mengalami kecederaan yang serius.
“Suspek yang kini dalam tahanan akan direman esok pagi bagi siasatan kes di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA
ADA cubaan mencedera atau membunuh “Long Tiger,” ketika dalam tahanan, sebelum banduan warga Rohingya itu lolos dengan tangan bergari daripada lokap mahkamah Tangkak kelmarin, kata peguamnya.
Shaharudin Ali berkata, Mahkamah Tinggi Muar sebelum ini telah mendengar “dengan panjang lebar” tentang cubaan itu ke atas anak guamnya pada 21 Nov lalu dan hakim berkenaan telah mengarahkan Long Tiger di pindahkan ke penjara lain.
Long Tiger, atau Ab Hamim Ab Hamid, melarikan diri 15 Nov lalu, ketika menunggu perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan atau pemerasan.
“Kami khuatir dan kami tidak tahu, sama ada Hamim melarikan diri atas sebab yang berkaitan dengan keadaan mentalnya akibat serangan fizikal dan mental ke atas beliau di dalam tahanan reman,” kata Shaharudin dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat berhubung cubaan itu dan Mahkamah Tinggi Muar telah merekodkan kenyataan peguam dan pendakwa raya.
“Cubaan mencederakan Hamim semasa dalam tahanan bukan perkara baru kepada kami dan semuanya ini telah dirakamkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Muar.
Akibat daripada dakwaan ini, untuk keselamatan tertuduh, hakim telah meminta Hamim dipindahkan ke penjara lain.
“Setakat ini, kita tidak tahu perkembangan siasatan laporan polis yang telah dibuat bagi pihak Hamim,” tambahnya.
Shaharudin menegaskan perbuatan anak guamnya melarikan diri daripada tahanan sah adalah kesalahan jenayah.
“Kejadian ini memeranjatkan kami kerana pada sebelah pagi, kes terhadap Hamim mulanya telah dipanggil oleh majistret di dalam kamar,” katanya.
Shaharudin memaklumkan sehari selepas kejadian lolos itu, pihaknya memaklumkan kepada Mahkamah Majistret Tangkak bahawa pembelaan sedia meneruskan kes tanpa kehadiran Long Tiger.
Malah, pihaknya tidak membantah hujah pendakwa raya yang mahu wang ikat jamin Long Tiger dirampas dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
“Reaksi kami mudah,” katanya.
Pada 15 Dis lalu, Long Tiger dilapor meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak dengan melarikan diri melalui pintu utama mahkamah serta menghilangkan diri sekitar semak samun berhampiran.
Pada hari kejadian, dia dibawa ke mahkamah dari Penjara Sungai Udang Melaka, untuk prosiding mengikut Seksyen 388, iaitu kes ugutan terhadap seseorang selepas dibawa dari Penjara Sungai Udang, Melaka.
Suspek memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar dan alamat terakhirnya di No 292 Jalan Rambutan, Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak.
Berikutan itu, polis beserta unit anjing pengesan K9 melancarkan Ops Tutup di sekitar daerah berkenaan dalam usaha mengesan suspek namun belum berhasil.
Dalam pada itu, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat anggota polis disiasat untuk membantu siasatan kes.
Ayob Khan berkata, empat anggota polis itu disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan (KK), iaitu penjawat awam dengan cuai menyebabkan tahanan lari.
Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan untuk empat anggota itu dan sedang mengambil tindakan susulan.
POLIS Negeri Sembilan sedia membantu Kontinjen Johor dalam mengesan lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang lolos daripada tahanan ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, Johor Rabu lepas.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, meskipun tiada pasukan khas ditubuhkan setakat ini, pihaknya sentiasa bersiap siaga selain semua anggota di lapangan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.
“Sebarang kemungkinan boleh berlaku (Long Tiger memasuki sempadan Negeri Sembilan) dan kita sedia membantu polis Johor mengesan suspek. Semua elemen dan petugas telah dimaklumkan berhubung kes tersebut,” katanya kepada Bernama di Seremban, hari ini.
Pada 15 Dis lepas, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid menghadiri prosiding di Mahkamah Majistret Tangkak bagi perbicaraan kes berkait Seksyen 388 Kanun Keseksaan, sebelum terlepas daripada tahanan kira-kira 11.55 pagi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohd Fadhil Minhat dilaporkan berkata, tertuduh yang masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada tahanan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, polis Negeri Sembilan merekodkan kutipan bayaran saman berjumlah RM5.46 juta membabitkan 111,116 kes dalam tempoh lapan hari sejak pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Dis lepas.
Beliau berkata jumlah transaksi yang dibuat di kaunter cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri melalui bayaran tunai dan e-pembayaran dengan kad kredit atau debit merekodkan sebanyak 2.3 peratus iaitu RM122,600 daripada keseluruhan kutipan bayaran saman setakat semalam.
