Category: Jenayah

  • Cuba seludup dadah RM1.8 juta dalam tayar basikal guna kurier

    Cuba seludup dadah RM1.8 juta dalam tayar basikal guna kurier

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM1.8 juta ke luar negara yang disorokkan di dalam tayar basikal kanak-kanak.

    Taktik sindiket itu berjaya dibongkar susulan serbuan JKDM Pulau Pinang di sebuah syarikat kurier di Butterworth kira-kira pukul 6 petang pada 22 Disember lalu.

    Menurut Pengarah JKDM Pulau Pinang, Abdul Halim Ramli, dalam serbuan itu pihaknya menjumpai sebanyak 104 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine disorokkan di dalam tayar basikal terbabit yang dimuatkan di dalam 10 buah kotak.

    Ujar beliau, kotak yang beralamat di Pulau Pinang itu cuba dikirimkan menggunakan perkhidmatan kurier ke salah sebuah negara di kepulauan Oceania.

    Jelasnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati kesemua bungkusan plastik itu merupakan dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar kira-kira 18 kilogram dengan harga pasaran RM1,802,800.

    “Siasatan lanjut termasuk memastikan sama ada alamat yang digunakan oleh pengirim benar-benar wujud atau sebaliknya masih dijalankan dan setakat ini juga belum ada sebarang tangkapan berhubung kes ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menurut Abdul Halim, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung mandatori.

    Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya serta tidak melibatkan diri dengan aktiviti berkenaan.

    Tambahnya, mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi talian bebas tol kastam di talian 1-800-88-8855 atau membuat laporan di mana-mana pejabat JKDM terdekat.

  • Sambutan tahun baharu 2022 berskala besar di Pulau Pinang tidak dibenarkan

    Sambutan tahun baharu 2022 berskala besar di Pulau Pinang tidak dibenarkan

    SAMBUTAN tahun baharu 2022 berskala besar seperti di padang awam atau di mana-mana kawasan terbuka di Pulau Pinang tidak dibenarkan sama sekali untuk dianjurkan.

    Bagaimanapun, orang ramai masih boleh meraikan sambutan tahun baharu itu secara kecil-kecilan di tempat tertutup dan boleh dikawal penjarakan fizikal.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sofian Santong berkata, keputusan itu adalah berdasarkan arahan terkini Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang melarang sambutan tahun baharu berskala besar di tempat terbuka dalam tempoh ketika ini.

    Sehubungan itu jelas beliau, pihaknya berharap orang ramai akan mematuhi arahan tersebut bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin apatah lagi Pulau Pinang sudah mencatatkan kes positif varian Omicron.

    “Polis juga akan mengadakan operasi secara ‘omnipresence’ melibatkan semua jabatan bermula malam sambutan tahun baharu untuk memastikan arahan serta prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi semua pihak.

    Asisten Komisioner Sofian Santong

    “Seramai 146 pegawai dan 821 anggota akan ditugaskan sepanjang operasi ini berlangsung bagi memastikan keselamatan awam terjaga,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Dalam pada itu Sofian berkata, polis turut menjangkakan berlaku peningkatan aliran trafik di Pulau Pinang sehingga 40 peratus bermula esok sehingga hujung minggu ini.

    Jelas beliau, kawasan-kawasan tumpuan pelancong seperti di daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai juga dijangka berlaku kesesakan ekoran pertambahan pelancong.

    “Sehubungan itu, kita meminta pemilik premis perniagaan makanan supaya mengehadkan jumlah pelanggan di dalam kedai dan memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

    “Anggota polis akan sentiasa berada di lokasi-lokasi ‘hot spot’ atau tumpuan pelancong untuk memantau keadaan dan memastikan orang ramai tidak bersesak-sesak,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai merancang perjalanan ke Pulau Pinang dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang dan pematuhan SOP.