“Kebanyakan saman yang dijelaskan orang ramai adalah dari tempoh 1998 hingga kini. Bagaimanapun, jumlah kutipan menerusi aplikasi MyBayar Saman tidak dapat dikeluarkan kerana melibatkan perisian di Bukit Aman,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad menasihatkan orang ramai supaya merebut peluang berkenaan selain tidak menunggu sehingga tarikh akhir 31 Dis untuk membuat pembayaran saman trafik terutama di kaunter trafik di IPD bagi mengelakkan kesulitan.
Jelasnya, ini kerana kutipan kompaun tunai perlu dibankkan mengikut tatacara pengurusan terimaan bagi penutupan akaun akhir 2021 oleh Jabatan Akauntan Negara dan orang ramai perlu membuat pembayaran tunai pada 30 Dis.
Namun, pembayaran melalui aplikasi mudah alih termasuk MyBayar Saman, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank dan Pejabat Pos Malaysia boleh dibuat hingga 31 Dis ini, katanya.
Pada 12 Dis lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata tempoh tawaran diskaun pembayaran saman yang dijadual berakhir 12 Dis, dilanjutkan hingga 31 Dis bagi memberi masa lebih panjang untuk orang ramai menjelaskan saman. – BERNAMA
BELUM lagi reda isu buli di sebuah maktab rendah sains Mara (MRSM) di Perak, timbul pula insiden terbaharu melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga di Kluang, Johor.
Dalam kejadian di sebuah sekolah menengah pada 9 Disember lalu, pelajar terbabit mengadu sakit dada dipercayai akibat dibuli senior.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima laporan pada pukul 6.18 petang semalam.
Menurut beliau, susulan kejadian itu mangsa dilaporkan mengalami kesakitan di dada serta trauma dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila seorang pelajar senior tidak berpuas hati dengan sikap mangsa yang menyebabkan dia dibuli,” katanya dalam kenyataan media.
Abdul Razak menambah, tindakan susulan diambil oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk mengesan suspek terlibat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Kami memandang serius kes jenayah seperti buli melibatkan pelajar di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan pihak terlibat,” katanya.
Hari ini, media melaporkan lima pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Muar, direman hingga Sabtu bagi membantu siasatan kes buli terhadap pelajar berusia 14 tahun di sekolah sama.
Mereka didakwa membuli seorang pelajar junior sehingga mengakibatkan pelajar berkenaan cedera di rusuk kiri.
Sebelum itu, 10 pelajar MRSM di Perak yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli yang tular baru-baru ini ditamatkan pengajian serta-merta.
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditahan melibatkan satu kes rompakan yang berlaku Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, dua pegawai SPRM itu ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan berkumpulan melibatkan kerugian RM700,000.
Menurut Abd. Jalil, kedua-dua pegawai berusia 37 dan 39 tahun itu telah direman selama empat hari mulai hari ini sehingga Ahad.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan.
“PDRM menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil. Kertas siasatan akan dikemukakan ke kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahad lalu, SPRM mengesahkan seorang pegawainya telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes jenayah.
SPRM dalam kenyataan menegaskan, agensi itu memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi mengesan pegawai terbabit.
Sehari sebelumnya, media melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur membabitkan kerugian hampir RM1 juta.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari Jumaat lalu, tiga lelaki dikatakan memperkenalkan diri sebagai pegawai penguat kuasa sebuah agensi, memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan berusia 50-an, kononnya menjalankan siasatan terhadap mangsa.
Difahamkan, mereka menggeledah rumah dan meminta mangsa mengambil beg berisi wang tunai sebelum melarikan diri bersama beg berkenaan dengan menaiki sebuah kenderaan.
Selepas kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis yang kemudian berjaya menahan dua lelaki termasuk pegawai penguat kuasa, masing-masing berusia 30-an, manakala gerakan memburu seorang lagi suspek giat dijalankan.
POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki melarikan seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun dan melakukan amang seksual di sini, di Kampung Kangkar Baru, dekat Yong Peng, semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, individu berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.45 petang dan polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu serta sebuah telefon bimbit jenis Vivo.
Katanya, dalam kejadian Selasa lepas, lelaki itu dipercayai melarikan kanak-kanak berkenaan di depan rumahnya di Taman Teratai, Kangkar Pulai di sini dengan sebuah kereta pada kira-kira pukul 5.30 petang, menghala arah Stulang Laut .
Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, lelaki itu kemudiannya menyamun kira-kira RM500 daripada seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berumur dalam lingkungan 20 tahun, yang kemudiannya dipaksa oleh suspek untuk merakam kejadian amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan (yang dilarikan) dalam kereta.
Menurut beliau, lelaki OKU itu kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan Stulang Laut, dan kanak-kanak berkenaan yang ditemukan orang awam di depan kedai makan Kangkar Pulai dalam keadaan ketakutan serta trauma, telah dibawa ke hospital sebelum diserahkan kembali kepada keluarganya.
Ayob berkata, lelaki berkenaan akan direman sehingga Isnin depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 363 KK.
“Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 392 KK adalah penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, manakala hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) AKSTK adalah penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta hukuman di bawah seksyen 363 KK adalah penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak dalam kenyataan berasingan berkata, polis menahan seorang lelaki warga asing awal pagi ini susulan laporan berhubung kes cabul kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
Beliau berkata, menurut laporan ibu kanak-kanak itu, kejadian berlaku semasa anaknya yang berada di sebuah kedai serbaneka di Ulu Tiram di sini, apabila dia mendakwa lelaki yang bekerja di premis itu telah memegang bahu dan meraba perutnya pada pukul 7.50 malam, Selasa lepas.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari IPD Seri Alam telah menahan lelaki berkenaan yang berusia 33 tahun di tempat kerjanya kira-kira 1.20 pagi tadi bagi membantu siasatan, dan dia direman selama tujuh hari bermula hari ini, disiasat di bawah Seksyen 14 (a) AKSTK 2017,” katanya. – BERNAMA
CUBAAN tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini secara haram menerusi laluan balak gagal apabila mereka ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Kuala Nerang, Kedah, semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan, penahanan tujuh individu warganegara Myanmar itu dibuat pada pukul 1.25 tengah hari semalam di laluan balak, sektor Op Benteng iaitu dalam kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.
“Subunit yang melakukan rondaan di laluan balak sempadan Malaysia Thailand telah bertembung degan tujuh orang awam terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan yang berjalan di denai bukit. Mereka ditahan untuk pemeriksaan dan didapati masing-masing tidak memiliki Mykad,” katanya.
Tambahnya, kesemua PATI itu kemudiannya dibawa ke Kem Sahara untuk siasatan.
“Siasatan awal mendapati kesemua mereka merupakan PATI warganegara Myanmar berusia antara 17 hingga 39 tahun. Beberapa barangan turut dirampas antaranya wang tunai melibatkan mata wang Malaysia, Myanmar dan Thailand berjumlah RM3,237,” katanya.
Menurutnya, kesemua PATI itu kemudiannya dihantar ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.
TINDAKAN anggota polis melepaskan tembakan ketika cuba menahan sebuah kereta di Jalan Simpang Tiga di Kuching malam tadi adalah kerana kereta itu dipandu dalam keadaan bahaya, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.
“Lebih kurang 7.20 malam tadi di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga, anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching melepaskan tembakan semasa cuba menahan sebuah kereta Proton Saga warna kelabu yang mencurigakan dan dipandu dalam keadaan bahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pegawai perubatan mengesahkan pemandu kereta itu iaitu lelaki tempatan berumur lingkungan 24 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, siasatan kes itu akan dilakukan menyeluruh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Bernama malam tadi melaporkan, polis menembak mati seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Saga selepas dipercayai cuba merempuh sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di Jalan Simpang Tiga, di sini.
Kejadian turut menyebabkan beberapa kenderaan milik orang awam rosak dilanggar oleh suspek yang dikatakan cuba melarikan diri.
Sementara itu, Aidi berkata untuk melengkapkan kertas siasatan kes itu, anggota-anggota polis terlibat telah ditukarkan bertugas ke bahagian pentadbiran.
“Lima (anggota yang terlibat)…semua daripada Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi. – BERNAMA
OPERASI mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan Tanjung Balau, di Kota Tinggi hari ini menemukan lima mayat dipercayai pendatang tanpa izin yang hilang dalam insiden itu.
Ketua Zon II Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Penguasa Bomba Al Hasra Mohamad berkata mayat tiga lelaki dan dua wanita itu ditemukan antara 6.45 pagi dan 7.45 pagi tadi.
“Kesemua mayat ditemukan terdampar di persisiran pantai dengan jarak antara 500 meter hingga 2.5 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Penemuan berkenaan menjadikan kesemua mangsa yang dipercayai masih hilang adalah seramai 20 orang.
Semalam, 11 warga Indonesia ditemukan lemas di pantai berkenaan apabila bot dinaiki mereka karam dalam cuaca buruk dan ombak tinggi, pada awal pagi.
Seramai 14 lagi pendatang tanpa izin di dalam bot itu selamat manakala 25 orang dipercayai hilang.
*‘Bertukar haluan’, sebelum karam
SEMENTARA itu, Pegawai Memerintah Rejimen Ketujuh Artileri Diraja Lt Kol Mohamed Ridzal Radzuan berkata, bot yang karam itu dipercayai sepatutnya mendaratkan kesemua penumpang warga Indonesia di Kampung Tengah, , dan mengambil sekumpulan warga Indonesia lain untuk pulang ke republik berkenaan.