  • PDRM buru ahli perniagaan dalang sindiket edar dadah

    PDRM buru ahli perniagaan dalang sindiket edar dadah

    SATU waran tangkap dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap seorang ahli perniagaan yang disyaki dalang dalam aktiviti pengedaran dadah.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, ahli perniagaan itu kini dipercayai berada di luar negara
    dan PDRM sudah memaklumkan perkara itu kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

    “Interpol akan membantu mengesan suspek yang dipercayai berada di sebuah negara di Asia. Suspek berkenaan menjalankan perniagaan yang sah dalam industri perhotelan dan perkapalan untuk menutup kegiatan pengedaran dadahnya.

    “Sebelum suspek melarikan diri dari negara ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah merampas kontena berisi dadah di Pelabuhan Klang pada tahun ini.

    “Kita percaya dadah yang dirampas itu untuk diedarkan di utara Semenanjung Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

    Sementara itu, Razarudin berkata, sebanyak 279 sindiket berjaya ditumpaskan pada tahun ini dengan 1,147 ahli sindiket diberkas.

    “Kebanyakan sindiket yang ditumpaskan adalah sindiket antarabangsa termasuk beberapa individu disyaki ‘kingpin’ ditahan,” katanya.

  • Pemandu Alza bawa tiga kanak-kanak secara berbahaya ditahan

    Pemandu Alza bawa tiga kanak-kanak secara berbahaya ditahan

    POLIS menahan seorang wanita bagi membantu siasatan mengenai video tular menerusi media sosial memaparkan sebuah kereta Perodua Alza membawa tiga penumpang kanak-kanak secara berbahaya.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata wanita berusia 34 tahun itu merupakan pemandu kereta tersebut dan membawa ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dengan mengeluarkan separuh badan mereka di bahagian penumpang hadapan dan belakang dalam keadaan kenderaan sedang bergerak.

    Beliau berkata tingkah laku mereka merupakan satu tindakan yang amat berbahaya dan boleh mendatangkan kemalangan serta membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

    Menurut Mohd Zaid, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan jika disabitkan, boleh dihukum penjara selama tempoh tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya sekali.

    “Orang ramai diminta supaya sentiasa memastikan keselamatan kanak-kanak dikawal serta dipantau oleh orang dewasa.

    “Sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 atau balai polis berdekatan,” katanya.

    Semalam, satu video tular menerusi media sosial yang memaparkan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu secara berbahaya dengan membiarkan tiga kanak-kanak mengeluarkan badan mereka ketika kenderaan sedang bergerak.

    — BERNAMA

  • Cinta tidak direstui keluarga:6 ditahan bergaduh depan balai polis

    Cinta tidak direstui keluarga:6 ditahan bergaduh depan balai polis

    POLIS menahan tiga lelaki dan tiga wanita warga tempatan ditahan kerana bergaduh di pekarangan Balai Polis Komuniti di Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pergaduhan pada pukul 3.25 petang itu berpunca daripada cinta tidak direstui keluarga.

    Katanya, anggota yang bertugas cuba meleraikan pergaduhan berkenaan namun tidak diendahkan kesemua suspek terbabit.

    “Justeru, polis menahan kesemua suspek kerana melakukan gaduh gempar di tempat awam dan berkelakuan tidak senonoh di kawasan balai polis.

    “Bagaimanapun, kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.

    Mohamad Fakhrudin turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga tingkah laku semasa berada di balai polis dan mematuhi arahan anggota bertugas.

  • Kertas siasatan kes Ebit Lew sudah lengkap

    Kertas siasatan kes Ebit Lew sudah lengkap

    KERTAS siasatan membabitkan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew berhubung kes gangguan seksual sudah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya sedang menunggu arahan terkini untuk tindakan seterusnya.

    “Kita sedang menunggu maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara dan sedikit masa lagi akan mendapat keputusan arahan selanjutnya berkaitan kes itu.

    “Bagaimanapun kita juga meminta mereka yang mempunyai maklumat tambahan supaya dapat tampil membantu siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Abd. Jalil berkata, pendakwah terbabit juga difahamkan berada di luar negara melakukan kerja amal dan tiada keperluan untuk menahannya kerana tidak menyenaraikan notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadapnya.

    “Buat masa ini biarlah dia melakukan kerja kebaikan di luar negara kerana itu haknya jika dia ikut peraturan di negara terbabit ia tidak menjadi menjadi kesalahan.

    Terdahulu, siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew, 37, dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

    Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Pada 19 Ogos lalu, Ebit Lew dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran video gangguan seksual dikaitkan dengan pendakwah berkenaan.

    Bagaimanapun, Ebit Lew ketika ditemui media sebaik selesai memberi keterangan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.

  • Siasatan barang kes SPRM RM25 juta hilang hampir selesai

    Siasatan barang kes SPRM RM25 juta hilang hampir selesai

    SIASATAN salah guna kuasa dan penyelewengan barang kes melibatkan tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kehilangan barang kes, iaitu wang tunai berjumlah RM25 juta yang disita agensi itu, hampir selesai.

    “Kita masih menunggu maklum balas pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) berhubung siasatan berkenaan,” ujar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd. Jalil Hassan dalam satu kenyataan.

    Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain mengesahkan, seorang daripada tiga pegawai kanan SPRM itu kini berada dalam tahanan polis.

    Katanya, pegawai berusia 40 tahun itu kini ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor.

    “Siasatan dilakukan mengikut Akta LLPK (Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas) dan pegawai berkenaan sedang menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan dadah,” katanya.

    Pada Oktober lalu, seorang daripada mereka dilaporkan disiasat atas kesalahan membabitkan pengedaran dadah dan suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah sejak setahun lalu.

    SPRM sebelum ini mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berkait dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan.

  • Ayob Khan tegur KPD, jangan masih di kepompong lama

    Ayob Khan tegur KPD, jangan masih di kepompong lama

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegur Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri itu dan mahukan mereka bekerjasama dengan pihak media bagi memastikan berita disampaikan kepada masyarakat awam adalah benar.

    Beliau berkata, kerjasama tersebut penting terutama apabila melibatkan fakta tidak betul terhadap mana-mana cerita atau berita terutama yang tular dalam media sosial hingga mengelirukan orang ramai.

    Menerusi kerjasama itu katanya, diharap media membetulkan kembali fakta salah yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    “Kalau kita (polis) masih di kepompong lama, media tidak akan dapat fakta yang betul dan apa yang ditularkan tidak dapat diperbetulkan.

    “Jadi kalau media telefon, jawab. Maklumkan apa yang betul (fakta), komunikasilah dengan media,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Ketua Polis Johor bersama Media Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, zaman sekarang adalah zaman persepsi dan Ketua Polis Daerah perlu memastikan hubungan bersama-sama media rasmi itu rapat, selain berkongsikan fakta yang tepat terutama membabitkan isu yang ditularkan.

    “Apa yang boleh dikongsikan, kongsi. Tidak rugi pun. Mereka (media) hanya jalankan kerja. Kita (polis) pun mahu memastikan masyarakat dapat fakta yang betul. Kalau kita menjauhkan diri, kita akan mengalami kesukaran.

    “Yang sepatutnya kongsi dengan media kita tidak kongsi. Kita pula yang cakap dengan orang luar, kita kongsi pada orang yang tidak sepatutnya kita beri kerana sebenarnya apa yang dikongsikan media rasmi akan bantu masyarakat khususnya polis,” katanya.

    Ketajaman penulisan itu katanya, boleh menjatuhkan atau membangunkan sesebuah negara atau membangunkan seseorang individu mahupun personaliti seseorang.

  • KPD antara pegawai dikenakan tatatertib kes Long Tiger

    KPD antara pegawai dikenakan tatatertib kes Long Tiger

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Polis Daerah Tangkak berdepan tindakan tata tertib berhubung kecuaian penyeliaan dalam penugasan yang membawa kepada insiden Long Tiger meloloskan diri dari Mahkamah Majistret Tangkak, Muar pada 15 Disember lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan terhadap dua pegawai iaitu Ketua Polis Balai dan seorang Inspektor bagi kesalahan yang sama.