Bagaimanapun, bot berkenaan yang difahamkan berlepas dari Batam, Indonesia pada kira-kira 11 malam itu dipercayai ‘bertukar haluan’ menuju ke arah Pantai Tanjung Balau, yang terletak dua hingga tiga kilometer dari lokasi asal.
Beliau berkata, bot berkenaan yang dipercayai dikendalikan sebuah sindiket, telah bertindak menukar lokasi pendaratan apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.
Terdahulu, pasukannnya telah mengesan sebuah bot yang kelihatan mencurigakan berdekatan Kampung Tengah dan menjejaki sekumpulan pendatang tanpa izin sedang bersembunyi di dalam semak di kampung itu.
“Siasatan awal mendapati mereka (sindiket) mahu menurunkan penumpang di pantai Tanjung Balau, tetapi ombak yang terlalu besar menyebabkan bot terbalik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tanjung Sepang, di Kota Tinggi semalam.
Pasukan Rejimen Ketujuh Artileri Diraja, yang kini menjaga persisiran pantai barat Johor sepanjang 210 kilometer itu, adalah pasukan terawal mengesan kehadiran bot berkenaan.
“Sepanjang saya dan pasukan menjalankan operasi di sini, keadaan cuaca tak berapa baik dan ombak besar berikutan Monsun Timur Laut.
“Bila keadaan laut begini, dan mereka (sindiket) tahu pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan di persisir pantai..kebanyakan tekong-tekong ini akan lepaskan penumpang mereka di tengah laut untuk menyelamatkan diri mereka (sindiket),” katanya.
Beliau berkata bot yang karam itu merupakan bot berkuasa tinggi dan mempunyai empat enjin dengan 200 kuasa kuda setiap satu.
“Bot besar memang jadi pilihan sindiket terutama melalui kawasan berombak besar seperti ini,” katanya.
Selain itu, hasil siasatan awal terhadap pendatang tanpa izin yang ditahan, kebanyakan mereka bukan pertama kali datang ke negara ini, malah sudah acap kali berulang-alik bagi mencari rezeki.
Mohamed Ridzal berkata sindiket itu turut disifatkan ‘hati kering’ kerana menurunkan penumpang di tengah laut dengan pendatang tanpa izin itu rata-ratanya tidak mengetahui nasib mereka sebelum masuk ke dalam negara dan risiko yang perlu dihadapi apabila mengikuti laluan yang tidak sah dan berbahaya.
Beliau berkata cabaran bagi pihak ATM adalah untuk memastikan keselamatan kawasan tanggungjawab (KTJ) kekal terpelihara meskipun mempunyai kekangan dengan KTJ sepanjang 210 kilometer hanya terdapat 25 pos pemerhati selain kekurangan anggota dan pegawai.
Walaubagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya juga sering menukar modus operandi dan taktik bagi mengatasi cabaran berkenaan dalam usaha memastikan keselamatan perairan negara terjaga.
Selain itu, kerjasama antara agensi-agensi penguat kuasa lain menerusi Ops Benteng seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak berkuasa tempatan juga diteruskan dan sentiasa diperhebat.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menyerahkan dua lagi lagi pegawainya kepada polis bagi membantu siasatan kes jenayah.
Dalam kenyataan malam tadi, SPRM memaklumkan memberikan kerjasama penuh polis berhubung kes tersebut.
‘’Sekali lagi, SPRM ingin menegaskan bahawa suruhanjaya ini tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam jenayah dan menggesa agar siasatan ini disegerakan,’’ kata kenyataan tersebut.
Pada Ahad lalu, SPRM mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes jenayah.
SPRM menyerahkan pegawai itu kepada agensi penguat kuasa lewat petang Sabtu.
“Suruhanjaya ini tidak berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang terbabit dengan sebarang perlakuan jenayah. Tindakan tegas, termasuk pertuduhan di mahkamah dan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja akan dikenakan jika terbabit,” kata suruhanjaya berkenaan.
Pada Sabtu lalu, media melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang di sini, membabitkan kerugian hampir RM1 juta.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, tiga lelaki dikatakan memperkenalkan diri sebagai pegawai penguat kuasa sebuah agensi memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan berusia 50-an, kononnya menjalankan siasatan terhadap mangsa.
Difahamkan, suspek menggeledah rumah dan meminta mangsa mengambil beg berisi wang tunai sebelum melarikan diri bersama beg itu dengan menaiki sebuah kenderaan.
Sejurus selepas kejadian, mangsa membuat laporan polis yang kemudiannya berjaya menahan dua lelaki termasuk pegawai penguat kuasa, masing-masing berusia 30-an, manakala gerakan memburu seorang lagi suspek giat dijalankan.