    Katanya, kertas siasatan tatatertib itu akan menghantar ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman untuk penilaian dan tindakan susulan.

    “Di Johor, kita beri tumpuan khusus kepada aspek kebertanggungjawaban dan penyeliaan yang sepatutnya serta memeriksa lokap sama ada lokap di mahkamah atau lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau balai.

    “Turut berdepan tindakan, seorang anggota polis berpangkat Koperal berusia 30 tahun dan seorang pegawai berpangkat Senior Asisten Komisioner yang terbabit dalam kecuaian menyebabkan kebocoran maklumat.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana mendedah maklumat sulit, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara satu tahun atau denda RM1 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Semalam, akhbar melaporkan seorang banduan lelaki Rohingya dikenali ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 33, ditahan setelah didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah.

    Susulan tangkapan itu, tular beberapa gambar menunjukkan beberapa anggota polis membawa Long Tiger keluar di sebuah rumah dan hanya berseluar pendek berwarna putih setelah cubaannya melarikan diri gagal setelah jatuh ketika memanjat bumbung.

    Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, pihaknya juga membuka siasatan terhadap pemilik akaun Facebook yang merupakan seorang bekas anggota polis mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

    Katanya, individu berusia 47 tahun yang berasal dari Klang itu dipercayai menularkan maklumat sulit atau gambar operasi yang diperolehi ke laman sosialnya.

    “Hentikan tindakan menyebarkan, jangan terlalu ghairah mahu menularkan benda yang boleh mengganggu operasi polis, ini akan menjejaskan operasi susulan pihak polis,” katanya.

    Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak, Johor sebelum perbicaraannya bermula pada 15 Disember lalu, pukul 11.55 pagi.

  • Long Tiger tak sempat lari ke Indonesia atau Thailand

    Long Tiger tak sempat lari ke Indonesia atau Thailand

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HASRAT Long Tiger untuk menghilangkan diri ke luar negara dipercayai ke Indonesia dan Thailand terbantut selepas dicekup di sebuah rumah di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid, 33, yang berlindung di rumah seorang ‘pondan’ dikenali sejak setahun lalu menerusi Facebook diserbu polis sebelum sempat melarikan diri ke negara jiran.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ‘pondan’ yang berusia 46 itu merupakan seorang daripada tiga individu yang bersekongkol membantu suspek etnik Rohingya itu sejak meloloskan diri.

    “Hasil siasatan, memang itu rancangan Long Tiger untuk melarikan diri ke luar negara dengan menyeberang ke Indonesia atau ke Thailand.

    “Kita turut menahan dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun pukul 7.25 malam hingga 3 pagi tadi di sekitar Batu Pahat yang dipercayai bersekongkol dengan suspek.

    “Mereka dipercayai membantu suspek dengan memotong gari tangannya selain membeli kad sim sebelum membantu membawa dia dari Tangkak kemudian ke Batu Pahat sebelum ke Utara negara.

    “Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti sama ada suspek terlibat dibayar oleh Long Tiger atau bersekongkol. Polis juga sedang siasat sekiranya ada individu yang membiayai Long Tiger ini, memboloskan diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Semalam Long Tiger yang berjaya ditahan setelah didapati menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil.

    Ketika ditahan kira-kira pukul 3 petang itu, Long Tiger dikesan sekali lagi cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung namun tergelincir jatuh di lantai dapur rumah.

    Pada 15 Disember lalu, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pukul 11.55 pagi sebelum perbicaraan bermula.

    Suspek sebelum itu tiba dari Penjara Sungai Udang, Melaka untuk perbicaraan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana kes pemerasan.

    Tertuduh juga masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan serta Seksyen 224 kanun sama kerana lari dari tahanan.